Pages

Sabtu, 21 September 2019

Winching

Dah ada masa terluang & mood pun OK, jadi nak sambung le cerita masalah winching dalam hutan dara Semenanjung. Saya tak ada pengalaman buat penerbangan operasi menentang petualang negara di Sarawak kerana tidak pernah terlibat di sana. Jadi pasal cerita2 operasi memberi perkhidmatan mobiliti udara semasa era komunis hanya membabitkan adventures di Semenanjung saje. 



Insiden yang saya lalui sepertimana yang diceritakan di SINI, turut dialami oleh kru lain. Tapi sebelum itu, bio le saya turunkan petikan Lt. Kol. Spencer F. Chapman dalam buku klasiknya - The Jungle Is Neutral -yang pertama kali diterbitkan pada 1949 (tahun saya dilahirkan...he...he...he) mengenai hutan belantara di Malaya:

"...a myriad tree-trunk rose straight upwards with no apparent decrease in thickness - that was the extraordinary thing- for a hundred or  hundred and fifty feet before they burgeoned into a solid canopy of  green which almost entire shut out the sky." (hlm. 24) Dalam keadaan begini le kami the hunted tercari-cari lokasi pemburu-pemburu petualang negara!

OK le semua dah tahu kepadatan hutan dara Malaya. Sekarang saya coretkan pengalaman rakan-rakan seperjuangan saya yang di petik dari tesis saya...He...He...He. 

Ketebalan hutan juga menyukarkan kru Nuri  menaikkan Strecer Saleh dengan muatannya sekali.  Masalah ini turut dihadapi oleh Kapt. (U) Ahmad Repi bin Bunyamin (Kol. (B)), Lt. (U) Rosli bin Mohd Yusof  (Brig. Jen. Dato' (B)) dan Sjn. Gregory Charles (PW 1 (B), kini menetap di Melbourne, Australia) yang mengendalikan Nuri FM1718. Pada lewat petang 26 Julai 1977, mereka diberi tugasan medevac dari Kroh ke kawasan operasi. Tugasan ini melibatkan membawa keluar lapan orang anggota PK dari dua lokasi berasingan; masing-masing empat anggota di setiap lokasi. Anggota-anggota tersebut mengidap demam malaria.

Mereka tiba di lokasi pertama yang mempunyai belon sebagai tanda pengenalan. Sebelum membuat sua (approach) untuk terapung (hovering), kapten pesawat telah menghubungi PK untuk menembak Pistol Very bagi memastikan lokasi tersebut. Selepas mendapat kepastian dan Nuri berada di dalam keadaan terapung,  Charles menurunkan Strecer Saleh dan NATO Strop supaya dua orang pesakit boleh dinaikkan serentak. Kaedah ini mempercepatkan proses menaikkan pesakit dan Nuri tidak perlu terapung untuk tempoh yang lama. 

Menurut Charles, semasa dalam proses menaikkan dua orang pesakit tersebut di ketinggian lebih kurang 20 kaki, strecer dan NATO Strop tersangkut di celah dahan pokok yang besar. Beliau berusaha untuk melepaskan kabel tersebut tetapi gagal.

Situasi ini telah mencemaskan kru dan juga kedua-dua pesakit. Setelah beberapa kali mencuba, Charles mencadangkan kepada kapten pesawat supaya memotong kabel hoist untuk menyelamatkan pesawat. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh kapten pesawat kerana kedua-dua pesakit akan tercedera atau maut. Sebaliknya, Ahmad Repi  mengarahkan beliau untuk terus mencuba. Walau bagaimanapun, kedua-dua pesakit berjaya menuruni pokok walaupun mereka sedang sakit. Ketiadaan pesakit dalam strecer dan strop memudah ia dinaikkan.

Ahmad Repi seterusnya membuat keputusan untuk terbang ke lokasi kedua meninggalkan empat pesakit yang masih berada di lokasi tersebut buat sementara waktu. Tindakan ini juga bertujuan untuk menyejukkan suhu dan tekanan main gear box yang meningkat akibat terapung dalam tempoh yang agak lama. Mereka tidak menghadapi masalah mengambil keempat-empat pesakit di lokasi kedua melalui kaedah winching juga. Selepas itu, Ahmad Repi kembali ke lokasi pertama dan mereka berjaya menaikkan keempat-empat pesakit tanpa sebarang halangan. Nuri mendarat di Kroh hampir waktu malam bersama semua pesakit di mana mereka mendapat rawatan sewajarnya.

Menurut Brig. Jen.Dato' Rosli Yusof TUDM (B), Mat Repi berpeluh jantan waktu itu. Mana taknya, dah le  terpaksa high hover yang menggunakan 'high torque' mereka berhadapan dengan turbulence! 'Copilot minta handover controls pun dia tak bagi. Capt's pride! He...He.'

Nak tahu kesan turbulence? Ini yang dialami oleh  SAC Dato' Datuk Dr. Leong Chee Woh PGB yang dicatatkan dalam karyanya -  Scorpio On The Dragon’s Demise: The Second Malayan–Communist Insurgency–Emergency, (terbitan 2015, hlm. 240-241). Pilot berhadapan dengan turbulence ketika menaikkan beliau dan sorang rakannya semasa Op Indera Khas di dawasan operasi Bentong, Pahang.  

Selain kemungkinan strecer tersangkut di celah dahan pokok, kehadiran angin kencang juga boleh memudaratkan anggota yang sedang dinaikkan atau diturunkan melalui kaedah winching. Tiupan angin telah membuatkan mereka diayun ke arah rumpun pokok rotan yang dipenuhi duri. Walaupun mereka selamat dinaikkan, terdapat lebih kurang 200 duri di rusuknya. Beliau diberi rawatan di Markas Taktikal, Betong.  

Ada lagi kisah-kisah membabitkan winching. Jika diizinkanNya, boleh le coretkan nanti, in syaa Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan