Pages

Khamis, 8 Oktober 2009

Di Suatu Ketika Dulu

Syukur, Alhamdulillah, sekali lagi keputusan mahkamah memihak kepada Kerajaan Malaysia. Di awal 2009, mahkamah telah membuat keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia. Beliau juga telah menyaman Kerajaan kerana ‘memalukan’ beliau. Namun demikian, keputusan mahkamah masih tidak memihak kepadanya.


Keratan laporan Utusan Malaysia pada 1 Oktober 2009

'Dalam penghakiman lisannya, hakim (Datuk Balia Yusof Wahi) tersebut turut menegaskan:

"Memang menjadi pengetahuan umum bahawa tindakan Chin Peng dan PKM menentang kerajaan telah mencemarkan serta menjejaskan personaliti dan reputasi sendiri.”'

Apabila difikir sejenak, saya sepatutnya “berterima kasih” kepada Chin Peng. Polimik yang dicetuskan oleh pihak tertentu untuk membawa beliau kembali ke negara tercinta ini yang memberi inspirasi untuk saya menulis dalam blog. Saya bukan seorang penulis atau berminat menulis tetapi oleh kerana perasaan begitu ‘kecewa’, saya memaksa diri untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati.....dengan gaya tulisan ‘spontan’ (komen kenalan terhadap penulisan saya).

Saya dilahir pada 1949 di pekan diraja Kuala Kangsar, Perak. Ketika itu Persekutuan Tanah Melayu masih dalam keadaan ‘darurat’. Saya memulai alam persekolahan di Sekolah Melayu Lumut. Ha....sedikit tentang evolusi 'penjenamaan' sekolah. Untuk makluman, sebelum nama ‘Sekolah Rendah  Kebangsaan ’ yang ada sekarang, nama pertama ialah ‘Sekolah Melayu’ dan kemudian ditukar ke ‘Sekolah Umum’. Nampak sangat veterannya saya ini......! Semasa cuti sekolah, saya dan seorang sepupu, arwah Hisham Zubairi, telah pergi ke Manong, lebihkurang 20 km dari Kuala Kangsar untuk melawat ‘Tok’ saudara. Ketika itu, pekan Manong hanya mempunyai satu deretan kedai papan di kiri dan kanan jalan raya – macam ‘cowboy town’. Panjang deretan kedai tidak sampai 1 km. Lampu ‘gasolin’ diguna untuk menerang kegelapan malam sepanjang jalan. Pekan itu di pagar dengan pagar dawai dan dikawal oleh anggota keselamatan – ‘mata-mata’ (polis) dan ‘Home Guard’ di pintu masuk/keluar. Tahap keselamatan ketat ini disebabkan Manong dianggap kawasan ‘panas’ dan perintah berkurung dilaksanakan pada waktu malam. Bila tiba malam (mungkin senja) pintu masuk ke pekan ditutup. Ini bererti orang awam tidak boleh masuk/keluar pekan.

Rumah Tok saya di luar pekan. Pada waktu malam, duduk sahajalah dalam rumah. Dalam kesunyian malam.....tiba-tiba digemparkan dengan tembakan bertubi-tubi. Sungguh menakutkan. Apabila ditanya, Tok memberitahu itu adalah pertempuran diantara anggota keselamatan dengan pengganas komunis (PK). Beliau menjelaskan ini sudah menjadi rutin. Inilah pengenalan saya kepada keganasan komunis.

Saya seterusnya bersekolah di Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping apabila bapa bertukar ke sana. Negara dikejutkan apabila 2 orang juruukur (maaf sekiranya tersalah fakta) dari Jabatan Ukur terkorban ditembak PK di sempadan Perlis dan Thailand. Ketika itu, mereka sedang memastikan sempadan di antara kedua negara. Salah seorang dari mereka adalah dari Taiping. PK tidak mengambil kira sasaran mereka – baik nyawa atau harta benda. Semasa pembinaan Lebuh-Raya Pantai Timur, PK telah mengebom dan memusnahkan beberapa jentera berat. Kerja-kerja pembinaan lebuhraya kerap tergendala.

Apabila ditauliahkan sebagai seorang pegawai ATM, saya sendiri yang menempah untuk melibatkan diri menentang ancaman komunis terhadap negara tercinta ini. Semasa berkhidmat dengan Kor Meriam, saya mengetuai satu seksyen dengan tiga buah meriam 105 mm Howitzer di ladang kebun pokok jati. Lokasi ini terletak di kiri jalan ke Padang Besar. Duduklah kami di sana dan berkawan dengan ular kapak yang banyak terdapat dibawah daun kering. Sepanjang di sini, tidak sebutir peluru meriam pun ditembak.....sungguh membosankan!

Penglibatan saya secara langsung dalam operasi-operasi menentang PK apabila saya menjadi pilot helikopter Nuri mulai 1974 sehingga 1980 di Semenanjung Malaysia. Banyak operasi dilancarkan oleh TDM dan helikopter Nuri memainkan peranan utama membantu TDM. Pengalaman-pengalaman ini telah diabadikan di awal pos blog saya ini.

Banyak nyawa terkorban dan harta musnah angkara keganasan PK. Operasi menentang PK menelan kos yang tinggi dan sebahagian besar bajet negara terpaksa disalurkan untuk  pertahanan negara. Sepatutnya dana ini disalurkan untuk membina infrastruktur, seperti membina sekolah, hospital, demi untuk kepentingan rakyat jelata. Tetapi, dengan adanya ancaman dari PK ketika itu, perkembangan lain-lain terbantut.

Arwah Hisham Zubairi dalam kenangan....semoga  Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau. Al Fatihah.

Rakyat Malaysia, terutama pasca Merdeka....sedarilah kesejahteraan kehidupan yang anda kecapi dewasa ini adalah hasil dari pengorbanan mereka yang terdahulu. Cintailah negara kita yang satu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan