28-29 Disember 1955. Dua hari yang begitu perit bagi Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Tuntutan dia, antara lain mahukan kerajaan mengiktiraf PKM, semasa pertemuannya dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri, Persekutuan Tanah Melayu, di Baling ditolak mentah-mentah oleh Tunku. Dia seakan-akan tidak percaya Tunku begitu tegas pendiriannya. Tiada elemen tolak ansur lansung! Sebelum pertemuan itu, dia begitu yakin bahawa dia boleh ‘makan’ Tunku kerana pada tanggapannya Tunku begitu terdesak untuk mendapatkan kemerdekaan.
Tetapi
Chin Peng tidak boleh menyalahkan sesiapa. Dari awal lagi Tunku sudah mengumumkan
kepada rakyat bahawa pemergiannya bertemu Chin Peng hanya sekadar untuk
menjelas syarat-syarat amnesti dan mendengar maklum balas Chin Peng. Itu
sahaja. Mungkin Chin Peng terlepas pandang pengumuman Sir Donald MacGillivray,
selaku Pesuruhjaya Tinggi di Majlis Persidangan Persekutuan semasa pembentangan
belanjawan pada 30 November 1955. Pengumuman bahawa British ketepikan syarat
yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Kini UK sedia
memberi kemerdekaan walaupun darurat masih belum berakhir. Malahan Tunku
dan delegasinya akan berangkat ke London untuk membincang butir-butir kemerdekaan
pada 1 Januari 1956.
Pengumuman
itu juga membawa maksud Tunku tidak perlu pergi ke Baling untuk bertemu Chin Peng. Tetapi beliau tetap pergi ke Baling. Hasil
pertemuan itu menyerlahkan lagi nawaitu PKM: untuk menumbang negara yang
mengamal demokrasi melalui pilihan raya kepada sebuah republik komunis yang berkiblat
negara China.
Pada
31 Ogos 1957, Stadium Merdeka yang baru dibina bergema tatkala Tunku melaung ‘MERDEKA’
sebanyak 7 kali. 3 tahun kemudian, 31 Julai
1960, DYMM Yang Dipertuan Agong pula mengumumkan darurat ditamatkan. Seterusnya
penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Peristiwa-peristiwa
bersejarah tersebut mencerminkan kekalahan perjuangan PKM dalam usaha
menjadikan negara ini sebagai negara komunis. Tunku tidak beri muka langsung kepada
Chin Peng. PKM kalah. Noktah.
Beliau menterjemah kekalahan dengan membina Tugu Negara pada 8 Februari
1966. Tugu yang memaparkan pengganas komunis tumpas di tangan pasukan keselamatan. Agaknya bagaimanakah perasaan
Chin Peng dan gerilanya apabila melihat tugu itu. Mungkin mereka rasa
seolah-olah kulit badan mereka ditoreh-toreh dengan pisau yang mereka guna
untuk mengelar rakyat, terutama anggota pasukan keselamatan.
Chin
Peng dan gerila-gerilanya yang berundur ke selatan Thailand, tidak berdiam diri
begitu sahaja. Objektif mereka tidak pernah pudar sama sekali. Mereka
menjadikan tempoh pengunduran itu untuk melaksanakan program pemulihan dan
konsolidasi. Dan melatih gerila dalam penggunaan senjata termasuk membuat
jerangkap samar dan peperangan gerila. Tidak ketinggalan, teknik menembak
pesawat terutama helikopter. Memetik Abu
Samah Mohd Kassim, anggota Jawatankuasa Pusat PKM, “...tugas utama kerja
menyusun massa ketika itu ialah menitikberatkan pengukuhan organisasi, mendidik
orang ramai, hantu-hantu musuh dan kontra-revolusi.”
Ya,
mereka hanya menunggu waktu yang sesuai untuk melancar semula insurgensi.
Jangan lupa, semasa pertemuan di Baling, dengan angkuhnya dia telah menyatakan
bahawa mereka akan terus menentang kerajaan sehingga darah terakhir.
Persoalannya:
Bila?
Soalan
itu terjawab dengan perkembangan di Indochina. Chin Peng melihat kemaraan
tentera Vietnam Utara ke Vietnam Selatan yang tidak dapat dibendung walaupun melibatkan
pasukan tentera Amerika Syarikat (AS). Mungkin dia yakin kebenaran ‘Teori
Domino’ yang dijelaskan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, lebih dikenali sebagai
‘Ike’, Presiden AS. Dalam sidang akhbar pada 7 April 1954, Ike menyatakan bahawa
kemenangan Vietnam Utara menawan Vietnam Selatan akan mengakibatkan
negara-negara jiran akan jatuh seperti barisan domino yang sempurna. Bersandar kepada teori itu, beliau
berpendapat: “…the loss of
Indochina, of Burma [Mynmar], of Thailand, of the Peninsula [Semenanjung Malaysia],
and Indonesia.” Mudah cerita, Ike percaya
kejatuhan Indochina kepada komunis akan disusuli oleh Mynmar, Thailand, Malaysia dan
Indonesia!
Perkembangan
di Indochina itu menyuntik semangat Chin Peng. Pada dia, keadaan semasa
merupakan masa yang dinanti-nanti untuk melancar semula insurgensi ke atas
Semenanjung Malaysia. Lagi pula gerilanya
sudah cukup terlatih serta disokong oleh China. Tanpa membuat ‘military appreciation’
dan hanya bersandarkan kepada senario di Indochina, Chin Peng mula merancang
kebangkitan semula untuk mengambil alih tampuk kuasa Malaysia. Dia lupa keadaan
di Indochina jauh berbeza dengan Malaysia. Peperangan di Vietnam melibatkan dua
negara, iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan yang disokong oleh pasukan
tentera AS. Tentera vs tentera.
Apakah
kekuatan gerila PKM? Kurang dari 2000 orang dan meningkat kepada 2000 orang
pada Oktober 1970. Chin
Peng tolak ketepi kekuatan pasukan tenteranya dan sokongan majoriti rakyat
negara tercinta ini. Dia tetap nekad melancar semula ‘peperangan’ untuk
mengambil alih pemerintahan negara ini.
Pada 1 Jun 1968, sempena sambutan ulang tahun ke 20 perjuangan ketenteraan mereka, Chin Peng dengan bangganya telah mengeluarkan kenyataan bertajuk “Hold tight the great red banner of armed struggle and valiantly march forward.” Mereka menterjemah pengkhianatan ini kepada rakyat pada 17 Jun 1968. Pada hari itu, mereka telah menyerang hendap konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) yang dalam perjalanan dari Kroh (Pengkalan Hulu) ke pangkalan mereka di Fort Chantrol, Betong, Thailand. Konvoi yang terdiri daripada 35 orang anggota ‘Strike Force’ dari Platun 11, Charlie Kompeni, Bn 1 PPH dan tujuh anggota Platun 11, Charlie Kompeni, Bn 2 PPH untuk menjalankan tugasan Op Sawadee Salam. Operasi Bersama ini dilancarkan pada pertengahan 1967 dan ia melibatkan masing-masing dua kompeni dari PPH dan Thai Border Police Patrol. Kawasan operasi juga terbatas di kawasan yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis.
Objektif
operasi ialah mencari dan memusnah musuh, pangkalan mereka, sistem komunikasi
dan menyekat hubungan antara musuh
dengan penduduk tempatan. Penempatan PPH di Thailand selari dengan ‘Perjanjian
Kerjasama Terhadap Sempadan Thailand dan Malaysia’ (Thailand and Malaysia On Border Co-operation Agreement)
yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 13 Mac 1965. Perjanjian ini terbatas
kepada penglibatan PPH sahaja. Serang hendap itu telah mengorban dan
mencederakan masing-masing 16 anggota PPH.
Jika
Chin Peng ingatkan kerajaan tidak berpeluk tubuh begitu sahaja, dia silap besar.
Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri (1970-1976), telah
memperkenal konsep Keselamatan dan Pembangunan Negara (KESBAN) pada 1971. Memetik Tun Abdul Razak
konsep KESBAN membabit:
“Tugas utama
Angkatan Tentera ialah berjuang menentang komunis, tetapi, pada masa yang sama
mereka hendaklah juga membantu melaksanakan rancangan pembangunan kerajaan –
ini adalah sebahagian daripada perjuangan menentang komunis. Pertahanan dan
pembangunan adalah saling berganding bahu.”
Antara projek pembangunan, kerajaan telah mewujudkan Felda dan Felcra di kawasan sempadan dan kawasan ‘hitam’. Di samping itu, kerajaan telah membina empangan Temenggor dan lebuh raya Timur-Barat. Pembinaan infrastruktur yang mampu melengah/menyekat pergerakan petualang negara. Jadi tidak menghairankan bila mereka cuba menghalang pembinaan lebuh raya Timur-Barat.
23 Mei 1974 jam 8:00 malam. Keheningan malam di Banding dikejutkan: “Bang...Bang...Bang...Boom...Boom...Boom.” Lebih kurang 100 petualang negara telah menyerang para pekerja yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di Banding. Syukur alhamdulillah tiada nyawa terkorban dikalangan para pekerja. Beraya sakan mereka. Mana tidaknya, pengkhianatan mereka telah memusnah sejumlah 63 peralatan berat seperti jentolak. Akibatnya rakyat yang mengira hari untuk mengguna terpaksa menunggu 2 lagi lebuh raya yang akan memendekkan perjalanan dari barat ke timur Semenanjung daripada jadual asal. Sebelum beredar, mereka meninggalkan notis amaran kepada para pekerja.
Larang
Pembinaan Lebuh Raya Timor – Barat!
Larang
pembinaan empangan Sungai Temengor!
Jalan dan
empangan dibina hanya untuk mengembangkan modal birokrat, langsung tidak
berfaedah pada rakyat!
Demi
membinasakan ranchangan pembinaan musuh, jadi semestinya tentera kita hendak
mengambil berbagai macham tindakan militer!
Semua
sharikat perusahaan bersangkutan yang memborong projek tersebut diharapkan
segera berurus dengan pehak berwajib reaksioner untuk mengadakan kontrak
pembinaan yang bersangkutan, mengundurkan diri dari kawasan ini!
Saudara2!
Hangat sokong-lah tindakan adil tentera kita!
Saudara2!
Minta kalian jangan membina jalan dan empangan untuk musuh, jangan datang
bekerja ke-sini, agar terelak dari bahaya!
Kawasan
bahaya, minta jangan masuk!
Markas
Komandan Pasukan Penggempor
Tentera
Pembebasan Nasional Malaya
Kebencian
pengganas komunis ke atas pembinaan lebuh raya Timur-Barat tidak berakhir pada malam
itu sahaja. Mereka tetap nekad untuk menggagalkan pembinaan infrastruktur
tersebut. Hasrat itu dibuktikan pada 27 Ogos 1974. Pada hari itu, satu
konvoi yang membawa pekerja JKR yang diiringi oleh pasukan keselamatan dalam
perjalanan dari Kem Pangkalan di Gerik ke Banding telah diserang hendap.
Serangan itu telah mengorbankan tiga orang pekerja JKR. Pada pengganas komunis,
tiada sesiapa yang terkecuali daripada kekejaman mereka dalam usaha mencapai
matlamat ulung mereka. Orang awam bukan pasport daripada ancaman petualang
negara. Pada komunis, matlamat menghalalkan cara. Janji, matlamat mereka
tercapai!
Kegiatan PKM tidak terbatas di hutan belantara sahaja. Mereka turut menjadikan bandar-bandar sebagai medan ‘peperangan’ bagi menonjolkan keganasan mereka; ‘urban warfare.’ Dan mereka tidak melepas peluang untuk terlibat dalam tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sehingga kerajaan terpaksa mengisytihar darurat di seluruh negara. Selain itu, mereka berusaha untuk menghapus anggota keselamatan, terutama anggota PDRM. ‘Pesta membunuh’ bermula apabila DSP Wong Lim Hon di Kuala Lumpur pada 18 Januari 1973 dan Sjn Chung Kek Onn di Sungai Siput pada 22 Oktober 1973.
Sasaran
mereka tidak terbatas terhadap anggota bawahan sahaja. Pada 7 Jun 1974, negara
digemparkan apabila Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara (KPN), telah ditembak mati
manakala pemandunya, Sjn Omar Yunus cedera parah oleh dua pengkhianat negara
yang menaiki motosikal semasa keretanya melepasi Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur
dalam perjalanan ke Bukit Aman.
Pada
31 Mac 1974, pengkhianat negara telah menyerang pangkalan TUDM Kuala Lumpur
dengan mortar. Akibat pengeboman itu, sebuah pesawat pengangkut DHC Caribou
telah mengalami kerosakan.
Morel PKM membuak-buak apabila Saigon (Ho Chin Minh City), ibu negara Vietnam Selatan, jatuh ke tangan pasukan tentera Vietnam Utara pada 30 April 1975. PKM begitu yakin kejatuhan kepingan domino pasti berterusan sehingga mereka mengisytihar tahun 1975 itu sebagai ‘Year of Combat.’
Selari
dengan pengisytiharan tersebut, petualang negara menjadi-jadi keganasan mereka.
Lebih agresif. Di hutan belantara yang merupakan padang permainan mereka, telah
berlaku sejumlah 28 pertembungan antara mereka dengan pasukan keselamatan.
Akibat pertembungan dan juga jerangkap samar, pasukan keselamatan telah
mengalami 31 anggota terkorban manakala 82 cedera. Pengkhianat negara hanya
mengalami 7 gerila terbunuh. Antaranya mereka telah menyerang hendap juruukur
dari JUPEM dan Jabatan Ukur Thailand yang diiringi oleh anggota PPH di sempadan
Malaysia-Thailand berhampiran Sintok pada 18 Jun 1975. Serangan
ini telah mengorbankan 8 anggota PPH, 3 anggota JUPEM dan 4 Thai Border Police Patrol.
Itu
di hutan. Bagaimana pula di bandar-bandar? Mereka terus membuat kacau-bilau
bagi menggugat keselamatan negara. Kegiatan mereka di sepanjang tahun 1975
merangkumi insiden-insiden berikut:
7 Januari: Datuk Khoo Chong Kong mengambil alih jawatan
sebagai Ketua Polis Perak. Pengkhianat negara ‘menyambut’ beliau dengan
pengibaran bendera dan banting di jalan Gopeng, Perak.
Februari: Sabotaj
trek keretapi di Rimba Mas, Perlis sehingga menyebabkan keretapi barang
tergelincir.
31 Mac: Cubaan
untuk membunuh Detektif Chow Yoon Leng di Sungai Petani.
April: Risalah komunis
ditemui di kawasan sebuah sekolah Cina di Slim River, Perak. Manakala di
Pahang, mereka telah menembak mati Konst Ismail Sharif sementara Mohamed Alias
bin Singgah, anggota Unit Keselamatan (Unit Security) ditembak
mati semasa menaiki motosikal di Sungai Pertang. Dua anggota PPH ditembak mati
di kedai kopi di Sungai Kuan.
Mei: Pada 17
Mei, DPC (SB) Leong Ming Kong telah ditembak mati di Langkap, Teluk Intan. Tiga
hari kemudian, 20 Mei, Sjn (Detektif) Tong Weng Poh menerima nasib yang sama.
Mendiang ditembak mati di Kuala Lumpur.
Pada 9 Mei,
pengganas komunis telah meletupkan trek keretapi di Bukit Mertajam.
20 Jun: Detektif
(SB) Ong Teng Chin gugur ditembak di Ipoh.
Julai: Pada 26
Julai komunis telah tersalah sasaran. Mereka tersilap tembak mati pemilik kilang
besi di Kuala Lumpur.
Di Negeri Sembilan
pula, Konst Lim Hee Way turut menerima nasib yang sama.
Ogos: Pada 15
Ogos, Mej Mohd Azam bin Hanif Ghows yang ditumpang kepada Majlis Keselamatan
Negeri Perak, dikejut apabila musuh melancar 4 butir roket meletup di kawasan
rumahnya dan jirannya, seorang majistret, di simpang jalan Tambun/Ashby. Rumah
mereka berhampiran Markas 2 BIM. Mengikut laporan perisikan, sasaran sebenar
musuh ialah bengkel trak dan pam bahan api tentera.
Pada 26 Ogos 1975, musuh
membuktikan kebencian terhadap Tugu Nasional yang menggambar
kekalahan mereka. Kebencian meluap-luap itu sama sekali tidak pernah
pudar. Jadi tidak menghairankan apabila
mereka meletupkan tugu tersebut.
3 September: Giliran
Markas Briged Tengah PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pula menjadi
sasaran. Petualang negara telah melontar grenad tangan yang mengakibatkan 2
anggota terkorban manakala 51 tercedera.
13 November: Kemuncak
pesta membunuh oleh musuh berakhir apabila Datuk Khoo Chong Kong (Tan Sri), Ketua Polis Perak yang
mengakibatkan mendiang cedera parah dan meninggal dunia keesokan hari, 14 November
1975. Sementara pemandunya, Konst Yeong Peng Cheong, terkorban di Ipoh. Namun
mendiang sempat membalas tembakan yang
mencedera seorang pembunuh.
Selain
itu, petualang negara juga telah cuba membakar 9 pos polis di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengganas
komunis memang benci ‘musuh’ utama mereka iaitu pasukan keselamatan yang
terdiri daripada ATM dan PDRM. Mana tidaknya. Mereka merupakan bahan buruan. Justeru, tidak
menghairankan ketua kedua-dua agensi tersebut termasuk dalam senarai untuk
dibunuh. Ini terbukti apabila Tan Sri Abdul Rahman
Hashim, KPN, berjaya dibunuh pada 7 Jun
1974. Panglima Angkatan Tentera (PAT) turut tersenarai yang ketika
disandang oleh Jen Tan Sri Ibrahim bin Ismail (Tun). Bagi
tujuan itu, mereka telah cuba 3 kali untuk membunuh beliau tetapi gagal.
Cubaan pertama semasa PAT dalam
perjalanan balik ke kediaman rasminya di Bukit Petaling dari KEMENTAH, Jalan
Padang Tembak. Kebetulan pada waktu itu sebuah kenderaan Land Rover yang
membawa anggota Polis Tentera berada di hadapan kenderaan PAT. Musuh ingat
Polis Tentera itu ditugaskan untuk mengiringi PAT. Misi terpaksa ditunda.
Cubaan kedua dirancang apabila
kenderaan PAT melalui Jalan Imbi semasa beliau dalam perjalanan balik ke Bukit
Petaling. Sipembunuh sudah sedia, hanya menunggu ketibaan sasaran. Tiba-tiba
pemandu PAT memotong sebuah lori yang kedudukannya berada dalam ‘zon membunuh.’ Selagi lagi sipembunuh
gagal melaksanakan tugasnya.
Misi tetap diteruskan. Mereka begitu nekad
untuk menghapus PAT! Untuk misi kali ketiga, pilihan lokasi sipembunuh ialah
Jalan Shaw di hadapan Stesen Bomba. Waktunya sama seperti sebelum itu: semasa dalam
perjalanan balik ke kediaman rasminya. Apabila kenderaan beliau menghampiri
lokasi terbabit, sipembunuh ternampak dua orang Cina berada di hadapan Balai
Bomba. ‘Oh...Oh...mungkin
detektif agaknya.’ Menempah mautlah jika meneruskan misi. Suka atau sebaliknya,
dia terpaksa membatalkan misi dan terus beredar. PAT selamat tiba di
kediamannya. Betul kata-kata: ‘ajal maut di tangan Allah’, manusia hanya mampu
merancang tetapi Allah yang menentukan. Walaupun perancangan difikirkan
terbaik, tetapi jika belum tiba masa, perancangan hanya tinggal sekadar
perancangan sahaja, wallahualam.
Berbalik kepada pembunuhan Datuk Khoo Chong
Kong, mendiang diganti oleh Dato Seri Yuen Yuet Leng (kiri. Tan Sri. Sumber: Berita
Harian) pada Januari 1976. Ya, pengkhianat negara tidak ketinggalan memberi ‘nasihat’
kepada beliau di atas lantikannya sebagai Ketua Polis Perak melalui surat yang
dihantar oleh ‘People’s Mobile
Assassination Unit, Kinta District, Ipoh’ bertarikh Mac 1976. Nasihat mereka:
‘Komrad Yuen, janganlah
kamu fikir bahawa kamu selamat berada dalam kereta kalis peluru. Ada masanya
kamu akan berjalan di jalan raya. Surat ini sebagai tanda hormat terhadap kamu
dan diharap ia memberi faedah kepada kamu. Harap dengar nasihat kami.’ (Comrade Yuen, please do not think that you would be safe by sitting in a
bullet proof car. Sometimes you have to walk on the road. This letter is given
to you for we respect and hope it would benefit you. Please take our advice.)
Ingat mereka boleh menggertak Dato Seri
Yuet Y.L.? Sudah pasti tidak. Beliau tetap melaksana tugasan yang
dipertanggungjawab dengan penuh dedikasi. Ini membuat pengganas komunis berang
sehingga merancang untuk membunuhnya. Pada 4 Januari 1978, bom 10 lb TNT telah ditemui
dalam pembetung (culvert)
di laluan ke kediaman rasminya di Jalan Tambun. Nasibnya baik. Malam sebelum
itu, beliau tidak keluar ke mana-mana kerana makan malam bersama keluarganya
dan seorang saudara sebelum anak perempuannya balik ke UK. Jika beliau keluar
malam sebelum itu, kereta rasmi Volvo dinaikinya akan mengaktif bom itu.
Sepertimana dikatakan, Chin Peng dan gerila
komunisnya menjadikan selatan Thailand sebagai markas mereka. Persoalannya,
adakah mereka betul-betul selamat daripada ‘gangguan’ pasukan keselamatan di sana? Di luar Malaysia?
Bersambung...
Rujukan:
1. Abu Samah Mohd Kassim. (1996). Sejarah
Dan Perjuangan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher.
2. Office of the Historian. Editorial
Note. Foreign Relations of the United
States, 1952–1954, Indochina, Volume XIII, Part 1. Lihat https://history.state.gov/historicaldocuments/frus1952-54v13p1/d716.
3. Roslan
Muhamad & Ishak Saat. (2021). Pasukan F PDRM vs Komunis di Malaysia
1971-1990. Tanjung Malim: Penerbit UPSI, hlm. 72.
4. Nor Ibrahim bin Sulaiman.
(2020). Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan. Nor Ibrahim bin Sulaiman: Jitra.
5. Ajaya Kumar, The Concept of Defence and
Development in MOOTW – The Malaysian Experience. Conference: 14th
International Seminar on Military Science, National Defence Academy, Japan,
July 2009. Lihat ttps://www.researchgate.net/publication/282644843_The_Concept_of_KESBAN_in_Military_Operations_Other_then_War_MOOTW.
6. Mohamed Affandi bin Raja
Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur:
Army Headquarters.
7. Kementerian Kerja Raya. Tugu
Peringatan dibina bagi menghargai pekerja Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
Lihat https://www.kkr.gov.my/ms/node/35431.
8. Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif
Ghows. (2014). Reminiscences of Insurrection. Kuala Lumpur: Wangsa Zam.
9. Ahmad Abd Hamid, mStar,
Pengorbanan Dalam Kenangan.., 27 Januari 2016. Lihat
https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/01/27/lebuhraya-timur-barat dan
Col Sharom bin Hashim (edit.) (2001). The Malaysian Army’s Battle Against
Communist Insurgency in Peninsular Malaysia 1968-1989. Kuala Lumpur: Army Headquarters.
10. Tunku Abdul Rahman. (2007). 13
Mei: Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd, hlm. 83; Yuen Yuet Leng. (2008). Nation Before Self.
Kuala Lumpur: Dato Seri Yuen Yuet Leng, hlm. 158.
11. Charles Ramendran, theSundaily,
Hero cops gunned down, 23 Oktober 2020. Lihat https:
//www.thesundaily.my/local/hero-cops-gunned-down-KE4767914.
12. Amelia Yuliana Abd Wahab, Wan
Hashim Wan Teh, and Abdul Rahman Razak Shaik, Demystifying the Rise and
Downfall of Communism in Malaysia (1968-1989). International Journal of
Culture and History. Vol. 2, No. 4, December 2016. Lihat
http://www.ijch.net/vol2/065-JH015.pdf
13. Royal
Malaysia Police. Annual Report 1973-1975.
14. Lt
Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows. (2014). Reminiscences of Insurrection.
Kuala Lumpur: Wangsa Zam.
15. Royal
Malaysia Police. Annual Report 1973-1975.
16. Aloysius Chin. (1995). The Communist Party of Malaya: The Inside Story. Kuala Lumpur: vinpress, hlm. 237.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan