Pages

Jumaat, 13 September 2013

Hargailah Pengorbanan Mereka

Sambungan daripada coretan di sini.

Saya turut menghubungi 2 orang OKU lagi untuk mendapatkan maklumat tentang PHU. Dengan maklumat yang diperolehi, terbang le emel berikut ke ruangan 'Forum' Utusan Malaysia pada 7/9 dengan harapan ia disiarkan. Tapi, kali ni tak menjadi, mungkin tak 'newsworthy' kut.

'Negara Malaysia tercinta kini masih dalam suasana riang-gembira ketika berada dalam 'Musim Patriotisme' sempena Hari Kemerdekaan Ke 56 pada 31 Ogos lalu dan akan menyambut Hari Malaysia Ke 50 pada 16 September 2013 nanti. Sambutan terhadap Hari Kemerdekaan yang bertemakan  'Malaysia Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' sungguh memberangsang di kalangan majoriti rakyat walaupun terdapat segelintir rakyat yang kurang senang dengan lambang kedaulatan negara - Jalur Gemilang. Inilah salah satu hikmah-Nya insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Februari lalu. Walaupun negara kehilangan 10 wira Pasukan Keselamatan angkara kedurjanaan Pengganas Kiram, secara keseluruhan insiden tersebut telah menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat yang berbangga mereka adalah anak Malaysia. 

Sementelah negara menghargai jasa para wira, dahulu dan sekarang, saya harap kerajaan sedia mengkaji semula kadar 'Pencen Hilang Upaya (PHU)' yang diterima oleh mereka yang tergolong 'Orang Kurang Upaya (OKU)'. Ramai anggota ATM yang cacat anggota tubuh-badan angkara ditembak oleh pengganas komunis atau terkena jerangkap samar ketika terlibat dalam operasi menentang pengganas komunis di era insurgensi di suatu ketika dulu.

Dasar pengiraan PHU yang diterima oleh mereka sungguh amat tidak berbaloi dengan kecederaan yang dialami sepanjang hayat. Kadar pencen ini berlandaskan kepada 'Pangkat Sebenar (Substantive Rank)' mangsa bukannya pangkat yang disandang ketika beliau bersara. Sebagai contoh, jika mangsa berpangkat 'Prebet' ketika mengalami kecederaan dan bersara sebagai Pegawai Waren, PHU yang beliau terima berlandaskan pangkat Prebet. Gaji seorang Prebet di era 70-80'an sungguh jauh bezanya dengan Prebet dewasa kini! Saya tidak pasti PHU yang diterima, mungkin hanya sekadar RM100-RM200 sahaja, wallahualam. Sama juga untuk pegawai. Seorang pegawai, berpangkat Leftenan Muda, telah hilang penglihatan kedua-dua mata terkena jerangkap samar pada 70'an dan bersara sebagai Leftenan Kolonel, menerima PHU Leftenan Muda; gaji Leftenan Muda ketika itu sekitar RM500 sahaja. Seorang pegawai terkena jerangkap samar ketika berpangkat Pemangku Kapten (Acting Captain) tetapi PHU berpaksikan pangkat sebenar - Leftenan. Beliau bersara sebagai Leftenan Kolonel.

Pada pandangan saya, sudah tiba masanya dasar pengiraan kadar PHU diteliti semula. Dicadangkan kadar berlandaskan kepada tahap kecacatanbukannya lagi berasaskan kepada apa jua pangkat ketika kejadian atau pun semasa bersara. Pada hemah saya, peluru musuh dan jerangkap samar tidak mengenali sesiapa, tidak kira pangkat. Malah boleh dikatakan, mereka yang terdedah kepada ancaman ini terdiri daripada mereka yang berpangkat Kapten ke bawah. Ini kerana merekalah yang bertugas meronda dan memburu petualang negara di hutan belantara negara. Pemberian ini sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh mereka bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi dengan kenaikan kos kehidupan seharian dewasa ini, wallahualam.

Oh ya, saya bersyukur kerana saya tidak tergolong kategori OKU'.
   
Namun demikian, ini tidak menghalang saya daripada memanjangkannya kepada orang beso2 yang boleh membuat keputusan di agensi2 berkaitan. Dan juga kepada 2 pertubuhan yang, antara lain, objektifnya ialah menjaga kebajikan para veteran. Mana le tahu, mungkin mereka boleh menyuarakannya kepada pihak berwajib sekiranya mereke 'terbaca' emel kaki menyibuk ni...He...He...He.

Saya turut menghantar sms seorang MP memohon agar beliau membawa perkara ini ke persidangan Parlimen akan datang. Beliau memaklumkan bahawa KEMENTAH dalam/(telah?) proses meminda dasar terbabit untuk kelulusan EPU/MOF. Ini satu perkembangan yang memberangsangkan, syukur alhamdulillah.

Walaupun bersyukur, saya ni orang yang kurang sabo....Semua nak cepat2. Saya nak tahu juga le di mana atau tahap mana cadangan itu berada sekarang ni. Adakah ia dah melayang keluar KEMENTAH ke JPM? Atau masih dalam 'proses' di KEMENTAH? Bercakap melalui pengalaman ketika berjuang untuk mendapatkan 'Elaun Kenangan' untuk JPP, PTU & KPK dulu, saya khuatir cadangan ini di KIV...Kemungkinan ini memang ada! Jika dibawa ke Parlimen, sekurang-kurangnya Pak Menteri atau timbalannya, kena le memaklumkan kepada 'the august house' perkembangan terkini dan apa jua respons akan direkod dalam 'hansard'. Sama ada tindakan akan diambil, itu lain cerita.

Saya telah mencadangkan kepada sebuah kelab OKU untuk terus 'mengasak' isu ini dengan menulis kepada Pak Menteri oic (Officer In Charge) Parlimen. Kalau tak silap, oic ni bos kepada penjawat awam. Mungkin beliau akan bersimpati terhadap rentetan wira-wira yang tak didendang, wallahulam.

Oh ya, saya difahamkan ramai para hadirin tersentuh dengan pengkisahan oleh warga OKU di Kangar tempuh hari, klik di sini. Ada yang menitis air mata. Sekurang-kurangnya segelintir rakyat Perlis didedahkan dengan pengorbangan mereka. Saya menghargai PPA Perlis yang menyediakan platform untuk para veteran menceritakan pengalaman mereka. Saya dah berbuih mulut menguar-uarkan kepada beberapa agensi gomen agar tidak mensia-siakan kewujudan mereka. Janganlah dibiarkan kisah2 yang tidak boleh dinilai dengan RM berkubur dengan jasadnya apabila tiba masa nanti....setiap detik menghampiri destinasi terakhir. Dan majlis ini pula janganlah terhad semasa Musim Patriotisme saja. Ia sepatutnya berterusan, wallahualam.

 
Ini sajalah yang mampu saya lakukan dalam usaha mengetengahkan isu OKU.

1 ulasan:

  1. Thank you Major Nor for making a case for OKUs to get better deal. OKUs are a forgotten lot. As I had earlier said even the Medical Boards recommendations for a certain percentages of disability is often slashed down by the board chaired by the Director of Medical Services. I spoke about this to one presently serving full Col (Medical Directorate) regarding this matter and his answer was " We don't consider cases due to sentiments, we are guided only by facts." In bermakna tidak ada belah kasihan cuma ikut undangan undangan yang sedia ada. Orang OKU bukan pengkimis minta sedekah. Kalau Medical Board da sokong allowance 50% orang atas potong sampai 30% in ka makna ikut undangan undangan sedia ada. Tak masuk akal.

    I hope OKUs will not be treated like beggars. By right every OKU should be called before the final approving authority so that orang Kayangan dapat nelai sindiri masalah orang OKU.

    BalasPadam