2013 baru masuk seminggu tapi sungguh bermakna! Negara kehilangan seorang
Pahlawan Negara, mendiang PW1 (B) Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau pada awal pagi 03/01/13 (di
sini). Saya sungguh kecewa apabila terbaca ada yang tergamak mempertikaikan keperwiraan mendiang dan kewajaran gomen memberi penghormatan negara...
Sungguh sedih sekali!! Apa pun, pada saya, mendiang tetap seorang hero dan ikon seorang anak watan negara yang sedia berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara....
RIP.
Secara peribadi pula, saya kehilangan
'Kak Yang' (80), seorang sepupu, yang telah pulang ke rahmatullah pada
05/01/13. Saya terima sms pada jam 0459 daripada adik memaklumkan arwah telah pergi buat selama-lamanya pada jam 0300 di Kuala Kangsar. Maka, memandulah ke KK untuk menziarah arwah buat kali terakhir...
Al-Fatihah.
Pada
07/01/13, saya terima emel daripada saudara
'Senapang Patah' menyarankan agar saya menyentuh sikit tentang
KD Sri Perak. Hari ini,
08/01/1984, adalah HUT ke
29 tahun insiden tenggelamnya kapal TLDM tersebut ke dasar Laut China Selatan semasa berkonvoi dari Lumut ke Labuan. 3 orang anak kapal berikut telah hilang sehingga kini dalam nahas itu....
Al-Fatihah.
- Lt Dya Mohamed Fuad
- PKK Mokhtar Amir
- LK1 Shaharuddin Sharani
Dengan kebenaran
'Pak Mail', kisah insiden tersebut didokumentasikan dalam buku ke2 saya yang akan diterbitkan nanti,
'Perbatasan Terhadapan Negara & Lain-Lain Kisah', Bab 7 - "Pelayaran Terakhir KD Sri Perak", insyaAllah. Ceritanya boleh dibaca di
'Catatan Pak Mail' di
sini.
Pencinta sejarah negara bernasib baik kerana kepahlawanan mendiang Datuk Kanang telah diabadikan di arkib, buku-buku dan, tidak lama lagi, akan difilemkan. Para penerima Anugerah Perkasa SP & PGB dari ATM sehingga 1984 sudah terpahat dalam buku-buku Lt Kol Dr Syed Othman (B) - 'PAHLAWAN Angkatan Tentera Malaysia Penerima S.P. dan P.G.B JILID 1 & 2', terbitan DBP 1993.
Bagaimana pula lain-lain wira yang tidak didendang? Mengapa tidak kongsi bersama pengalaman yang tidak boleh diukur dengan RM? Apalah salahnya menceritakan perit-maung yang terpaksa dihadapi supaya generasi sekarang dan akan datang menghargai pengorbanan para veteran. Rakyat harus diasak bahawa kenikmatan kehidupan yang dikecapi dewasa ini tidak datang menggolek begitu saja. Ia tercapai dengan keringat dan darah mengalir daripada tubuh segolongan rakyat yang sentiasa sedia menyahut seruan negara...Wallahualam.
Saya sedia kongsi bersama pengalaman bagaimana nak menerbit buku secara persendirian sekiranya ada yang berminat hendak menulis buku bagi mengabadikan pengalaman mereka, insyaAllah. Don't worry....FOC...He...He...He. Kalau tak pun, hantar cerita itu pada saya. Jika cukup bahan, saya akan terbitkannya, insyaAllah.