Pages

Selasa, 21 Januari 2014

Proposal

Dah nak masuk hampir 2 minggu saya duduk depan komputer menaip 'proposal' tentang peranan Nuri di era kebangkinan semula pemberontakan bersenjata PKM. Menurut beberapa buku, aktiviti tersebut bermula apabila PKM melancar serang hendap terhadap PPH di jalan Kroh-Betang pada 17/7/68. Muzium PDRM telah menghantar kisah hitam itu..
Dengan penuh keyakinan yang mereka telah bersedia, kumpulan bersenjata PKM telah melancar serang hendap terhadap konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam perjalanan dari Kroh (Pangkalan Hulu) ke Betong pada 17 Jun 1968 lebih kurang jam 5.00 petang. Unit terlibat ialah Strike Force daripada Platun 11 Batalion 1, Kompeni C, PPH Ulu Kinta dan Platun 11 Batalion 2 untuk tugas menjalankan tugas “Ops Sawadee Salam”.  Sebelum itu, Platun 11, Batalion 2, PPH Ulu Kinta, yang diketuai oleh ASP G/3067 Tan Hun Tiong (Johnny) bersama enam orang anggota telah bergerak ke setor di Sungai Petani untuk mengambil kawat duri untuk dibawa ke Tek di Betong. Kemudiannya bergabung bersama pasukan Strike Force yang bermalam di Pangkalan Batalion 19 PPH, Kroh.
Maklumat awal mengatakan ada ura-ura pihak komunis akan menyerang Tek PPH di Betong. Atas sebab itu, pasukan bantuan dan kawat duri diperlukan untuk mengukuh pertahanan. Setelah semuanya berkumpul di Pangkalan Batalion 19, Kroh, konvoi mula bergerak dengan didahului oleh Inspektor Malik diikuti oleh tiga buah lori yang turut dimuatkan dengan katil tambahan untuk dibawa ke Tek Betong dan di belakang sekali adalah lori tanpa bumbung yang sarat dengan kawat duri dinaiki oleh ASP Tan Hun Tiong bersama anggotanya. Apabila sampai di pekan Kroh, Inspektor Malik telah berhenti untuk membeli barang keperluan dan minta supaya ASP Tan bergerak dahulu.
Sebaik sahaja lori ASP Tan melepasi sempadan, kedengaran deruan kenderaan konvoi yang berada di belakang telah  semakin hampir. Dengan tidak semena-mena, ketika itu  juga terdengar tembakan bertalu-talu ke arah konvoi Inspektor Malik. ASP Tan dan anak buahnya dengan pantas melompat turun dari lori mengambil kedudukan berlindung. PC Low Teng (pemandu lori), tanpa berlengah, telah memecut lori seorang diri menuju ke Tek Betong untuk meminta bantuan.  ASP Tan dan anggotanya terus dihujani peluru sehingga tidak dapat memberi bantuan kepada Inspector Malik, sungguh pun jaraknya begitu hampir. Walaupun tiada tempat  untuk berlindung dan ditembak dari arah kiri dan kanan bukit, mereka terus melawan. Akhirnya, satu persatu anggota konvoi rebah ke bumi. Kedudukan musuh amat strategik kerana berada di atas tiga buah bukit dan menyerang sewaktu konvoi melalui selekoh tajam.
Beberapa minit kemudian, satu platun dari Tek Betong, diketuai oleh Sarjan Isam Bin Long, telah tiba untuk memberi bantuan tetapi segala-galanya telah terlambat. Pada waktu itu, yang tinggal hanyalah mayat yang bergelimpangan dan anggota-aggota yang menagalami kecedaraan parah. Kejadian ini telah mengorbankan 16 orang. Manakala, 16 orang yang lain telah mendapat kecederaan, sementara Inspektor Malik mengalami cedera parah.  
Muzium PDRM....Terima kasih.           

Isnin, 13 Januari 2014

Dah Mula Melangkah

Saya telah memulakan beberapa langkah dalam usia mendokumentasi secebis sejarah negara tercinta ini, klik di sini. Ini termasuk memohon YABhg Tun Dr Mahathir menukil sepatah-dua ayat terhadap Nuri@Burung Besi. Tanpa diduga, beliau telah sudi memenuhi hasrat saya, syukur alhamdulillah. 


Diterima pada 7/1/14

Untuk penyelidikan ini, saya memerlukan bahan-bahan berkenaan dengan penubuhan awal TUDM, operasi2 seperti Ops Bamboo, Ops Gubir, Ops Selamat Sawadee, Ops Gonzales, Ops Chahaya Bena, dll. Saya sungguh menghargai sekiranya ada yang sudi kongsi bersama pengalaman. Sila emelkan kepada nibsny@yahoo.com. Jika boleh, harap catatkan nama, nombor khidmat dan unit. Terima kasih.

 YABhg Tun Dr Mahathir....Terima kasih.

Isnin, 6 Januari 2014

Jangan Salahkan Usia Saja

Surat saya di sini telah disiarkan pada 2/1/14....


Saya memang dah menjangkakan pasti ada yang mempertikaikan tulisan saya itu. Mejar pencen ni terima sms '...whether it is still cost effective to maintain and upgrade them'. Mana ada dalam tulisan itu saya membincang tentang kos penyelenggaraan atau 'upgrading'. Apa yang saya cuba mengetengahkan ialah usia sesebuah pesawat tidak semestinya punca utama sesuatu kemalangan. Itu sahaja. Jika gomen mampu, beli le helikopter termoden dan termahal. Tapi ingat, pesawat baharu juga boleh ditimpa kemalangan, wallahulam.

Rabu, 1 Januari 2014

Aidi Munawir Dalam Kenangan

31/12/2013...Tutupnya tirai 2013 dan ia begitu bermakna pada saya. Pada jam lebih kurang 1000, terima panggilan daripada adik di Taiping. Beliau memaklumkan bahawa anak kedua kakak saya, Aidi Munawir bin Ahmad Shukri, 42, dalam keadaan kritikal di IJN. Mujurlah ada kekosongan dalam Malindo Air untuk penerbangan ke LTAB Subang jam 1130. Sampai di Subang anak adik saya, Kak Yong, menjemput saya untuk ke IJN.

Semua kaum keluarga sudah berada di IJN. Aidi dalam keadaan koma dan mengguna 'life support equipment'. Sungguh sedih melihatnya. Seperti yang pernah saya coretkan di sini, beliau adalah salah seorang daripada 8 orang di Malaysia yang bergantung kepada 'jantung mekanikal'.  Pada Julai 2013 beliau dimasukkan ke ICU IJN dalam keadaan kritikal juga, klik di sini. Sebenonya, IJN dah jadi rumah keduanya.

Seorang adik saya telah menghantar saya ke LTAB Subang untuk penerbangan balik ke Jitra pada jam 1750 sementelah beliau nak balik ke Ipoh. Pada jam lebih kurang 2030, baru saja selesai solat maghrib, adik saya di KL memaklum Aidi telah menyahut panggilan Ilahi pada jam 2020..إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

 Berita ini dimuatkan dalam fb 'Sulaiman's clan' ....Aidi dah dibawa balik kerumahnya. beliau akan di kebumikan pada pukul 10 pagi esok jam 10 pagi di seksyen 21 s/alam'.

Arwah pernah tinggal bersama keluarga saya di Taiping semasa kecil. Itu sebabnya arwah turut memanggil ibu saya 'mak'; cucu2 yang lain memanggil mak 'Atah'. Pada setiap Hari Raya Aidilfitri, kecuali 2013 yang lepas kerana berada di IJN, arwah dan keluarga beraya di Taiping.

Minggu sudah saya menghubungi kakak saya bertanya khabar tentang Aidi. Saya mengetahui arwah berada di IJN setelah tamat 'cuti' untuk pemeriksaan. Kakak menangis dan menyatakan Aidi akan meninggalkan kita semua. Sungguh terkejut mendengar berita itu dan terus bertanya adik saya tentang keadaan Aidi. Adik memaklumkan apa yang beliau ketahui ialah arwah memang dimasukkan ke IJN tapi kesihatannya OK. Inilah prarasa seorang ibu terhadap anaknya!

Bersama arwah pada 10/12/2012

Semoga Allah menempatkan roh arwah dengan mereka yang soleh....Al-Fatihah.