Pages

Sabtu, 21 September 2019

Winching

Dah ada masa terluang & mood pun OK, jadi nak sambung le cerita masalah winching dalam hutan dara Semenanjung. Saya tak ada pengalaman buat penerbangan operasi menentang petualang negara di Sarawak kerana tidak pernah terlibat di sana. Jadi pasal cerita2 operasi memberi perkhidmatan mobiliti udara semasa era komunis hanya membabitkan adventures di Semenanjung saje. 



Insiden yang saya lalui sepertimana yang diceritakan di SINI, turut dialami oleh kru lain. Tapi sebelum itu, bio le saya turunkan petikan Lt. Kol. Spencer F. Chapman dalam buku klasiknya - The Jungle Is Neutral -yang pertama kali diterbitkan pada 1949 (tahun saya dilahirkan...he...he...he) mengenai hutan belantara di Malaya:

"...a myriad tree-trunk rose straight upwards with no apparent decrease in thickness - that was the extraordinary thing- for a hundred or  hundred and fifty feet before they burgeoned into a solid canopy of  green which almost entire shut out the sky." (hlm. 24) Dalam keadaan begini le kami the hunted tercari-cari lokasi pemburu-pemburu petualang negara!

OK le semua dah tahu kepadatan hutan dara Malaya. Sekarang saya coretkan pengalaman rakan-rakan seperjuangan saya yang di petik dari tesis saya...He...He...He. 

Ketebalan hutan juga menyukarkan kru Nuri  menaikkan Strecer Saleh dengan muatannya sekali.  Masalah ini turut dihadapi oleh Kapt. (U) Ahmad Repi bin Bunyamin (Kol. (B)), Lt. (U) Rosli bin Mohd Yusof  (Brig. Jen. Dato' (B)) dan Sjn. Gregory Charles (PW 1 (B), kini menetap di Melbourne, Australia) yang mengendalikan Nuri FM1718. Pada lewat petang 26 Julai 1977, mereka diberi tugasan medevac dari Kroh ke kawasan operasi. Tugasan ini melibatkan membawa keluar lapan orang anggota PK dari dua lokasi berasingan; masing-masing empat anggota di setiap lokasi. Anggota-anggota tersebut mengidap demam malaria.

Mereka tiba di lokasi pertama yang mempunyai belon sebagai tanda pengenalan. Sebelum membuat sua (approach) untuk terapung (hovering), kapten pesawat telah menghubungi PK untuk menembak Pistol Very bagi memastikan lokasi tersebut. Selepas mendapat kepastian dan Nuri berada di dalam keadaan terapung,  Charles menurunkan Strecer Saleh dan NATO Strop supaya dua orang pesakit boleh dinaikkan serentak. Kaedah ini mempercepatkan proses menaikkan pesakit dan Nuri tidak perlu terapung untuk tempoh yang lama. 

Menurut Charles, semasa dalam proses menaikkan dua orang pesakit tersebut di ketinggian lebih kurang 20 kaki, strecer dan NATO Strop tersangkut di celah dahan pokok yang besar. Beliau berusaha untuk melepaskan kabel tersebut tetapi gagal.

Situasi ini telah mencemaskan kru dan juga kedua-dua pesakit. Setelah beberapa kali mencuba, Charles mencadangkan kepada kapten pesawat supaya memotong kabel hoist untuk menyelamatkan pesawat. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh kapten pesawat kerana kedua-dua pesakit akan tercedera atau maut. Sebaliknya, Ahmad Repi  mengarahkan beliau untuk terus mencuba. Walau bagaimanapun, kedua-dua pesakit berjaya menuruni pokok walaupun mereka sedang sakit. Ketiadaan pesakit dalam strecer dan strop memudah ia dinaikkan.

Ahmad Repi seterusnya membuat keputusan untuk terbang ke lokasi kedua meninggalkan empat pesakit yang masih berada di lokasi tersebut buat sementara waktu. Tindakan ini juga bertujuan untuk menyejukkan suhu dan tekanan main gear box yang meningkat akibat terapung dalam tempoh yang agak lama. Mereka tidak menghadapi masalah mengambil keempat-empat pesakit di lokasi kedua melalui kaedah winching juga. Selepas itu, Ahmad Repi kembali ke lokasi pertama dan mereka berjaya menaikkan keempat-empat pesakit tanpa sebarang halangan. Nuri mendarat di Kroh hampir waktu malam bersama semua pesakit di mana mereka mendapat rawatan sewajarnya.

Menurut Brig. Jen.Dato' Rosli Yusof TUDM (B), Mat Repi berpeluh jantan waktu itu. Mana taknya, dah le  terpaksa high hover yang menggunakan 'high torque' mereka berhadapan dengan turbulence! 'Copilot minta handover controls pun dia tak bagi. Capt's pride! He...He.'

Nak tahu kesan turbulence? Ini yang dialami oleh  SAC Dato' Datuk Dr. Leong Chee Woh PGB yang dicatatkan dalam karyanya -  Scorpio On The Dragon’s Demise: The Second Malayan–Communist Insurgency–Emergency, (terbitan 2015, hlm. 240-241). Pilot berhadapan dengan turbulence ketika menaikkan beliau dan sorang rakannya semasa Op Indera Khas di dawasan operasi Bentong, Pahang.  

Selain kemungkinan strecer tersangkut di celah dahan pokok, kehadiran angin kencang juga boleh memudaratkan anggota yang sedang dinaikkan atau diturunkan melalui kaedah winching. Tiupan angin telah membuatkan mereka diayun ke arah rumpun pokok rotan yang dipenuhi duri. Walaupun mereka selamat dinaikkan, terdapat lebih kurang 200 duri di rusuknya. Beliau diberi rawatan di Markas Taktikal, Betong.  

Ada lagi kisah-kisah membabitkan winching. Jika diizinkanNya, boleh le coretkan nanti, in syaa Allah.

Ahad, 15 September 2019

Nostalgik!

Semalam, 14 September 2019 ambil gambar ini dari pelukisnya di Hotel TH, Kepala Batas, Kedah....

Lukisan oleh Zahid, Adhura Art Gallery, Alor Setar

Memang betul cakap orang, bila usia dah senja ni, ingatan berkisar kepada kisah2 lama dan cakap pun asyik kisah yang orang sekarang dah jemu dan tak minat pun nak dengar. Dengar lagu pun hanya Radio Klasik saje...He...He...He. 

Tak percaya? Tengok le lukisan di atas. Sanggup bayar kepada seorang pelukis untuk melukis gambar yang dialami 31 tahun dahulu, iaitu pada 1 Ogos 1978

Kisah ini saya masukkan dalam buku 'talking-reading' Coretan Xnuripilot terbitan pada 2011. Versi gomen boleh dibaca, klik di SINI. Tak apa lah...anggaplah siaran ulangan bagi mengingati kisah insiden 'winching' yang saya tak akan lupa sehingga sanggup mengabadikannya dalam bentuk lukisan. After all, kan ke orang gomen kata 'a picture is worth a thousand words'...He...He...He.

Al-kisah...

Ketika Op Selamat Sawadee, trup sentiasa ‘memburu’ pengganas komunis. Justeru, mereka tiada masa untuk membina LP bagi memudahkan Nuri mendarat sekiranya terdapat mereka yang  tercedera. Casevac/medevac akan diselamatkan melalui kaedah winching dengan menggunakan ‘Strecer Salleh’.

Sudah pasti kaedah winching ini sangat berbahaya kepada Nuri. Sebuah Nuri yang begitu besar sedang hovering membuatnya satu sasaran yang ‘mustahil’ tidak mengena...’a real sitting duck’. Tidak memerlukan seorang  ‘sharp-shooter’ untuk menembaknya. Mungkin dapat dibayangkan apa yang kami terpaksa harungi di suatu ketika dulu! 

Di suatu petang ketika membuat detasmen di Kroh, saya telah ditugaskan untuk mengambil satu medevac di lokasi dalam hutan belantara dan di hantar ke Hospital Pulau Pinang. Kru saya ialah Lt. M. Adzli dan Sjn. Patrick Lee (Kuatermaster Udara [KU]), pesawat FM1720. Dengan seorang anggota Air Rescue Team (ART) dari pasukan komando, saya telah terbang ke lokasi tersebut. Bagi memudahkan mencari lokasi tersebut, saya berkomunikasi dengan trup menggunakan frekuensi radio yang telah dimaklumkan sebelum berlepas. Apabila di jangka sudah berada di lokasi tersebut, saya telah menghubungi mereka untuk memastikan sama ada mereka dapat melihat Nuri. Ini kerana kami tidak dapat mengesan kedudukan mereka kerana dilindung oleh kepadatan pokok-pokok yang berketinggian lebih dari 150 kaki. Saya terpaksa ‘taxi’ di atas kanopi hutan dara agar dapat mengesan trup. Selang beberapa minit kemudian, trup memberi tahu saya bahawa mereka berada di bawah Nuri. Masalahnya, kami masih tidak nampak mereka.

Saya mengarahkan mereka untuk menembak pistol ‘varey light’...tetapi suar ini tidak menembusi ketebalan hutan. Seterusnya, saya telah mengarahkan supaya mereka membuat asap dengan harapan asap tersebut akan menembusi kanopi pokok-pokok. Tindakan ini juga tidak berhasil. Walaubagaimana pun, akhirnya KU memberitahu yang beliau ternampak trup di bumi dan saya hover Nuri supaya KU menurunkan anggota ART dengan Strecer Salleh. Sebaik saja mencecah bumi, casevac telah dimuatkan dalam Strecer Salleh untuk dinaikkan. Tiba-tiba, KU memberitahu saya bahawa strecer tersangkut di celah dahan pokok. Ini menempah satu masalah besar!

Saya mengarahkan beliau supaya terus mencuba melepaskan strecer dari dahan. Berpeluh saya dibuatnya kerana “T’s & P’s” (Temperatures & Pressures) hampir mencecah paras had maksima kerana saya menggunakan ‘torque’ (kuasa) yang tinggi ketika taxiing dan hovering. Untuk menurunkan T’s & P’s ini, saya perlu membuat penerbangan di mana torque dapat dikurangkan.

Masalah ini ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak memuaskan. gak mencemaskan apabila angin mula bertiup dengan kencangnya dan hujan lebat pasti akan tiba. Dalam keadaan begini, saya boleh mengambil opsyen yang paling mudah iaitu menekan satu suis di collective lever atau memberi arah kepada KU. Tindakan ini akan memotong kabel hoist. Jika tindakan ini diambil, Strecer Salleh  berserta dengan casevac akan jatuh dari celah dahan yang  tinggi dan kemungkinan besar beliau akan terkorban. Dengan lain-lain perkataan,  saya telah ‘membunuh’ seorang warga tentera! Sekiranya ini berlaku, ianya akan menghantui saya sepanjang hanyat walaupun saya tiada pilihan lain. Memang berpeluh jantan dibuatnya. Tak malu saya akui memang tension dibuah!

Syukur Alhamdulillah, KU akhirnya berjaya melepaskan strecer dari dahan dan seterusnya menaikkan casevac ke dalam Nuri. Masa tidak lagi mengizinkan saya untuk menaikkan anggota ART pada petang itu dan beliau terpaksa ditinggalkan. Beliau diambil keesokan hari di lokasi lain. Casevac selamat diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang. Misi dilaksanakan dengan jayanya.

Bila saya muatkan lukisan tersebut dalam FB, Lt. Kol. Zainal Yan, xPegawai RAMD beri responsnya berikut:

"Assalamualaikum Nor. Sometime in 1974, somewhere during the Op Setia VII area in Sg Siput area, a Nuri picked me up from my nearby LP to guide the pilot to winched up one Pbt Sabri who was shot in the right arm during a contact with a group of CTs. While being winched up using under the arm pit strap [NATO Strop], his neck got caught up with the branches! His first comment to me when safely pulled into the cabin was that the wound inflicted by the branches was more painful than the pain created by the bullet wound which by then had made his right arm swelled to twice its original size. BTW, I miss the old days adventure. Take care."

Kesian Pbt. Sabri. Kalau dapat hubungainya, nak juga dapatkan cerita dia.

Mind you, bukan saya sorang saje yang mengalami masalah ini. Nanti le...jika diizinkanNya, akan diceritakan pengalaman Kol. Ahmad Repi dan krunya, Brig. Jen. Rosli Yusof dan PW Charles nanti, in syaa Allah.

Jika ada rezeki, saya nak abadikan 2 insiden lagi dimana pesawat ditembak dengan M79 grenade launcher dan insiden dimana KU, Sjn. Mohsain dan seorang soldadu cedera kena  tembakan pengganas komunis. Pokoknya dah pasti le terpulang kepada ongkos, wallahualam. 

Sapa2 yang berminat nak abadikan pengalaman mereka, mungkin boleh hubungi pelukis terbabit. Saya tak ambil komisyen le, sekadar mempromosikan beliau...He...He...He, wallahualam.



Isnin, 9 September 2019

Hari Kebangsaan Ke-62?

Sumber: Sinar Harian 2 September 2019. Rujuk di SINI

31 Ogos 2019 rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan Ke-62. Pertukaran dari Hari Kemerdekaan kepada Hari Kebangsaan berkuatkuasa pada 2015. Perubahaan ini diumumkan oleh mantan PM, Dato' Sri Najib Razak di Kuching pada 10 Ogos 2015. Beliau mengumumkan: 

"Buat pertama kalinya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak akan menyebut ulang tahun kali ke berapa sebaliknya hanya dikenali sebagai sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan Hari Malaysia 2015.

Hal ini bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak kerana 31 Ogos 1957 lebih menumpukan kepada tarikh kemerdekaan Malaya manakala 16 September 1963 lebih dirasa oleh Sabah dan Sarawak." Lihat di SINI.

Saya sebenarnya tercari-cari apakah perbezaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia? Hari Malaysia jawapannya agak mudah kerana ia termaktub dalam Artikel II Perjanjian Persekutuan Malaysia (di bawah). Justeru, rakyat menikmati hari cuti pada setiap 16 September untuk meraikan sempena hari penubuhan Malaysia. Mudahkan jawapannya?

Perjanjian Persekutuan Malaysia yang ditandatangani pada 28 Ogos 1963. Sumber: Arkib PBB (SINI)

Oh ya...Mungkin ada yang bertanya apakah itu Persekutuan? Untuk memudahkan cerita, ambil takrif Dr. Wikipedia berikut:

"Persekutuan ialah sebentuk kesatuan yang terdiri daripada sebilangan negeri atau rantau yang separuh berpentadbiran sendiri yang disatukan oleh satu kerajaan pusat ("persekutuan"). Dalam sesebuah negara persekutuan, status pentadbiran sendiri bagi negeri-negeri komponen lazimnya dikukuhkan oleh perlembagaan dan tidak wajar diubah oleh keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat yang hanya menyebelahi satu pihak." Rujuk di SINI.

OK...Hari Malaysia saya percaya semua sudah maklum. Persoalannya:
  • Mengapa Hari Kebangsaan diraikan pada 31 Ogos setiap tahun? 
  • Apakah signifikannya 31 Ogos yang dinobatkan sebagai Hari Kebangsaan? 
  • Bukankah tarikh tersebut merupakan tarikh keramat apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA' di Stadium Merdeka apabila Persekutuan Tanah Melayu/Federation of Malaya mencapai kemerdekaan dari British? 
  • Bukankah North Borneo (Sabah) dan Sarawak ketika itu masih di bawah British?
Lihat pula apa yang dimaksudkan Hari Kebangsaan. Secara ringkasnya, menurut Wictionary "Hari Kebangsaan ialah satu tarikh yang ditetap untuk meraikan lahirnya sebuah negara berdaulat. Kedaulatan itu boleh juga disimbolkan pada tarikh negara mencapai kemerdekaan, menjadi republik..." Rujuk di SINI.

Ambil Hari Kebangsaan jiran kita, Singapura. Negara tersebut meraikan Hari Kebangsaan setiap 9 Ogos bersandar "The very first had been on 9 August 1965 when Singapore separated from the Federation of Malaysia to go its own way. On this day, it was simultaneously announced in Singapore and Kuala Lumpur that henceforth, Singapore would be a "sovereign, democratic and independent nation." Rujuk SINI
The Straits Time, 10 Ogos 1965

Singapura tidak menjadikan tarikh keanggotaannya dalam Malaysia pada 16 September 1963 sebagai Hari Kebangsaan/Kemerdekaan sebaliknya tarikh dikeluarkan dari Malaysia. 

Persoalan sekarang ialah: Bila Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan? Adakah pada 16 September 1963 apabila mereka menyertai Persekutuan Malaysia?

Jadi tidak hairanlah jika terdapat suara-suara dari Sabah dan Sarawak yang mempertikaikan Hari Kebangsaan yang sebelum ini Hari Kemerdekaan diraikan pada setiap 31 Ogos. Ardino Diris, Presiden Sabah People's Education Improvement Organisation (PIPA), menyatakan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 berlandaskan Sabah diberi berkerajaan sendiri (self government) oleh British yang diumumkan oleh North Borneo Legislative Council pada 8 Ogos 1963. Rujuk di SINI.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, Ketua Menteri Sarawak pula pada 22 Julai 2018 mengumumkan  bahawa Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963, iaitu apabila kabinet Sarawak ditubuhkan. Menurut beliau, tarikh tersebut merupakan “It was a historic moment as we could finally take care of our state and people" apabila Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Rujuk di SINI. Namun demikian, lain pula pandangan Prof Michael Leigh. Beliau menyatakan tarikh tersebut hanya menyaksikan penubuhan kabinet Sarawak diikuti berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963 sehingga 16 September 1963 (The Borneo Post Online, July 22, 1963 Not The Day Sarawak Gained Independence - Prof Leigh, 9 November 2015).

Memahami sekelumit maklumat ini, saya lebih terbuka apabila topik Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos dipertikaikan oleh Sabah dan Sarawak seperti di SINI. Pada saya, hanya gomen yang memegang kunci jawapannya, wallahualam.

Apa pun, saya percaya ramai pekerja yang gembira kerana Hari Kebangasaan setiap 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September merupakan hari cuti am. Tapi mungkin tidak begitu mengembirakan para majikan kerana kos produksi meningkat kerana kena bayar upah berganda. Bagi saya pula, tiada sebarang perbezaan kerana tak tahu pun bila cuti umum selain cuti hari minggu kerana sepanjang 365 hari sentiasa bercuti. Malahan marah juga kerana Darulaman Golf & Country Club tidak membenarkan ahli menarik troli setiap cuti umum dan hujung minggu...He...He...He.

Sekadar mengaktifkan minda....wallahualam.