Pengikut

Isnin, 1 Februari 2021

BURUNG BESI PASTI AKAN DATANG, IN SYAA ALLAH

             Sambungan dari KLIK DI SINI

Hari Kelima: 17 Ogos 1978/21 Ramadan 1398H

          Di detasmen No 6 Skuadron, TUDM Butterworth. Awal pagi lagi, kru kejuruteraan sibuk menyediakan empat buah pesawat Canadair CL-41G Tebuan untuk misi mengiringi Nuri dengan memberi bantuan tembakan sepertimana yang diarahkan oleh Pangud semalam. Pesawat dilengkapkan dengan bom 500 lb, roket dan 7.62 mm mesingan Gatling. Pesawat Tebuan akan terbang di atas helikopter gempur dan Nuri selepas menggugurkan muatannya sambil memerhati kawasan yang dilalui Nuri. Sekiranya Nuri ditembak musuh, Tebuan akan membedil dengan musuh. Pengkhianat negara memang gentar dengan tembakan mesingan Gatling yang memuntahkan beribu butir 7.62 mm peluru meliputi kawasan yang luas. Juruterbang yang ditugaskan untuk misi hari itu berada dalam keadaan siap siaga dan teruja untuk berlepas.

          Di LP Victor. Anggota Kompeni Delta sedia maklum bahawa siBurung Besi pasti akan datang untuk mengambil Pbt Majeni bin Abd Rahman. Persoalannya: Bila? Mereka tidak dimaklumkan waktu ketibaan instrumen talian hayat tersebut. Tiada sebarang komunikasi dari Markas Taktikal di Kroh seolah-olah wujud arahan ‘radio silent’. Sehari semalam Pbt Majeni tidak makan kerana khuatir akan memudaratkan keadaannya. Semalaman beliau meracau. Bagi menenteramkannya, Koperal medic menyuntiknya dengan morfin dan beri ‘drip’. Beliau bernasib baik kerana terkena tembakan raifal M16 yang guna kaliber peluru 5.56 mm. Dua butir peluru terbenam dalam perutnya. Selain senjata jenis ini, pengkhianat negara juga mempunyai raifal AK-47 dengan peluru 7.62 mm dalam inventori mereka. Sekiranya beliau ditembak dengan AK-47, peluru akan menembusi perutnya dan keadaan beliau akan lebih serius. Kemungkinan misi bukan lagi casevac tetapi bodevac!

“Bilalah Nuri nak datang ambil aku”: bisik hati Pbt Majeni. Minit demi minit beliau menunggu. Satu penyeksaan!  Walaupun cedera, beliau sedar apa yang berlaku di LP dan masih boleh bercakap. Lt M Ahmad Mohaini sedia maklum apa yang bermain dalam pemikiran trup ketika itu. “Jangan bimbang. Si Burung Besi pasti akan datang. Nuri tidak akan hampakan kita, in syaa Allah. Percayalah”. Beliau memberitahu anggotanya bagi menenteramkan kegelisahan mereka. Ungkapan seperti ini sangat penting demi menjaga morel trup. Mereka perlu diyakinkan bahawa mereka tidak akan abaikan sekiranya mereka ditimpa musibah seperti yang dialami oleh rakan seperjuangan mereka itu. Kebajikan mereka diutamakan.

          Di Kroh. Sebaik sahaja matahari terbit, tim kejuruteraan memeriksa FM1720 dan helikopter gempur untuk menentukan pesawat dalam keadaan untuk melakukan tugasan CSAR. Pagi itu, kru Nuri diberi tugasan tambahan oleh Mej (U) Harun Ayob. Selepas menghantar Pbt Majeni ke Alor Setar, mereka seterusnya dikehendaki membuat tugasan ulang bekal kepada pasukan keselamatan yang beroperasi di kawasan sempadan Malaysia/Thailand di Padang Sanai sebelum kembali ke Kroh.  Untuk tugasan ini, Kpl Shafie dan L/Kpl Malik bertugas sebagai anggota TPU. Selain itu, turut mengiringi Nuri ialah seorang pegawai perubatan dari RSAT Kroh, seorang medic dan Lt M (U) Wan Ampan yang ditumpangkan ke Kompeni Delta. Beberapa kotak rangsum dan peluru juga dinaikkan kerana kompeni tersebut kekurangan bekalan terbabit.  Lt Kol (U) Su K.C. bertegas mahu menyaksikan penamat episod menyelamatkan wira negara. Tetapi kali ini beliau mahu melihat dari sudut helikopter gempur pula. Beliau menaiki pesawat tersebut yang hanya boleh mengambil seorang penumpang sahaja.  

          Setelah menyediakan Nuri dan helikopter gempur, tim kejuruteraan memulakan tugasan untuk membaiki FM1725. Untuk memasang kipas utama, trup turut membantu. Tidak lama kemudian, sebuah pesawat Alouette III tiba di Kroh untuk mengambil kru feri FM1720.

Pemasangan sebilah kipas utama FM1725 untuk mengganti kipas yang ditembusi sebutir peluru dengan dibantu oleh anggota pasukan keselamatan. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Manusia hanya mampu merancang, Allah menentukannya. Menurut rancangan, penerbangan casevac dilancar di waktu pagi. Tetapi seperti biasa, di awal pagi itu, ruang angkasa Kroh diselubungi kabus dan awan di paras rendah. Kini giliran Nuri dan helikopter gempur pula terpaksa menunggu untuk berlepas. Sementara menunggu, Panglima 2 BIM mengadakan perbincangan dengan stafnya di CTFHQ yang turut dihadiri oleh Lt Kol Hashim Md Ali (CO 6 RAMD), Lt Kol David Herman (CO 2 Meriam), Lt Kol (U) Su K.C., Mej (U) Harun Ayob dan kru kedua-dua helikopter. Mereka membincangkan rancangan misi tersebut dan mengkoordinasi pergerakan pesawat Tebuan. Faktor cuaca di kawasan berhampiran LP Victor akan menentukan ‘time over target (TOT)’ untuk pesawat Tebuan menggugurkan muatannya di sasaran.

Mengikut perancangan, pesawat Tebuan akan menggugurkan muatan mereka di kawasan yang sudah dikenal pasti disusuli dengan helikopter gempur membedil kawasan berhampiran LP dan di laluan Nuri. Seterusnya Mej (U) Stephen Ngiau akan memberi lampu hijau kepada Kapt (U) Chong K.L. untuk Nuri mendarat. Bagi memudahkan komunikasi antara pesawat, mereka mengguna radio UHF (Ultra High Frequency).

Pada lebih kurang jam 3:00 petang, keadaan cuaca elok. Penduduk Kroh yang nyenyak tidur untuk melalikan puasa terbangun dek bunyi enjin pesawat Tebuan melintas di ruang angkasa pekan mereka. Di waktu yang sama, kedua-dua helikopter berlepas dari Kroh. Mereka menunggu di ruang angkasa lokasi yang telah ditentukan sementara Tebuan memuntahkan muatan mereka. Misi ini perlu dilaksanakan dengan pantas kerana mengambil kira  endurance’ pesawat yang hanya lebih kurang satu jam sahaja.

Misi tidak semudah seperti yang dijangka. Di kawasan yang jadi sasaran Tebuan masih terdapat kelompok-kelompok awam. Keadaan begini menyukarkan mereka mengambil tindakan sewajar. Selain itu, mereka tidak dibantu dengan sebarang petanda seperti belon atau pun bantuan dari pesawat FAC (Forward Air Controller) yang kebiasaan dimainkan oleh pesawat Alouette III. Mereka hanya bersandarkan kepada ‘Mark II Eyeballs’...mata; Anugerah Maha Pencipta. Di samping itu, mereka perlu berwaspada semasa menggugurkan muatan kerana kedudukan LP Victor berhampiran dengan sempadan Thailand. Tersilap pembedilan mungkin mengakibatkan kemusnahan terhadap tanaman atau kehilangan nyawa di kawasan negara Gajah Putih.  Jika ini berlaku, lain pula ceritanya!

Inlive” kedengaran dari sebuah pesawat Tebuan. Sjn Mohsain menyaksikan beberapa roket dilancar dari pod roket di bawah sayap Tebuan. Juruterbang terbabit melepaskan beberapa roket di kawasan yang agak jauh dari yang sepatutnya setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut. Seterusnya, juruterbang tersebut  memberitahu juruterbang helikopter gempur: “Scorpian, All yours.” Lantas Mej (U) Stephen Ngiau menuju ke LP Victor. Sebaik berada di sasaran, beliau memberi arahan kepada Sjn Baki: “turning left, 60 knots, target at 3 o'clock, ref foothills, at your time...fire.” “Boom...boom...boom.” Jurumesingan memuntahkan 20 mm HE di kawasan berhampiran LP Victor dan laluan Nuri.

Di LP Victor, Lt M Ahmad Mohaini yang berada di tempat pendaratan tidak terlihat kelibat Tebuan atau pun terdengar letupan roket. Tetapi beliau mendengar bunyi nyaring Alouette III yang sememangnya tidak asing pada trup diikuti letupan 20 mm HE. Kelibat helikopter gempur menandakan Nuri akan tiba dalam masa terdekat. Tetapi, bayang Nuri masih tidak dilihatnya. Sementara itu, Lt Yunus Hassan, Ketua Kompeni,  mengarahkan anggotanya bersedia untuk mengusung Pbt Majeni ke tempat pendaratan sebaik sahaja beliau melihat helikopter gempur.

Setelah selesai tembakan, Mej (U) Stephen Ngiau memberi lampu hijau untuk Kapt (U) Chong K.L. untuk mendarat. Nuri yang ketika itu berada di luar pandangan trup di LP Victor di ketinggian lebih kurang 2500 kaki, dengan pantas menurunkan collective lever dan menjunamkan pesawat untuk melakukan penerbangan taktikal seperti yang dilakukan semalam. Manakala tangan kanan Lt M (U) Johan memegang kedua-dua speed selector lever. Kelibat tindakan ini penyebab Lt M Ahmad Mohaini tidak nampak Nuri kerana si Burung Besi terbang hanya lebih kurang 50 kaki dari kanopi pokok.  Beliau hanya sedar kehadiran Nuri apabila secara tiba-tiba melihat Nuri mendongak dalam keadaan terapung beberapa kaki di atas tempat pendaratan sebelum mula menurun.

Kapt (U) Chong K.L. tidak mendarat sepenuhnya tetapi membawa pesawatnya dalam keadaan ‘light on the wheel’, iaitu gear terapung-rapung beberapa inci dari tempat mendarat. Sementara menunggu ketibaan Pbt Majenin, Sjn Mohsain memberi isyarat kepada Lt M Wan Ampan untuk turun. “Cepat...Cepat”. Pegawai muda tersebut sempat menurunkan dua kotak peluru sebaik sahaja Pbt Majenin tiba di pintu kargo. Sjn Mohsain dengan dibantu oleh Kpl Shafie yang berada di pintu kargo dengan GPMG menolak strecer dalam kabin. Seterusnya Sjn Mohsain memaklum kepada kapten pesawat; “Casevac on board. Back clear. Clear to take off.”   Pegawai perubatan dan medic pula baring di atas lantas.

Setelah mengimbas panel instrumen yang menunjukkan semuanya normal, Kapt (U) Chong K.L. merentap collective lever ke tahap maksimum torque untuk beberapa saat sambil memaklum helikopter gempur dan Tebuan: “taking off.” Mereka berlepas dari LP Victor pada lebih kurang jam 4:00 petang. Setelah itu, beliau menukar arah pesawat menuju ke Alor Setar. Pesawat Tebuan dan helikopter gempur beredar terbang balik destinasi masing-masing. Misi casevac berjaya dilaksanakan.

Nuri mendarat berhampiran Kotak ‘Tee’ lubang #2 Kelab Kedah Diraja, Alor Setar pada jam lebih kurang jam 4:45 petang. Sebuah ambulans sedia menunggu ketibaan mangsa. Sebaik sahaja kenderaan tersebut beredar, pesawat berlepas bersama dengan pegawai perubatan dan medic ke Padang Sanai seperti yang ditugaskan. Mereka tidak turun bersama mangsa kerana mereka difahamkan Nuri akan terbang balik ke Kroh selepas melaksanakan tugasan tambahan. Di Padang Sanai, kru melaksanakan tugasan menghantar rangsum kepada trup sebelum terbang balik pada lebih kurang jam 6:00 petang. Oleh kerana hari sudah lewat petang, Kapt (U) Chong K.L. membuat keputusan untuk terbang balik ke Butterworth dan akan terbang ke Kroh keesokan pada. Hasrat ini dimaklumkan kepada Baton I yang tiada halangan. 

Sebaik sahaja mendarat di Butterworth pada lebih kurang jam 6:50 petang, Kapt (U) Chong K.L. menghubungi Bilik Operasi Pangkalan untuk mengatur penginapan dan makan untuk pegawai perubatan dan anggota medic; anggota TPU telah disediakan kemudahan penginapan sementelah mereka ditumpangkan ke No 3 Skuadron. Peluru pula dihantar ke stor senjata manakala rangsum tinggal dalam pesawat. Sjn Mohsain dan penumpang-penumpang Islam berbuka puasa dengan air kosong di Bilik Anak Kapal No 3 Skuadron.

             18 Ogos 1978/22 Ramadan 1398H

Pagi-pagi lagi keesokan hari, Kapt (U) Chong K.L., Lt M (U) Mohd Johan dan Sjn Mohsain serta pegawai perubatan, TPU dan medic sudah berada di No 3 Skuadron. Peluru juga sudah dimasukkan ke dalam pesawat FM1720. Selain itu, Lt (U) Mohd Amin, Lt M (U) Mohd Som dan Sjn Gregory Charles turut mengikuti penerbangan tersebut. Mereka ditugaskan membawa balik FM1725 yang kerosakan utama sudah diperbaiki untuk pemeriksaan selanjutnya. Sementara itu, seperti kebiasaannya, singgahan pertama Kol (U) Fauzi Hussain ialah Bilik Operasi No 3 Skuadron sebelum pergi ke pejabatnya di Markas Pangkalan. Beliau akan membelek 'Autho Sheet' (Tanda-Tanda Kebenaran Rekod Ujian-Ujian Dan Waktu Penerbangan/Authorisation And Record Of Flight Duty Exercise And Times) hari itu dan hari-hari sebelumnya. Dokumen ini antara lain mencatatkan kru, nomber pesawat, tugasan, jam berlepas/mendarat, jam penerbangan dan muatan. 

Well done Chong, Johan, Mohsain. Syabas kepada anda semua” sambil berjabat tangan dengan mereka, pegawai perubatan, TPU dan medic.  Hilang keletihan dan perasaan gundah-gulana!  Seterusnya, mereka berlepas ke Kroh untuk meneruskan detasmen sehingga 24 Ogos 1978. Sebentar kemudian, sebuah lagi helikopter gempur yang dikendalikan oleh Kapt (U) Ripin Hamid dan jurumesingan berlepas ke Kroh. Keperluan helikopter gempur kedua ini selari dengan arahan Pangud supaya dua buah helikopter gempur mengiringi Nuri apabila melakukan ke LP tertentu. Apabila mendarat, tugasan sudah menunggu kru Nuri. Antara tugasan ialah menghantar bekalan ke LP Victor yang terbengkalai semalam. Lt (U) Mohd Amin dan kru pula feri FM1725 ke Butterworth.

Penglibatan pesawat Tebuan dalam usaha menyelamatkan Pbt Majeni bin Abd Rahman menyaksi ATM sama sekali tidak akan mengabai keselamatan anggotanya dalam apa jua sekali pun. Menyelamatkan nyawa anggota keselamatan mengatasi segala keutamaan. Tiada siapa yang akan ditinggalkan. Kru Nuri berhadapan dengan risiko tinggi dalam melaksanakan tugasan kerana mereka ‘diburu bukannya pemburu’. Namun demikian, ancaman diketepikan bagi menyelamatkan wira-wira yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini dari jatuh kepada golongan yang tidak percaya kepada sebarang agama. Walaupun terdapat kelewatan dalam melaksanakan tugasan tetapi bukan disengajakan. Perlaksanaan misi terbatas kepada beberapa faktor seperti cuaca dan juga tahap keselamatan di kawasan terbabit.

Ungkapan Mej Ahmad Mohaini memaparkan penghargaannya terhadap kegigihan dan dedikasi kru Nuri melaksanakan dalam keadaan yang begitu getir: “Jika saya bertemu kru Nuri yang menyelamatkan anggota 6 RAMD, saya akan peluk mereka. Terima kasih.”

Petikan catatan  ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan PW U I Mohsain bin Hashim pada 17 Ogos 1978: C 476J – KROH-LP-A.STAR-P.SENAI-BW. Sumber: PW U I Mohsain bin Hashim (B)

Kru FM1720 pada 17 Ogos 1978. Dari kiri: Kapt Mohd Johan bin Othman, Lt Kol Frank Chong K.L. TUDM (U), PW U I Mohsain bin Hashim (B) 


Allahyarham L/Kpl Majeni bin Abd Rahman bersama Allahyarham isteri, Allahyarham anak lelakinya (kiri) dan dua lagi anaknya. Sumber: Lt Kol Nik Ibrahim bin Hassan (B)

Rujukan:

1.  Temu bual dengan Lt Kol Chong K.L. TUDM (B) PTU melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Januari 2021.

2.  Temu bual dengan Mej Ahmad Mohaini bin Mohamed Nor (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Januari 2021.

3. Temu bual dengan Kapt Mohd Johan bin Othman melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Januari 2021.

4.  emu bual dengan PW U I Mohsain bin Hashim (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 30 Januari 2021.

5.  Temu bual dengan Lt Kol Nik Ibrahim bin Hassan (B) aplikasi WhatsApp pada 30 Januari 2021.

6.    Temu bual dengan Kol Bhupinder Singh TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 31 Januari 2021.

7.   Temu bual dengan PW U I Mohd Ismail bin Mohd Hashim (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 31  Januari 2021.

8.  Temu bual dengan PW U I Baharuddin bin Saad (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Februari 2021.

9.     PW U I Mohsain bin Hashim (B). Buku Log Penerbangan.

10. Kol Mohd Amin bin Mohd Razi TUDM (B). Buku Log Penerbangan.

11. Kapt Mohd Johan bin Othman. Buku Log Penerbangan.

12. Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 169-173.


         Posting selepas ini akan datang masih ada kaitan dengan 6 RAMD, wallahualam.

Tiada ulasan: