Bersambung dari Klik Di SINI
Sebaik sahaja menerima permohonan casevac tersebut, CTFHQ telah memanjangkannya kepada Mej (U) Harun Ayub untuk kelulusan. Beliau sedia maklum tahap keselamatan LP Victor tetapi ini melibatkan nyawa wira negara. Mangsa mesti diselamatkan. Noktah. Selain menyelamatkan nyawa, usaha ini akan menjaga morel anggota pasukan keselamatan selari dengan Prinsip Peperangan No 2: Mengekal Morel/Maintenance of Morale. Justeru, beliau meluluskan permohonan tersebut dan memperuntukkan sebuah Nuri untuk melakukan tugasan casevac tersebut dengan diiringi oleh sebuah helikopter gempur. Keputusan ini akan mendedahkan kru Nuri kepada ancaman musuh tetapi inilah risiko yang perlu diambil oleh kru Nuri! Menyelamatkan Pbt Majeni mengatasi ancaman yang mungkin dihadapi.
Sementelah Mej (U) Stephen Ngiau dan
Kapt (U) Chong K.L. berada di Mes
Pegawai yang bersebelahan CTFHQ, mereka dipanggil ke bilik operasi untuk diberi
taklimat. Dalam taklimatnya, Mej (U) Harun Ayob memberitahu sebelum mengambil Pbt
Majeni Nuri di LP Victor dan menghantarnya ke Alor Setar, Nuri dikehendaki
menghantar bekalan ke LP Victor One Bar (V-) yang menempatkan anggota Bn 9
Pasukan Polis Hutan (PPH). Penghantaran ini selari dengan Prinsip Peperangan No
7: Memaksimumkan Keupayaan (Economy of
Effort). Jumlah aset pertahanan yang terbatas ini perlu dioptimumkan
penggunaannya. Manakala taklimat oleh Kapt Mahbob pula merangkumi tahap
keselamatan di LP Victor. Beliau
mengesahkan bahawa kawasan perimeter 300 meter dari LP adalah selamat.
Selepas taklimat, mereka beredar ke
landasan. Sjn Mohsain dan anggota TPU yang sedang rancak bercerita, terhenti
apabila melihat Lt Kol (U) Su K.C., Mej
(U) Stephen Ngiau dan kapten pesawatnya datang ke arah mereka. “Kita
dikehendaki buat casevac sekarang.” Kapt (U) Chong K.L. memberitahu
tugasan mereka. Apabila mendengar lokasi casevac tersebut, kedengaran keluhan Lt (U) Zainal Piee:
“Oh..Oh. Victor lagi!” Apa pun, itu bukan masalahnya lagi. Sjn Mohsain yang
sedang dalam proses menggoreng cucur kodok terus berhenti. “Dah tak ada rezeki
makan cucur kodok untuk berbuka nanti,” bisik Sjn Mohsain.
Seperti biasa, tugasan ini
memerlukan dua anggota TPU mengikuti Nuri; seorang dalam keadaan bersedia di
pintu kabin pesawat manakala seorang lagi di pintu kargo. Kebiasaannya, anggota
di pintu kargo membawa General Purpose Machine Gun (GPMG). Pada hari itu,
giliran tugasan TPU ialah Kpl Shafie dan Tpr Jamian
bin Wahab. Kpl Shafie dalam loghat Negeri Sembilan berkata: "Den poi..den
dapek lobih, biar den kojo lobih." Secara spontan L/Kpl Ismail Ahmad pula
menjawab: “Koperal, biar saya sahaja yang pergi.” Mereka seterusnya bergegas ke
pesawat untuk membuat persediaan.
Setelah rangsum dinaikkan ke dalam
pesawat, Kapt (U) Chong K.L. berlepas dengan pesawat FM1725 dari Kroh ke LP
Victor One Bar pada kira-kira jam 3:00 petang. Turut mengikuti penerbangan ini
ialah Lt Kol (U) Su K.C. walaupun semalam (15 Ogos 1978) beliau telah
didedahkan kepada tembakan musuh. Selain itu, seorang pegawai perubatan dan seorang
anggotanya (medic) turut mengikuti penerbangan tersebut. Kedudukan
anggota TPU semasa penerbangan tersebut ialah L/Kpl Ismail Ahmad di pintu kargo
dengan GPMG sementara Tpr Jamian di pintu kabin dengan raifal Colt M16.
Penerbangan tersebut diiringi
Sebaik sahaja Nuri dan helikopter
gempur berlepas, Kapt (U) Nor Ibrahim berlepas balik ke Butterworth. Sebentar
kemudian, FM1723 yang membawa Pangud dan rombongan dari Pulau Pinang mendarat
di Kroh. Beliau disambut oleh Panglima 2 BIM, Brig Jen Mohamed Daud bin Abu
Bakar. Para tetamu dibawa ke CTFHQ untuk diberi taklimat mengenai perkembangan
Op Selamat Sawadee dan membincang langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi
mengelak siBurung Besi terus menjadi buruan petualang negara.
Seperti yang diarahkan, Kapt (U)
Chong K.L. mengendalikan pesawatnya ke destinasi pertama, itu LP Victor One
Bar. Pendaratan di LP ini dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Setelah
menurunkan muatan, pesawat berlepas untuk ke LP Victor. Sebaik sahaja Nuri
berlepas, helikopter gempur orbit di atas LP Victor One Bar, menukar arah ke LP
Victor sementara Nuri mengekorinya. Sebaik sahaja tiba di destinasi, Mej (U)
Stephen Ngiau mengarah Sjn Baharuddin untuk memuntahkan peluru 20 mm HE di
kawasan 300-500 meter dari LP tersebut dan di laluan Nuri. “Boom...Boom...Boom”
letupan lebih kurang 500 butir peluru. Kapt (U) Chong
K.L. memerhati tindakan pesawat pengiringnya di ketinggian lebih kurang
2500 kaki.
Sejurus Kapt (U) Chong K.L. mendengar “Juliet,
clear to land” dari Mej (U) Stephen Ngiau. Sebaik sahaja mendapat arahan
tersebut, sama seperti yang dilakukan oleh Lt (U) Zainal Piee semalam, Kapt (U) Chong K.L. menurunkan ‘collective lever’
dan menjunamkan pesawatnya hingga 50 kaki dari kanopi hutan. Tidak
menghairankan tindakan ini boleh membuat penumpang yang baru makan mengalami
makanan tersebut keluar semula!
Sementara itu, Ketua Kompeni yang melihat helikopter gempur mengarahkan
anak buahnya mengusung Pbt Majeni ke tempat pendaratan. Beliau turut mengiringi
Pbt Majeni ke LP yang dikawal oleh Lt M Ahmad
Mohaini. Walaupun cedera tetapi Pbt Majeni tidak meraung kesakitan kerana terus
diberi suntikan morfin. Beliau yang sebelum ini ternanti-nanti menunggu
ketibaan Nuri untuk menyelamatnya, begitu gembira apabila melihat Nuri
menghampiri LP; “syukur alhamdulillah, selamat aku.”
Apabila pesawat berada lebih kurang 20 kaki dari LP, Kapt (U) Chong K.L.
memberitahu Sjn Mohsain: “crewman clear opening cargo door." Lantas Sjn Mohsain membuka
pintu kargo dan memberitahu: “tail clear right is clear.” Sambil
bertanya ko-pilot: “confirm left clear co-pilot.” “Left Clear.”
Respons Lt M (U) Mohd Johan.
Sjn Mohsain meneruskan pattering:
“forward ten...hold your height…forward eight…sis…five…four. Clear turning
anti clock.” Pada jam 3:40 petang, ketika pesawat berada lebih
kurang lima kaki untuk mendarat, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Kapt (U)
Chong K.L. terkejut sebutir peluru menembusi cermin sebelah kanannya (captain’s
side window) dan melintas hanya 2-3 inci di hadapan mukanya. Di samping
itu, beliau terasa kepanasan melepasi kaki kirinya tanpa menyedari sebutir
peluru telah menembusi sut penerbangannya dan hampir menciumi kakinya! Di waktu yang sama, sebutir peluru menembus
cermin tengah (centre windscreen). “Ya Allah” terpacul dari mulut Lt M
(U) Mohd Johan Othman. Peluru hampir terkena tangan kanannya berada pada speed
levers di bahagian cermin tengah. Kapt (U) Chong K.L. menjerit: "Bastards...We are being
shot."
Sama seperti Lt M (U) Mohd Johan
Othman, ayat yang pertama terpacul dari mulut Sjn Mohsain: “Allah.” Lantas,
beliau menjerit kepada anggota TPU: “Tembaaak.” Tpr
Jamian terus menembak tetapi tiada sebarang respons dan tindakan dari L/Kpl
Ismail. Lantas Sjn Mohsain sekali lagi menjerit: “Ismail... tembaaak.” Tetapi
masih tiada respons. “Mengapa Ismail tidak tembak?” Ini membuta menoleh ke
belakang. Soalannya terjawab apabila melihat anggota tersebut kaku dan darah
keluar dari badan sebelah kiri. L/Kpl Ismail Ahmad mengalami cedera parah.
Patutlah tiada sebarang respons dari L/Kpl Ismail Ahmad apabila beliau mengarahnya
untuk membalas tembakan musuh. Manakala Lt Kol (U) Su K.C. pula terpacul dari
mulutnya: “Oh bloody hell...not again!” Hanya semalam beliau mengalami insiden yang sama. Secara
spontan beliau terus meniarap atas lantai sambil mengarah pegawai perubatan dan
anggotanya melakukannya.
Berpantang ajal sebelum maut dan
malang tidak berbau! Sjn Mohsain walaupun melutut di tepi pintu kargo untuk pattering
dan terdedah kepada tembakan musuh namun peluru tidak menciumi sebaliknya L/Kpl
Ismail Ahmad yang berdiri di belakangnya, sebutir peluru telah menembusi
rusuknya. Beliau terduduk di atas tempat duduk sambil memeluk GPMGnya. Di era
itu, bahagian hadapan dan belakang baju kalis peluru yang dipakai oleh kru dan
anggota TPU dicantum dengan ikatan tali di kiri dan kanan baju tersebut. Ini
bererti bahagian rusuk pemakai tidak terlindung. Ini yang berlaku kepada L/Kpl
Ismail Ahmad!
Di LP pula, trup berlari mencari
tempat perlindungan. Pbt Majeni yang sedang diusung dan ketika itu berada hanya
lebih kurang 12 kaki dari pesawat, dengan pantas diusung ke tempat yang
selamat.
Setelah mengimbas panel instrumen
yang tiada menunjukkan sebarang abnormal kepada suhu dan tekanan enjin dan
kotak gear utama (main gear box), lantas Kapt (U) Chong K.L: “Crewman...take
off”. “Back clear. Clear to take off.” Respons Sjn Mohsain. Dengan
spontan Lt M (U) Mohd Johanmenolak kedua-dua speed
selector lever ke hadapan sehingga tahap maksimum. Tindakan ini bagi
mendapat 102 Nr, iaitu putaran kipas utama yang secara automatik menurun buat
seketika apabila kapten pesawat merentap collective lever untuk
menaikkan pesawat. Semasa menolak speed selector lever, Lt M (U) Mohd
Johansempat memohon kepada Allah: “Ya
Allah, peliharalah kami semua” sambil menurunkan ‘visor’ topi
penerbangannya (flying helmet).
Sebaik sahaja Nuri menaik dan
menutup pintu kargo, Sjn Mohsain memberitahu Kapt (U) Chong K.L: “captain... Ismail is motionless.” Lantas kapten pesawat menghubungi
POBUB: “Baton One,
this is Cepung 475J. Aircraft being shot. Commando seriously wounded.
Proceeding to Ban Chan Tharat to check aircraft.” Beliau memaklum POBUB bahawa beliau akan mendarat di
landasan terbang di Ban Chan Tharat untuk memeriksa
keadaan pesawatnya. Mej (U) Stephen
Ngiau turut mengiringi FM1725 ke Ban Chan Tharat.
Sjn Mohsain dan Tpr Jamian
seterusnya membaringkan L/Kpl Ismail Ahmad. Sjn Mohsain membuka baju kalis
peluru mangsa dan dijadikan bantal. Begitu remuk hati mereka melihat L/Kpl
Ismail Ahmad terbujur kaku. Melihat rakan seperjuangannya kaku, Tpr Jamian membisikkan
kalimah keramat "Lailahaillallah Muhammad Rasulullah" ke telinga
L/Kpl Ismail Ahmad. Sementara itu, pegawai perubatan dan anggotanya merawat
mangsa sewajarnya dan membalut tersebut.
Setelah berlepas dari LP Victor,
Kapt (U) Chong K.L. membuat keputusan untuk terbang rendah ke Ban Chan Tharat
yang jaraknya lebih kurang lima minit penerbangan. Tindakan ini diambil bagi
memudahkannya mendarat sekira beliau berhadapan dengan keadaan kecemasan.
Sebaik sahaja mendarat, kru melakukan pemeriksaan ke atas. Selain lubang-lubang
kesan tembakan di fiuslaj dan cermin di kokpit, mereka tidak mengesan kerosakan
ke atas komponen. Setelah yakin pesawat selamat diterbangkan, mereka berlepas
untuk ke Kroh. “Baton One, this is Cepung 475J. Airborne Ban Chan
Tharat. Request reception for casevac.” Sama seperti penerbangan ke Ban
Chan Tharat, Kapt (U) Chong K.L. terbang rendah dengan kaedah IFR; bukan untuk Instrument
Flight Rules tetapi “I Follow Road!” Beliau mengikuti jalan raya
yang membawa ke Betong dan seterusnya ke Kroh. Penerbangan ini di awasi oleh
helikopter gempur.
Mereka mendarat dengan selamat pada
lebih kurang jam 4:20 minit petang. Pangud dan rombongan yang baru selesai
mendengar taklimat serta Panglima 2 BIM bergegas ke landasan terbang sebaik
sahaja dimaklumkan FM1725 mendarat. Mereka mahu melihat keadaan mangsa yang
bersabung nyawa dek keganasan pengganas komunis sebelum ambulans yang sedia
menunggu membawa L/Kpl Ismail Ahmad ke RSAT.
Semasa FM1725 mendarat, Lt (U)
Zainal Piee dan kru dalam proses menghidupkan enjin FM1724 untuk terbang balik
ke Butterworth. Turut menumpang pesawat ini ialah Kapt (U) Siran bin Che Mat,
Jutra No 3 Skuadron yang mengetuai detasmen anggota kejuruteraan. Beliau
dikehendaki balik ke Butterworth. Sebelum berlepas, Lt (U) Zainal Piee sempat
melihat bahagian kiri sut penerbangan Kapt (U) Chong K.L. yang koyak akibat
terkena peluru.
Pangud dan rombongan seterusnya
memeriksa keadaan FM1725. Dalam keadaan keselamatan LP Victor tidak terjamin,
timbul persoalan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan
Nuri untuk mengambil Pbt Majini. Bagi tujuan itu, Pangud membuat keputusan untuk melancar CSAR
(Combat
Search and Rescue).
Beliau mengarah gerak empat buah pesawat Tebuan untuk membedil kawasan
berhampiran LP Victor disusuli helikopter gempur menyembur peluru 20 mm sebelum
Nuri mendarat. Oleh kerana kesuntukan masa, CSAR akan dilakukan keesokan hari,
17 Ogos 1978. Selain itu, beliau juga mengarahkan dua buah helikopter gempur untuk mengiringi Nuri ke LP-LP tertentu. Selepas itu, Pangud dan rombongan berlepas
balik ke Butterworth.
Selepas pesawat yang membawa Pangud
berlepas, Kapt (U) Chong K.L. dan kru serta tim kejuruteraan melakukan
pemeriksaan secara terperinci dan menyeluruh ke atas FM1725. Selain cermin di
kokpit dan lubang-lubang kesan peluru menembusi fiuslaj, mereka mendapat
sebilah kipas utama juga ditembusi peluru. ‘Blade Indicator Method (BIM)’
di pangkal kipas utama (main rotor blades) telah bertukar warna. Keadaan ini menunjukkan
kekurangan gas nitrogen dalam ‘spar’ kepada bahagian kipas utama.
Apabila membuka penutup ‘tail rotor
drive shaft’
di bahagian atas ‘pylon’, mereka mendapati ‘shaft’ tersebut turut menjadi mangsa
keganasan musuh. Sebutir peluru telah menembusinya dan dalam keadaan bengkok
yang terok. Shaft ini menyambung kotak gear utama ke kipas ekor (tail
rotor blades). Jika ia patah, kipas ekor akan berhenti putaran. Dalam
keadaan begini, fiuslaj akan berputar bertentangan dengan putaran kipas utama
tanpa kawalan selari dengan Prinsip Newton ketiga yang menyatakan bahawa
‘setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud
sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.’ Jika shaft ini patah
semasa dalam penerbangan, hanya Allah SWT yang boleh melindungi mereka!
Ketika mahu mengambil night stop
kit
dalam kabin, Kapt (U) Chong K.L. mendapati beg golf beliau turut ditembusi
sebutir peluru. Sebaik sahaja memeriksa kelab-kelab golf dalam beg, terpacul
dari mulutnya: “bloody communists. Siapa nak bayar untuk mengganti
shaft golf club ini? Komunis ke?” Beliau mendapati kelab ‘pitching
wedge’ patah akibat terkena tembakan musuh. Kapt (U)
Chong K.L. sungguh berang. Mana tidaknya, sudahlah seorang wira negara
terkorban, mereka hampir maut dan harta kerajaan rosak, sekarang harta
persendiriannya juga ‘terkorban’.
Kerosakan yang dialami FM1725
memerlukan alat ganti. Keperluan ini dipanjangkan oleh POBUB kepada Bilik
Operasi Pangkalan Butterworth yang seterusnya memaklumkan kepada No 3 Skuadron
untuk tindakan selanjutnya. Selain itu, skuadron juga dikehendaki menghantar
sebuah Nuri ke Kroh pada hari itu juga untuk mengganti FM1725.
Di RSAT, pegawai perubatan
memberitahu L/Kpl Ismail Ahmad perlu dihantar ke hospital untuk merawatnya;
mangsa kehilangan banyak darah. Masalahnya, kini hanya ada dua buah helikopter
gempur di Kroh. Itu sahaja pilihan yang ada dalam keadaan yang begitu getir
ketika itu! Justeru, PBUB mengarahkan sebuah helikopter gempur untuk membuat
tugasan casevac. Sementelah Kapt (U) Jalil Ghani akan
balik ke Butterworth petang itu, tugasan ini diamanahkan kepadanya. Masalahnya,
dalam peranan helikopter gempur, tiada ruang untuk mangsa dibaringkan kerana
lantai di bahagian kiri pesawat dikeluarkan untuk memasang mesingan MG 151/20
dan ‘bin’ untuk peluru; hanya ada satu tempat duduk di belakang
juruterbang. Selain itu, pintu gelangsar (sliding door) di sebelah kiri juga tidak
dipasang. Kepincangan ini diketepikan; keutamaan ialah menyelamatkan L/Kpl
Ismail Ahmad. Dalam keadaan kecemasan ini, Lt Kol (U) Su K.C, membenarkan Kapt (U) Jalil Ghani membuat
penerbangan tersebut.
Dengan kelulusan itu, tim
kejuruteraan membuka mesingan dan bin. Apabila pesawat telah siap, L/Kpl Ismail Ahmad dalam berada dalam keadaan separa
sedar didudukkan atas kerusi yang satu itu manakala Sjn Baharuddin pula duduk
di atas lantai. Beliau guna ‘monkey harness’
sebagai langkah keselamatan untuk dirinya. Pada jam lebih kurang jam
5:40 petang, FM1315 bersama L/Kpl Ismail Ahmad berlepas ke Pulau Pinang. Semasa
dalam penerbangan, Sjn Baharuddin mendapati darah
mengalir dari tubuh L/Kpl Ismail Ahmad akibat ditiup angin. Bagi mengurangkan
pendarahan, Sjn Baharuddin memegang mangsa sehingga darah membasahi sut
penerbangannya. Pesawat mendarat di padang polo pada lebih kurang 6:40 petang
di mana sebuah ambulans dan beberapa orang pegawai dari 2 Divisyen sedia
menunggu. Walau bagaimanapun, wira negara L/Kpl Ismail
Ahmad telah menyahut panggilan Ilahi! Sebaik sahaja ambulans meninggalkan
padang polo, Kapt (U) Jalil Ghani dan Sjn Baharuddin berlepas balik ke TUDM
Butterworth. Mereka berbuka puasa dalam pesawat dengan minum air sahaja.
Di
dewan makan di Kroh, Sjn Mohsain dan rakan-rakan sedang menunggu laungan azan
Maghrib untuk berbuka puasa. Sementara menunggu, mereka berbual mengenai
insiden hari itu. Tiba-tiba seorang anggota TPU masuk ke dewan mengumumkan
bahawa L/Kpl Ismail Ahmad telah menyahut panggilan Ilahi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun" (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita
kembali). Al-Fatihah. Mereka terdiam. Suasana menjadi suram. Mereka berbuka ala
kadar sahaja. Sjn Mohsain pula hilang selera untuk
menjamah cucur kodok tepung yang beliau dan L/Kpl Ismail Ahmad goreng petang tadi sebelum penerbangan casevac.
Sebaik
sahaja selesai berbuka, mereka semua terus beredar balik bilik tidur. Sambil
berbaring, Sjn Mohsain terngiang-ngiang mengenang senyuman arwah L/Kpl Ismail Ahmad yang begitu teruja menceritakan
beliau tidak lama akan bergelar bapa setelah menunggu selama tujuh tahun. Tanpa
diduga, senyuman bakal seorang bapa tengah hari tadi merupakan senyum terakhir
L/Kpl Ismail Ahmad! Kini harapan menimang cahaya mata pertama telah terkubur.
Beliau tidak dapat bayangkan keadaan apabila berita kematian L/Kpl Ismail Ahmad
sampai di kampung halamannya nanti.
Beliau terus terlelap. Sama seperti Sjn Mohsain, Lt M (U) Mohd Johan terus
balik ke bilik selepas berbuka. Beliau terngiang-ngiang mengingati peluru
menembusi cermin pesawat yang hampir meragut nyawa mereka. Beliau memanjat
kesyukuran kepada Allah yang masih beri peluang untuk beliau menikmati
rahmat-Nya. Ajal dan maut semua telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Di
Butterworth, pada lewat petang sebuah Nuri, FM1720 sebagai pengganti FM1725
bersama tim kejuruteraan dan alat ganti yang diperlukan berlepas dari
Butterworth. Pesawat mendarat di Kroh sebelum berbuka puasa. Kru pesawat
bermalam di Kroh dan balik ke Butterworth keesokan hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan