Pages

Sabtu, 14 September 2024

Serang hendap di Sg Semur - bhg 1

Bahana Gua Musang


Pada Mei 1949, Bn 3 RAM (Rejimen Askar Melayu) disahkan operasional sepenuhnya. Ekoran itu, Lt Kol W.O. Walton selaku CO pertama Bn 3 RAM mengetuai anak buahnya meninggalkan Port Dickson menuju ke pangkalan baharu mereka, iaitu Pengkalan Chepa, Kelantan.[1] Mereka dipertanggungjawab bagi memasti kawasan operasi mereka, Negeri Kelantan, bebas daripada ancaman komunis.

 

Dari kiri: Lambang RAM; Lt Kol W.O. Walton, CO pertama 3 RAM. Sumber: Muzium TDM & 3 RAMD

Antara kawasan operasi sudah tentu Ulu Kelantan; satu kawasan ‘panas.’ Kawasan ini merangkumi Gua Musang, Bertam dan Kpg Pulai. Penempatan tersebut pernah diisytihar sebagai ‘kawasan bebas’ oleh komunis. Mereka telah menyerang Rumah Pasung Gua Musang pada pagi 17 Julai 1948. Komunis hanya bertahan 5 hari sahaja. Pekan terpencil itu dibebaskan pada 4:00 pagi 22 Julai 1948. Keseluruhan Ulu Kelantan ‘dibersihkan’ oleh ‘Shaw Force’ daripada komunis pada Ogos 1948.[2]

Bagi menentukan keselamatan penempatan-penempatan tersebut, subunit 3 RAM membuat detasmen di Gua Musang dan Kpg Pulai.[3] Penempatan detasmen di Kpg Pulai terletak berhampiran dengan Tokong Swee Nyet Keung[4] yang menempatkan patung Guan Yin, Goddess of Mercy.’ Sebelum serangan ke atas Gua Musang, kehidupan penduduk Kpg Pulai bebas daripada sebarang sekatan. Namun, kini sekeliling penempatan mereka dipagar dengan dawai berduri. Selain itu, mereka terpaksa menerima hakikat berjiran dengan detasmen 3 RAM yang berpangkalan di situ. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa membina sebuah Rumah Pasung Kpg Pulai. Selain itu, anggota SC pula mengawal ketiga-tiga pintu penempatan mereka. Inilah bahana kerana begitu taasub kepada komunis. 

Penempatan penduduk Kpg Pulai pada tahun 1950. Sumber: Tan Teng Phee

*****

Bagaimana pula dengan PKM? Apakah tindakan Chin Peng setelah satu-satunya ‘kawasan bebas’ mereka – Gua Musang – ‘ditawan’ oleh kerajaan? Adakah dia dan PKM akan berdiam diri sahaja? Sudah tentu tidak. Dia dan konco-konconya merancang untuk menawan semula Gua Musang dan Kpg Pulai pada 1949. Rancangan ini melibatkan pasukan dari Johor dan Kelantan. Dalam perkiraan keadaannya, sekiranya pasukan di Kelantan berhadapan dengan pasukan keselamatan, pasukan dari Johor akan menyerang beberapa pekan di Pahang bagi mengalih perhatian British. Jika boleh, mereka akan membebas pekan-pekan kecil seperti Triang berhampiran sempadan Pahang dan Negeri Sembilan.[5]

 Itu rancangan Chin Peng. Ya, komunis berjaya mengumpul satu pasukan besar, lebih kurang 500 orang, di Ulu Kelantan. Mereka merancang mengguna elemen Prinsip Peperangan – Kejutan (Surprise) - untuk menyerang pasukan keselamatan. Sebaliknya, mereka yang dikejutkan. Kehadiran mereka dapat dihidu oleh pasukan keselamatan. Sebelum sempat komunis menyerang, trup mengambil inisiatif menyerang mereka. Jadi, bagi mengatasi jadi mangsa buruan pasukan keselamatan yang terdiri daripada Bn 3 RAM dan Gurkha Rifles, komunis cuba menyerang hendap pasukan keselamatan. Itu pun mereka gagal. Tunggu punya tunggu, pasukan keselamatan tidak masuk dalam perangkap mereka.

Selain itu, komunis berhadapan dengan masalah paling besar. Masalah logistik. Mereka terputus bekalan makanan. Macam mana nak bertempur dengan perut kosong walaupun semangat berkobar-kobar? Mereka mengharap Orang Asli membekal ubi kayu untuk 500 komunis. Habis semua bahan makanan ruji kaum itu! Dalam keadaan begini, pilihan yang ada ialah berpecah dan balik ke Perak.[6]

Ya, komunis gagal menawan semula Ulu Kelantan. Noktah. Adakah ini bererti ancaman komunis telah berakhir? Kini mereka menjadi bahan buruan 3 RAM. Atau sebaliknya?

 


[1]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 75.

[2]              The Straits Times, Kelantan Bandits Have Had Enough, 29 August 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers /digitised/article/straitstimes19480829-1.2.9 (diakses pada 22 Julai 2024).

[3]              Zakaria Zalleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 63.

[4]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur: Sejarah & Penghargaan. Kota Bharu: Markas 8 Briged, hlm. 16.

[5]              C. C. Chin & Karl Hack (Editor). (2004). Dialogues With Chin Peng. Singapore: Singapore University Press, hlm. 147

[6]              Ibid., hlm. 147. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan