Pages

Isnin, 14 Oktober 2013

Misi Tetap Sama

11/10/13...Semasa berjalan balik ke rumah selepas solat Jumaat, terdengar 'hon'  kereta di belakang. Apabila menoleh, Prof Dr Hamzah, UUM, menghulurkan buku "The Jungle Beat", oleh Roy Follows; terbitan pertama pada 1990 dan ke2 1999.

Secara ringkasnya, buku ini adalah coretan Lt (Polis) Roy Follows, Ketua Platun No 4 PPH (Pasukan Polis Hutan) di era darurat pertama.  Beliau mula berkhidmat di Cha'ah, Johor, pada 1952. Pelbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa dilalui dalam operasi memburu dan memusnah pengganas komunis (PK).

Buat permulaan, bukan mudah untuk memahami anggota platun yang berlainan agama dan adat resam. Dan bahasa. Sebelum mempelajari bahasa Melayu, beliau banyak menggunakan bahasa isyarat. Kerana tidak pasti maksud isyarat tertentu, anggotanya mengikut beliau ketika nak membuang air besar! Senyum dibuatnya beliau menyebut 'nasi standing at ease'.

Follows menceritakan bagaimana seksanya mengharungi paya sedalam dada di Pengerang dalam usaha memburu petualang2 negara. Dan terpaksa bergelut dengan seorang musuh sebelum berjaya mencederakannya dengan parang dan menewaskannya. PK tersebut telah dihadapkan di mahkamah dan dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah.

Juga, beliau mencoretkan pengalaman ketika bertugas selama 9 bulan di Pos Brooke.  Misi beliau ialah untuk menangkap atau membunuh seorang pengganas komunis. Namun demikian, beliau tidak berjaya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Ini termasuk 'blanket bombing' oleh pesawat Hastings di kawasan berhampiran pos tersebut.

Follows berlepas balik ke England dengan memandu sebuah 'Jeep' (JA 6188) bersama seorang rakan. Kenderaan tersebut telah di'scrap' oleh tentera dan dibaikpulih sepenuhnya untuk perjalanan hampir 13k batu; dari Singapura ke England. 2 nama anggota platun yang beliau tidak boleh lupakan ialah Sjn Shaffie dan Sjn Abdullah.

Itu era darurat pertama. Apakah perbezaan dengan darurat kedua?

Ketua 'pemburu' tidak lagi mat saleh. Tugas ini diambil alih oleh anak watan negara Malaysia tercinta ini. Tanpa mengira keselamatan diri, para wira negara meneruskan pemburuan petualang negara. Kerana, misi kedua-dua darurat tetap sama.....memburu dan memusnah PK.

Sepertimana yang kita ketahui, ramai wira yang terkorban. Salah seorangnya ialah arwah ASP Mohd Zabri, komander VAT 69, akibat terpijak jerangkap samar pada 3/9/1975 di kawasan 'Ops Bamboo'.  Pos Brooke termasuk dalam kawasan operasi ini. (Kiri: Isteri arwah). Dalam buku Follows, jerangkap samar yang beliau sebut hanyalah 'panji', itu saja. Tiada cerita tentang anggota beliau tercedera/terbunuh angkara jerangkap samar. Justeru, bolehlah dirumuskan bahawa di era darurat pertama, PK masih jahil tentang penggunaan jerangkap samar. ATM pula terpaksa berhadapan dengan ancaman yang sungguh menggerunkan.
Utusan Malaysia 11/10/13

Masih cerita tentang PDRM. Saya telah di'link' oleh saudara 'Senapang Patah' dengan kisah pengalaman seorang anggota SB yang terlibat dalam operasi menentang anggota 'PARAKU'  di sini.

Berbalik kepada buku di atas, malang sekali sekiranya generasi  akan datang terpaksa membaca buku tulisan orang putih untuk mengetahui sejarah negara sendiri. Saya yakin ramai para veteran yang pengalamannya mungkin lebih menarik daripada Follows. Tapi sayang sekali, tanpa mengetahui alasan sebenonya, mereka begitu 'berat' untuk meluahkannya. Percayalah, banyak penerbit, seperti DBP dan ITBM, mengalu-ngalukan karya yang bergenre patriotisme. Paling tidak pun, emel pada saya supaya disiarkan dalam blog mejar pencen ini. Jika cukup bahan, mungkin saya akan terbitkan koleksi kisah2 itu, insyaAllah.

Jangan salahkan 100% jika golongan remaja kini tidak menghargai keselesaan yang dikecapi kerana mereka kurang mendapat pendedahan. Fikir-fikirkanlah.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

3 ulasan:

  1. Salam tuan,

    Minta tolong tuan tukar font terdahulu supaya senang dibaca. Font tulisan yg tuan gunakan sekarang sukar nak baca. Tq Tuan

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam Anonymous,

    Terima kasih. Harap fond kini tidak lagi menyukarkan anda.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum Tuan,
    Mohon tuan terbitkan artikel di blog tuan menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kerana ramai juga pelajar atau generasi muda yang berminat membaca artikel tuan tetapi tak dinafikan penguasaan bahasa inggeris yang lemah. Itu tak salah, sebab bukankah kita wajib mengutamakan bahasa melayu di negara kita.

    Terma Kasih Tuan.

    BalasPadam