Pages

Isnin, 15 Jun 2020

Tenggelamnya M23-21


Aku Masih Hidup

16 Oktober 1996 tidak mungkin dapat aku lupai sepanjang hayatku. Mengimbau kembali tarikh tersebut, terpahat dalam mindaku sejarah hitam yang berlaku pada aku dan rakan seperjuangan semasa berkhidmat di No 3 Skuadron, PU Butterworth. Pada hari itu, aku, Sjn Ahmad Buyong Mokhtar, membuat giliran sebagai standby crew. Selain aku, lain-lain kru ialah Lt Daud Sulaiman TUDM (kapten pesawat), Lt Zaili Othman TUDM, F/Sjn Tuan Yaacob Yahya dan CPO Hakimi, iaitu seorang pelatih AQM dari TLDM. Manakala anggota tim CAR (Combat Air Rescue) terdiri daripada  Kpl Abu Bakar, LUK (Laskar Udara Kanan) Mohd Ghazali Hanafiah dan LUK Muhammad Saidun Shaari.

Pada kira-kira jam 1800 (6:00 petang), kami yang berada di bilik operasi skuadron mendapat arahan daripada Bilik Operasi Pangkalan untuk membuat penerbangan medevac. Misi membabit mengambil seorang anak kapal ‘Jupiter II’; kapal didaftar di Thailand. Mangsa yang merupakan seorang anggota kejuruteraan kapal tersebut mengalami badannya melecur akibat terkena minyak panas ketika membaiki enjin kapal yang rosak. Kedudukan kapal tersebut berada di lebih kurang 44 batu nautika dari Muka Head, Pulau Pinang. Pesakit dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Setelah mendapat koordinat lokasi kapal, pesawat – M23-21- berlepas pada kira-kira jam 1900. Penerbangan tidak mengalami masalah kerana ketika itu masih wujud sinar sang suria yang mula menyingsing di ufuk barat. Namun, ada sesuatu yang tidak kena! Aku perasan suasana dalam pesawat agak aneh sekali. Aku tertanya-tanya: Mengapa penerbangan kali ini begitu serius sekali? Tiada keceriaan langsung. Tiada kedengaran lawak jenaka dan gelak ketawa seperti kebiasaannya. Mungkin ada satu penanda yang aku tidak dapat tafsirkan!

Sebaik sahaja berlepas, F/Sjn Tuan Yaacob Yahya memberitahu aku tugasan aku apabila tiba di kapal nanti. Aku akan diturunkan melalui kaedah winching untuk menyediakan mangsa untuk dinaikkan.  Beliau berperanan sebagai winchman. Alasan beliau tugasan ini begitu mencabar kerana melibatkan sea winching pada waktu malam pula! Betul juga kata F/Sjn Tuan Yaacob dan aku akur atas arahan tersebut.

Setelah terbang lebih kurang 20 minit, kami tiba di koordinat yang diberikan tetapi M.V. Jupiter II tidak kelihatan. Di mana kapal tersebut? Jam menunjukkan lebih kurang 1920 dan masih belum last light tetapi kesamaran cahaya akan diselimuti oleh gelap malam tidak lama lagi. Gelap makin tiba. Kegelisahan kami tidak lama kerana kami ternampak sebuah kapal lebih kurang dua batu nautika dari koordinat yang diberikan. Itu pasti M.V. Jupiter II kerana kami tidak melihat lain-lain kapal. Maaflah, aku tidak ingat arah mana kedudukan kapal tersebut. Apa yang berlaku ialah kapal tersebut tidak berlabuh dan lantas telah dihanyutkan oleh arus deras kerana enjinnya rosak.

Pilot seterusnya mengendali pesawat ke M.V. Jupiter II. Setelah pasti kapal tersebut ialah M.V. Jupiter II, kapten pesawat membawa Nuri dalam keadaan hovering atas dek kapal pada ketinggian lebih kurang 150 kaki di celah dua tiang kren pada lebih kurang jam 2000. Kami tidak tahu keadaan mangsa. Kami mengandaikan mangsa perlu dinaikkan dengan penggunaan NATO strop. Jadi, aku bawa sekali NATO strop. Aku off intercom sebelum diturunkan dengan bosun chair oleh F/Sjn Tuan Yaacob Yahya. Proses winch-down ini tidak mengalami sebarang masalah dan aku selamat mencecah kakiku ke atas dek kapal.

Sebelum diturunkan, aku tidak tahu mengapa aku membuat keputusan untuk menyimpan wallet dan jam tangan dalam beg bondome. Aku hanya memakai flying suit, flying glove dan Mae West (jaket keselamatan). Hati kecilku mengatakan jika aku terjatuh dalam air semasa dalam proses diturunkan, wallet dan jam tangan tidak basah. Pelik juga kerana aku  diturunkan ke atas dek kapal yang kering, bukannya dalam air! Kalau nak pickup survivors dalam air, ada juga logiknya.

Sebaik sahaja berada atas dek, aku buka QRB (quick release buckle) dan beri isyarat thumb up pada F/Sjn Tuan Yaacob Yahya yang mana aku telah selamat berada di atas dek. Aku lihat pesawat berlepas membuat circuit.  Kapten kapal yang sedia menunggu di atas dek memberitahu aku pesakit berada dalam kabin. Beliau membawa aku masuk ke dalam kabin untuk melihat keadaan pesakit. Pada hemat aku, pesawat memerlukan strecer. Lantas, aku memberitahu kapten kapal supaya pesakit diusung naik ke tengah dek kapal.

Nuri yang berlegar berhampiran kapal, memulakan fasa approach dan berada dalam keadaan hovering apabila kami sudah berada di atas dek. Aku memberi isyarat kepada winchman untuk menurunkan Saleh strecer. Ekoran itu, beliau menyangkutkan strecer kepada kabel hoist dan menurunkannya. Aku yang mendongak memerhatikan proses ini, melihat strecer berpusing-pusing pada lebih kurang 10 kaki-20 kaki dari pesawat akibat angin kuat di waktu itu. Malahan strecer hampir tersangkut pada kabel kren kapal. Namun, kru terus mencuba untuk menurunkan strecer tetapi masih gagal. Tidak lama kemudian, aku melihat pesawat berlepas. Mungkin Ts & Ps (temperatures & pressures) mula naik. Masalah ini sememangnya dihadapi oleh kru Nuri apabila hover agak lama.

Tidak lama kemudian, aku melihat Nuri sekali lagi membuat approach ke arah kapal untuk mengambil aku dan mangsa. Aku lupa berapa kali kru cuba membawa pesawat dalam keadaan hovering – mungkin 4-5 kali – tapi masih gagal kerana angin kuat. Selepas itu, aku melihat Nuri berlepas. Aku tidak tahu ke mana.  Adakah mereka membatalkan misi ini? Jika ya, merasalah aku menikmati belayar makan angin atas kapal walaupun pada waktu malam dan bersantai dengan hanya flying suit. FOC (free of charge). Reda sajalah!

Dalam memikirkan pelayaran percuma ini, tiba-tiba aku terdengar satu dentuman, bukannya letupan, yang agak kuat seperti bunyi satu barang berat jatuh ke dalam air. Mungkin ombak membalun kapal agaknya! Sebaliknya, tanpa aku sedari, kelasi-kelasi kapal yang berada di bahagian belakang kapal (stern) dengan jelasnya melihat Nuri terjunam ke dalam laut. Aku dan kapten kapal tidak melihat kejadian itu kerana terhalang oleh bridge kapal. Beberapa orang kelasi bergegas ke arah kami. Aku dan kapten kapal terpinga-pinga melihat kelibat mereka. Salah seorang daripada mereka menjerit: “Your helicopter goes down....your helicopter goes down.” Beliau ulang beberapa kali ayat itu. Aku tergamam. Betulkah berita yang aku dengar ini?

Kapten kapal bertanya kepada aku: Apa yang berlaku? Aku tidak menjawab soalan kapten kapal. Minda aku pula seperti kilat membuat perkiraan:  bahan api pesawat tidak sampai dua ribu lbs. Ada kemungkinankah pesawat kehabisan bahan api? Untuk menyedapkan hati, aku memberitahunya: “Pesawat itu balik ke pangkalan untuk refuelling sebab circuit yang terakhir itu mengambil masa yang panjang untuk datang mengambil kami.”

Jawapan aku itu membuatkan kapten kapal menarik tanganku ke bridge kapal. Apabila berada dalam bridge, beliau menunjukkan arah pesawat itu jatuh yang jaraknya lebih kurang 3 batu nautika dari kapal. Aku masih tidak percaya atau sengaja tidak mahu percaya. Kapten kapal menunjukkan cahaya lampu kecil warna kekuningan. Lalu aku katakan itu mungkin kapal-kapal lain yang lalu di situ. Beliau akui memang terdapat banyak kapal tetapi cahaya lampu kapal berwarna putih, sebaliknya di celah lampu putih itu terdapat satu lampu berwarna merah nak kekuningan sikit; satu pengalaman baharu bagi aku. Pencerahan oleh kapten kapal memaksa aku menerima hakikat bahawa dentuman yang aku dengar tadi adalah akibat M23-21 terhempas dalam laut! Lantas aku mengaktif SARBE (Search and Rescue Beacon) yang ada pada Mae West dengan menarik pin supaya pesawat jika berada di kawasan berhampiran akan membantu mengesan M23-21.

Seterusnya aku memberitahu kapten kapal yang aku mahu menghubungi Butterworth untuk memaklumkan nahas tersebut. Beliau membawa aku ke bilik radio. Aku masih ingat nama panggilan penerima mesej ialah “Penang Pilot”; mungkin pusat maritim di Pulau Pinang agaknya. Aku tidak tahu. Tak kisahlah, janji aku mesti sampaikan berita ini dengan segera. Aku memberitahu Penang Pilot kejadian ini dan meminta mereka menghubungkan aku kepada TUDM Butterworth. Penang Pilot suruh aku tunggu sementara beliau cuba menghubungi Butterworth. 20 minit kemudian, Penang Pilot menghubungi aku dan seterusnya disambung kepada menara Pulau Pinang (Penang Tower), bukannya TUDM Butterworth. Lagi sekali aku menceritakan apa yang berlaku dan memohon aku disambungkan kepada Butterworth. Respons? Tunggu sebentar. Sementara menunggu, aku keluar dari bilik radio untuk melihat lokasi kemalangan. Semasa tu  Allah sajalah yang tahu bagaimana perasaan aku masa tu!

Lebih kurang 15-20 minit kemudian, kapten kapal memanggil aku memaklumkan ada panggilan dari TUDM Butterworth. Bergegas aku ke bilik radio. Buat kali ketiga aku menceritakan kepada Sjn U Thee Than apa yang berlaku. Selesai sahaja penceritaan aku, beliau memaklumkan bahawa sebuah Nuri yang dikendalikan oleh Mej Noor Khalid TUDM baru berlepas untuk mengambil aku.

Tidak lama kemudian, Nuri berada dalam keadaan hovering untuk menaikkan aku. Proses winching up ini juga satu penyeksaan bagi aku. Mana tidaknya, ketika itu angin agak kencang. Kesannya aku melayang-layang ditiup angin sehingga 2-3 kali hampir dihentak oleh tiang-tiang kren. Aku terpaksa menggunakan kekuatan kakiku untuk mengelak daripada terhentak tiang-tiang tersebut. Selepas aku selamat berada dalam pesawat, kru menuju ke kawasan kemalangan untuk operasi SAR. Bagaimana, pencarian terpaksa dihentikan kerana cuaca buruk dan kami mendarat di Butterworth pada lebih kurang jam 2230.

Sebaik sahaja mendarat, rakan-rakan menghampiri aku untuk mendapat pencerahan apa yang berlaku. Aku tidak mampu melayan mereka. Tidak malu aku katakan bahawa ketika itu aku menangis kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Aku tidak tahu apakah nasib rakan-rakan aku itu. Selamatkah mereka? Masih hidupkah mereka? Adakah yang menyahut panggilan Pencipta-Nya? Jika ya, siapa? Aku hanya kehilangan wallet dan jam tangan.

Persoalan tersebut terjawab pada keesokan hari, 17 Oktober 1996. Lt Daud Sulaiman TUDM dan CPO Hakimi terselamat apabila nelayan menjumpai mereka terapung. Mereka telah dipindahkan ke kapal TLDM dan seterus dibawa ke Pulau Pinang untuk mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang. Ini disusuli dengan penemuan mayat Kpl Abu Bakar dan LUK Mohd Ghazali Hanafiah oleh nelayan pada hari itu juga. Jenazah-jenazah seterusnya dipindahkan ke kapal TLDM sebelum diterbangkan ke Hospital Seberang Jaya. Namun, mayat Lt Zaili Othman TUDM, F/Sjn Tuan Yaakob Yahya and LUK Muhammad Saidun Shaari masih tidak ditemui sehingga kini (2020).

Aku sungguh bersyukur kepada-Nya kerana dipanjangkan umur untuk menceritakan kisah yang begitu menyayat hati. Namun demikian, aku sungguh terkilan dan sedih apabila mendapati aku turut di ‘Allahyarhamkan’ seperti yang terpahat di Muzium TUDM. Ketahuilah...AKU MASIH HIDUP!

Nama aku terpahat dalam senarai antara anggota TUDM 
terkorban di Muzium TUDM

Ya, telah 24 tahun insiden ini berlalu. Pada 16 Oktober setiap tahun, aku tidak lupa menghadiahkan Al-Fatihah diiringi dengan doa agar roh kalian ditempatkan dikalangan orang yang soleh dan beriman.

Satu-satunya souvenir, NATO strop, yang begitu bermakna pada aku

Anggota No 3 Skuadron, PU Butterworth dengan pesawat M23-21 

PW U II Ahmad Buyong Mokhtar (B)

SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan