Pages

Ahad, 24 April 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 3

 Sambungan dari SINI...

Persoalannya, adakah pengganas komunis hanya berdiam diri sahaja melihat kehadiran anggota PPH di selatan Negara Gajah Putih begitu sahaja? Sudah tentu tidak sama sekali. Kehadiran PPH sedikit-sebanyak membatas aktiviti mereka. Jadi tidak menghairankan mereka berusaha untuk melakukan sesuatu untuk menyingkir PPH dari ‘safe salient.

Peluang yang ditunggu-tunggu menjelma semasa Op Gubir II pada April-Mei 1976. Operasi ‘unilateral’ ini menyaksikan pengkhianat negara telah berjaya menembak sebuah helikopter Nuri yang mengakibatkan kesemua 11 anggota keselamatan dalam pesawat terkorban pada 26 April 1976. Mereka menghasut penduduk Betong untuk melancar tunjuk perasaan supaya kerajaan Seni Pramoj, Perdana Menteri Thailand ketika itu, mengusir kehadiran PPH di Betong. Alasannya ialah pasukan keselamatan Malaysia telah menceroboh negara tersebut.  Akibatnya, bermula pada 1 Mei 1976 penduduk Betong telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran. Dan Seni Promoj telah tunduk terhadap desakan penduduk Betong. Bukan itu sahaja, Perjanjian Kerjasama Sempadan 1970 (Agreement between the Government of Malaysia and the Government of Thailand on Border Co-operation) yang ditandatangani pada 7 Mac 1970 di Bangkok dibatalkan!

Apakah signifikan Perjanjian 1970 itu kepada Malaysia?

Dalam Perjanjian Kerjasama Sempadan 1965, hanya PPH  yang dibenar beroperasi di selatan Thailand. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilarang masuk sama sekali. Pihak Thai pegang kukuh kepada klausa Perjanjian tersebut. Ini terbukti apabila PPH diserang hendap pada 17 Jun 1968 yang dijelaskan terdahulu. Sebaik sahaja mendapat berita mengenai kejadian itu, 1 Renjer yang ketika itu membuat giliran bertugas Kroh, telah berkejar ke lokasi untuk melakukan operasi memburu komunis. Tetapi mereka dilarang menyeberang sempadan. Akhirnya mereka hanya membantu membawa mayat-mayat balik ke Kroh.

Bukan itu sahaja. 2 buah pesawat Nuri yang ditugaskan untuk misi ‘casualty evacuation (casevac)’ keesokan hari, 18 Jun 1968, juga tidak dibenar untuk terbang ke Betong untuk mengambil mangsa-mangsa yang cedera. Pesawat yang masing-masing dikendali oleh Sqn Ldr Ben Lee, Ketua No 10 Skuadron, dan Flt Lt Oon L.H. serta kru berlepas dari TUDM Kuantan pada waktu subuh terpaksa mendarat atas jalan raya berhampiran dengan lokasi serang hendap. Mangsa-mangsa telah dibawa dari Betong dengan kenderaan dan menyeberang sempadan untuk diterbangkan ke Pulau Pinang dan Ipoh.

Batasan ini sungguh mengecewakan pasukan keselamatan Malaysia! Setelah berbincang dengan pihak Thai, batasan ini berjaya dikendurkan dengan termeterainya Perjanjian Kerjasama 1970 yang membatalkan Perjanjian Kerjasama 1965. Dalam perjanjian (1970) itu, kedua-dua pihak bersetuju membenar pasukan keselamatan mereka, termasuk pasukan tentera,  menyeberang sempadan untuk jarak tidak lebih dari lima batu (8 km) untuk tempoh waktu 72 jam untuk operasi ‘hot pursuit’. Tetapi operasi itu perlu diiringi oleh pasukan negara terbabit.  Dan PPH masih kekal di Betong.

Malaysia terpaksa akur dengan keputusan negara jiran. Pada 6 Jun 1976, penduduk Betong menyaksi 378 orang anggota Bn 4 PPH dan 21 anggota SB bergerak meninggalkan kem mereka dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang 9 batu untuk balik ke Malaysia. Jarak itu hanya seandai latihan ‘Jalan Lasak’ sahaja. Antara anggota PPH itu terdapat seorang pegawai Meriam, Kapt Mukhtar dan 2 anggotanya dari pasukan 3 Meriam. Ketiga-tiga mereka menyamar sebagai anggota PPH dengan menyarung pakaian seragam dan pangkat PDRM. Beliau berperanan sebagai ‘Forward Observation Officer (FOO)’ yang akan mengarah tembakan meriam jika keadaan memerlukan bantuan bedilan 6 laras meriam yang  larasnya menghala sasaran yang telah didaftarkan.

Mengapa trup perlu diiringi dengan FOO? Kerana laporan perisikan menyatakan pengganas komunis akan menyerang hendap wira-wira itu. Bagi memastikan pergerakan anggota PPH tersebut selamat, pasukan keselamatan telah mengatur gerak 2 buah pesawat pejuang F5E membuat ‘combat air patrol (CAP)’ di ruang angkasa  bersempadan dengan Thai sementara sebuah helikopter gempur Alouette III turut membuat rondaan. 4 buah Nuri pula dalam keadaan siap siaga untuk menerbangkan trup ke lokasi terbabit jika laporan itu menjadi kenyataan.

Rombongan Bn 4 PPH dan SB tiba di Air Panas dengan selamat. Ketibaan mereka, antara lain, disambut oleh Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri), Tun Hanif Omar (Ketua Polis Negara), Brig Jen Dato’ Jaafar bin Onn (Panglima 2 BIM). Bukan sahaja pegawai atasan yang menunggu ketibaan mereka, malahan mereka terharu apabila melihat penduduk berdiri di kiri-kanan jalan serta kain rintang  “ALLAH SELAMATKAN PAHLAWAN2 KAMI YANG DIKASIHI” terpapar merintang jalan.

Wira-wira negara disambut oleh penduduk apabila tiba di Ayer Panas dengan kain rentang “ALLAH SELAMATKAN PAHLAWAN2 KAMI YANG DIKASIHI.” Sumber: Muzium PDRM

       Apakah signifikan pengunduran PPH dari Betong? Ini jelaskan oleh Tan Sri Ghazali Shafie. Beliau          menyuarakan kebimbangan bahawa pengunduran akan menjadikan:

“...bahagian sempadan Malaysia di situ akan terancam kerana pihak musuh akan mempunyai pangkalan yang selamat untuk berlatih, merancang, memulakan tindakan serta berundur ke tempat selamat dengan bermaharajalela.”[1]

Kebimbangan Tan Sri Ghazali dilaporkan di halaman pertama akhbar The Straits Times. 
Sumber: The Straits Times pada 7 Jun 1976 

    Itu kebimbangan pembuat dasar. Bagaimana pula masalah yang akan dialami oleh mereka yang melaksanakan dasar?  Selaku Panglima 2 BIM yang bertanggungjawab dalam operasi di negeri Perak, Brig Jen Dato’ Jaafar memberi amaran bahawa PGK akan mempergiatkan lagi aktiviti mereka di Malaysia. Amaran ini berlandaskan sementelah ketiadaan maklumat perisikan daripada anggota SB sementara pengganas komunis mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat perisikan, tenaga kerja dan bantuan logistik.

Wira-wira negara selamat menyeberang sempadan. 
Sumber: Hamdan Alham dalam Facebook ‘Malaysiaku Dulu Dulu Official’

Tan Sri Muhammad Ghazali bin Shafie, Menteri Dalam Negeri, bertanya sesuatu kepada seorang PPH sebaik melepasi sempadan sambal diperhati oleh Mej Jen Mahmood Sulaiman, GOC (kanan). 
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia 


    Ya...pengganas telah berjaya mengusir anggota pasukan keselamatan dari safe salient mereka di Betong. Ya...mereka selamat di selatan Thai. Kejayaan itu menjadi tajuk rencana akhbar Surin Ruangbej, wartawan The Straits Times pada 10 Jun 1976: “Red Victory – without a shot fired.”[2]

Tetapi Chin Peng lupa peribahasa Melayu: langit tidak selalu cerah.

Bersambung...



[1]           Surin Ruangbej, The Straits Times, Red Victory – without a shot fired, 10 Jun 1976.


Ahad, 17 April 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 2

 Sambungan dari SINI...

 Sepertimana dikatakan, Chin Peng dan gerila komunisnya menjadikan selatan Thailand sebagai markas mereka. Persoalannya, adakah mereka betul-betul selamat daripada ‘gangguan’ pasukan keselamatan di sana? Di luar Malaysia?

Jawapannya tidak sepenuhnya. Sebelum Jun 1976, pasukan keselamatan Malaysia yang terdiri daripada PPH juga berpangkalan di kawasan Betong. Kehadiran mereka di sana selari dengan Perjanjian Kerjasama Sempadan 1965 yang membenarkan PPH berpangkalan di sana. Sudah pasti ada kekangan yang membatas PPH melaksanakan tugas. Mereka perlu mematuhi prosedur yang dipersetujui selari dengan perjanjian tersebut. Antara persetujuan tersebut ialah setiap rondaan merupakan ‘rondaan bersama’, iaitu rondaan terdiri daripada kedua-dua pihak  perlu dipatuhi.

Pada awal 1971, tiba giliran Kompeni ‘B’, 12 PPH diatur gerak ke kawasan Op Chaiyo di selatan Thailand. Salah satu penempatan PPH ialah Kem Lubuk Lasak. Lokasi telah dipertanggungjawabkan kepada No 8 Platun yang diketuai oleh Insp Mohd Rani bin Abdul Rashid dan anggotanya. Rakan sejawatnya dari pasukan TBPP ialah Lt Jet, Ketua Platun 916.  

Pada 11 April 1971, Insp Mohd Rani bersama 14 anggotanya  serta 15 anggota TBPP yang diketuai oleh Lt Jet telah menyerang kem musuh yang anggaran boleh memuatkan 30 orang. Serangan itu berjaya membunuh seorang musuh wanita manakala yang lain bertempiaran meloloskan diri.

Selain musuh terbunuh, penyerang juga telah menemui sepucuk raifal carbine, peluru, bahan makanan, dan banyak dokumen Mao Tze Tung berselerak dalam kem. Komunis bukan sahaja berlaku zalim terhadap manusia, malah haiwan larangan tidak terlepas daripada kezaliman mereka. Antara bahan makanan ditemui ialah kepala harimau yang telah dipotong. Mereka sesungguhnya peminat makanan eksotik.[i] Patutlah 'Pak Belang' yang tergolong dalam kategori haiwan terlindung kian pupus!

Sebelum beredar balik ke pangkalan, tindakan TBPP terhadap mayat dan ‘harta rampasan’ mengejutkan Insp Mohd Rani dan anggotanya. Mana tidaknya. TBPP membakar gambar-gambar khemah tersebut, dokumen-dokumen, bahan makanan termasuk beras, kepala harimau dan beberapa tandan pisang. Dan mayat musuh! Hanya mereka membawa balik raifal dan peluru sahaja sebagai bahan bukti. Mungkin tindakan BPP itu tidak menyalahi prosedur operasi mereka, wallahualam.

Memang jauh beza tindakan pasukan keselamatan mengurus mayat musuh di Malaysia. Kebiasaannya usaha dibuat untuk mengeluarkan mayat musuh sama ada dengan kenderaan atau helikopter Nuri@Burung Besi. Seboleh-bolehnya mayat akan dibawa keluar dalam apa jua keadaan mayat itu. Seorang rakan seperjuangan saya telah diberi misi ‘bodevac (body evacuation)’ membabitkan mayat seorang musuh. Apabila mendarat di LP (landing point), beliau mendapati mayat tersebut sudah busuk. Sudah pasti kru pesawat dan penumpang tidak selesa. Setakat bau peluh itu sudah sebati dengan kru; mereka sendiri punca bau itu. Tetapi ini bau mayat. Namun misi perlu dilaksanakan. Bau busuk tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan misi itu. Justeru, beliau telah mengarah supaya mayat itu diletak dalam net kargo dan diterbangkan melalui kaedah ‘underslung’.

Prosedur membabitkan mayat musuh memang tidak asing kepada Insp  Mohd Rani dan anggota pasukan keselamatan. Pada 5 Mac 1980, semasa mengetuai  beliau yang masa itu berpangkat ASP telah mengetuai 2 kumpulan PPH 69 (VAT 69) bersama ASP Mohd Anuar yang juga mengetuai 2 kumpulan telah berjaya membunuh 8 petualang negara semasa Op Indera 12/Indera Khas di kawasan Hutan Simpan Lentang, Bentong, Pahang. Seperti biasa, tugas membawa keluar kesemua mayat tersebut dipikul oleh Nuri.[ii]

Tetapi penggunaan Nuri ada batasannya. Dalam keadaan tidak dapat dielakkan, seperti cuaca buruk atau lokasi untuk mengambilnya berbahaya kepada Nuri, mayat akan ditanam di lokasi berkenaan sahaja. Itu pun setelah mendapat arahan daripada pihak atasan. Sebelum ditanam, trup dikehendaki mengambil gambar mayat untuk pengecaman kelak. Keadaan ini alami oleh DSP (B) Kamaruddin Hashim, lebih dikenali sebagai Kenny, anggota ‘Pasukan F’ PDRM semasa Op Beruang di awal 1988 di kaki gunung yang dikenali sebagai Banjaran Tiga Bukit, kawasan Gopeng Perak. Mereka telah berjaya membunuh 2 orang pengganas komunis. Mereka telah membersih kawasan untuk membolehkan Nuri mengambil mayat-mayat tersebut. Namun demikian, misi bodevac dibatalkan kerana keadaan persekitaran berbahaya kepada Nuri. Lantas Kenny diarah untuk menanam kedua-dua mayat tersebut setelah mengambil gambar mereka.[iii]

Adakah pengganas komunis mahu berdiam diri melihat kehadiran anggota PPH di selatan Negara Gajah Putih begitu sahaja? Sudah tentu tidak.

Bersambung...

[i]     SAC 1 (B) Dato’ Mohd Rani Abdul Rashid. (2022). Pertempuran Di Hutan. Kuala Lumpur: Patriots Publishing, hlm. 81-82.

[ii]         Ibid., hlm. 181-182.

[iii]    Zahriman Alias. (2011). ‘F Team’: Rahsia Dalam Rahsia Bahagian 1. Shah Alam: Rabbani Integrated, hlm. 262.


Rabu, 13 April 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 1

 28-29 Disember 1955. Dua hari yang begitu perit bagi Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Tuntutan dia, antara lain mahukan kerajaan mengiktiraf PKM, semasa pertemuannya dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri, Persekutuan Tanah Melayu, di Baling ditolak mentah-mentah oleh Tunku. Dia seakan-akan tidak percaya Tunku begitu tegas pendiriannya. Tiada elemen tolak ansur lansung! Sebelum pertemuan itu, dia begitu yakin bahawa dia boleh ‘makan’ Tunku kerana pada tanggapannya Tunku begitu terdesak untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tetapi Chin Peng tidak boleh menyalahkan sesiapa. Dari awal lagi Tunku sudah mengumumkan kepada rakyat bahawa pemergiannya bertemu Chin Peng hanya sekadar untuk menjelas syarat-syarat amnesti dan mendengar maklum balas Chin Peng. Itu sahaja. Mungkin Chin Peng terlepas pandang pengumuman Sir Donald MacGillivray, selaku Pesuruhjaya Tinggi di Majlis Persidangan Persekutuan semasa pembentangan belanjawan pada 30 November 1955. Pengumuman bahawa British ketepikan syarat yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Kini UK sedia memberi kemerdekaan walaupun darurat masih belum berakhir. Malahan Tunku dan delegasinya akan berangkat ke London untuk membincang butir-butir kemerdekaan pada 1 Januari 1956.

Pengumuman itu juga membawa maksud Tunku tidak perlu pergi ke Baling untuk bertemu Chin Peng. Tetapi beliau tetap pergi ke Baling. Hasil pertemuan itu menyerlahkan lagi nawaitu PKM: untuk menumbang negara yang mengamal demokrasi melalui pilihan raya kepada sebuah republik komunis yang berkiblat  negara China.

Pada 31 Ogos 1957, Stadium Merdeka yang baru dibina bergema tatkala Tunku melaung ‘MERDEKA’ sebanyak 7 kali. 3 tahun kemudian, 31 Julai  1960, DYMM Yang Dipertuan Agong pula mengumumkan darurat ditamatkan. Seterusnya penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut mencerminkan kekalahan perjuangan PKM dalam usaha menjadikan negara ini sebagai negara komunis. Tunku tidak beri muka langsung kepada Chin Peng. PKM kalah. Noktah.  Beliau menterjemah kekalahan dengan membina Tugu Negara pada 8 Februari 1966. Tugu yang memaparkan pengganas komunis tumpas di tangan  pasukan keselamatan. Agaknya bagaimanakah perasaan Chin Peng dan gerilanya apabila melihat tugu itu. Mungkin mereka rasa seolah-olah kulit badan mereka ditoreh-toreh dengan pisau yang mereka guna untuk mengelar rakyat, terutama anggota pasukan keselamatan. 

Tugu Negara yang memapar pengganas komunis tumpas di tangan anggota keselamatan. Sumber: Rejimen 501 Askar Wataniah Batalion 1- Kompeni Alpha 

Chin Peng dan gerila-gerilanya yang berundur ke selatan Thailand, tidak berdiam diri begitu sahaja. Objektif mereka tidak pernah pudar sama sekali. Mereka menjadikan tempoh pengunduran itu untuk melaksanakan program pemulihan dan konsolidasi. Dan melatih gerila dalam penggunaan senjata termasuk membuat jerangkap samar dan peperangan gerila. Tidak ketinggalan, teknik menembak pesawat terutama helikopter.  Memetik Abu Samah Mohd Kassim, anggota Jawatankuasa Pusat PKM, “...tugas utama kerja menyusun massa ketika itu ialah menitikberatkan pengukuhan organisasi, mendidik orang ramai, hantu-hantu musuh dan kontra-revolusi.”

Ya, mereka hanya menunggu waktu yang sesuai untuk melancar semula insurgensi. Jangan lupa, semasa pertemuan di Baling, dengan angkuhnya dia telah menyatakan bahawa mereka akan terus menentang kerajaan sehingga darah terakhir.

Persoalannya: Bila?

Soalan itu terjawab dengan perkembangan di Indochina. Chin Peng melihat kemaraan tentera Vietnam Utara ke Vietnam Selatan yang tidak dapat dibendung walaupun melibatkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS). Mungkin dia yakin kebenaran ‘Teori Domino’ yang dijelaskan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, lebih dikenali sebagai ‘Ike’, Presiden AS. Dalam sidang akhbar pada 7 April 1954, Ike menyatakan bahawa kemenangan Vietnam Utara menawan Vietnam Selatan akan mengakibatkan negara-negara jiran akan jatuh seperti barisan domino yang sempurna.  Bersandar kepada teori itu, beliau berpendapat: “…the loss of Indochina, of Burma [Mynmar], of Thailand, of the Peninsula [Semenanjung Malaysia], and Indonesia.” Mudah cerita, Ike percaya kejatuhan Indochina kepada komunis akan disusuli oleh Mynmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia!

Perkembangan di Indochina itu menyuntik semangat Chin Peng. Pada dia, keadaan semasa merupakan masa yang dinanti-nanti untuk melancar semula insurgensi ke atas Semenanjung Malaysia. Lagi pula  gerilanya sudah cukup terlatih serta disokong oleh China.  Tanpa membuat ‘military appreciation’ dan hanya bersandarkan kepada senario di Indochina, Chin Peng mula merancang kebangkitan semula untuk mengambil alih tampuk kuasa Malaysia. Dia lupa keadaan di Indochina jauh berbeza dengan Malaysia. Peperangan di Vietnam melibatkan dua negara, iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan yang disokong oleh pasukan tentera AS. Tentera vs tentera.

Apakah kekuatan gerila PKM? Kurang dari 2000 orang dan meningkat kepada 2000 orang pada Oktober 1970. Chin Peng tolak ketepi kekuatan pasukan tenteranya dan sokongan majoriti rakyat negara tercinta ini. Dia tetap nekad melancar semula ‘peperangan’ untuk mengambil alih pemerintahan negara ini.

Pada 1 Jun 1968, sempena sambutan ulang tahun ke 20 perjuangan ketenteraan mereka, Chin Peng dengan bangganya telah mengeluarkan kenyataan bertajuk “Hold tight the great red banner of armed struggle and valiantly march forward.” Mereka menterjemah pengkhianatan ini kepada rakyat pada 17 Jun 1968. Pada hari itu, mereka telah menyerang hendap konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) yang dalam perjalanan dari Kroh (Pengkalan Hulu) ke pangkalan mereka di Fort Chantrol, Betong, Thailand. Konvoi yang terdiri daripada  35 orang anggota ‘Strike Force’ dari Platun 11, Charlie Kompeni, Bn 1 PPH dan tujuh anggota Platun 11, Charlie Kompeni, Bn 2 PPH untuk menjalankan tugasan Op Sawadee Salam.  Operasi Bersama ini dilancarkan pada pertengahan 1967 dan ia melibatkan masing-masing dua kompeni dari PPH dan Thai Border Police Patrol. Kawasan operasi juga terbatas di kawasan yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis.

Objektif operasi ialah mencari dan memusnah musuh, pangkalan mereka, sistem komunikasi dan  menyekat hubungan antara musuh dengan penduduk tempatan. Penempatan PPH di Thailand selari dengan ‘Perjanjian Kerjasama Terhadap Sempadan Thailand dan Malaysia’ (Thailand and Malaysia On Border Co-operation Agreement) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 13 Mac 1965. Perjanjian ini terbatas kepada penglibatan PPH sahaja. Serang hendap itu telah mengorban dan mencederakan masing-masing 16 anggota PPH.

Kerosakan pada trak MB Unimog (kiri) dan Fordson Thames Trader akibat ditembak musuh pada 17 Jun 1968. Sumber: Muzium PDRM  

Jika Chin Peng ingatkan kerajaan tidak berpeluk tubuh begitu sahaja, dia silap besar. Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri (1970-1976), telah memperkenal konsep Keselamatan dan Pembangunan Negara (KESBAN) pada 1971. Memetik Tun Abdul Razak konsep KESBAN membabit:

“Tugas utama Angkatan Tentera ialah berjuang menentang komunis, tetapi, pada masa yang sama mereka hendaklah juga membantu melaksanakan rancangan pembangunan kerajaan – ini adalah sebahagian daripada perjuangan menentang komunis. Pertahanan dan pembangunan adalah saling berganding bahu.”

 Antara projek pembangunan, kerajaan telah mewujudkan Felda dan Felcra di kawasan sempadan dan kawasan ‘hitam’. Di samping itu, kerajaan telah membina empangan Temenggor dan lebuh raya Timur-Barat. Pembinaan infrastruktur yang mampu melengah/menyekat pergerakan petualang negara. Jadi tidak menghairankan bila mereka cuba menghalang pembinaan lebuh raya Timur-Barat.

23 Mei 1974 jam 8:00 malam. Keheningan malam di Banding dikejutkan: “Bang...Bang...Bang...Boom...Boom...Boom.” Lebih kurang 100 petualang negara telah menyerang para pekerja yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di Banding. Syukur alhamdulillah tiada nyawa terkorban dikalangan para pekerja. Beraya sakan mereka. Mana tidaknya, pengkhianatan mereka telah memusnah sejumlah 63 peralatan berat seperti jentolak. Akibatnya rakyat yang mengira hari untuk mengguna terpaksa menunggu 2 lagi lebuh raya yang akan memendekkan perjalanan dari barat ke timur Semenanjung daripada jadual asal. Sebelum beredar, mereka meninggalkan notis amaran kepada para pekerja. 

Kiri: Jentolak kepunyaan JKR musnah diserang petualang negara di sebelah Grik, Perak. Sumber: Kanan: Notis amaran oleh musuh negara sebelum beredar setelah memusnahkan peralatan pembinaan lebuh raya di bahagian Grik. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (Bersara)

              PEMBERITAHUAN

Larang Pembinaan Lebuh Raya Timor – Barat!

Larang pembinaan empangan Sungai Temengor!

Jalan dan empangan dibina hanya untuk mengembangkan modal birokrat, langsung tidak berfaedah pada rakyat!

Demi membinasakan ranchangan pembinaan musuh, jadi semestinya tentera kita hendak mengambil berbagai macham tindakan militer!

Semua sharikat perusahaan bersangkutan yang memborong projek tersebut diharapkan segera berurus dengan pehak berwajib reaksioner untuk mengadakan kontrak pembinaan yang bersangkutan, mengundurkan diri dari kawasan ini!

Saudara2! Hangat sokong-lah tindakan adil tentera kita!

Saudara2! Minta kalian jangan membina jalan dan empangan untuk musuh, jangan datang bekerja ke-sini, agar terelak dari bahaya!

Kawasan bahaya, minta jangan masuk!

                                                                           Markas Komandan Pasukan Penggempor

                                         Tentera Pembebasan Nasional Malaya

 

Kebencian pengganas komunis ke atas pembinaan lebuh raya Timur-Barat tidak berakhir pada malam itu sahaja. Mereka tetap nekad untuk menggagalkan pembinaan infrastruktur tersebut. Hasrat itu dibuktikan pada 27 Ogos 1974. Pada hari itu, satu konvoi yang membawa pekerja JKR yang diiringi oleh pasukan keselamatan dalam perjalanan dari Kem Pangkalan di Gerik ke Banding telah diserang hendap. Serangan itu telah mengorbankan tiga orang pekerja JKR. Pada pengganas komunis, tiada sesiapa yang terkecuali daripada kekejaman mereka dalam usaha mencapai matlamat ulung mereka. Orang awam bukan pasport daripada ancaman petualang negara. Pada komunis, matlamat menghalalkan cara. Janji, matlamat mereka tercapai!

Tugu dibina oleh JKR bagi memperingati pengorbanan mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya Timur-Barat. Sumber: diarisiketambatu.blogspot.com 

Kegiatan PKM tidak terbatas di hutan belantara sahaja. Mereka turut menjadikan bandar-bandar sebagai medan ‘peperangan’ bagi menonjolkan keganasan mereka; ‘urban warfare.’ Dan mereka tidak melepas peluang untuk terlibat dalam tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sehingga kerajaan terpaksa mengisytihar darurat di seluruh negara. Selain itu, mereka berusaha untuk menghapus anggota keselamatan, terutama anggota PDRM. ‘Pesta membunuh’ bermula apabila DSP Wong Lim Hon di Kuala Lumpur pada 18 Januari 1973 dan Sjn Chung Kek Onn di Sungai Siput pada 22 Oktober 1973.

Sasaran mereka tidak terbatas terhadap anggota bawahan sahaja. Pada 7 Jun 1974, negara digemparkan apabila Tan Sri Abdul Rahman Hashim,  Ketua Polis Negara (KPN), telah ditembak mati manakala pemandunya, Sjn Omar Yunus cedera parah oleh dua pengkhianat negara yang menaiki motosikal semasa keretanya melepasi Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Bukit Aman.

Pada 31 Mac 1974, pengkhianat negara telah menyerang pangkalan TUDM Kuala Lumpur dengan mortar. Akibat pengeboman itu, sebuah pesawat pengangkut DHC Caribou telah mengalami kerosakan.

Kokpit sebuah pesawat DHC Caribou kepunyaan No 1 Skuadron, TUDM Kuala Lumpur mengalami kerosakan akibat terkena bedilan mortar oleh musuh negara pada 31 Mac 1974. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (Bersara)

Morel PKM membuak-buak apabila Saigon (Ho Chin Minh City), ibu negara Vietnam Selatan, jatuh ke tangan pasukan tentera Vietnam Utara pada 30 April 1975. PKM begitu yakin kejatuhan kepingan domino pasti berterusan sehingga mereka mengisytihar  tahun 1975 itu sebagai ‘Year of Combat.’

Selari dengan pengisytiharan tersebut, petualang negara menjadi-jadi keganasan mereka. Lebih agresif. Di hutan belantara yang merupakan padang permainan mereka, telah berlaku sejumlah 28 pertembungan antara mereka dengan pasukan keselamatan. Akibat pertembungan dan juga jerangkap samar, pasukan keselamatan telah mengalami 31 anggota terkorban manakala 82 cedera. Pengkhianat negara hanya mengalami 7 gerila terbunuh. Antaranya mereka telah menyerang hendap juruukur dari JUPEM dan Jabatan Ukur Thailand yang diiringi oleh anggota PPH di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Sintok pada 18 Jun 1975. Serangan ini telah mengorbankan 8 anggota PPH, 3 anggota JUPEM dan 4 Thai Border Police Patrol.

Itu di hutan. Bagaimana pula di bandar-bandar? Mereka terus membuat kacau-bilau bagi menggugat keselamatan negara. Kegiatan mereka di sepanjang tahun 1975 merangkumi insiden-insiden berikut:

7 Januari: Datuk  Khoo Chong Kong mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Perak. Pengkhianat negara ‘menyambut’ beliau dengan pengibaran bendera dan banting di jalan Gopeng, Perak.

Februari: Sabotaj trek keretapi di Rimba Mas, Perlis sehingga menyebabkan keretapi barang tergelincir.

31 Mac: Cubaan untuk membunuh Detektif Chow Yoon Leng di Sungai Petani.

April: Risalah komunis ditemui di kawasan sebuah sekolah Cina di Slim River, Perak. Manakala di Pahang, mereka telah menembak mati Konst Ismail Sharif sementara Mohamed Alias bin Singgah, anggota Unit Keselamatan (Unit Security) ditembak mati semasa menaiki motosikal di Sungai Pertang. Dua anggota PPH ditembak mati di kedai kopi di Sungai Kuan.

Mei: Pada 17 Mei, DPC (SB) Leong Ming Kong telah ditembak mati di Langkap, Teluk Intan. Tiga hari kemudian, 20 Mei, Sjn (Detektif) Tong Weng Poh menerima nasib yang sama. Mendiang ditembak mati di Kuala Lumpur.

Pada 9 Mei, pengganas komunis telah meletupkan trek keretapi di Bukit Mertajam.

20 Jun: Detektif (SB) Ong Teng Chin gugur ditembak di Ipoh.

Julai: Pada 26 Julai komunis telah tersalah sasaran. Mereka tersilap tembak mati pemilik kilang besi di Kuala Lumpur.

Di Negeri Sembilan pula, Konst Lim Hee Way turut menerima nasib yang sama.

Ogos: Pada 15 Ogos, Mej Mohd Azam bin Hanif Ghows yang ditumpang kepada Majlis Keselamatan Negeri Perak, dikejut apabila musuh melancar 4 butir roket meletup di kawasan rumahnya dan jirannya, seorang majistret, di simpang jalan Tambun/Ashby. Rumah mereka berhampiran Markas 2 BIM. Mengikut laporan perisikan, sasaran sebenar musuh ialah bengkel trak dan pam bahan api tentera.

Pada 26 Ogos 1975, musuh membuktikan kebencian terhadap Tugu Nasional yang menggambar kekalahan mereka. Kebencian meluap-luap itu sama sekali tidak pernah pudar.  Jadi tidak menghairankan apabila mereka meletupkan tugu tersebut.

3 September: Giliran Markas Briged Tengah PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pula menjadi sasaran. Petualang negara telah melontar grenad tangan yang mengakibatkan 2 anggota terkorban manakala 51 tercedera.

13 November: Kemuncak pesta membunuh oleh musuh berakhir apabila Datuk  Khoo Chong Kong (Tan Sri), Ketua Polis Perak yang mengakibatkan mendiang cedera parah dan meninggal dunia keesokan hari, 14 November 1975. Sementara pemandunya, Konst Yeong Peng Cheong, terkorban di Ipoh. Namun mendiang sempat  membalas tembakan yang mencedera seorang pembunuh.

    Selain itu, petualang negara juga telah cuba membakar 9 pos polis di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pegawai tinggi PDRM dibunuh oleh petualang negara. Kiri: Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim, IGP terkorban pada 7 Jun 1974. Kanan: Mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong, Ketua Polis Perak ditembak pada 13 November 1975 dan meninggal dunia keesokan hari, 14 November 1975. Sumber: Google

Kerosakan pada Tugu Nasional akibat diletup oleh petualang negara pada 26 Ogos 1975. Kiri: Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri melihat kerosakan tugu itu. Kanan: Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri turut memeriksa kerosakan kepada tugu itu. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (Bersara)


  
Pengganas komunis memang benci ‘musuh’ utama mereka iaitu pasukan keselamatan yang terdiri daripada ATM dan PDRM. Mana tidaknya. Mereka merupakan bahan buruan. Justeru, tidak menghairankan ketua kedua-dua agensi tersebut termasuk dalam senarai untuk dibunuh. Ini terbukti apabila Tan Sri Abdul Rahman Hashim,  KPN, berjaya dibunuh pada 7 Jun 1974. Panglima Angkatan Tentera (PAT) turut tersenarai yang ketika disandang oleh Jen Tan Sri Ibrahim bin Ismail (Tun). Bagi tujuan itu, mereka telah cuba 3 kali untuk membunuh beliau tetapi gagal.

Allahyarham Jen Tun Ibrahim bin Ismail. Sumber: 9gag.com

Cubaan pertama semasa PAT dalam perjalanan balik ke kediaman rasminya di Bukit Petaling dari KEMENTAH, Jalan Padang Tembak. Kebetulan pada waktu itu sebuah kenderaan Land Rover yang membawa anggota Polis Tentera berada di hadapan kenderaan PAT. Musuh ingat Polis Tentera itu ditugaskan untuk mengiringi PAT. Misi terpaksa ditunda.

Cubaan kedua dirancang apabila kenderaan PAT melalui Jalan Imbi semasa beliau dalam perjalanan balik ke Bukit Petaling. Sipembunuh sudah sedia, hanya menunggu ketibaan sasaran. Tiba-tiba pemandu PAT memotong sebuah lori yang kedudukannya berada dalam zon membunuh.’ Selagi lagi sipembunuh gagal melaksanakan tugasnya.

Misi tetap diteruskan. Mereka begitu nekad untuk menghapus PAT! Untuk misi kali ketiga, pilihan lokasi sipembunuh ialah Jalan Shaw di hadapan Stesen Bomba. Waktunya sama seperti sebelum itu: semasa dalam perjalanan balik ke kediaman rasminya. Apabila kenderaan beliau menghampiri lokasi terbabit, sipembunuh ternampak dua orang Cina berada di hadapan Balai Bomba. ‘Oh...Oh...mungkin detektif agaknya.’ Menempah mautlah jika meneruskan misi. Suka atau sebaliknya, dia terpaksa membatalkan misi dan terus beredar. PAT selamat tiba di kediamannya. Betul kata-kata: ‘ajal maut di tangan Allah’, manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Walaupun perancangan difikirkan terbaik, tetapi jika belum tiba masa, perancangan hanya tinggal sekadar perancangan sahaja, wallahualam.

Berbalik kepada pembunuhan Datuk Khoo Chong Kong, mendiang diganti oleh Dato Seri Yuen Yuet Leng (kiri. Tan Sri. Sumber: Berita Harian) pada Januari 1976. Ya, pengkhianat negara tidak ketinggalan memberi ‘nasihat’ kepada beliau di atas lantikannya sebagai Ketua Polis Perak melalui surat yang dihantar oleh ‘People’s Mobile Assassination Unit, Kinta District, Ipoh’ bertarikh Mac 1976. Nasihat mereka:

‘Komrad Yuen, janganlah kamu fikir bahawa kamu selamat berada dalam kereta kalis peluru. Ada masanya kamu akan berjalan di jalan raya. Surat ini sebagai tanda hormat terhadap kamu dan diharap ia memberi faedah kepada kamu. Harap dengar nasihat kami.’ (Comrade Yuen, please do not think that you would be safe by sitting in a bullet proof car. Sometimes you have to walk on the road. This letter is given to you for we respect and hope it would benefit you. Please take our advice.)

Mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng. Sumber: Berita Harian 

Ingat mereka boleh menggertak Dato Seri Yuet Y.L.? Sudah pasti tidak. Beliau tetap melaksana tugasan yang dipertanggungjawab dengan penuh dedikasi. Ini membuat pengganas komunis berang sehingga merancang untuk membunuhnya. Pada 4 Januari 1978, bom 10 lb TNT telah ditemui dalam pembetung (culvert) di laluan ke kediaman rasminya di Jalan Tambun. Nasibnya baik. Malam sebelum itu, beliau tidak keluar ke mana-mana kerana makan malam bersama keluarganya dan seorang saudara sebelum anak perempuannya balik ke UK. Jika beliau keluar malam sebelum itu, kereta rasmi Volvo dinaikinya akan mengaktif bom itu.

Sepertimana dikatakan, Chin Peng dan gerila komunisnya menjadikan selatan Thailand sebagai markas mereka. Persoalannya, adakah mereka betul-betul selamat daripada ‘gangguan’ pasukan keselamatan di sana? Di luar Malaysia?

Bersambung...

Rujukan:

1.  Abu Samah Mohd Kassim. (1996). Sejarah Dan Perjuangan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher.

2.  Office of the Historian. Editorial Note.   Foreign Relations of the United States, 1952–1954, Indochina, Volume XIII, Part 1. Lihat https://history.state.gov/historicaldocuments/frus1952-54v13p1/d716.

3.  Roslan Muhamad & Ishak Saat. (2021). Pasukan F PDRM vs Komunis di Malaysia 1971-1990. Tanjung Malim: Penerbit UPSI, hlm. 72. 

4.  Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2020). Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan. Nor Ibrahim bin Sulaiman: Jitra.

5.  Ajaya Kumar, The Concept of Defence and Development in MOOTW – The Malaysian Experience. Conference: 14th International Seminar on Military Science, National Defence Academy, Japan, July 2009. Lihat ttps://www.researchgate.net/publication/282644843_The_Concept_of_KESBAN_in_Military_Operations_Other_then_War_MOOTW.

6.  Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Army Headquarters.

7.  Kementerian Kerja Raya. Tugu Peringatan dibina bagi menghargai pekerja Jalan Raya Timur-Barat (JRTB). Lihat https://www.kkr.gov.my/ms/node/35431.

8.  Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows. (2014). Reminiscences of Insurrection. Kuala Lumpur: Wangsa Zam.

9.  Ahmad Abd Hamid, mStar, Pengorbanan Dalam Kenangan.., 27 Januari 2016. Lihat https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/01/27/lebuhraya-timur-barat dan Col Sharom bin Hashim (edit.) (2001). The Malaysian Army’s Battle Against Communist Insurgency in Peninsular Malaysia 1968-1989. Kuala Lumpur:  Army Headquarters.

10.  Tunku Abdul Rahman. (2007). 13 Mei: Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, hlm. 83; Yuen Yuet Leng. (2008). Nation Before Self. Kuala Lumpur: Dato Seri Yuen Yuet Leng, hlm. 158.

11.  Charles Ramendran, theSundaily, Hero cops gunned down, 23 Oktober 2020. Lihat https: //www.thesundaily.my/local/hero-cops-gunned-down-KE4767914.

12.  Amelia Yuliana Abd Wahab, Wan Hashim Wan Teh, and Abdul Rahman Razak Shaik, Demystifying the Rise and Downfall of Communism in Malaysia (1968-1989). International Journal of Culture and History. Vol. 2, No. 4, December 2016. Lihat http://www.ijch.net/vol2/065-JH015.pdf

13.  Royal Malaysia Police. Annual Report 1973-1975.

14.  Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows. (2014). Reminiscences of Insurrection. Kuala Lumpur: Wangsa Zam.

15.   Royal Malaysia Police. Annual Report 1973-1975.

16.    Aloysius Chin. (1995). The Communist Party of Malaya: The Inside Story. Kuala Lumpur: vinpress, hlm. 237.