Pages

Rabu, 31 Mac 2010

Sasaran...NURI!


Pembaca...kali ini saya ambil sebahagian dari petikan artikel oleh Sarjan 'apaii', seorang 'Gunner' dari 3 Meriam...unit pertama saya setelah ditauliahkan pada April 1969. Unit ini adalah yang pertama menerima meriam M102. Kapten Aziz menjadi jurulatih sekembali dari USA setelah tamat mengikuti kursus. Saya masih ingat...beliau sentiasa dengan 'combat helmetnya'.

Saya menulis pengalaman dari perspektif seorang pilot Nuri. Sekarang, baca dari perspektif 'troops on the ground' pula...   

Satu-satunya jalan perhubungan dengan MARKER K- , Gubir adalah melalui udara disebabkan kedudukannya yang jauh dipendalaman dan berada di kawasan tanah tinggi. Maka semua anggota dan meriam diaturgerak dengan bantuan pesawat nuri TUDM dengan diiringi sebuah pesawat bersenjata alouette sebagai pesawat pengiring. 3 pucuk meriam M102 105mm juga diangkut dengan cara sistem anduh bawah (under slung) oleh pesawat nuri yang ½ jam masa penerbangannya dari Markas Taktikal dari Kem Gubir, Kedah.

Sepanjang tempoh ‘Ops KOTA ECHO’ ,cuma sekali sekala ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3RAD) membuat bantuan tembakan untuk membantu pasukan sahabat yang sedang menjalani operasi di sempadan. Seperti kebiasaanya, setiap 10 hari sekali, sebuah pesawat nuri TUDM serta sebuah pesawat alouette akan terbang ke MARKER K- , Gubir untuk menghantar catuan bekalan basah dan peluru (resup) daripada Markas Taktikal di Kem Gubir, Kedah untuk anggota yang sedang menjalankan operasi.

Pada lebih kurang jam 1200hrs 16 Oktober 1978, semasa pesawat nuri mendarat di LP (Landing Point) MARKER K- , Gubir, seorang anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) (23532) Sjn Hasan b. Awang The telah memasuki ke dalam pesawat nuri untuk membantu menurunkan bekalan makanan dengan dibantu oleh anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) di bawahnya. Tidak sempat pun bekalan makanan diturunkan daripada pesawat nuri, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah bukit yang bersebelahan dengan tapak pendaratan helikopter (LP). Kemudian berlakulah beberapa letupan kuat yang betul-betul di hadapan muncung pesawat nuri dan juga berhampiran dengan kedudukan meriam ‘D’ sub.

Menyedari yang pesawatnya menjadi sasaran tembakan PGK, maka juruterbang nuri mengambil keputusan untuk ‘take-off’ dari lokasi tersebut biarpun bekalan makanan serta peluru belum pun diturunkan malahan anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD)iaitu (23532) Sjn Hasan b. Awang Teh yang ketika itu masih berada di dalam pesawat telah terus terbang bersama-sama kembali ke Markas Taktikal di Kem Gubir, Kedah. Semasa kejadian tersebut, terdapat sebuah pesawat alouette yang bersenjata sebagai pesawat pengiring namun disebabkan pesawat tersebut berlegar tinggi di udara, kemungkinan besar juruterbangnya tidak dapat melihat letupan tersebut.

Sejurus belakunya letupan, kesemua anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) mengambil perlindungan di kubu-kubu pertahanan yang berhampiran. Begitu juga dengan platun dari 12 RAMD. Serangan PGK ke atas MARKER K- , Gubir ini telah berlangsung antara 5 ke 10 minit dan  sejurus kemudian PGK pun menghentikan serangan lalu melarikan diri ke arah sempadan Thailand. Hasil daripada pemeriksaan dan kesan tembakan / letupan oleh anggota, adalah dipercayai yang pihak PGK telah menggunakan senjata M79, Grened Launcher 303 dan LMG untuk memusnahkan pesawat nuri TUDM. Alhamdulillah, tiada kecerderaan atau kemalangan jiwa yang berlaku kepada anggota kecuali sedikit serpihan letupan yang terkena kepada gun ‘D’ sub.

Kemudian GPO (Gun Position Officer) LtM Jalil telah membuat lapuran (sitrep) ke Markas Tektikal di Kem Gubir memaklumkan yang tapak meriam di MARKER K- , Gubir telah diserang oleh PGK dan beliau memohon kebenaran dari BC (Battery Commander) (410295) Mejar Ahmad Daud untuk menembak ke kawasan sasaran yang dipercayai digunakan oleh PGK sebagai tapak untuk melancarkan serangan. Setelah diberikan kebenaran untuk menembak, maka beberapa butir tembakan meriam disasarkan ke arah bukit yang berhampiran.

Pada sebelah malamnya, tiada sebarang pergerakan PGK tetapi semua anggota masih lagi ‘stand to’ untuk menghadapi sebarang ancaman atau serangan susulan oleh PGK. Pada waktu tengah malamnya, GPO LtM Jalil tidak boleh tidur kerana telah diganggu oleh makhluk halus yang kononnya tempat kediaman mereka telah dimusnahkan oleh tembakan peluru meriam.

Berikutan daripada serangan mengejut PGK, maka pada pagi hari Selasa 17 Oktober 1978, satu seksyen daripada platun 12 RAMD yang membuat pertahanan tapak meriam telah diaturgerakkan ke lokasi yang berkemungkinan tempat PGK melancarkan serangan semalam, telah keluar membuat pembersihan ke kawasan tersebut. Semasa dalam menjalankan operasi penjejakan dan pembersihan, salah seorang anggota seksyen 12 RAMD telah terkena jerangkap samar yang telah ditanam di sekitar kawasan berkenaan. ‘Hit and Run Tactic’ merupakan salah satu cara PGK dan kemudiannya akan memasang perangkap samar di bekas laluan mereka bertujuan untuk melambatkan pergerakan  dan mencederakan anggota PK.

Anggota yang terbabit telah mendapat kecerderaan yang teruk di kakinya. Maka satu detachment BCT (Boby Trap Clearance Team) Pemusnah Jerangkap Samar seramai 3 orang anggota dari Squadron Jurutera telah membuat perbersihan di kawasan tersebut. Setelah satu seksyen dari 12 RAMD selamat kembali ke pengkalan dan dari hasi tinjauan yang didapati dari kawasan bukit tersebut, PGK telah lama memerhatikan pergerakan anggota PK dari arah bukit berkenaan. Malah pihak PGK boleh menembak anggota ketika anggota sedang mandi atau mengambil air di anak sungai yang berhampiran dengan pengkalan ini. Bagaimana pihak PGK boleh melancarkan serangan?? Sebenarnya PGK telah membuat ram di atas sebatang pokok besar sebagai tempat untuk menembak kearah kawasan pendaratan pesawat yang jaraknya lebih kurang 500 ke 600 meter jauhnya. Adalah dipercayai dengan dapat memusnahkan pesawat nuri TUDM, maka moral komrad-komrad PGK akan tinggi demi memperjuangkan idologi komunis mereka. Namun begitu Allah SWT lebih memelihara keselamatan anggota PK.

Anggota yang cedera parah kerana terkena jerangkap samar tidak dapat dikeluarkan (casevac) kerana keadaan cuaca yang buruk dan berkabus tebal menyukarkan pesawat nuri TUDM untuk beroperasi. Anggota yang tercedera  terpaksa bermalam di MARKER K- , Gubir. Pada ke esokkan harinya iaitu Rabu 18 Oktober 1978 barulah anggota yang cedera terkena jerangkap samar dapat dikeluarkan. Begitu juga dengan GPO LtM Jalil yang telah diganggu oleh makhluk halus telah digantikan oleh (411602) LtM Ali Al-Husaini begitu juga dengan (23532) Sjn Hasan b Awang Teh.

Nota: Anda boleh membaca coretan beliau sepenuhnya di mymil.aimoo.com bertajuk "Pengalaman Saya Ketika Berkhidmat".

Sjn 'apaii'...Maaf kerana menciplak coretan anda tanpa meminta kebenaran anda. Saya bukan ahli 'forum aimoo'.  Walaubagaimana pun, terima kasih kerana telah menceritakan peranan Nuri dari kacamata seorang warga tentera yang terlibat dalam operasi di Gubir.

Siapalah agaknya pilot yang menjadi sasaran pengganas komunis itu. Bukan saya kerana saya tidak terbang pada kedua-dua hari tersebut. Saya berharap mereka yang terbabit, sekiranya membaca coretan ini, tidak keberatan untuk menyumbang pengalaman anda. Mejar Ahmad Daud adalah 'squad' saya dan kami menghadiri Kursus YO/TSM di MLTM, Port Dickson bersama pada Mei 1969. Kursus tergendala kerana tercetusnya "Tragedi 13 Mei 1969". Semua pegawai yang mengikuti beberapa kursus  diarah 'RTU' kecuali kami dari 3 Meriam kerana ketika itu unit berada di 'Malaysia Timor' (panggilan dan ejaan lama). Makan tidurlah kami, iaitu Lt M Chin Yok Choy, Lt M Latif Endut, Lt M Rahman dan saya di MLTM (LATEDA), hampir 2 minggu sementara menunggu penerbangan ke Kuching.

Sungguh kejam pengganas komunis..."Betu-betul punya pengecut...Nak hentam  kami yang tidak berupaya untuk melawan balik. Masalahnya, ada pihak tertentu yang menyokong Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia tercinta ini".

6 ulasan:

  1. Tuan,

    LP Marker K- lebih mesra dikenali dengan nama LP Marker Kilo One Bar.

    BalasPadam
  2. Dear NIBS,
    I've heard about this particular story. I think the pilot was Kamarudin Mydin.
    Salam,
    Rosli

    BalasPadam
  3. Dear Rosli,

    Thank you for the info. I'll try to convince Kamaruddin to write his experiences.I heard you're going back to RISUD...when?

    Suggest you call S/Sgt Yusof at 019-6760230/0390211802.

    BalasPadam
  4. benar apa yang dikata bagi pihak tuan..

    "Betu-betul punya pengecut...Nak hentam kami yang tidak berupaya untuk melawan balik. Masalahnya, ada pihak tertentu yang menyokong Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia tercinta ini".

    tetapi disini saya ingin berkongsi catatan seorng bekas PKM:
    http://matamin02.blogspot.com/2010/03/siapa-pkm.html

    patutkah sejarah malaysia ditulis kembali?

    P/s:minta maaf jika terkasar bahasa..:)

    BalasPadam
  5. Saudara Anonymous (6 Apr),

    Itu pandangan dan hak anda. Pada saya tak timbul langsung persoalan mengapa sejarah ditulis semula hanya membaca catatan seorang xPKM. Ingat, mereka tidak pernah menyatakan yang mereka telah menolak idealogi komunisme. Apa yang mereka lakukan hanyalah 'meletak' senjata...itu sahaja.

    BalasPadam