Followers

Monday, December 30, 2013

Tahukah Anda Bahawa....

Saya tidak sangka negara tercinta ini mempunyai begitu ramai Penyisasat Kemalangan Pesawat. Manakan tidak, apabila terjadinya kemalangan Nuri baru2 ini (klik di sini), terus para pakar merumuskan punca nahas berlaku kerana masalah teknikal. Setahu saya, teknikal luas maknanya. Adakah masalah enjin, MGB, kipas, dan entah apa lagi? Bukan itu saja, ada yang merekomenkan agar Nuri diganti bagi mengelak insiden terus berlaku. Mind you, depa tak perlu pergi ke lokasi kejadian, tak perlu interview krew,  tak perlu meneliti buku log pesawat, hanya dengan melihat gambar sahaja boleh membuat  kesimpulan. Hebat...Memang hebat!

Bukan nawaitu nak cuba 'mengajar' para pakar, hanya nak kongsi secebis pengalaman berkaitan dengan penyelenggaraan pesawat. Jadi, mejar pencen ini pun menghantar emel berikut kepada ruangan Forum Utusan Malaysia pada 28/12/13. Sama ada disiar atau sebaliknya, wallahualam.

Laporan Utusan Malaysia pada 27 Disember bertajuk "Tamatkan Khidmat Nuri" menarik perhatian saya. Saya mengandaikan laporan tersebut ada kaitan dengan nahas helikopter Nuri di Pulau Perak pada 22 Disember. Pada pemahaman saya, saranan agar pesawat Nuri ditamatkan perkhidmatan berlandaskan kepada usianya yang telah mencecah 45 tahun.

Saya bukannya seorang pakar dalam bidang penyelenggaraan pesawat. Pengetahuan saya terhadap subjek ini hanyalah berpandukan kepada pengalaman ketika berkhidmat dalam TUDM sebagai seorang juruterbang Nuri di suatu ketika dulu.

Pada pengamatan saya, nahas sesebuah pesawat tidak semestinya disebabkan usia pesawat. Usia menjadi faktor sekiranya pesawat tidak diselenggara dengan betul. Ini mungkin disebabkan produksi pesawat tersebut dihentikan. Ini memungkinkan komponen-komponen pesawat tiada dalam pasaran. Justeru, operator mengambil risiko tinggi jika pesawat terus digunakan.

Seperti kereta, pesawat juga mempunyai jadual penyelenggaraan. Malah, pengawasan selenggaraan begitu ketat sekali. Secara ringkasnya, TUDM menetapkan pemeriksaan berkala untuk semua pesawat dalam inventorinya. Sebagai contoh, Nuri diselenggara mengikut jadual Check 1 hingga 5. Malah, pemeriksaan bermula sebelum/di antara/selepas setiap penerbangan. Apa jua kerosakan tidak di'sorok'; semua dicatat dalam buku log pesawat.
Check 5 adalah dimana Nuri perlu menjalani baik pulih (overhaul). Ini berlaku apabila jam penerbangan mencecah jam tertentu. Di waktu itu, pesawat di'bogel'kan ke 'bare metal'. Ia akan diperiksa dengan teliti menggunakan pelbagai kaedah, termasuk xray, bagi menentu ketiadaan sebarang rekahan dan kekaratan.

Komponen-komponen juga dibaikpulih atau diganti sama ada mengikut jam penerbangan atau sesuatu tempoh. Kotak utama gear (Main Gear Box) dan enjin, misalnya, akan dibaik pulih apabila mencecah jam penerbangan tertentu. Malahan, kipas utama (main rotor blades) pula akan terus diganti; ia tidak dibaik pulih.

Sebelum Nuri mencapai tahap pemeriksaan tersebut, ia turut melalui beberapa kali proses Check 1 hingga 4. Selepas dibaikpulih, Nuri boleh dianggap seperti pesawat baru; 'kosong' jam penerbangan. Sama juga komponen-komponen yang telah dibaik pulih.

Justeru, pandangan yang 'usia' sinonim dengan kemalangan seharusnya tidak timbul sama sekali. Banyak faktor penyebab sesuatu insiden, seperti keadaan cuaca dan juga kesilapan manusia. Malah, pihak TUDM telah mengumumkan bahawa 'pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah pada 22 Disember lalu bukan berpunca daripada masalah teknikal', petikan Utusan Malaysia bertarikh 28 Disember bertajuk "Masalah teknikal bukan punca Nuri mendarat cemas".

Kecemerlangan helikopter Sikorsky model S61 (Nuri model S61A-4) tidak boleh dipertikaikan. Presiden Amerika Syarikat mengguna model ini sehingga sekarang untuk penerbangan dari Rumah Putih ke lokasi berhampiran, seperti lapangan terbang. Syarikat Westland, UK, dan Agusta, Itali, diberi lesen untuk mengeluarkan model ini. Produksi Westland bergelar 'Sea King' manakala Agusta model AS61N, wallahualam.

MEJAR NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)
Jitra

Satu Keturunan

S61A-4. Talian Hayat...The Old but Faithful Nuri@Burung Besi  (Ihsan 'Gringgaro Elminio') 

 Agusta AS61N1. Pesawat TUDM untuk VVIP (Ihsan M. Radzi Desa) 

VH-3D. Marine One untuk Presiden Uncle Sam

SH 3H Sea King. Jenis pesawat yang pernah dipandu oleh Putera William (klik di sini)

Saya harap para pakar dapat membantu Tentera Udara Kanada (TUK) mengenal pasti punca kemalangan yang menimpa Sea King mereka melalu gambar di sini. Nahas terjadi semasa pesawat berada di tarmac. Saya tak pasti pula usia helikopter berkenaan. Jika seusia Nuri, adakah TUK perlu menamatkan perkhidmatan Sea King?

Apa yang saya cuba luahkan ialah jangan begitu mudah menuding jari punca sesuatu kemalangan kerana usia sesebuah pesawat tanpa fakta. Dalam semua insiden pesawat TUDM, seperti di Pulau Perak, bio le Lembaga Penyiasatan melaksanakan tugas mereka bagi menentukan punca nahas tersebut. Banyak pesawat baharu juga turut ditimpa kemalangan, seperti insiden di sini dan ini Kedua-dua pesawat di beli baharu, bukan terpakai. 

Jika nak berhijrah kepada pesawat baharu bagi memenuhi keadaan yang serba canggih kini, belilah sekiranya kewangan bukan penghalang. Mana pilot yang tak nak terbang pesawat terkini dan serba canggih. Saya yang usia dah lanjut juga mengidam nak terbang EC725 Cougar. Itu saya. Tambah pula pilot helikopter yang masih berkhidmat dalam TUDM. Saya percaya ramai di antara mereka meleleh air liur melihat rakan menerbangkan Cougar tapi menyedari kemungkinan besar mereka tiada peluang sehingga tamat perkhidmatan, wallahualam.

Keluar tajuk. Saya dah rimas dengan iklan sehingga nak tulis coretan jadi masalah. Saya harap pakar2 IT dapat membantu saya mengatasi masalah ini. Tapi, dengan syarat bio le instructions yang mudah difahami oleh anak murid taska. Terima kasih.

1 comment:

tan_liang_tek said...

Hi bro, i am tan from www.malaysiamilitarytag.com, may i know how much do you charge for product sponsor post? can you get me back at tanliangtek[at]gmail.com? Thanks.