Pages

Jumaat, 27 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 8

 Sambungan dari SINI...

Pada lebih kurang jam 2:30 petang, Mej Duraisamy menerima arahan supaya skuadronnya berundur dari kem tersebut. Mereka diberi tempoh 45 minit sebelum pesawat pejuang F5E dan CL-41G Tebuan menggempur kem itu. Sebelum berundur, mereka diarah untuk menaikkan satu belon sebagai penanda bagi memudahkan pesawat pejuang mengenal pasti lokasi sasaran. Sebaik sahaja belon dinaikan, mereka seterusnya berlari menuruni bukit.

Tepat masa yang ditetapkan: “boom...boom...boom.” Pesawat-pesawat pejuang menggempur kem tersebut dengan roket dan bom 500 lb.

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Apabila tiba di tebing anak sungai di kaki bukit dan dalam keadaan kelam-kabut, tiba-tiba: “boom”. Satu letupan yang kuat.  “Allah..Aduh. Celaka komunis.” Jerit Lt Raja Musa (kiri). Beliau telah terpijak jerangkap samar dan mengalami cedera parah di mata kanan dan tumit kaki kanannya. Manakala Kpl Mohsain yang berada di belakangnya terkena satu objek di dada beliau.[1] “Mati aku,” bisik Kpl Mohsain. Lalu beliau memejam matanya dan tunggu untuk rebah tetapi masih tidak rebah. Beliau memberanikan diri untuk membuka matanya. Terkejut dibuatnya apabila melihat objek yang terkena dadanya ialah tapak but Lt Raja Musa.

Beliau melihat Lt Raja Musa meraung kesakitan dan tersandar di sebatang pokok dengan kaki kanannya terkulai dan berlumuran darah. Lt Raja Musa menutup mata kanannya. Lantas Kpl Mohsain menyuntik morfin sebelum membalut kaki dan mata Lt Raja Musa. Mej Duraisamy pula memohon sebuah helikopter untuk membawa keluar Lt Raja Musa yang banyak kehilangan darah. Masalahnya, lokasi itu tidak selamat.  Mereka kesuntukan masa kerana malam hampir tiba. Keadaan ini berbahaya untuk Nuri. Maka, tanpa berlengah Mej Duraisamy mengarah anggotanya mengusung Lt Raja Musa ke satu lokasi yang sesuai untuk Nuri menaikkan mangsa melalui kaedah winching. Saya dan kru yang sentiasa dalam keadaan siap siaga di Kroh, menerima tugasan casevac itu. Kami berlepas ke lokasi berkenaan dengan diiringi oleh sebuah helikopter gempur  berpandukan kepada ‘Grid Reference’ dan komunikasi radio serta suar hasil tembakan pistol ‘Very.’

Sebaik sahaja berada dalam keadaan terapung, Sjn Mohsain menurunkan ‘Strecer Saleh.’ Proses menurun dan menaikkan strecer ada juga cabarannya. Kebiasaannya strecer berpusing-berpusing. Ini yang berlaku semasa strecer dengan Lt Raja Musa terbaring ketika dalam proses dinaikkan. Akibatnya satu dahan pokok telah patah.

“Kapten, satu dahan patah. Terkena seorang komando,” Sjn Mohsain memberitahu saya. Saya tidak ketahui keadaan di bawah sebalik memberi tumpuan kepada misi itu. Sebaik sahaja strecer selamat ditarik ke dalam pesawat, saya berlepas dan, seperti biasa, mendarat ‘Kotak Tee-off, lubang #2’, Kelab Kedah Diraja pada jam lebih kurang 7:00 malam.  Ketibaan Lt Raja Musa di hospital turut disambut oleh Lt M Mohd Ali.[2] Kami berlepas balik ke Kroh dan mendarat pada jam lebih kurang 7:30 malam. Tugasan hari itu dilaksanakan dengan jayanya.

Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman hilang penglihatan mata kanan dan tumit kaki kanannya. Sumber:  Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman (B)

Berbalik kepada Mej Duraisamy dan anggotanya. Mereka berhadapan dengan keadaan cemas semasa strecer dalam proses dinaikkan. Dahan yang jatuh akibat ‘downwash’ putaran kipas utama Nuri, terkena ‘pouches’ seorang anggota sehingga menyebabkan sebutir grenad tangan telah tercampak keluar dengan pin keselamatannya tercabut.

“Grenad,” teriak anggota tersebut.

Jeritan ini membuatkan lain-lain anggota bertempiaran mencari tempat perlindungan. Setelah Nuri berlepas dan tiada sebarang letupan, Mej Duraisamy telah mengarah Tpr Rahim bin Ahmad untuk memusnah grenad tersebut. Tpr Rahim merangkak ke arah grenad untuk meletakkan bahan ‘plastic explosive (PE)’ sebelum meletupkannya.[3] Kecemasan ini tanpa disedari kru Nuri.

Oleh kerana malam sudah menjelma, Mej Duraisamy membuat keputusan untuk bermalam di situ dan bergerak semula ke kem komunis keesokan hari.

Bersambung...In syaa Allah.

[1]           Penjelasan daripada Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman (B) melalui WhatsApp pada 27 Mei 2022.

[2]           Temu bual dengan Lt Kol Mohd Mohd Ali  bin Husin melalui telefon padam25 Julai 2015.

[3]           Penjelasan daripada S/Sjn Rahim bin Ahmad (B) melalui WhatsApp pada 26 Mei 2022.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan