Pages

Sabtu, 15 September 2018

PKM Pejuang Kemerdekaan?

Hampir 6 bulan, iaitu semenjak Mac 2018 saya mencoret mengenai Rundingan Baling yang berakhir di SINI. Saya mengharapkan agar para pembaca sedikit-sebanyak memahami sejarah tanah air kita yang tercinta ini. Paling tidak pun mengetahui nawaitu Chin Peng yang tidak pernah terhakis objektifnya menjadikan negara ini sebuah negara komunis.

Jadi, sudah pastilah hati saya terguris dan terlalu kecewa apabila terdapat kumpulan tertentu menyarankan supaya sejarah ditulis semula. Dalam program A People’s History of Malayan Emergency pada 27-29 Jul 2018 di KL-Selangor Chinese Assembly Hall, KL, menyatakan "...terdapat fakta-fakta yang tidak tepat dan perlu diubah (dengan memasukkan) sejarah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM)." (Utusan Online, Nilai semula buku Sejarah, iktiraf  PKM, 30 Jul 2018, SINI). Alasan mereka ialah "...para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara."

Sumber: Utusan Malaysia

Sebagai seorang mantan anggota ATM yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha gomen memusnah petualang negara di suatu ketika dulu, saya rasa anda memahami perasaan saya itu, lebih-lebih lagi  bila program tersebut dianjur hanya beberapa hari sebelum negara meraikan Hari Pahlawan pada 31 Julai!

PKM pejuang kemerdekaan? Mudah difaham mereka tergolong nasionalis le. Bio bebeno! Mereka menentang penjajah memang tak dinafikan. Ya, memang mereka menentang penjajah, iaitu Jepun dan Inggeris. Malah Tunku sendiri tidak menafikan bahawa PKM menentang penjajah. Menjawab soalan Tan Sri Abdullah Ahmad sama ada beliau bersetuju bahawa PKM turut menyumbang kepada kebangkitan semangat nasionalisme, beliau menjawab "...Yes, I can say that." (Tan Sri Abdullah Ahmad, 2016, Conversations With Tunku Abdul Rahman, Singapore: Marshall Cavendish, hlm. 152). Pandangan ini juga diakui oleh Tan Sri Rahim Noor yang menyatakan "...Memang betul, komunis mahu menghalau penjajahan Inggeris seperti mana parti politik lain ketika itu yang bertujuan sama." (Utusan Malaysia, Komunis mahu rampas kuasa guna kekejaman, 28 Ogos 2018, hlm. 31).

Persoalannya, adakah menentang penjajah semata-mata secara otomatik dikategorikan sebagai  nasionalis? Apakah takrifan nasionalis? Ambil mudah saje le. Kamus Dewan mengtakrif nasionalis sebagai "orang yg mencintai nusa dan bangsanya, pencinta bangsa, patriot". (DBP, 2007, Kamus Dewan, edisi keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 1072).

 Adakah PKM 'mencintai nusa dan bangsanya'? Ini yang membezakan Tunku dengan Chin Peng. Tunku meletakkan kepentingan rakyat paling atas. Ambil petikan Anthony Short yang bertugas sebagai staf kepada Jen Bourne, Pengarah Operasi semasa rundingan Baling, "...the impressive quality was his passionate concern for the welfare of the country." (Anthony Short, 2000, In Pursuit of Mountain Rats, Singapore: Cultured Lotus, hlm. 467. Sebelum ini The Communist Insurrection in Malaya,1975, Great Britain: Frederick Muller Ltd). Sebaliknya, Chin Peng tidak ambil peduli terhadap kesengsaraan rakyat selagi objektif utama partinya tidak tercapai, iaitu menjadikan negara ini sebagai sebuah negara komunis. Memang betul kata David Marshall yang merumuskan keprihatinan PKM terhadap rakyat, iaitu "To them it is to Hell with the welfare of the people - the Communist Party comes first." (The Straits Times, Marshall: I don't believe Chin Peng leads Malaya's Reds, 30 Dis 1955, hlm. 4).

Ini terbukti apabila mereka terus berjuang menentang gomen walaupun Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan berterusan selepas penubuhan Malaysia pada 16 Sep 1963. Kegiatan ketenteraan terhadap negara hanya tamat apabila Perjanjian Damai dimeteraikan di Hat Yai pada 2 Dis 1989.

Adakah tindakan mereka ini dianggap nasionalis? Adakah mereka nak memerdekakan negara ini yang dipilih sendiri oleh rakyat melalui kotak undi? Dengan kata lain, adakah mereka nak memerdekakan rakyat daripada hak memilih parti untuk menerajui kerajaraan sebaliknya hanya memilih PKM? Mana negara komunis yang membenar kewujudan pelbagai parti?

Adakah Rukun Negara yang menjadi pegangan negara sejak diisytiharkan pada 31 Ogos 1970  (Kerajaan Malaysia, Rukun Negara, di SINI) selari dengan dokrin komunisme? Paling asas sekali, prinsip pertama Rukun Negara ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. Rakyat bebas mempraktik agama yang dianuti mereka. Bagaimana dengan komunis? Saya bukan pakar dalam bidang ideologi komunisme tetapi petikan akhbar The Times, 20 Jul 2017 berikut boleh memberi gambaran hubungan dokrin komunis dan agama:

"China’s estimated 85 million members of the Communist Party have been warned that they are not allowed to have religious beliefs, and that those who do will be punished.


Wang Zuoan, director of the state administration for religious affairs, said that religion undermined communism. Party members must be “firm Marxist atheists, obey party rules and stick to the party’s faith.” (

Dalam konteks Malaysia pula, petikan Lau Lee semasa mesyuarat jawatankuasa tertinggi PKM mengenai kekurangan penglibatan orang Melayu menyokong perjuangan mereka memberi gambaran terhadap agama:

"Kita berjuang menentang Islam dan sikap anti agama kita telah memarahkan orang-orang Melayu. Kita tidak akan mempengaruhi petani-petani Melayu untuk menyertai kita kerana sikap kita itu. Belum tiba masanya untuk kita menyemaikan benih ideologi kita kepada orang-orang Melayu. Kita mesti cuba mempengaruhi orang-orang Melayu dengan cara yang lembut." (ANM A. Setar, Kertas asal oleh Tan Sri Dato' Hj Shafie Abdullah, Rundingan Baling 28-29 Disember 1955,  Majlis Perkesahan Sejarah, Baling, 2004, hlm. 12. Beliau Setiausaha Peribadi Tunku Abdul Rahman).

Semasa ditemubual sama ada dia masih kekal dengan fahaman Marxist dan Leninist selepas majlis di Hat Yai pada 2 Dis 1989, dengan spontan Chin Peng menjawab: "Yes. We are still communists. We only laid down our arms, but are still CPM members. CPM has not been disbanded. CPM merely ended the confrontation with the government and the Yang di-Pertuan Agong." (Rozaid Abd Rahman, StarONLINE, I read of Chin Peng, heard of him, met him and now have a piece of him, say newsman, 17 Sep 2013, di SINI). Dan gomen pula tetap mengharamkan PKM! (The New Straits Times, Ban on party remainssays PM, 3 Dis 1989, hlm. 1). Ingat ya...PKM tidak pernah dibubar! Senang-senang baca di SINI.

awapan ini bercanggah dengan rukun kedua, Kesetian Kepada Raja dan Negara?  Mana republik ada raja? Kesetiaan mereka hanya kepada parti. Matlamat menghalalkan cara! Rumusannya, takrif 'KEMERDEKAAN' pada PKM ialah negara hanya merdeka apabila PKM mengambilalih kerajaan.

Betul kata Tunku, mana mungkin 2 ideologi yang begitu ketara perbezaannya boleh co-exist, demokrasi dan komunisme!

Memang sedih sejarah negara sendiri kurang difahami, wallahualam!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan