Pengikut

Rabu, 15 Mei 2024

Ulu Semur 25 Mac 1950: Kami bukan pengecut...kami askar (bhg 1)

Masih ‘hijau’

 

Jangan dipertikaikan sama sekali. Objektif dan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) semenjak ditubuhkan pada Mac 1930[1]  sehingga 2 Disember 1989 hanyalah satu: menjenama semula Persekutuan Tanah Melayu (PTM) (Federation of Malaya) kepada “Republik Demokratik Malaya”[2] yang berideologi komunisme. Satu ideologi yang begitu asing dan ditolak oleh rakyat PTM dan seterusnya Persekutuan Malaysia.

 Bagi mencapai objektif ini, komunis memegang teguh ungkapan ‘matlamat menghalalkan cara.’ Ya, apa jua cara tanpa mengambil kira kesan yang  rakyat akan hadapi asalkan objektif tercapai. Mereka menghapus rakyat yang menentang perjuangan mereka tanpa mengira kaum. Di samping itu, mereka juga merosakkan harta benda bagi melumpuhkan ekonomi. Bagi menangani ancaman komunis, Sir Edward Gent selaku Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu mengisytiharkan darurat meliputi seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.[3]


Pasukan Tentera...

Pengisytiharan darurat ini disambut baik oleh pihak tentera di War Office, London. Kenyataan  yang dikeluarkan dua bulan kemudian, iaitu pada 14 Ogos 1948, menekankan peri mustahaknya ancaman komunis ditangani dengan secepat mungkin daripada berterusan.[4]

 War Office begitu yakin dengan kekuatan mereka dan percaya musuh dapat dihapus dalam tempoh yang singkat. Mereka memandang rendah keupayaan musuh, iaitu pengganas komunis. War Office terlepas pandang mereka tidak lagi menentang musuh di teater ‘conventional warfare’ sebaliknya melibatkan ‘peperangan hutan (jungle warfare) ; peperangan tanpa sempadan. Dan hutan adalah padang permainan pengganas komunis! Kesilapan tanggapan terhadap keupayaan musuh secara tidak langsung disuarakan oleh Brig Richard Clutterbuck apabila memilih ungkapan “The Long Long War: The Emergency in Malaya 1948-1960” sebagai tajuk bukunya.[5] Ketika itu beliau terlibat dalam usaha British memerangi pengganas komunis.   

Persoalannya adakah War Office mengambil kira kekuatan pasukan keselamatan bagi menangani ancaman komunis di seluruh PTM? Ketika itu, kekuatan pasukan keselamatan di PTM hanyalah 10 batalion infantri dan 9,000 anggota polis. 11 batalion tersebut terdiri daripada pasukan: (1) British - tiga batalion (2nd Bn, King’s Own Yorkshire Light Infantry, 1st Bn Seaforth Highlanders & 1st Bn Devonshire Regiment); (2) Gurkha – enam batalion; (3) Rejimen Askar Melayu (RAM)[6] – dua batalion (Bn 1 dan Bn 2).[7]

Namun demikian, secara realitinya jumlah kekuatan sebenar batalion tidak seperti carta organisasi. Tidak salah dikatakan batalion infantri secara am mengalami kekurangan anggota. Itu belum mengambil kira bahawa bukan semua anggota batalion infantri terdiri daripada anggota repal (riflemen). Anggota batalion termasuk pemandu, tukang masak, kerani, semboyan, dan anggota kuatermaster.[8] Ini bermakna satu batalion dianggar hanya terdapat 400 anggota repal. Justeru, kekuatan 11 batalion tersebut hanya lebih kurang 4,400 anggota repal yang akan diatur gerak untuk rondaan dan operasi menentang anggaran lebih kurang 6,000-7,000 gerila komunis.[9]

 Di samping itu juga, majoriti anggota batalion baru tamat latihan rekrut. Dalam keadaan masih ‘hijau’ beroperasi dalam teater peperangan hutan, anggota batalion infantri berhadapan dengan musuh yang sudah ‘masak’ dalam peperangan hutan. Keadaan ini dirumuskan oleh Leon Comber:

“At the beginning of the Emergency, the army itself was largely untrained and unready to engage in counterinsurgency operations on the scale required.”[10]

*****

Sebenarnya ada kebenaran apabila Brig Richard Clutterbuck menyatakan terdapat tiga batalion RAMD[11] apabila darurat diisytihar pada 12 Julai 1948. Beliau bersandar kepada kewujudan Bn 3 RAMD yang ditubuhkan secara rasminya di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 1 Julai 1948.[12] Namun demikian, unit tersebut ketika itu masih belum operasional. Malahan,  Lt Kol W.O. Walton, meneraju unit tersebut sebagai CO (Commanding Officer/Pegawai Memerintah)[13] pertama hanya pada November 1948.[14] Beliau memerintah unit yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada mereka yang baru sahaja tamat menjalani latihan rekrut di Port Dickson. Setelah 10 bulan di Port Dickson, pada Mei 1949 CO membawa pasukannya berpindah ke Pengkalan Chepa, Kelantan. Di waktu itu, 3 RAM berstatus operasional sepenuhnya.

 

*****

Suka atau sebaliknya, British terpaksa menerima kenyataan bahawa pengganas komunis bukan calang-calang musuh.  Kehebatan mereka diakui oleh Lt Kol Gordon Shakespear, CO 1/2nd Gurkha Rifles yang merakam: “...facing a good guerilla enemy up to the standards of the communist terrorists in the Malayan Emergency.”[15] Ekoran itu, British mengambil tindakan untuk memperkasa pasukan keselamatan, iaitu tentera dan polis.

Bagi memudahkan proses pengambilan rekrut baharu untuk pasukan tentera, antara kaedah yang diguna oleh pihak berwajib ialah mengiklan dalam akhbar-akhbar. Bakal wira-wira yang berazam menyertai pasukan seperti RAM, mereka hanya perlu menghubungi Pegawai Daerah di tempat mereka bagi mendapatkan butiran selanjutnya. Tidak perlu menulis surat atau menunggu kehadiran tim khusus pengambilan rekrut baharu. Mudah sahaja.

 

*****

 Pasukan Polis...

Berbalik kepada satu lagi elemen pasukan keselamatan, iaitu pasukan polis. Persoalannya: mampukah 9,000 anggota tetap polis melaksana tugasan mereka di seluruh pelosok PTM? Peranan mereka bukan hanya menentukan keselamatan kawasan yang dipertanggungjawab sahaja. Polis juga memainkan peranan penting sebagai penguat kuasa undang-undang bagi mengasingkan pengganas komunis daripada rakyat. Keadaan diburukkan lagi mereka tidak dilengkap dengan peralatan sewajar dalam melaksana tugasan![16] Dalam keadaan begini, sudah tentu mereka tidak dapat melaksana tugasan dengan berkesan. Maka, sama seperti tentera, kekuatan pasukan polis juga perlu diperkasa.

 Tindakan agresif kerajaan telah menyaksikan kekuatan polis meningkat kepada 15,000 pada penghujung 1948.[17] Pada awal 1949 keanggotaan  polis terus meningkat kepada 22,187; 16,220 pada 1950. Peningkatan bermula pada 1950 termasuk 3,000 anggota ‘Jungle Squad.’[18] Pada 20 Disember 1950, Sir Henry Gurney selaku Pesuruhjaya Tinggi, telah mengumumkan kelulusan ‘Manpower Regulations.’ Peraturan ini membolehkan Pengarah Tenaga Manusia:

 “...untuk mengarahkan lelaki bujang berumur antara 18 hingga 24 untuk menjalankan perkhidmatan sepenuh masa dalam pasukan polis selama dua tahun atau sehingga zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu berakhir.”[19]

Ekoran pengumuman tersebut, keanggotaan polis  bertambah kepada 16, 841 dan melonjak kepada 36,737 pada 1953.

Sememangnya kuantiti meningkat tetapi tidak seiring dengan kualiti. Sama seperti anggota tentera, masalah utama ialah anggota polis juga masih ‘hijau.’ Keadaan ini berubah apabila program latihan baharu dilaksana  pada 1952.[20]

Bagaimana, masalah tidak hanya tertumpu kepada jumlah anggota dan kelengkapan. Pihak berkuasa turut berhadapan dengan masalah komposisi kaum dalam pasukan polis. Selain pegawai Inggeris, anggota polis didominasi oleh orang Melayu. Pada 1947, hanya terdapat 24 inspektor dan 204 mata-mata daripada kaum Cina.[21]

Masalah komposisi kaum ini disebabkan belia kaum Cina tidak sedia menyahut seruan kerajaan supaya menyertai pasukan polis. Mereka “...bertindak mengelakkan diri daripada peraturan ini (Manpower Regulations) dengan meninggalkan Persekutuan Tanah Melayu dan melarikan diri ke Singapura, Hong Kong, Taiwan, China, Sumatera dan Thailand.”[22]

Bagi mengatasi masalah ini, MCA mengambil inisiatif untuk menggalak belia Cina menyertai pasukan polis. Parti tersebut mengumumkan pemberian insentif yang antarai lain “...pemberian hak kerakyatan kepada belia Cina setelah tiga tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan bonus $200 kepada setiap ahli baru yang berdaftar menjadi anggota polis.”[23]

 Usaha MCA membuahkan hasil. Pada akhir tahun 1952, daripada sejumlah 22,187 anggota polis,[24] 2,488 anggota terdiri daripada kaum Cina.[25]

*****

Special Constables…

Selain memperkasa anggota pasukan polis tetap, pihak berkuasa juga menubuhkan pasukan ‘Mata-mata Khas (Special Constables)’, lebih dikenali sebagai ‘SC.’ Penubuhan pasukan bersandar kepada peruntukan Peraturan Darurat (Emergency Regulations).[26] Pada 1947-1948 syarikat lombong bijih dan estet getah bertanggungjawab bagi menentukan keselamatan mereka. Justeru, mereka telah menggaji orang tempatan sebagai pengawal keselamatan.

Pihak polis melihat keperluan untuk aspek keselamatan di bawah mereka. Ekoran itu, pengawal keselamatan yang digaji oleh syarikat-syarikat tersebut diserap ke dalam perkhidmatan polis sebagai SC.[27] Di samping itu juga, pihak berwajib melaksana program merekrut anggota SC. Mereka dilantik secara kontrak sebagai anggota polis dan diperbaharui setiap tiga tahun.[28] Tugas utama mereka ialah menjaga keselamatan lombong bijik dan estet getah. Mereka juga dikehendaki membantu tugasan anggota polis tetap dan sebagai jungle squads.[29]

Sebaik sahaja program dilaksanakan pada 1948, keanggotaan SC adalah seramai 24,000 orang. Menjelang 1949, keanggotaannya meningkat kepada hampir 30,000 orang. Keanggotaan memuncak pada 1952 kepada 44,117 orang. Sama seperti keanggotaan polis, SC “...hampir semua terdiri daripada orang Melayu.”[30]

Alangkan polis berhadapan dengan masalah latihan, apa tah lagi SC. Memang masalah serius. Bagi mengatasi masalah ini, buat permulaan latihan dibantu oleh tim daripada tentera sebelum ketibaan lebih kurang 500 sarjan polis British (British European Sargeantdari Palestin setelah khidmat kerahan pasukan tersebut ditamatkan.[31] 

 

[1]           Chin, A. (1995). The Communist Party Of Malaya–The Inside Story. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm. 22. SAC. Aloysius Chin berkhidmat dalam PDRM selama 38 tahun yang mana 30 tahun dalam Cawangan Khas (CK). Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Timbalan Pengarah CK ‘Operasi’.

[2]          Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng: My Side of History. Singapore: Media Master, hlm. 92.

[3]              Ho Hui Ling, Mardiana Nordin, Noraini Mohamed Hassan, Risalah Darurat: Strategi Kerajaan dalam Memenangi Jiwa dan Pemikiran Orang Cina di Tanah Melayu, 1948–1960, KEMANUSIAAN Vol. 30, No. 2 (2023), 173–206, 31 Oktober 2023, hlm. 179. Lihat http://web.usm.my/kajh//vol30_2_2023/kajh30022023_09.pdf (diakses pada 24 April 2024). 

[4]              Leon Comber. (2008). Malaya’s Secret Police 1945-60. Singapore: ISEAS Publishing, hlm. 67.

[5]              Richard Clutterbuck. (1.966). The Long Long War. London: Cassel & Company Ltd.

[6]              Gelaran ‘Diraja’ kepada Rejimen Askar Melayu telah dianugerah oleh DYMM Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah, di Kem Kepala Batas, Alor Setar, pada 1 Mac 1958. Pengumuman penganugerahan tersebut dibuat oleh Tun Abdul Razak bin Hussein selaku Menteri Pertahanan. Penggunaan Rejimen Askar Melayu (RAM) dikekal dalam penulisan ini. Lihat https://risik1md.wixsite.com/1rmr/about1-caty (diakses pada 13 Mei 2024).

[7]              Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats. Singapore; Cultured Lotus, hlm. 113 (sebelum ini ‘The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960.’ (1970).

[8]              Richard Clutterbuck. (1966). The Long Long War, hlm. 43.

[9]              Leon Comber. (2008). Malaya’s Secret Police 1945-60, hlm. 67.  

[10]            Ibid., 67.

[11]            Richard Clutterbuck. (1966). The Long Long War, hlm. 42.

[12]            Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 75.

[13]            Istilah CO (Commanding Officer/Pegawai Memerintah) terbiasa dalam tentera. Istilah ini dikekal dalam tulisan ini.

[14]            Bn 3 RAMD.

[15]            Harold James & Denis Sheil-Small. (1971). The Undeclared War. London: Leo Cooper Ltd., hlm. 13. Lt Kol Gordon Shakespear diatur gerak dari Singapura ke Brunei semasa pemberontakan pada Disember 1962.

[16]            R.W. Komer, The Malayan Emergency in Retrospect: Organization of a Successful Counterinsurgency Effort, Rand R-957-ARPA, February 1972, hlm. 38. Lihat https://www.rand.org/content/ dam/rand/pubs/reports/2005/R957.pdf (diakses pada 24 Mac 2024).

[17]            Ibid.

[18]            Robert Jackson. (1991). The Malayan Emergency & Indonesian Confrontation. South Yorkshire: Pen & Sword, hlm. 17.

[19]            Ho Hui Ling. (2010). Pembanterasan Komunis Di Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 85.

[20]            R.W. Komer, The Malayan Emergency, hlm. 39.

[21]            Ibid., 38.

[22]            Ho Hui Ling. (2010). Pembanterasan Komunis, hlm. 85.

[23]            Ho Hui Ling. (2004). Darurat 1948-1960. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 149.

[24]            Robert Jackson. (1991). The Malayan Emergency hlm. 17.

[25]            R.W. Komer, The Malayan Emergency, hlm. 38.

[26]            Prof. Khoo Kay Kim dan Adnan Hj. Nawang (Penyunting). (1984). Darurat 1948-1960. Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera, hlm. 65.

[27]            R.W. Komer, The Malayan Emergency, hlm. 40.

[28]            Muzium PDRM.

[29]            Leon Comber. (2008). Malaya’s Secret Police, nota kaki 34, hlm. 76.

[30]            Muzium PDRM.

[31]            R.W. Komer, The Malayan Emergency, hlm. 40. 

Khamis, 14 Disember 2023

Warkah berdarah Kalabakan 29 Disember 1963: Bab 1 - "Inilah Barisan Kita”

Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 terpaksa melalui liku-liku yang sukar. Indonesia dan Filipina menentang penubuhan persekutuan itu. Bermulalah kedengaran istilah ‘konfrontasi’ yang diucap oleh Dr Soebandrio, Menteri Luar Negeri Indonesia, pada 20 Januari 1963.

Apakah yang dimaksudkan konfrontasi? Memetik penghakiman Lord Hodson, Hakim Mahkamah Majlis Privy, “...konfrontasi merupakan peperangan tanpa pengisytiharan (atau disebut konflik bersenjata) yang melibatkan di antara dua atau lebih negara yang terikat dengan Konvensyen Geneva 1949, walaupun keadaan perang itu tidak diiktiraf oleh mana-mana negara terbabit.”[i]

 Pengisytiharan konfrontasi membimbangkan Jeneral Achmad Yani, Kepala Staf Strategik Angkatan Darat Indonesia. Beliau nasihat Presiden Soekarno supaya tidak melancar konfrontasi terhadap Malaysia. Saranannya bersandar  kemungkinan Indonesia terpaksa turut berhadapan dengan pasukan tentera British, Australia dan New Zealand. Namun, nasihat itu diketepikan Presiden Soekarno. Malahan beliau menyifatkan nasihat itu sebagai membelakangi arahannya.[ii]  

 Namun demikian, tentangan kedua-dua negara tersebut tidak menghalang Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri, menandatangani Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963. Pemasyhuran itu membuat Indonesia dan Filipina berang sekali. Pada hari itu juga (16 September 1963), kedua-dua negara tersebut telah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara termuda dalam peta dunia. Di Jakarta, Dr Soebandrio memberitahu Dato’ Kamaruddin, Duta Malaysia, bahawa “...he had no status in Indonesia from Sep. 16.”[iii]

 Ekoran itu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan:

“Oleh kerana Kerajaan Indonesia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tanpa sebab yang nyata, maka tidak ada jalan lain bagi kita tetapi terpaksa berbuat demikian juga dan memanggil balek Duta kita dan pegawai2 Kedutaan dan di samping itu menutup Konsulat kita di-Medan.”[iv]

Lantaran itu, dengan jelasnya tercoplah dalam pasport Indonesia: “Berlaku untuk Seluruh Dunia Ketjuali TAIWAN, ISRAEL dan apa jg dinamakan ,,MALAYSIA”.

Pasport Indonesia yang dikeluarkan pada tahun 1964 mencatat pemegang dilarang melawat Malaysia. Sumber: FB Tempo doeloe 

Keesokan hari, 17 September 1963, bergemalah Stadium Merdeka dengan laungan ‘Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September 1963.[v]


Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September 1963. Sumber Arkib Negara Malaysia

Indonesia tidak hanya sekadar memutus hubungan diplomatik dengan Malaysia sahaja. Malahan, pada malam 16 September 1963, perusuh berkumpul di luar Kedutaan British. Ketika itu, staf daripada Kedutaan Australia, Perancis, Belgium, Kanada dan Amerika Syarikat sedang bersantai di kedutaan itu. Perusuh mendakwa staf kedutaan-kedutaan tersebut sedang meraikan Pemasyhuran Malaysia. Tanpa usul periksa, mereka mengarah wakil Malaysia keluar. Ketibaan polis menyelamat keadaan menjadi lebih buruk dan perusuh seterusnya bersurai.[vi]

Kemarahan Soekarno tidak berakhir di situ. Ia diterjemah apabila rakyat negara tersebut telah mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 25 September 1963. Kedutaan besar Malaysia diserang. Dalam keadaan marahnya itu, Presiden Soekarno dengan lantangnya mengumumkan ‘ganyang’ Malaysia.[vii]  

Malahan British turut terasa bahang kemarahan itu. Kedutaan British di Jakarta diserang dan 21 rumah staf kedutaan dan kenderaan dibakar. Manakala ladang-ladang kepunyaan syarikat British di Jawa dan Sumatra dirampas dan diisytihar sebagai hak milik Indonesia.[viii]

Reaksi rakyat Indonesia terhadap seruan Presiden Soekarno menentang 
 pembentukan Persekutuan Malaysia. Sumber: Wikimedia Commons

Amarah Presiden Soekarno terhadap Tunku Abdul Rahman tiada batasan. Nama Tunku Abdul Rahman menjadi bait-bait dalam lagu ‘Ganjang’ yang berkemendang di corong-corong radio di Indonesia:

Bersiaplah Tengku aku datang menentang maksudmu

Hadapilah Tengku aku akan merintang niatmu

Semangat bangsaku’kan membara setiap penjuru

Kita berjuang membela keadilan di dunia

Kita menuntut merdeka bagi semua bangsa

Bangkitlah serentak Afrika Asia[ix]

*****

Mana mungkin Malaysia akan berdiam diri begitu sahaja. Tugasan untuk menggubah lagu bagi menaikkan semangat patriotisme rakyat, terutama anggota pasukan keselamatan, dipertanggungjawab kepada Saiful Bahri, anak kelahiran Sumatra. Beliau merupakan seorang   mantan Konduktor Orkes Studio Jakarta dan  juga seorang komposer serta penulis lirik terkenal di Indonesia. Beliau melarikan diri ke Malaysia dari Indonesia kerana bimbang ditahan oleh pihak kerajaan. Kebimbangan ini disebabkan beliau yang antikomunis, tidak setuju dengan dasar ganyang Malaysia. Tidak seperti lagu Ganjang, lirik lagu ini ‘lebih sederhana.’ Tamparan hebat kepada Presiden Soekarno!

 Dengan itu, berkumandanglah lagu Inilah Barisan Kita’ yang dinyanyikan oleh Jamaludin Alias[x] yang dimainkan oleh Radio Malaysia.

“Inilah barisan kita

Yang ikhlas berjuang

Siap sedia berkorban

Untuk ibu pertiwi

Sebelum kita berjaya

Jangan harap kami pulang

Inilah sumpah pendekar kita

Menuju medan bakti

Andai kata kami gugur semua

Taburlah bunga di atas pusara

Kami mohon doa

Malaysia berjaya

Semboyan telah berbunyi

Menuju medan bakti”

Kaum Ibu tidak ketinggalan memprotes terhadap Presiden Soekarno. Sumber: Wikimedia Commons




[i]              Abdul Aziz Hussin. (2022). Peristiwa Tenang Era Konfrontasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.13-14.

[ii]              Razza bin Willi, Minda Pertahanan, Konfrontasi Indonesia-  Malaysia Di Sarawak, 17 Julai 2013.  Lihat http://min-def.blogspot. com /2013/07/konfrontasiindonesia-malaysia-di.html (diakses pada 3 November 2023).

[iii]             The Straits Times, The big break, we have no choice, says the Tengku, 18 September 1963, hlm. 1. Lihat https://eresources. nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/straitstimes19630918-1.2.2 (diakses pada 3 November 2023).

[iv]             Berita Harian, Putus Hubongan, 18 September 1963, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/page/ beritaharian19630918-1.1.1 (diakses pada 3 November 2023).

[v]              Arkib Negara Malaysia.

[vi]             AM, Changing Nations: The formation of Malaysia, 1963,     6 Februari 2020. Kawat daripada Kedutaan British, Jakarta, kepada Pejabat Luar Negeri, UK, pada 16 September 1963. Lihat https:// www.amdigital.co.uk/insights/blog/changing-nations-the-formation-of-malaysia-1963 (diakses pada 3 November 2023).

[vii]            Potongan Nostalgia, Ganyang Malaysia: Catatan Panjang Konfrontasi Indonesia-Malaysia, 26 Ogos 2017. Lihat https://kum paran.com/potongan-nostalgia/ganyang-malaysia-catatan-panjang-konfrontasi-indonesia-malaysia/full (diakses pada 3 November 2023); VOI, Aksi Ganyang Malaysia Berakhir dalam Sejarah Hari Ini, 11 Agustus 1966, 11 Ogos 2022. Lihat https://voi.id/memori /199971/aksi-ganyang-malaysia-berakhir-dalam-sejarah-hari -ini-11-agustus-1966 (diakses pada 3 November 2023).

[viii]           Potongan Nostalgia, Ganyang Malaysia sebelum ini.

[ix]             Steven Farram, JSTOR, "Ganyang!" Indonesian Popular Songs from the Confrontation Era, 1963-1966, Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, Vol. 170, No. 1 (2014), pp. 1-24 (24 pages). Lihat https://www.jstor.org/stable/43817924 (diakses pada 15 Oktober 2023).

[x]              Saidah Rastam. (2017). Rosalie. Petaling Jaya: SIRD, hlm. 195-199.