Pages

Khamis, 14 Disember 2023

Warkah berdarah Kalabakan 29 Disember 1963: Bab 1 - "Inilah Barisan Kita”

Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 terpaksa melalui liku-liku yang sukar. Indonesia dan Filipina menentang penubuhan persekutuan itu. Bermulalah kedengaran istilah ‘konfrontasi’ yang diucap oleh Dr Soebandrio, Menteri Luar Negeri Indonesia, pada 20 Januari 1963.

Apakah yang dimaksudkan konfrontasi? Memetik penghakiman Lord Hodson, Hakim Mahkamah Majlis Privy, “...konfrontasi merupakan peperangan tanpa pengisytiharan (atau disebut konflik bersenjata) yang melibatkan di antara dua atau lebih negara yang terikat dengan Konvensyen Geneva 1949, walaupun keadaan perang itu tidak diiktiraf oleh mana-mana negara terbabit.”[i]

 Pengisytiharan konfrontasi membimbangkan Jeneral Achmad Yani, Kepala Staf Strategik Angkatan Darat Indonesia. Beliau nasihat Presiden Soekarno supaya tidak melancar konfrontasi terhadap Malaysia. Saranannya bersandar  kemungkinan Indonesia terpaksa turut berhadapan dengan pasukan tentera British, Australia dan New Zealand. Namun, nasihat itu diketepikan Presiden Soekarno. Malahan beliau menyifatkan nasihat itu sebagai membelakangi arahannya.[ii]  

 Namun demikian, tentangan kedua-dua negara tersebut tidak menghalang Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri, menandatangani Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963. Pemasyhuran itu membuat Indonesia dan Filipina berang sekali. Pada hari itu juga (16 September 1963), kedua-dua negara tersebut telah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara termuda dalam peta dunia. Di Jakarta, Dr Soebandrio memberitahu Dato’ Kamaruddin, Duta Malaysia, bahawa “...he had no status in Indonesia from Sep. 16.”[iii]

 Ekoran itu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan:

“Oleh kerana Kerajaan Indonesia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tanpa sebab yang nyata, maka tidak ada jalan lain bagi kita tetapi terpaksa berbuat demikian juga dan memanggil balek Duta kita dan pegawai2 Kedutaan dan di samping itu menutup Konsulat kita di-Medan.”[iv]

Lantaran itu, dengan jelasnya tercoplah dalam pasport Indonesia: “Berlaku untuk Seluruh Dunia Ketjuali TAIWAN, ISRAEL dan apa jg dinamakan ,,MALAYSIA”.

Pasport Indonesia yang dikeluarkan pada tahun 1964 mencatat pemegang dilarang melawat Malaysia. Sumber: FB Tempo doeloe 

Keesokan hari, 17 September 1963, bergemalah Stadium Merdeka dengan laungan ‘Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September 1963.[v]


Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September 1963. Sumber Arkib Negara Malaysia

Indonesia tidak hanya sekadar memutus hubungan diplomatik dengan Malaysia sahaja. Malahan, pada malam 16 September 1963, perusuh berkumpul di luar Kedutaan British. Ketika itu, staf daripada Kedutaan Australia, Perancis, Belgium, Kanada dan Amerika Syarikat sedang bersantai di kedutaan itu. Perusuh mendakwa staf kedutaan-kedutaan tersebut sedang meraikan Pemasyhuran Malaysia. Tanpa usul periksa, mereka mengarah wakil Malaysia keluar. Ketibaan polis menyelamat keadaan menjadi lebih buruk dan perusuh seterusnya bersurai.[vi]

Kemarahan Soekarno tidak berakhir di situ. Ia diterjemah apabila rakyat negara tersebut telah mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 25 September 1963. Kedutaan besar Malaysia diserang. Dalam keadaan marahnya itu, Presiden Soekarno dengan lantangnya mengumumkan ‘ganyang’ Malaysia.[vii]  

Malahan British turut terasa bahang kemarahan itu. Kedutaan British di Jakarta diserang dan 21 rumah staf kedutaan dan kenderaan dibakar. Manakala ladang-ladang kepunyaan syarikat British di Jawa dan Sumatra dirampas dan diisytihar sebagai hak milik Indonesia.[viii]

Reaksi rakyat Indonesia terhadap seruan Presiden Soekarno menentang 
 pembentukan Persekutuan Malaysia. Sumber: Wikimedia Commons

Amarah Presiden Soekarno terhadap Tunku Abdul Rahman tiada batasan. Nama Tunku Abdul Rahman menjadi bait-bait dalam lagu ‘Ganjang’ yang berkemendang di corong-corong radio di Indonesia:

Bersiaplah Tengku aku datang menentang maksudmu

Hadapilah Tengku aku akan merintang niatmu

Semangat bangsaku’kan membara setiap penjuru

Kita berjuang membela keadilan di dunia

Kita menuntut merdeka bagi semua bangsa

Bangkitlah serentak Afrika Asia[ix]

*****

Mana mungkin Malaysia akan berdiam diri begitu sahaja. Tugasan untuk menggubah lagu bagi menaikkan semangat patriotisme rakyat, terutama anggota pasukan keselamatan, dipertanggungjawab kepada Saiful Bahri, anak kelahiran Sumatra. Beliau merupakan seorang   mantan Konduktor Orkes Studio Jakarta dan  juga seorang komposer serta penulis lirik terkenal di Indonesia. Beliau melarikan diri ke Malaysia dari Indonesia kerana bimbang ditahan oleh pihak kerajaan. Kebimbangan ini disebabkan beliau yang antikomunis, tidak setuju dengan dasar ganyang Malaysia. Tidak seperti lagu Ganjang, lirik lagu ini ‘lebih sederhana.’ Tamparan hebat kepada Presiden Soekarno!

 Dengan itu, berkumandanglah lagu Inilah Barisan Kita’ yang dinyanyikan oleh Jamaludin Alias[x] yang dimainkan oleh Radio Malaysia.

“Inilah barisan kita

Yang ikhlas berjuang

Siap sedia berkorban

Untuk ibu pertiwi

Sebelum kita berjaya

Jangan harap kami pulang

Inilah sumpah pendekar kita

Menuju medan bakti

Andai kata kami gugur semua

Taburlah bunga di atas pusara

Kami mohon doa

Malaysia berjaya

Semboyan telah berbunyi

Menuju medan bakti”

Kaum Ibu tidak ketinggalan memprotes terhadap Presiden Soekarno. Sumber: Wikimedia Commons




[i]              Abdul Aziz Hussin. (2022). Peristiwa Tenang Era Konfrontasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.13-14.

[ii]              Razza bin Willi, Minda Pertahanan, Konfrontasi Indonesia-  Malaysia Di Sarawak, 17 Julai 2013.  Lihat http://min-def.blogspot. com /2013/07/konfrontasiindonesia-malaysia-di.html (diakses pada 3 November 2023).

[iii]             The Straits Times, The big break, we have no choice, says the Tengku, 18 September 1963, hlm. 1. Lihat https://eresources. nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/straitstimes19630918-1.2.2 (diakses pada 3 November 2023).

[iv]             Berita Harian, Putus Hubongan, 18 September 1963, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/page/ beritaharian19630918-1.1.1 (diakses pada 3 November 2023).

[v]              Arkib Negara Malaysia.

[vi]             AM, Changing Nations: The formation of Malaysia, 1963,     6 Februari 2020. Kawat daripada Kedutaan British, Jakarta, kepada Pejabat Luar Negeri, UK, pada 16 September 1963. Lihat https:// www.amdigital.co.uk/insights/blog/changing-nations-the-formation-of-malaysia-1963 (diakses pada 3 November 2023).

[vii]            Potongan Nostalgia, Ganyang Malaysia: Catatan Panjang Konfrontasi Indonesia-Malaysia, 26 Ogos 2017. Lihat https://kum paran.com/potongan-nostalgia/ganyang-malaysia-catatan-panjang-konfrontasi-indonesia-malaysia/full (diakses pada 3 November 2023); VOI, Aksi Ganyang Malaysia Berakhir dalam Sejarah Hari Ini, 11 Agustus 1966, 11 Ogos 2022. Lihat https://voi.id/memori /199971/aksi-ganyang-malaysia-berakhir-dalam-sejarah-hari -ini-11-agustus-1966 (diakses pada 3 November 2023).

[viii]           Potongan Nostalgia, Ganyang Malaysia sebelum ini.

[ix]             Steven Farram, JSTOR, "Ganyang!" Indonesian Popular Songs from the Confrontation Era, 1963-1966, Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, Vol. 170, No. 1 (2014), pp. 1-24 (24 pages). Lihat https://www.jstor.org/stable/43817924 (diakses pada 15 Oktober 2023).

[x]              Saidah Rastam. (2017). Rosalie. Petaling Jaya: SIRD, hlm. 195-199.