Pages

Khamis, 25 Februari 2021

SIBKI...MENGUCAP

Insiden Allahyarham L/Kpl Ismail bin Ahmad, anggota Tim Penyelamat Udara (TPU) yang terkorban akibat terkena tembakan musuh durjana pada 16 Ogos 1978 (KLIK DI SINI), bukanlah insiden pertama dan terakhir berlaku kepada anggota TPU. Insiden kedua berlaku pada 31 Oktober 1978. Kebetulan insiden ini melibatkan kru Nuri yang sama, iaitu Kapt (U) Chong K.L., Lt M (U) Mohd Johan bin Othman dan Sjn Mohsain bin Hashim. Kali ini Sjn Hamzah De Souza turut sekali. Beliau ikut bersama untuk membantu Sjn Mohsain dalam persediaan Sjn Mohsain menghadapi ujian naik taraf standardisasi ke kategori ‘Bravo’. Mereka berlepas dari Butterworth pada pagi 27 Oktober 1978 dengan pesawat FM1720 apabila tiba semula giliran mereka membuat detasmen di Kroh.

Di Kroh, selain sebuah Nuri, dua buah helikopter gempur juga membuat detasmen bermula pada 25 Oktober 1978. Pesawat tersebut ialah FM1314 yang dikendalikan oleh Lt M (U) Jamal bin Abu Bakar bersama jurumesingan sementara pesawat kedua, FM1315, dikendalikan oleh Lt M (U) Mazlan bin Abas bersama Sjn Mohd Ismail bin Mohd Hashim. Selain itu, anggota TPU dari Skuadron X-ray sudah berada di Kroh.

Sama seperti kru pesawat Nuri dan helikopter gempur, tiba giliran 8 Renjer yang berpangkalan di Kem Sulva Line (kini Kem Tambun), Ipoh, diatur gerak ke Op Selamat Sawadee menggantikan 6 RAMD. Markas Kompeni Charlie, 8 Renjer, yang diketuai oleh Kapt Othman bin Abdul Hamid, terletak di atas sebuah bukit yang juga merupakan tempat pendaratan Nuri - LP Echo. Pada awal Oktober 1978, Kapt Othman telah mengarahkan Lt M Govindaraj a/l Kanappan, Ketua No 8 Platun, untuk melakukan serang hendap terhadap musuh. Kekuatan platun ialah 16 orang anggota termasuk 931478 Rjr Gary a/k Jilek yang ditumpangkan dari Platun Rintis Serang (Assault Pioneer Platoon). 

Sebaiknya menerima arahan tersebut, Lt M Govindaraj bersama 15 orang anggotanya bergerak menurun bukit untuk meninjau lokasi yang sesuai untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Hasil tinjauannya,  Lt M Govindaraj mengenal pasti satu lokasi yang difikirnya sesuai untuk menyerang hendap musuh. Kedudukan lokasi tersebut hanya lebih kurang 700-800 meter dari LP Echo. Mereka ‘bermastautin’ di situ. Pada lebih kurang jam 8:00 pagi, 31 Oktober 1978, mereka bersedia untuk melakukan serang hendap, namun sebaliknya yang berlaku. Memang tepat ungkapan ‘siapa cepat dia dapat’. Tanpa disedari oleh Lt M Govindaraj dan anak buahnya, musuh mengambil kesempatan kegelapan di awal pagi untuk berada di lokasi serang hendap menunggu pasukan keselamatan.

Pada lebih kurang jam 8:00 pagi, sebaik sahaja Lt M Govindaraj dan anak buahnya berada dalam ‘zon bunuh’ musuh: “bang...bang...bang”. Musuh menyerang hendap mereka. Serang hendap atas serang hendap! “Tuan saya sudah kena...tuan saya sudah kena'. Kedengaran teriakan Rjr Gary. Sebutir besi panas menciumi daging bahagian tangan kanannya. Lain-lain anggota bergegas mencari tempat perlindungan. “Tembak”. Lt M Govindaraj mengarah orangnya menembak balas sambil menghubungi Markas Kompeni memberitahu pertempuran tersebut dan anggotanya yang cedera. Pertempuran tidak lama. Sepertimana lazimnya, musuh yang terkenal dengan taktik ‘pukul dan lari’ beredar dari situ.  

Sebaik sahaja yakin bahawa petualang negara telah berundur, Lt M Govindaraj menyuntik morfin kepada Rjr Gary serta mengarah beberapa orangnya membalut luka mangsa dan membuat strecer dengan menggunakan hammock. Di waktu yang sama, beliau menghubungi Markas Kompeni meminta Nuri untuk misi casevac. Lt M Govindaraj nekad mahu memburu petualang negara. Mereka tidak boleh dibiar begitu sahaja. “Aku mesti kejar mereka” bermain dalam fikirannya. Lantas, beliau mengarah beberapa anggota mengusung Rjr Gary balik ke LP Echo. Sementara beliau dan beberapa anggota pula memburu musuh sehingga 1000 meter dari tempat kejadian.

Namun, pemburuan mereka tidak membuahkan hasil. Kegagalan mengesan musuh tidak menghairankan kerana selok-belok kawasan itu bak tapak tangan mereka sementelah ia merupakan padang permainan mereka. Lt M Govindaraj seterusnya membuat keputusan membatalkan pemburuan dan bergegas untuk menyertai anggota yang sedang mengusung Rjr Gary. Mereka selamat tiba LP Echo pada lebih kurang 11:00 pagi. Anggota medic seterusnya memberi rawatan terhadap  mangsa. Nasib Rjr Gary agak baik. Beliau tidak mengalami kecederaan parah yang boleh mengancam nyawanya.

Sebaik sahaja Kapt Othman menerima berita pertempuran daripada Ketua Platunnya, beliau menghubungi Markas Taktikal 8 Renjer yang bertempat di Kroh. Permohonan ini dipanjangkan kepada CTFHQ untuk kelulusan PBUB. Lulus! Susulan itu, pada jam 8:35 pagi, semua kru pesawat, iaitu Nuri dan dua buah helikopter gempur diberi amaran awal oleh Kapt Hamdan, G3 (Air), CTFHQ bahawa Nuri diperlukan membuat misi casevac melibatkan Rjr Gary. Taklimat Kapt Hamdan  merangkumi insiden yang berlaku ke atas No 8 Platun dan ketika itu trup masih dalam perjalanan mengusung mangsa ke LP Echo. Mangsa dikehendaki dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Sebaik sahaja taklimat berakhir, F/Sjn Hamzah dan Sjn Mohsain berjalan ke landasan terbang untuk menyediakan pesawat untuk misi casevac. Penerbangan ini akan diiringi oleh dua orang anggota TPU, iaitu 24317 L/Kpl Mohd Temiri bin Abdul Rahman dan 24794 L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh.

Sebagai persediaan untuk misi casevac ini, tembakan meriam dirancang dengan Fire Support Coordination Centre (FSCC)  untuk pasukan Meriam membedil kawasan yang telah ditetapkan sebelum Nuri mendarat di LP Echo. Pada jam 11:00 pagi, Kapt Hamdan memberitahu kru bahawa Rjr Gary telah ditiba LP Echo.

Pada jam 11:25 pagi, ketiga-tiga pesawat berlepas dari Kroh. Kedudukan L/Kpl Mohd Temiri dengan senjata M16 berdiri di pintu kabin sementara L/Kpl Mohd Sibki yang bersenjatakan GPMG berada di pintu kargo. Penerbangan didahului oleh kedua-dua helikopter gempur. Nama panggilan untuk pesawat yang dikendalikan oleh Lt M (U) Mazlan ialah Scorpion One’ manakala ‘Scorpion Two’ untuk Lt M (U) Jamal. Nuri mengekori Scorpian Two. Di waktu yang sama: “boom...boom...boom”. Seperti yang dirancang, tiga laras meriam dari penempatan satu trup Pasukan Meriam memuntahkan berpuluh-puluh peluru 105 mm HE terhadap sasaran yang telah didaftarkan. Apabila menghampiri destinasi,  Kapt (U) Chong K.L. mengimbas kedudukan LP Echo untuk menentukan arah yang akan diambilnya untuk mendarat. Beliau seterusnya memberitahu Scorpian One dan Scorpian Two melalui radio UHF: “Scorpian One and Two, my approach from South-East”. “Roger”; respons kedua-dua helikopter gempur.

Setelah bedilan meriam berhenti, juruterbang Scorpian One memberitahu jurumesingan: “At your own time, fire”. “Boom...boom...boom”, letupan 20 mm HE. Selepas itu kedengaran:  “480 Juliet, you are cleared to land.” Arahan yang ditunggu-tunggu oleh kapten pesawat Nuri. Sepertimana yang kebiasaan yang dilakukannya, Kapt (U) Chong K.L. melaksanakan penerbangan taktikal. Lantas tangan kirinya menurunkan ‘collective lever’ dengan segera di waktu yang sama tangan kanannya menolak ‘cylic’ ke hadapan. Kesannya membuat pesawat menjunam. Manakala tangan kanan Lt M (U) Mohd Johan pula memegang kedua-dua ‘speed selector levers’ di bahagian atas di cermin tengah pesawat. Kapt (U) Chong K.L. menerbangkan pesawatnya lebih kurang 50 kaki dari ketinggian pokok-pokok.

Apabila pesawat berada lebih kurang 40 kaki dari tempat mendarat, Sjn Mohsain pula buka pintu kargo. L/Kpl Mohd Sibki berdiri di kiri pintu menghadapi Sjn Mohsain sementara F/Sjn Hamzah pula berdiri di belakang L/Kpl Mohd Sibki. Sebaik sahaja pesawat berada dalam keadaan terapung yang menghadap arah barat, Kapt (U) Chong K.L. mula menurunkan pesawat untuk mendarat. Pada jam 12:04 tengah hari, apabila pesawat berada lebih kurang 2-3 kaki dari bumi, tiba-tiba: “bang...bang...bang”. Kru terdengar tembakan senjata kecil. Mereka melihat trup lintang-pukang berlari mencari tempat perlindungan. Si Burung Besi bak kata pepatah Inggeris sebagai “sitting duck” dijadikan “target practice” oleh petualang negara untuk menajamkan kemahiran mereka!

Oh no. Not again. Damned bloody bastards.”  Sungguh geram Kapt (U) Chong K.L. “Allah”, luahan terpacul dari mulut Lt M (U) Mohd Johan. Dalam kabin pula, terdengar: “Ya Allah” terpacul dari mulut L/Kpl Mohd Sibki sebelum tersungkur atas lantai. Sudah ditakdirkan oleh Maha Pencipta. Sama seperti yang mengorbankan L/Kpl Ismail bin Ahmad pada 16 Mei 1978, sebutir peluru telah menembusi rusuk L/Kpl Mohd Sibki. Melihat keadaan L/Kpl Mohd Sibki, Sjn Mohsain memberitahu kapten pesawat: “kapten, Sibki kena tembak.” Keadaan dalam pesawat sungguh kelam kabut.

Aircraft being shot. Taking off”, Kapt (U) Chong K.L. memberitahu Scorpian One dan Scorpian Two sambil mengimbas panel instrumen. Lt M (U) Mohd Johan yang tangan kanan masih pada speed selector levers memaklumkan: “Ts & Ps normal”. Seperti kilat Kapt (U) Chong K.L. merentap collective lever ke tahap maksimum torque. Pesawat melonjak naik dengan pantas. Seterusnya beliau menolak cyclic ke hadapan untuk mendapatkan kelajuan 110 knots. Di waktu yang sama, beliau memaklumkan kepada kedua-dua helikopter gempur  anggaran kedudukan musuh.

Semasa Nuri dalam proses menaik, L/Kpl Mohd Temiri bergegas ke rakan seperjuangan yang tertiarap di lantai. Beliau dengan berhati-hati meletakkan kepala L/Kpl Mohd Sibki atas ribanya sambil berbisik ditelinga mangsa: “Sibki...mengucap. La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah.” Namun tiada sebarang respons. L/Kpl Mohd Sibki sudah menyahut panggilan penciptanya! “Kapten, Sibki meninggal.” Sjn Mohsain memberitahu Kapt (U) Chong K.L.

Baton One. This is Capung 480 Juliet. Aircraft being shot. One KIA. Estimated landing Kroh 1210 hours. Request reception.” Kapt (U) Chong K.L. menghubungi Baton One.  Sebaik sahaja Nuri beredar, Scorpian One dan Scorpian Two memuntahkan beratus-ratus 20 mm HE ke arah lokasi yang dimaklumkan oleh kapten pesawat Nuri.

Nuri mendarat di Kroh pada jam 12:10 tengah hari. Selain anggota CTFHQ dan pegawai perubatan, sebuah ambulans sedia menunggu di landasan terbang. Pegawai perubatan menaiki pesawat untuk memeriksa mangsa dan seterusnya beliau mengesahkan L/Kpl Mohd Sibki telah meninggal dunia. Jenazah seterusnya dibawa ke RSAT untuk tindakan selanjutnya. Selepas ambulans beredar, L/Kpl Mohd Temiri terduduk di tangga pintu kabin. Air matanya mengalir mengenang rakan seperjuangannya yang pergi buat selama-lamanya di atas riba!

Kru Nuri dan tim kejuruteraan melakukan pemeriksaan terhadap pesawat. Mereka mendapati beberapa butir peluru telah menembusi fiuslaj pesawat. Selain itu, sebutir peluru telah menembusi tayar roda belakang (tail wheel). Kerosakan ini tidak memudaratkan untuk diterbangkan balik ke Butterworth. 

Pada petang itu, sebuah Nuri berlepas dari Butterworth ke Kroh. Misi pesawat ialah untuk membawa jenazah L/Kpl Mohd Sibki balik ke kampungnya di Kati, Kuala Kangsar untuk disemadikan. Sebaik sahaja Nuri tersebut berlepas, Kapt (U) Chong K.L. dan kru terbang balik ke Butterworth sementelah detasmen mereka telah berakhir. Mereka disusuli oleh Lt M (U) Jamal bersama Sjn Ismail yang mengendali helikopter gempur FM1314 balik ke Butterworth.

Keesokan hari, 1 November 1978, sebuah Nuri berlepas dari Butterworth untuk mengganti Kapt (U) Chong K.L. dan kru di Kroh. Sepertimana yang dijangka, antara tugasan mereka hari itu ialah untuk membawa keluar Rjr Gary. Selepas makan tengah hari, kru Nuri dan helikopter gempur, FM1315 yang dikendalikan oleh Lt M (U) Mazlan bersama jurumesingan, diberi taklimat oleh Pegawai Risik sebelum penerbangan selari dengan prosedur yang telah ditetapkan.

Penerbangan casevac diiringi oleh L/Kpl Temiri dan Tpr Salehuddin. Kali ini, L/Kpl Temiri berdiri di pintu kargo sementara Tpr Salehuddin di pintu kabin.  Seperti yang telah ditetapkan dalam prosedur, sebelum mendarat meriam membedil kawasan berhampiran LP Echo dan disusuli helikopter gempur pula membedil di laluan approach Nuri dan sekeliling kawasan LP tersebut. Nuri mendarat dengan selamat dan setelah Rjr Gary dinaikkan ke dalam pesawat, Nuri berlepas untuk menghantar Rjr Gary ke Hospital Pulau Pinang. Setelah menurunkan mangsa tersebut, Nuri berlepas ke Kroh untuk menyambung detasmen. 

Anggota pasukan keselamatan yang berada di Kroh memberi penghormatan terakhir kepada jenazah L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh yang diusung ke sebuah Nuri untuk penerbangan terakhirnya ke kampungnya di Kati, Kuala Kangsar pada 1 November 1978 untuk disemadikan. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron  

Kru Scorpian One, FM1315, pada 31 Oktober 1978. Dari kiri: Mej Jen Dato’ Mazlan bin Abas TUDM (B), PW U II Mohd Ismail bin Mohd Hashim (B)

Rujukan:

1.      Temu bual dengan PW U I Mohsain bin Hashim (B) aplikasi WhatsApp pada 21 Februari 2021.

2.      Temu bual dengan Mej Govindaraj A/L Kanappan (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Februari 2021.

3.      Scrap Book No 3 Skuadron. Hostile Action Report bertarikh 1 November 1978.

4.      Kapt Raja Mohamed. Buku Penerbangan Anak Kapal.

5.      Kapt Mohd Johan bin Othman. Buku Penerbangan Anak Kapal.

6.      PW U I Gregory Charles (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

7.      PW U II Mohd Ismail bin Mohd Hashim (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan