Followers

Monday, May 30, 2011

Cahaya Di Hujung Terowong?

Masih lagi cerita sahabat saya, Mej Sawaluddin ini.

Syukur Alhamdulillah.....Pagi 29 Mei, saya telah menghubungi beliau bertanyakan sama ada pihak tertentu ada menghubungi beliau. Jawapannya ialah '...Ya'. Pengarah JHEV Cawangan Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan, Lt Kdr Borhan bin Daut TLDM, telah menziarah beliau baru-baru ini. Malah beliau (Mej Sawal) akan pergi ke Cawangan tersebut dalam masa terdekat untuk memberi dokumen yang diperlukan, Insya-Allah.

Saya difahamkan JHEV  tidak mengetahui masalah yang dihadapi oleh sahabat saya sebelum ini. Menurutnya, apa yang beliau perlukan sangat ialah laporan pakar mata bagi memudahkan proses 'medical board'. Sekiranya semua laporan sudah ada, kemungkinan beliau akan dipertimbangkan untuk mendapat 'disability pension'....lebih kurang begitulah kerana saya ni pun bukannya arif dalam bab-bab ini.

Pihak TUDM pula masih belum menghubungi beliau. Bukannya apa....Mereka sedang sibuk dengan sambutan HUT ke-52 pada 1 Jun nanti. Saya percaya selepas majlis tersebut, ada wakil TUDM akan menghubungi beliau. Malah saya telah dijanjikan oleh seorang rakan yang beliau akan '....follow-up with KESEK'.


Mej Jen Dato' Zulkiflee.....Terima kasih di atas keprihatinan Dato'. Syukur  Alhamdulillah.
T  A  M  A  T

Friday, May 27, 2011

Peluang Keemasan

Masih lagi tentang Mejar Sawaluddin Bin Lamin yang saya coretkan di siniWalaupun beliau tidak meminta sebarang 'pertolongan', saya rasa saya perlu membuat sesuatu bagi membantu beliau. Ini masa beliau memerlukan bantuan...Apa guna kawan sekiranya tidak sedia membantu ketika berada dalam kesusahan!

Mana boleh saya duduk diam saja. Saya telah e-melkan coretan tersebut kepada pihak berwajib di KEMENTAH, diikuti dengan e-mel kepada KP JHEV. Jeng....Jeng....Jeng.....Ini respons KP pada 23 Mei....
'......Ybhg Tuan, tanx for the info. I'll get my staff to contact Mej Sawaludin soonest possible. If you can just tell me where he lives now, I can direct my nearest Pgh Jhev negeri to follow up on him. 
Salam, Zul' 

Saya sudah pun memberi maklumat yang beliau pinta.

25 Mei....Saya telah dijemput oleh TV3 untuk program 'Malaysia Hari Ini'; slot saya jam 0815. Tentu para pembaca dah dapat agak mengapa mejar pencen ini tut...tut jadi popular....tak lain tak bukan pasal "Coretan Xnuripilot". Jeng...Jeng....Jeng....PTU juga turut diundang sempena Hari Ulang Tahun ke 52 TUDM pada 1 Jun ini; slot beliau jam 0800. Sungguh tak disangka dan hanya satu kebetulan!

Dari kiri: Kol Termizi (KESEK), Mej Kamarul (PRO MTU), PTU, saya di Bilik Menunggu di TV3

Memang betul jangkaan anda semua! Sementara menunggu, saya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mengesyorkan kepada PTU agar TUDM 'jengok-jengok' le mantan warga TUDM yang uzur ini. Beliau telah mengarahkan KESEK untuk mengambil 'tindakan sewajar'nya. Buat permulaan....Menziarah Mej Sawaluddin. Saya telah memberi # telefon dan alamat rumah beliau kepada KESEK.

Inilah yang termampu saya lakukan....Sekurang-kurangnya saya telah berusaha dan terus berusaha....Hanya Allah yang menentukan semuanya!!! Saya berdoa agar pihak berwajib akan mengambil tindakan positif bagi mengurangkan 'bebanan' yang ditanggung oleh sahabat saya itu; paling tidak pun membantu beliau mendapatkan laporan pakar E&T bagi membolehkan beliau di'medical board'kan. Sekiranya berjaya, beliau layak menerima pencen...itu yang saya difahamkan.

Selain isu Mej Sawaluddin, saya juga telah mencadangkan agar Muzium TUDM mempamerkan Cannon 20mm yang digunakan oleh Alouette 111 Gunship. Cannon tu pun telah dilucutkan tauliahnya dan apalah salahnya ia ditontonkan kepada pengunjung-pengunjung muzium. Dan, mengapa tidak mempamerkan juga 'Strecer Salleh'. Saya telah memberitahu beliau asal-usul strecer dan bagaimana ia mendapat nama tersebut. Sehingga kini, nama 'Salleh' masih kekal digunakan tetapi sayang seribu kali sayang....tiada siapa pun yang berminat untuk mengabadikannya. Kita sepatutnya berbangga dengan heritage kita!!!

Respons PTU agak positif juga apabila beliau menyatakan lebih baik menjemput WO1 Salehuddin (B) datang ke muzium jika ada sesuatu perasmian nanti. Ini yang saya mahu dengar....Satu pengiktirafan kepada mereka yang berinovatif walaupun telah lama meninggalkan perkhidmatan! 
'Proto type' dibuat di bengkel TUDM Kuantan

PTU & KP JHEV.....Terima kasih di atas keprihatinan Tan Sri & Dato'.

Nota: RTM1 turut menjemput saya tapi masalahnya pada hari dan waktu yang sama. Justeru, terpaksa ditolak. 

Tuesday, May 24, 2011

Kisah Wira-Wira Pasukan Keselamatan

23 Mei 2011, jam 1700....Prof Dato' Dr Ramlah Adam dari UITM, telah bertemu saya di DGCC, Jitra. Beliau ada menalefon saya sebelum ini untuk menebual pada Jun depan. Menurutnya, beliau sedang dalam proses menulis sebuah buku tentang wira-wira Pasukan Keselamatan- ATM & PDRM. Apabila terbaca pojok 'Cuit' Utusan Malaysia oleh Dato' Zaini Hassan, beliau terus mengbungi saya. Tut...Tut...beliau membuat keputusan untuk datang lebih awal kerana berada di Perlis untuk menemubual lain-lain veteran.

 Dari Kiri: Suami Prof, saya, Prof Dato' Dr Ramlah, xVAT 69 

Secara jujur, saya berpendapat sepatutnya kita, warga Anggota Keselamatan, yang menulis kisah yang bersangkut paut dengan kita. Saya bersyukur kerana buku "Coretan Xnuripilot", Prof akan memasukkan warga TUDM dalam buku yang akan diterbitkannya. Beliau meminta 2 lagi warga TUDM untuk dijadikan bahan bukunya. Saya telah menamakan mereka dan telah pun memaklumkan kepada mereka. Sama ada Prof akan menghubungi mereka....Wallahualam.

Saya percaya ramai golongan veteran yang 'kaya' dengan pengalaman. Ambil cerita yang pernah saya katakan. Tindakan seorang juruterbang Alouette gunship yang mengarahkan gunner beliau menembak dengan M16 ketika konvoi PPH diserang hendap. Cannon 20mm telah kehabisan HE. Kerana tindakan diluar SOP ini, beliau telah menyelamatkan anggota PPH. Sayang sekali, beliau agak berat untuk menceritakannya. Begitu juga seorang juruterbang Nuri yang telah terbang di waktu malam untuk menyelamat seorang casevac, pegawai Ranjer, di kawasan operasi di Sarawak. Dan saya percaya, banyak lagi yang saya sendiri tidak mengetahuinya.

Tidak kurang juga cerita daripada pasukan Tentera Darat. Kebanyakannya apa yang kita dengar adalah tentang pengalaman mereka yang dianugerah darjah perkasa. Namun, banyak cerita yang tidak diperhebuh-hebuhkan.

Wahai para veteran....Mengapa kita tidak abadikan pengalaman kita untuk tatapan generasi akan datang. Saya percaya ramai di kalangan veteran yang mampu menulis kisah-kisah tersebut. Saya sendiri, kalau cukup bahan, mungkin sedia menerbitkannya, tapi dengan gaya saya sendirilah....InsyaAllah.

Sunday, May 22, 2011

Di Luar Kemampuan

Pembaca...Saya terima cerita ini daripada Lt Kol Basri Omar (B) tentang satu insiden di mana seorang anggota RAJD terlucut dari 'harness' ketika beliau di'winched'kan oleh pesawat Alouette 111. 


Tugasan: Menanam Ubi(JS)-(Ops Naga)
Lokasi: Kawasan Op Gubir, Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah
Tarikh: Dalam Tahun 1976
Pasukan: 3 Skn Jurutera, Taiping
Kekuatan: 8x Tim Menanam JS (Setiap Tim x 10Anggota = 80 Anggota)
Pasukan: Platun 7 Renjer, Sg Petani(Di ketuai oleh Lt Mustapha)
Ringkasan Kejadian: 

Lebih kurang jam 1500, semasa dalam proses Arming (mengaktifkan JS), di sebabkan kawasan lembab dan licin, L/Kpl Hashim tergelincir dan jatuh lalu terpijak JS yang telah ditanam satu hari terdahulu. Mengakibat sabelah kaki hancur ...(xpasti kaki mana). Beliau survived pendarahan tersebut  hingga Helikopter Allouette tiba utk Medivac.

Semasa dalam proses Winching Up ke helikopter, AQ tak sempat memegang badan L/Kpl Hashim, beliau jatuh terduduk....Lt Mustapa yang sedang memerhati proses Winching up tu terus meluru ke L/Kpl Hashim  dan memangku beliau ...Beliau menghembuskan nafas didalam pangkuan Lt Mustapa...Innalillah!

Kemudian Jenazah diterbangkan ke Kem Lapangan Terbang, Sg Layar, Sg Petani, dan di uruskan di Madrasah Kem tersebut.( OC Mej Taharim telah sedia menunggu ketibaan jenazah di situ).

Jenazah telah dihantar ke rumah bapa beliau di Penanti pada sblh malam . Pengkebumian di laksanakan pada keesokan harinya. Antara orang2 kenamaan yang hadir di majlis itu ialah Ketua Jurutera, Brig Jen Dato' N Selvarajah, Pegawai Daerah - En Sattar, dan Ketua Polis Daerah.

Pada masa yang sama, OC Mej Taharim terbang ke lokasi kejadian bertujuan menenangkan anggota2 Tim Menanam JS dan sebagai Morale Booster. Beliau di sambut oleh Lt Mustapha dan diberi taklimat terperinci ttg kejadian yang mengakibatkan kematian L/Kpl Hashim. Beliau tidur di lokasi tersebut. Dimaklumkan bahawa Pos ini pernah menempatkan  Almarhum Kapt Zainal (Mej) SP, bekas pegawai 17 RAMD, semasa operasi d kawasan tersebut . Beliau (Mej Zainal) terbabit dlm pertempuran dgn PGK dan maut.... ! Di anugerahkan pingat SP oleh DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong . Pada malam itu, Mej Taharim solat di tempat solat Almarhum Kapt Zainal (di perbuat daripada anyaman daun Bayas...Masyaallah...)!

Keesokan harinya Mej Taharim balik ke Kem Gubir dan meneruskan pemantauan tugas2 Menanam Ubi di kawasan Op Gubir...! 

(Almarhum L/Kpl Hashim dari 2 Tp 3 Skn Jurutera pernah terlibat dalam Ops Gubir 2 pada bulan Apr 1976 terdahulu bersama Tim Pemusnah JS). 
Wassalam 
Basri bin Hj Omar

Saya ingat insiden ini. Ketika itu 'Composite Squadron' masih belumwujud. No 3 Skn, TUDM butterworth, adalah skuadron Alouette 111. Tugas mengambil casevac ini dipertanggungjawabkan kepada skn tersebut.   


Saya tiada 'privy' kepada laporan Lembaga Penyiasatan, kemungkinan besar arwah terligelincir kerana 'toggle' NATO Strop (gambar) 'naik' ke atas. Mungkin arwah pengsan dan tangannya longlai yang mengakibatkan toggle 'terslip upward'. MUNGKIN!! 
Saya difahamkan AQM berkenaan telah 'remuster trade' asalnya kerana berasa terlalu bersalah tidak dapat menyelamatkan arwah L/Kpl Hashim. 
Lt Kol Basri...Terima kasih. Arwah L/Kpl Hashim....Al-Fatihah. 

Friday, May 20, 2011

Liku-Liku Kehidupan

Mejar Sawaluddin Lamin sudah lama saya kenali semenjak beliau menjalani latihan kadet Tauliah Jangka Pendek Intake 14 di MTD. Kami ditauliahkan pada hari yang sama...14 April 1969. Kali terakhir saya berjumpa beliau sebelum 15 Mei 2011 ialah pada Januari 1982 ketika mengambil alih jawatan Ketua No 5 skuadron, TUDM Labuan, daripada beliau.

Beliau ditauliahkan sebagai seorang pegawai muda di 7 RAMD yang ketika itu berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Lt Sawaluddin (tengah) di Pengkalan Chepa pada 1972

Kami berdua telah berlepas dari 7 RAMD, Miri, untuk mengikuti kursus penerbangan....

Lt Sawaluddin (5 dari kiri) dan Lt Ismail Malek (7 dari kiri) ketika kami mengikuti kursus penerbangan di SEA Helicopter, TUDM Kuala Lumpur pada 1973

Pada 12 November 1977, beliau telah membuat 'emergency landing' di Pulau Langkawi semasa membawa KSN.....

Keadaan Alouette 111 akibat hentakan di atas batu-batu

Kesan kemalangan tersebut setelah beberapa tahun kemudian.....

Dari kiri: Saya, Mejar Sawaluddin, Mej Ismail Malek di rumah Mej Sawaluddin pada 15 Mei 2011 

Akibatnya, kesihatan beliau banyak terganggu. Beliau sekarang tidak terdaya untuk berkerja. Keadaan lebih mendukacitakan lagi kerana isteri beliau juga tidak begitu sihat. Jangan salah anggap ya....beliau tidak menagih simpati. Beliau menyara kehidupan harian secara ala kadar dengan  simpanan yang setiap hari terus menguncup! Tapi, tanpa sebarang pendapatan, berapa lamakah ia boleh bertahan...Alangkan bukit jika setiap hari di'jentolakkan' akan menjadi rata, malah akan menjadi lubang!!!! 

Sebagai golongan yang prihatin terhadap rakan seperjuangan, jengok-jengoklah kawan kita itu di No 11, AU 2/18. Janganlah kita tergolong dalam kumpulan sepertimana dalam lirik lagu 'Resam Dunia' nyanyian  J. Sham.....
"Teman Ketawa Senang Dapat
Teman Menangis Sukar Dicari"

Saya bersyukur kerana masih ada segelintir rakan yang kerap melawat beliau dan turut menyumbang bagi meringankan bebanan Mejar Sawaluddin Bin Lamin TUDM.

Wednesday, May 18, 2011

Wira Somalia - 2

Masih lagi kisah Somalia. Mungkin ramai yang belum baca tulisan dalam blog ini, termasuk saya. Sementara keadaan reda sedikit untuk berfikir apa yang nak ditulis, memadailah meng'link'kan dengan lain-lain laman sesawang.

Saudara manchikla...Terima kasih.

Sunday, May 15, 2011

Wira Somalia - 1

Pembaca...Saya betul-betul tak menang tangan pasal buku ini. Apa tidaknya, 'everything-in-1'...Sayalah derebar, posman, book-keeper, pegawai pemasaran, pembungkus dan entah apa lagi. Saya akan ceritakan nanti nasib seorang penulis amatur persendirian (tanpa sebarang pengalaman) dan masalah yang terpaksa dihadapi, Insya-Allah. Tanpa gelaran dan 'talian hayat', memang banyak dugaan! Walaubagaimana pun, saya sungguh berterima kasih kepada para pembaca yang banyak menggalakkan sehingga penerbitan buku tersebut menjadi kenyataan.

Tapi ada golongan yang gembira bila saya dalam keadaan begini! Sapa lagi kalau bukan geng tarik troli...Members telan saya hidup-hidup setiap hari kerana saya tidak boleh fokus dalam golf. Tak apalah....beri mereka peluang keemasan ini kerana selepas ini tiap-tiap hari giliran saya pula kembong perut dengan nescafe ice FOC...He...He....He.

Jadi, buat masa ini, memadailah 'copy & paste' cerita wira-wira yang telah dianugerah PGB ketika 19 RAMD berkhidmat di Somalia. Saya percaya ramai yang masih belum membaca buku "19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA" oleh Lt Kol Dr Syed Othman bin Syed Omar. Saya telah meminta kebenaran beliau.

Lt Kol Dr Syed Othman....Terima kasih.

Nota: Sesiapa yang beli melalui e-mel/sms, tolong e-mel/sms nama dan alamat pos. Sekarang saya ada 2 pemesan yang dah cr RM melalui CIMB click tapi tak tahu alamat dan # telefon; hanya nama sahaja. Saya tak pasti sama ada mereka mengguna akaun orang lain untuk membuat pembayaran. Pasal duit ini saya sungguh takut...Jangan main-main perbuatan yang tak diberkati olehNya!

Thursday, May 12, 2011

Wow!

Pembaca....Saya tidak pernah terima pujian sebegini semenjak 62 tahun muncul dalam dunia  ini....Syukur Alhamdulillah.

Dato' Zaini Hassan...Hanya ucapan terima kasih saja yang saya boleh luahkan.

Monday, May 9, 2011

"Beauty & The Beast"

Kebanyakan pilot helikopter, jika diberi pilihan, sudah pasti nak terbang pesawat yang canggih-canggih terutama buatan 'Uncle Sam' atau pun EU....seperti 'The Old Beauty' ini.

'The Beauty" sedang membuat winching sorti

Saya masih ingat laporan akhbar yang menyiarkan pandangan seorang individu yang tidak bersetuju sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk membeli Mi-8 buatan Russia untuk mengganti Nuri. Alasan utamanya ialah kerana teknologi lama (kalau tak silap). Memang betullah agaknya kerana ketika itu beliau masih berkhidmat.

Setelah dinilai oleh pakar-pakar TUDM, 2012 nanti pilot helikopter yang terpilih akan  menerbangkan 'The New Beauty'....

EC725 Helicopters for the French Armed Forces 
EC725...'Terkukur'?

Mungkin negara tak mampu untuk membeli 'heavy lifter' seperti Chinook untuk membawa balik golongan 'The Beauty' sekira terlibat dalam kemalangan.....

Chinook RAAF mengangkut Nuri dari kawasan Gunung Korbu ke AIROD,  Subang

Mujurlah ada 'The Beast' yang dipandang hina ini...

 Buatannya kasar tapi 'functional'....mampu mengangkut 'The Beauty' - 
Mi-8 mengeluarkan M23-11

Jangan gusar...'The Beast' ini boleh disewa daripada syarikat swasta untuk tugas-tugas seperti di atas. Paling tidak pun, Bomba sedia membantu kerana menggunakan pesawat Mi-8.

Saturday, May 7, 2011

Penghormatan

5 Mei 2010....Saya telah terima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis dari Alor Setar. Beliau berminat membeli "Coretan Xnuripilot".  Sementelah saya berada di Bandaraya, kami pun RV di restoran seberang jalan Ibu Pejabat Polis Negeri Kedah. Beliau pernah berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berpangkalan di Kuantan, Pahang. Apa lagi, bersembang panjanglah kami; nama-nama pilot yang dia sebut semuanya saya kenal kerana pernah berkhidmat bersama ketika saya di No 10 Skuadron.

Beliau menceritakan beberapa insiden yang melibatkan PPH termasuk konvoi yang diserang hendap di kawasan operasi Gubir pada 60'an. Peristiwa ini terdapat dalam buku "The Malayan Police Force In The Emergency 1948-1960"  oleh R.Thambipillay. Buku ini turut menyenaraikan  semua anggota PDRM yang terkorban ketika menentang pengganas komunis. Saya sungguh kagum dengan keprihatinan PDRM dalam mengabadikan warga mereka...Syabas PDRM.  Beliau berjanji akan e-melkan petikan cerita itu nanti untuk saya poskan dalam blog ini, insyaAllah. Beliau turut menceritakan satu insiden di mana seorang 'senior pax' telah menembak pengganas komunis dengan pistol dari sebuah helikopter Alouette 111. Ketika membuat tinjauan udara, mereka telah ternampak kem pengganas komunis di kawasan Simpang Pulai, Perak. Apa lagi...bang...bang....bang.

Saya ada terdengar kisah ini dan cuba bertanya siapakah pilot berkenaan untuk mendapat cerita daripada perspektif seorang pilot tetapi tak berjaya. Seorang mantan pegawai Cawangan Khas juga ada menceritakan pada saya tetapi beliau enggan memberi butir-butir selanjutnya.

Lihat bagaimana 'Mat Saleh' menyanjung wira mereka...

Satu dunia dimaklumkan

Mereka yang terkorban terpahat di Labuan War Memorial

Mengharapkan bangunan dinamakan dengan nama wira Pasukan Keselamatan adalah seperti mengharapkan buah jering jatuh. Untuk mendapatkan penghormatan ini, mesti 'MENGHARUMKAN' negara seperti ini!!!!


Adakah ATM mempunyai senarai mereka yang terkorban semasa kedua-dua Darurat?  Sesiapa yang ada senarai tersebut, harap e-melkan untuk saya poskan dalam blog ini. Bukannya apa....Sekiranya terpaparnya senarai nama wira-wira tersebut, kemungkinan besar  pelawat akan menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang beragama Islam.

Thursday, May 5, 2011

Tugu Gubir?

Pembaca...Merujuk kepada coretan ini, saya terima gambar berikut daripada Xxx Xxxxxxx...



Saya tidak pasti di mana tugu ini dibina - adakah di luar kem atau dalam kem? Kemungkinan besar dalam kem. Sekiranya tekaan saya ini betul, pada pandangan saya, penempatannya kurang sesuai.

Secara jujur, saya tidaklah begitu berpuas hati dengan 'tugu' ini. Apa yang saya mimpikan ialah seboleh-bolehnya 'pahatkanlah' nama  wira-wira yang gugur dan hendaklah dibina di luar kem. Tujuannya ialah bagi membolehkan rakyat Malaysia yang lalu-lintas di situ dapat menghayati pengorbanan mereka. Walaubagaimana pun, sekurang-kurangnya ada juga!

Tugu yang dibina oleh anggota RAJD di No 5 Skuadron setelah berjaya membina tugu di Pulau Layang Layang (No 5 Skn telah berpindah ke bangunan baru)

Xxx Xxxxxxx....Terima kasih.

Monday, May 2, 2011

Tugu Peringatan Di Gubir?

Pembaca....Saya sudah ketandusan cerita 'combat'. Jadi, apabila seorang pembaca mencadangkan saya klik di sini, dapatlah baca coretan oleh seorang pegawai Arty. Dalam buku 'Coretan Xnuripilot', saya memasukkan cerita 'sjn apaii' yang dipetik daripada 'Forum aimoo'. Sekarang, lagi satu kisah cerita daripada pasukan Meriam.

Saya telah mencadangkan kepada pegawai tersebut untuk menterjemah ceritanya supaya dijadikan bahan untuk buku ke2 nanti, Insya-Allah. Sepertimana yang saya katakan, sekiranya cukup bahan, teringin juga menerbit buku "Koleksi Pengalaman Veteran". Saya difahamkan ada pihak tertentu yang sedia menerbitkan jumlah yang diperlukan sahaja; nak 100 naskah, no problem...lebih kurang print to order. Kos penerbitan? Sudah pasti boleh tahan jugalah agaknya.

1 Mei 2011, jam 1800...saya telah menghantar buku saya kepada seorang mantan Pengurus Besar MADA di Alor Setar. Menurut beliau, sebelum bersara lagi beliau berhasrat untuk membina 'tugu' di Gubir bagi mengingati mereka yang terkorban di kawasan yang penuh dengan sejarah. Namun, hasrat tinggal hasrat saja, apatah lagi dah bersara ....out of sight....out of mind!  Tapi bila beliau melihat gambar arwah Mej Haris Rejab dan mendiang Kapt (U) Choo YB yang merupakan 'school-mates', beliau bersemangat untuk menghidupkan semula projek ini. Saya mencadangkan beliau menghubungi PAT atau PTD untuk mendapatkan senarai mereka yang terkorban. Beliau boleh mengguna 'old-boys networks' bagi tujuan mendapatkan maklumat berkenaan. Kalau saya Tan Sri Jen Nor Ibrahim (B) mungkinlah PAT atau PTU nak layan; setakat mejar tua ni...bolayan saja!

Pada pandangan saya, ATMlah sepatutnya menjadi penggerak, bukannya orang awam. Apalah susah sangat...tenaga kerja dah ada, siapa lagi kalau tak bukan RAJD. Sudah tentulah kerja paling membebankan ialah nak menyelongkar file-file yang entah di mana beradanya...He...He...He.  Lt Kol Dr Syed Othman (B)  telah membina sebuah tugu bagi memperingati wira-wira yang terkorban di kawasan Lasah dengan dibiayai sepenuhnya oleh beliau sendiri (atas kanan); JKR pula membina
tugu di lebuh Raya Timur-Barat. Kan ATM tak mampu nak bina satu kut!!

Saya hanya mampu berdoa agar ia menjadi satu KENYATAAN satu-satu hari nanti, Insya-Allah. Sapa-sapa di sana yang masih ada pengaruh...cuba-cubalah  'sound' kepada Pak-Pak Jeneral -  PAT/PTD/PTU.