Pages

Jumaat, 14 Mei 2021

Sebiji telur pun tak pecah - Bhg 2

 Sambungan dari SINI....

Pihak atasan TUDM membuat keputusan untuk membaiki FM1405. Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada wira-wira di belakang tabir, iaitu Bahagian Kejuruteraan. Tugasan ini melibatkan AIROD (Aircraft Overhaul and Repair Depot), Subang. Bagi memudahkan pemindahan pesawat itu, beberapa komponen dibuka dan terbangkan oleh Nuri dari No 7 Skuadron ke Sibu sebelum diterbangkan ke Kuching.

Nuri FM1712 yang dikendalikan oleh Lt (U) Fauzi Narawi, Lt M (U) Wong Y.F. dan F/Sjn Muthu dalam proses untuk mengangkat enjin Caribou pada 30 November 1978. Sumber: Kapt Wong K.F.

Nuri FM1712  mengangkut enjin Pratt & Whitney R-2000-7M2 Twin Wasp melalui kaedah ‘underslung’ untuk diterbangkan lebih kurang 20 minit ke Sibu. Sumber: Kapt Wong K.F.


Setelah Caribou FM1405 sudah sedia untuk dipindahkan ke Kuching, persoalan yang menghantui para perancang ialah bagaimana fiuslaj pesawat tersebut dibawa ke Kuching? Apakah instrumen yang berupaya memindahkan pesawat tersebut dari sawah padi? Nuri tidak mempunyai keupayaan untuk mengangkut pesawat tersebut. Persoalan ini timbul kerana lokasi tersebut membatas  kenderaan yang sesuai untuk mengangkutnya. Masalah ini terungkai apabila Lt Jen (U) Mohamad bin Taib, Ketua Turus Tentera Udara (KTTU; pra-gelaran Panglima Tentera Udara [PTU]), menghubungi Komander, Pacific Air Forces (PACAF), Hawaii. Beliau menyuarakan kepada Komander tersebut sekira dapat membantu untuk mengangkut pesawat Caribou bila elemen Pacific Command berada di perairan berhampiran Sarawak. KTTU sedia maklum antara aset helikopter dalam inventori Pacific Command ialah CH-53 Sea Stallion dan CH-47 Chinook. Kedua-dua jenis pesawat ini mampu mengangkut DHC-4A Caribou. 

Permohonan PTU mendapat respons positif kerana hubungan antara kedua-dua Tentera Udara adalah baik. Pada 23 April 1979, sebuah helikopter CH-53 Sea Stallion dari kapal U.S.S. Tarawa, iaitu kapal pendarat amfibi (amphibious assault ship) yang beroperasi berhampiran Sarawak, berlepas ke Kpg Kuala Matu untuk mengangkut FM1405 ke kapal induk tersebut. Di Kuching pula, sebuah Nuri, FM1702, yang dikendalikan oleh Kapt (U) Mohd Affendi bin Mustafa bersama Lt M (U) Razali bin Sani dan Sjn Pak Singh dengan beberapa orang anggota kejuruteraan berlepas ke Kpg Kuala Matu. Anggota kejuruteraan ditugaskan untuk menyediakan pesawat FM1405 sebelum ketibaan CH-53 Sea Stallion. Seterusnya Kapt (U) Mohd Affendi mengiringi  CH-53 Sea Stallion ke kapal. Mereka diberi kebenaran untuk mendarat atas U.S.S. Tarawa Pendaratan S61A-4 Nuri, FM1702, mencatat satu sejarah apabila pesawat tersebut merupakan satu-satunya pesawat tentera asing buat pertama mendarat di atas kapal U.S.S.Tarawa.  Ini dirakamkam dalam laporan 'Command History': "During this evolution the first landing on TARAWA by a foreign military service aircraft occurred, and was made by a S-61 helicopter, side number 749J, from the Malaysian Air Force." Kapt (U) Mohd Affendi dan kru juga diberi kesempatan mengikuti pelayaran lebih kurang tiga jam ke persisiran Kuching. 


Petikan daripada Command History (OPNAV Report 5750-1) (U), U.S.S. TARAWA. ‘749J’ adalah nama panggilan yang diperuntukkan untuk tugasan hari itu.  Sumber: Department of the Navy: U.S.S. TARAWA


Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan PW U I Pak Singh Johal (B) pada 23 April 1979: B749J QA (Kuching)-CRASH SITE-USS TARAWA-QA. Sumber: PW U I Pak Singh Johal (B)   

Kapal U.S.S. Tarawa. Sumber: PW U I Pak Singh (B)


CH-53 Sea Stallion ‘underslung’ Caribou FM1405 dari Kpg Kuala Matu, Sarawak ke kapal U.S.S. Tarawa pada 23 April 1979. Sumber: G. Howe, 31st MAU, U.S.S. Tarawa


FM1405 di atas dek U.S.S. Tarawa. Sumber: G. Howe, 31st MAU, U.S.S. Tarawa


Nuri FM1702 mencatat sejarah sebagai pesawat tentera asing pertama mendarat di atas kapal U.S.S. Tarawa. Sumber: PW U I Pak Singh (B) 


Kru Nuri FM1702 bergambar dengan anak kapal U.S.S. Tarawa. Kru Nuri dari kiri: Sjn Pak Singh, Kapt (U) Mohd Affendi bin Mustafa, Lt M (U) Razali bin Sani. Sumber: PW U I Pak Singh (B)


Seterusnya, CH-53 Sea Stallion menerbangkan FM1405 dari kapal ke TUDM Kuching. Pesawat tersebut diiringi oleh Nuri  FM1702 yang memainkan peranan sebagai platform untuk komunikasi antara kedua-dua helikopter dengan Menara Kawalan Kuching. Ketibaan pelawat di TUDM Kuching disambut oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol (U) Lim Way Ann, Mej (U) Abdul Rahim bin Abdul Rahman (Ketua No 7 Skuadron) dan beberapa orang pegawai dan anggota pangkalan. Orang berbudi kita berbahasa. Kru CH-53 Sea Stallion diberi cenderahati sebelum berlepas balik ke kapal U.S.S. Tarawa.

Kepakaran anggota Barisan Kedua Kejuruteraan, TUDM Kuala Lumpur, dan DEBKAT (AIROD), Subang, berjaya membaik pulih Caribou FM1405 pada Mei 1982. Kini pesawat tersebut perlukan menjalani ujian penerbangan (flight test) sebelum disahkan memenuhi kelayakan udara (airworthiness). Aspek ujian penerbangan ini membabitkan pematuhan beberapa protokol yang ditetapkan untuk pesawat setelah menjalani baik pulih. Antara protokol berkenaan ialah ‘stall calibration’ dan ‘compass swing.’ Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Kapt (U) Sukaimi bin Yahya, juruterbang No 1 Skuadron merangkap Pemeriksa untuk juruterbang pesawat Caribou. Beliau bersama Lt M (U) Liew Hon Seng dan seorang kuatermaster udara dari No 1 Skuadron berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan penerbangan berjadual C130 Hercules. Pada 7 Mei 1982, setelah hampir tiga tahun FM1405 dipindah dari sawah padi 23 April 1979, Kapt (U) Sukaimi dan kru berlepas dari lapangan terbang Kuching untuk penerbangan di ruang angkasa Kuching. Penerbangan  ulung sejak mendarat di Kpg Kuala Matu pada 23 November 1978.

Penerbangan ini disaksi oleh anggota kejuruteraan yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan pesawat  kembali kepada status layak terbang. Sebaik sahaja pesawat mendarat, mereka begitu teruja apabila Kapt (U) Sukaimi memberitahu bahawa pengendalian pesawat tidak menghadapi masalah serius. Keesokan hari 8 Mei 1982, Kapt (U) Sukaimi dan kru meneruskan ujian sebelum berlepas ke Labuan untuk melakukan compass swing. Mereka bermalam di Labuan. Pada 10 Mei 1982, mereka berlepas ke Keningau, kawasan pedalaman Sabah, untuk ujian compass swing. Ujian ini dilakukan di landasan terbang Keningau. Setelah ujian dilakukan, mereka berlepas semula ke Labuan sebelum terbang balik ke Kuching pada tengah hari. Setelah berpuas hati pesawat memenuhi kriteria kelayakan udara, pada 12 Mei 1982, FM1405 yang dikendalikan oleh Kapt (U) Sukaimi dan kru berlepas dari Kuching untuk penerbangan lebih kurang empat jam balik ke pangkalannya di Kuala Lumpur setelah ditinggalkannya pada 23 November 1978.

Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan Kapt Sukaimi bin Yahya pada 7 Mei 1982: AIR PERFORMANCE TEST AFTER CAT 4 REPAIR – MAIDEN FLIGHT. Sumber: Kapt Sukaimi bin Yahya    


Januari 1983 menyaksikan nombor pendaftaran FM1405 bertukar kepada M21-05. Pertukaran ini sejajar dengan dasar TUDM menukar semua nombor pendaftaran pesawat dari penggunaan abjad ‘FM’ (Federation of Malaysia) kepada ‘M’ (Malaysia) dalam inventorinya. Walau bagaimanapun, perkembangan semasa menyaksikan perkhidmatan pesawat Caribou dari No 1 Skuadron di Semenanjung berakhir pada 1992. Pada tahun tersebut, No 1 Skuadron dan No 8 Skuadron digabungkan sebagai No 1 Skuadron dan berpangkalan di Labuan. Namun, penepatan di Labuan berakhir pada 1996 apabila skuadron tersebut dipindahkan ke PU Kuching.  

Pada akhir tahun 1999, TUDM membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat Caribou setelah 33 tahun (1966-1999) menyumbang bakti selama kepada negara. Tetapi malang sekali, penamatan perkhidmatan pesawat Caribou diakhiri dengan  tragedi. Ia membabit pesawat  M21-05@FM1405! Pesawat tersebut yang mula mendarat di Malaysia pada  Mac 1969 dari Kanada, mengakhiri hayatnya pada 24 Mei 1999

Pada hari tersebut, Kapt Asri bin Abdullah TUDM bersama kru, iaitu Kapt Johari bin Pomin TUDM, Sjn (U) Mili bin Mat dan Sjn (U) Adnan bin Arifin serta Kapt Salleh bin Abdul Malek TUDM diperuntukkan pesawat M2105 untuk penerbangan latihan. Kapt Johari bin Pomin TUDM dan Salleh bin Abdul Malek TUDM sedang menjalani kursus peralihan penerbangan sebagai pembantu juruterbang pesawat Caribou manakala Sjn (U) Adnan bin Arifin pula membuat persediaan sebelum menjalani ujian standardisasi ke kategori ‘C’. Sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Kuching, pesawat mengalami kerosakan satu enjin dan terhempas di hujung landasan pada jam 1:15 tengah hari. Nahas telah meragut kesemua lima anggota dalam pesawat

Keadaan pesawat Caribou M21-05 (FM1405) yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Kuching pada 24 Mei 1999, jam 1:15 tengah hari dan mengorbankan kesemua lima anggota di dalamnya. Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

Laporan akhbar Utusan Malaysia, 25 Mei 1999. Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

    

Rujukan:

            1.                Temu bual dengan Kapt Dato’ Faisal bin Yusof  melalui melalui telefon pada 14 Mac 2021.

            2.                Temu bual dengan Brig Jen Dato’ Koh Kia Lim TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 17                 Mac 2021.

            3.                Temu bual dengan Kol Ramlan bin Kasbi TUDM (B) melalui telefon pada 19 Mac 2021.

            4.                Temu bual dengan PW U I Abdul Aziz bin Sarip (B) melalui telefon pada 19 Mac 2021.

           5.                Temu bual dengan PW U I Othman bin Sabirin (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mac 2021.

           6.                Temu bual dengan PW U I Mohd Faizul bin Abdullah (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19                   Mac 2021.

           7.                Temu bual dengan Kapt Wong Yoon Fatt melalui aplikasi WhatsApp pada 23 Mac 2021.

           8.                Temu bual dengan Brig Jen Dato’ Abdul Rahim bin Abdul Rahman PGB PTU TUDM (B) melalui             aplikasi WhatsApp pada 28 Mac 2021.

            9.                Temu bual dengan Mej Jen Dato’ Latip bin Ismail TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada                  28 Mac 2021.

            10.             Temu bual dengan mantan Sjn U Shab Abdullah di Darulaman Heights pada 29 Mac 2021.

            11.             Temu bual dengan Lt Kol Husamudin bin Yaacob TUDM (B) melalui telefon pada 2 April 2021. 

            12.             Temu bual dengan Kapt Sukaimi bin Yahya melalui aplikasi WhatsApp pada 11 April 2021.

           13.             Temu bual dengan Lt Kol Abdul Rahman bin Hj Taib TUDM (B) melalui WhatsApp pada 14                   April 2021.

           14.             PW U I Arumugam a/l Manickam (B), Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

           15.             PW U I Pak Singh (B), Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

           16.             Kapt Wong Yoon Fatt, Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

            17.             Kapt Sukaimi bin Yahya, Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

           18.             Department of the Navy, Command H i s t o r y (OPNAV Report 5750-1) (U), LHA1/37:djt 5750              s e r C-04, 18 April 1980. Lihat https:// www.history.navy.mil›nhhc›pdf › 979 (diakses pada 7 April                       2021).

            19.             New Straits Times, How ‘Misty 53’ came to grief..., 28 November 1978.

            20.             Utusan Malaysia, 5 maut nahas Caribou, 25 Mei 1999.

           21.        AIROD ditubuhkan pada 1975 sebagai sebahagian daripada Bahagian Kejuruteraan TUDM.                         Elemen  tersebut diswastakan pada 1985; entiti kerajaan pertama yang diswastakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan