Pages

Sabtu, 6 Februari 2021

DILEMA

Bersambung dari KLIK DI SINI

 

Nasib 6 RAMD agak malang sekali! Sepanjang diatur gerak ke kawasan operasi Op Selamat Sawadee (22 Julai 1978-31 Ogos 1978), unit tersebut telah mengalami tiga anggotanya terkorban (Killed In Action [KIA]) dan 10 tercedera (Wounded In Action [WIA]). Paling malang terpaksa dipikul oleh Kompeni Delta. Ketiga-tiga KIA membabit anggota kompeni tersebut. Mereka terkorban akibat pertembungan dengan musuh laknatullah. Dua wira negara yang menyahut panggilan Pencipta, 30429 Pbt Mustafa bin Mohd Yusof dan 1015561 Pbt Arif bin Hamid, pada 14 Ogos 1978 telah dikisahkan sebelum ini.

Anggota pertama yang gugur akibat peluru yang tidak kenal sasarannya ialah 22297 L/Kpl Saidi bin Ismail berlaku pada 26 Julai 1978. Pada hari tersebut, Lt Mohd Yunos bin Hassan selaku Ketua Kompeni Delta, mengarahkan tiga kumpulan membuat  rondaan keselamatan (clearing patrol) di kaki bukit. Markas Kompeni terletak di atas bukit. Salah satu kumpulan ini diketuai oleh L/Kpl Saidi dari kumpulan bantuan GPMG, Markas Kompeni.

Malang tidak berbau! Semasa dalam perjalanan balik, pada jam 5:30 petang tanpa sebarang petanda, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Musuh yang siap sedia menunggu ketibaan anggota pasukan keselamatan menyemburkan peluru mereka terhadap peronda. “Allah”: teriak L/Kpl Saidi dan terus tersungkur. Sebutir peluru telah menembusi kening kirinya dan keluar atas cuping telinga kanan! Tetapi beliau masih hidup. Lain-lain anggota  menembak balas. Seperti lazimnya, pengkhianat negara seterusnya beredar. Setelah yakin  musuh telah beredar, kepala mangsa dibalut dengan kain pembalut sementara beberapa anggota membuat strecer dengan menggunakan hammock untuk mengusung L/Kpl Saidi. Walaupun perit  mengusung hingga lutut mencecah dagu mendaki bukit, namun semua keperitan diketepikan demi menyelamatkan rakan seperjuangan.

Pertempuran ini turut didengar oleh Lt Mohd Yunos bin Hassan, Ketua Kompeni. Beliau seterusnya mengarahkan saki baki anggota di Markas untuk ‘stand-to.’ Seterus beliau mengarahkan mereka membantu mengusung L/Kpl Saidi di waktu yang sama menghubungi Markas Taktikal 6 RAMD meminta bantuan helikopter untuk misi casevac. Malam hampir tiba. Mereka mempunyai penuh harapan si Burung Besi akan datang kerana ini adalah casevac, bukan bodevac; mangsa masih hidup dan perlu mendapat rawatan sewajarnya demi untuk menyelamatkannya. Ketika itu masih tiada LP atau kawasan lapang untuk Nuri mendarat. Dalam keadaan ini, mangsa akan dinaikkan melalui kaedah winching. Masalahnya terdapat sebatang pokok besar dan tinggi yang mungkin akan menyukarkan proses menurun dan menaikkan strecer itu nanti. Diameter pokok tersebut bukan sekadar satu pemeluk orang dewasa tetapi beberapa pemeluk. Trup tidak dilengkap dengan mesin gergaji. Jika  guna parang ‘Hak Kerajaan’, mungkin 1-2 hari baru pokok menyembah bumi. Masa begitu kritikal. Lantas, Lt Mohd Yunos mengarah Lt M Ahmad Mohaini meletupkan pokok tersebut dengan PE  (Plastic Explosive). Hanya setelah beberapa letupan, akhirnya pokok tersebut menyembah bumi. Kini, mereka hanya mampu menunggu. Waktu maghrib hampir tiba.

Di Markas Taktikal 6 RAMD, sebaik sahaja menerima permohonan daripada Lt Mohd Yunos, Lt Azuddin bin Bahari selaku Pegawai Risik, bergegas ke CTGHQ untuk bertemu dengan Mej (U) Harun Ayob (PBUB). Kebetulan Kapt (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman dan Kapt (U) Ripin bin Hamid, juruterbang helikopter gempur berada di situ. Pada pagi itu, tiba giliran Kapt (U) Nor Ibrahim bersama Lt M (U) Adzli bin Osman dan Sjn Patrick Lee membuat detasmen di Kroh. Mereka berlepas dari Butterworth dengan pesawat Nuri FM1720. Lt Azuddin memohon kepada PBUB untuk misi casevac. Sudah pasti permohonan diluluskan. Tetapi, “Terpulang kepada Nuri pilot. Tanya pilot.” Respons PBUB. Masalahnya Nuri tidak dibenarkan terbang malam apa tah lagi di kawasan operasi ‘panas’. Jika penerbangan, sebagai contoh dari Kroh ke Butterworth/A. Setar, tidak menjadi masalah. Lagi pula, penerbangan ke lokasi tersebut memerlukan Nuri diiringi oleh helikopter gempur. Sama seperti Nuri, helikopter dilarang terbang malam. Setiap minit cahaya sang suria semakin hampir menghilang.

Seterusnya  Lt Azuddin beralih kepada Kapt (U) Nor Ibrahim: “Tuan, tolong selamatkan orang saya,” merayu Lt Azuddin. Hati mana yang boleh menolak rayuan sebegini! “Pin...Anda OK iringi saya?” Kapten pesawat Nuri ajukan soalan kepada Kapt (U) Ripin. “Nor, tiada masalah.” Respons juruterbang helikopter gempur. Dengan keputusan itu, mereka dihantar ke landasan terbang dan seterusnya terbang ke lokasi terbabit. Dua anggota TPU turut mengiringi Nuri.

Sebelum tiba di lokasi, Lt M (U) Adzli menghubungi Kompeni Delta supaya menembak pistol ‘Very’ apabila melihat atau mendengar kehadiran si Burung Besi bagi memudahkan pesawat mengenal pasti lokasi. Tidak lama kemudian, kru Nuri melihat suar yang dinanti-nantikan itu. Tanpa berlengah, Kapt (U) Nor Ibrahim memaklumkan kepada Kapt (U) Ripin bahawa beliau dalam proses melakukan fasa approach ke lokasi. Helikopter gempur pula orbit di atas lokasi. Cuaca ketika itu menyebelahi mereka. Tiada awan yang boleh membatas penglihatan kedua-dua pesawat sementara angin pula sekadar sepoi-sepoi bahasa sahaja.

Kapt (U) Nor Ibrahim membawa pesawatnya dalam keadaan terapung di atas kawasan yang agak lapang. Dalam hatinya, beliau percaya mungkin musuh masih berada berhampiran  lokasi tersebut dan sedang memerhati gelagatnya. Keadaan ini membuat kapten pesawat  dalam dilema. “Pasang lampu banjir atau tidak?” Jika memang musuh ada berhampiran, pesawat bak kata ungkapan Inggeris: sitting duck. Tiada halangan untuk musuh menjadikannya sebagai sasaran untuk mempraktikkan latihan menembak! Sekiranya ini berlaku, pesawat mungkin berhadapan dengan bencana! Sebaliknya, jika lampu banjir tidak dinyalakan, Sjn Patrick Lee tidak dapat melihat trup di bawah dan menyukarkannya untuk menaikkan mangsa. Selepas mempertimbangkan pilihan yang ada, Kapt (U) Nor Ibrahim mengambil keputusan untuk memasang lampu walaupun mengetahui risikonya.

Sjn Patrick Lee seterusnya menurunkan Strecer Saleh. Sebaik sahaja strecer mencecah bumi, L/Kpl Saidi dimuatkan dan seterusnya dinaikkan. Bohong jika dikatakan suasana yang dihadapi kru ketika itu hanya biasa-biasa sahaja! Di kokpit, kapten pesawat memberi sepenuh tumpuan mengawal pesawat. Tangan kanannya menggenggam cyclic sementara tangan kirinya memegang collective lever manakala kedua-dua kaki berada pada pedal sambil matanya mengimbas panel instrumen.  Manakala tangan kanan Lt M (U) Adzli pula sentiasa pada speed selector levers sambil mengimbas panel instrumen dan di sebelah kiri pesawat. Sekali-sekali kedengaran Lt M (U) Adzli memaklumkan: “Ts & Ps normal.

Lt M (U) Adzli memahami apa yang dilalui oleh Lt M (U) Mohd Johan bin Othman apabila pesawatnya ditembak pada 15 Ogos 1978 yang mengorbankan L/Kpl Ismail bin Ahmad, anggota TPU. Beliau telah mendahului insiden sepertimana yang dialami oleh rakan seperjuangannya itu. Pada 11 Jun 1978, beliau bersama Kapt (U) Chong K.L. serta Sjn Jeyaraju yang mengendali pesawat FM1724 mendarat di LP India. Sebaik sahaja berlepas dengan kaedah ‘spiral climbing’, musuh telah menembak mereka. Sebutir peluru telah menembusi di bahagian atas cermin tengah kokpit yang mana di waktu itu tangan kanan Lt M (U) Adzli memegang kedua-dua speed selector lever. Hanya Allah yang menyelamatkannya!

Kini insiden tersebut bermain-main dan terngiang-ngiang dalam pemikiran Lt M (U) Adzli ketika pesawat dalam keadaan sitting duck. Beliau hanya mampu berdoa: “Ya Allah. Selamatkan kami dari sebarang musibah angkara musuh Islam.” Kedudukan Sjn Patrick Lee pula begitu terdedah kepada tembakan musuh semasa mengendali ‘hoist’ untuk menurun dan menaikkan strecer. Proses menurun dan menaikkan strecer memerlukannya pintu kargo dibuka seluasnya. Beliau berada dalam kedudukan mencangkung dengan tangan kirinya mengendali ‘hoist lever.’

Selain itu, satu lagi aspek yang menghantui kru Nuri ialah mereka berhadapan dengan masalah suhu dan tekanan kotak gear utama meningkat jika berada dalam keadaan terapung yang agak lama. Ini kerana mereka terpaksa menggunakan torque  (kuasa) yang tinggi. Bagi menyejukkan suhu dan tekanan, pesawat perlu terbang semula. Bersandarkan faktor-faktor ini, proses menyelamatkan mangsa perlu dilaksanakan dengan pantas. Mereka tidak mampu berada dalam keadaan terapung buat waktu yang lama bagi mengelak sebarang kemungkinan.

Syukur alhamdulillah proses winching tidak menghadapi sebarang masalah; semuanya berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja Sjn Patrick Lee menarik masuk strecer dengan dibantu oleh anggota TPU di pintu kargo, beliau memberitahu: “Captain,  casevac is dead. Clear to take off. ” Seterusnya, Kapt (U) Nor Ibrahim menarik collective lever dan berlepas sambil menghubungi Baton I. “Baton I, this is Capung 471 Juliet, airborne this time, bodevac on board. Request reception.” Helikopter gempur pula mengekori Nuri. Di waktu itu hari sudah malam. Beberapa minit sebelum mendarat mereka mendapati kegelapan menyelimuti landasan terbang. “Adzli, nampak Kroh?” tanya kapten pesawat kepada Lt M (U) Adzli. “Negatif” respons Lt M (U) Adzli. Namun ini tidak membimbangkan kerana mereka boleh mengenal lokasi tersebut. Kemudian mereka mendapati landasan yang dicerahkan oleh empat buah kenderaan. 6 RAMD telah menghantar kenderaan tersebut ke landasan untuk memasang lampu sebaik mendengar bunyi nyaring enjin helikopter gempur yang begitu unik.

Sebaik sahaja mendarat, mereka disambut oleh Lt Kol Hashim bin Mohd Ali bersama lain-lain anggotanya dan staf dari CTFHQ. Jenazah L/Kpl Saidi dibawa ke Markas Taktikal 6 RAMD. Keesokan hari, jenazah dibawa balik ke Taiping dengan kenderaan. Penerbangan malam itu mencatat 30 minit.

Sebaik sahaja Nuri berlepas, kesunyian malam dalam hutan belantara digegarkan: “boom...boom...boom”. Ketua Kompeni telah meminta bantuan tembakan pasukan meriam. Melalui FOO (Forward Observation Officer) yang ditumpangkan kepada kompeni tersebut,  meriam dari pasukan Meriam di penempatan meriam di LP Foxtrot@Speedy dan ‘Toman’, telah memuntahkan peluru 105 mm ke sasaran yang telah didaftar berhampiran lokasi Kompeni Delta.

Insiden L/Kpl Saidi merupakan penutup musibah yang dihadapi oleh 6 RAMD untuk hari itu, 26 Julai 1978. Sebelum itu, pada jam 12:25  tengah hari, tiga anggota unit tersebut telah tercedera akibat jerangkap samar ketika membuat rondaan keselamatan. Mereka ialah: 1. 20088 L/Kpl Selamat yang cedera di kedua belah kaki dan serpihan di muka; 2. 1012771 Pbt Ahmad yang cedera di muka terkena serpihan; 3. 1012787 Pbt Husin yang kena serpihan di tangan. Mereka telah dihantarkan ke Hospital Pulau Pinang oleh Kapt (U) Nor Ibrahim dan kru.

Keesokan hari, 27 Julai 1978, Lt Kol Hashim telah mengundang kru kedua-dua pesawat untuk minum teh di Markasnya yang terletak di penghujung landasan terbang. Hari berikutnya, 28 Julai 1978, Kapt (U) Nor Ibrahim dan kru dengan diiringi oleh helikopter gempur ditugaskan membuat tugasan ulang bekal ke beberapa LP termasuk untuk Markas Kompeni Alpha, 6 RAMD. Oleh kerana Markas Kompeni masih belum mempunyai penempatan tetap, maka bekalan untuk mereka diturunkan di LP Foxtrot, iaitu penempatan meriam; lebih kurang 1000 meter dari lokasi kompeni tersebut.

Pada pagi itu, anggota Markas Kompeni yang diketuai oleh Kapt Roslan bin Osman bergerak menuju ke LP Foxtrot untuk mengambil bekalan. Pada jam 11:05 pagi, lebih kurang 500 meter dari LP terbabit, mereka berhenti untuk berehat. Sudah ditakdirkan-Nya. 30645 Pbt Rahman bin Yaacob yang mengekori 17975 Kpl Ahmad manakala 31798 Pbt Zulkifli di belakang Pbt Rahman tidak seperti rakan-rakannya yang terus duduk berehat, sebaliknya Pbt Rahman terus bergerak. Apabila beliau melintasi Kpl Ahmad, tiba-tiba “boom.” “Ya Allah.” Pbt Rahman menjerit. Beliau telah terpijak jerangkap samar dan mengalami kecederaan di tumit kaki kiri. Serpihan jerangkap samar turut mencederakan Kpl Ahmad dan Pbt Zulkifli masing-masing di bahagian muka. Lantas Kapt Roslan mengarahkan anak buahnya membuat strecer sambil menghubungi Markas Taktikal 6 RAMD meminta helikopter untuk misi casevac. Seterusnya mereka mengusung ketiga-tiga mangsa ke LP Foxtrot.

Sebaik sahaja menerima permohonan tersebut, PBUB menugaskan Kapt (U) Nor Ibrahim dan kru membuat misi casevac dan menurunkan mangsa-mangsa di Alor Setar. Dengan diiringi oleh helikopter gempur, Nuri berlepas ke LP Foxtrot dan mendarat tanpa sebarang masalah. Seterusnya, mangsa diterbangkan ke Alor Setar. Seperti kebiasaannya, Nuri mendarat berhampiran Kotak ‘Tee’ lubang #2 Kelab Kedah Diraja, Alor Setar. Tiga buah ambulans sedia menunggu ketibaan mangsa-mangsa. Sebaik sahaja kenderaan tersebut beredar, Nuri berlepas balik ke Kroh. 

Anggota kesembilan tercedera akibat jerangkap samar ialah  503167 Pbt Ramli yang tercedera di putus buku lali kaki kirinya pada 26 Ogos 1978, jam 1:40 tengah hari. Mangsa terakhir ialah 1015313  Pbt Sallehudin yang putus ibu jari kaki kanan pada 28 Ogos 1978, jam 9:45 pagi.

Kejayaan perlaksanaan tugasan oleh kru Nuri dan helikopter gempur turut disumbangkan oleh mereka di belakang tabir. Tim kejuruteraan! Mereka bertungkus lumus tanpa mengira waktu dan keadaan cuaca bagi menentukan pesawat berada dalam keadaan sedia untuk membuat sebarang tugasan. Walaupun terpaksa bekerja di waktu panas terik, mereka dengan penuh kegigihan dan dedikasi tetap melakukan. Mereka orang pertama berada di pesawat bagi memastikan pesawat dalam keadaan baik sebelum penerbangan dan orang terakhir meninggalkan pesawat selepas pesawat mendarat.

 Anggota 6 RAMD yang ditimpa musibah angkara pengkhianat negara sepanjang diatur gerak ke Op Selamat Sawadee:

 

KIA

22297 L/Kpl Saidi bin Ismail (26.7.1978)

30249 Pbt Mustafa bin Mohd Yusof (14.8.1978)

1015561 Pbt Arif bin Hamid (14.8.1978)


WIA

20088 L/Kpl Salamat bin Sabran (26.7.1978)

1012771 Pbt Ahmad bin Salleh (26.7.1978)

1012787 Pbt Hussin bin Lazim (26.7.1978)

17975 Kpl Ahmad bin Ismail (28.7.1978)

30645 Pbt Abd Rahman bin Yaacob (28.7.1978)

31798 Pbt Dzulkefle bin Abd Hamid (28.7.1978)

29869 Pbt Tajuddin bin Che Sab (15.8.1978)

30633 Pbt Majeni bin Abd Rahman (16.8.1978)

503167 Pbt Ramli bin Abdul Rahman (26.8.1978)

1015313 Pbt Salehuddin bin Jaafar (28.8.1978)


Kru FM1720. Dari kiri: Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B), Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B), PW II U Patrick Lee (B)

WIA


Penyampaian cek Derma Pertahanan Negara oleh Brig Jen Abdullah bin Shamsuddin, Panglima 8 BIM kepada balu Allahyarham 22297 L/Kpl Saidi bin Ismail di Pasir Mas, Kelantan, pada 1 September 1978. Sumber: Scrap Book 6 RAMD

 

 Pada tahun 2014, saya telah menghubungi Lt Kol Dr. Azuddin bin Bahari (B) (Allahyarham) yang ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tujuan saya adalah untuk mendapat maklumat mengenai Op Selamat Sawadee yang melibatkan 6 RAMD. Saya memperkenalkan diri dan memberitahunya mungkin beliau tidak ingat saya setelah 36 tahun berlalu. “Sudah tentu saya ingat. Saya tidak boleh lupa nama Nor Ibrahim. Tuan telah mengambil arwah Saidi.” Jawapannya sungguh mengharukan saya!

 

 Rujukan:

 

1.     Temu bual dengan Lt Kol Nik Ibrahim bin Hassan (B) aplikasi WhatsApp pada 30 Januari 2021.

2.     Temu bual dengan Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Februari 2021.

3.     Temu bual dengan Kpl Rahman bin Yaacob (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 2 Februari 2021.

4.     Temu bual dengan Mej Ahmad Mohaini bin Mohamed Nor (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Januari 2021.

5.     Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

6.     Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

7.     Scrap Book 6 RAMD.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan