Pages

Selasa, 10 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 4

 Sambungan dari SINI...

Kebebasan bermaharajalela yang PKM kecapi setelah anggota PPH berundur dari Betong tidak lama. Hanya lebih kurang 6 bulan sahaja! Kebebasan berakhir apabila kerajaan Seni Pramoj, Perdana Menteri, digulingkan pada Oktober 1976 oleh tentera. Penggantinya, Thanin Kraivichien yang anti-komunis, membuka lembaran baharu terhadap kerjasama ketenteraan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara.

Ketegasan rejim Thanin Kraivichien membanteras aktiviti pengganas komunis diterjemah apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk melancar Operasi Bersama pada Januari 1977 walaupun Perjanjian Kerjasama Sempadan masih belum ditandatangani. Op Daoyai Musnah I telah dilancar di kawasan timur Sadao pada 14 Januari 1977 hingga 5 Februari 1977.  

Pada 4 Mac 1977, ‘General Border Committee’ telah bersidang di Bangkok. Malaysia diwakili oleh Tengku Ahmad Rithauddeen selaku Menteri Luar Negeri. Beliau dan rakan sejawatnya, Dr. Upadit Pachariyangkut telah menandatangani Perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand terhadap Kerjasama Sempadan (Agreement between the Government of Malaysia and the Government of Thailand on Border Co-operation).

Dalam perjanjian ini, pihak Thai dengan rasminya tidak membenarkan pasukan keselamatan Malaysia berpangkalan di Betong seperti sebelum ini. Terma ini dijelaskan dalam Artikel III, perenggan 3 yang mencatat:   “...no Security Forces of one country will be stationed in the territory of the other. The Security Forces taking part in the operations will return to their respective home bases at the conclusion of each particular operation.”[i]

Selain itu, istilah hot pursuit juga tidak wujud lagi. Bagaimanapun, masih ada kelonggaran semasa melaksana operasi kategori ‘Operasi Unilateral,’ iaitu operasi yang melibat satu pihak sahaja. Perjanjian tersebut dengan jelasnya bersetuju: “In the event of a contact with the enemy, the Security Forces of either country can effect border crossing.” Dengan mematuhi syarat-syarat tertentu. Lebih kurang sama seperti hot pursuit. Sebenarnya, semakan semula perjanjian 1970, pihak Thai menentang terma hot pursuit ini. Alasan mereka ialah  “...it was of very limited value to Thailand.”[ii] Dengan kata mudah, tidak memberi faedah kepada mereka. Mungkin pasukan keselamatan Thai tidak akan berhadapan dengan masalah mereka memburu pengganas komunis yang merentas sempadan ke Malaysia semasa pertembungan!

Sumber: The Straits Times, 6 Jun 1976

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, kini tiba giliran pengganas komunis yang berada di kawasan selatan Sadao berhadapan dengan serangan pasukan keselamatan kedua-dua negara.  Operasi Bersama, Op Daoyai Musnah II telah dilancar pada 14 Mac 1977 hingga 19 April 1977.

Selain pesawat Nuri dan helikopter gempur Alouette III, pesawat Canadair CL-41G Tutor, lebih dikenali sebagai Tebuan, turut diatur gerak dari No 6 Skuadron, TUDM Kuantan ke TUDM Butterworth untuk menjayakan operasi tersebut. Pada pagi 28 Mac 1977, formasi dua buah Tebuan telah ditugaskan untuk memusnah tempat persembunyian pengganas komunis di sempadan Malaysia/Thailand. Pesawat pertama dikendali oleh Kapt (U) Umran bin Ghauth (Allahyarham, kapten pesawat) dan Lt M (U) Rodzali bin Daud sebagai juruterbang kedua dengan nama panggilan ‘Mission 803 Alpha’ manakala pesawat kedua ‘Mission 803 Bravo.’

Untuk misi itu, setiap pesawat dimuatkan sejumlah 38 batang roket (Folding Fin Air Rockets) dan dua Gatling minigun diisi penuh peluru 7.62 mm. Pada hari itu pesawat tidak membawa bom 500 lb Mk 82 seperti hari-hari sebelum ini. Bukan apa, bimbang bom ‘tergugur’ di luar sasaran yang kedudukannya berada di pinggir hutan dan bersebelahan dengan kebun getah. Lain pula cerita jika bom merosakkan harta benda atau kehilangan nyawa. Panjang cerita nanti dan jenuh hendak menjawab!

Apabila tiba di sasaran dan berpandukan bom asap warna merah yang digugurkan oleh sebuah helikopter Alouette III yang berperanan sebagai ‘Forward Air Controller (FAC)’ kedengaran  “whoosh...whoosh...whoosh”. Roket meluncur keluar dari pod roket dan ikuti “boom...boom...boom.” Letupan roket di sasaran apabila setiap Tebuan melepaskan kesemua 38 roket secara sekali gus (salvo) dari paras 1,500 kaki. Seterusnya pesawat-pesawat membuat persediaan untuk memuntahkan peluru 7.62 mm Gatling minigun. Proses persediaan memerlukan pesawat dinaikkan. Lantas ‘joystick’ ditarik di waktu yang sama menolak pendikit kuasa (throttle) ke tahap maksimum. Tetapi pesawat enggan bertindak seperti yang sepatutnya. 

Kapt (U) Umran dan Lt M (U) Rodzali  mengimbas panel instrumen. Masalah...enjin buat hal di paras rendah pula.  Putaran enjin menurun manakala suhunya pula agak tinggi. Dalam keadaan begitu sesiapa pun tidak boleh mempertikai sekiranya mereka ‘eject.’ Satu-satu pilihan yang sukar dibuat oleh juruterbang pesawat pejuang. Eject pula di hutan belantara yang merupakan padang permainan pengkhianat negara. Jika mereka tertangkap oleh pengganas komunis, terbayang dalam minda Lt M (U) Rodzali ‘sambutan’ yang mereka akan  diterima nanti. Wira-wira yang memuntahkan roket untuk memusnahkan mereka!

Sejurus kemudian, pesawat-pesawat yang berada di ruang angkasa berhampiran terdengar panggilan: "Mayday! Mayday! Mayday! Mission 803 Alpha, partial engine failure, diverting to Alor Setar." Panggilan kecemasan dibuat oleh Lt M (U) Rodzali.

 Berpantang maut sebelum ajal. Dengan kuasa-Nya, tiba-tiba enjin kembali hidup dan disahkan apabila instrumen RPM enjin memaparkan putaran enjin makin meningkat. Tetapi kuasa tidak pada paras sepenuhnya. Sekadar membolehkan pesawat  terbang tahap mendatar sahaja.  Better than nothing, janji boleh terbang balik. Tetapi  Kapt (U) Umran tidak sedia mengambil risiko. Justeru, beliau membuat keputusan untuk terbang Alor Setar yang merupakan landasan terbang paling dekat dari lokasi mereka ketika itu. Mereka diiringi oleh Mission 803 Bravo.

Masalah belum berakhir. Pesawat masih berat dengan bahan bakar masih banyak. Sudahlah itu, kedua-dua minigun pods masih penuh dengan muatan peluru. Mereka tidak boleh menggugurkan pods tersebut. Tetapi semuanya sudah diatur-Nya. Walaupun kelajuan pesawat terbatas, pesawat mendarat dengan selamat di Alor Setar tanpa sebarang masalah. Selari dengan prosedur langkah keselamatan, enjin pesawat dimatikan di landasan sebaik sahaja mendarat kerana pesawat masih mempunyai minigun yang ‘masih hidup (live).’ Dalam keadaan begini,  risiko terjadi tembakan tidak boleh diketepikan.

 Mengimbau kembali insiden ini, Jen Tan Sri Rodzali Daud TUDM (Bersara) menyatakan: “Walaupun insiden ini sudah berlalu lebih 44 tahun, namun ia merupakan satu-satunya pengalaman yang saya tidak dapat lupakan. Saya bersyukur kepada Maha Pencipta yang memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman ini untuk para pembaca.”[iii]

Juruterbang No 6 Skuadron, TUDM Kuantan. Lt M (U) Rodzali bin Daud (barisan hadapan: 1 dari kiri) dan Kapt (U) Umran bin Ghauth (barisan tengah: 4 dari kiri). Sumber: Jen Tan Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara)


Bersambung....


[i]           Agreement between the Government of Malaysia and the Government of Thailand on Border Co-operation 1977.

[ii]              The Straits Times, KL Gives Up Gives Up Right Of  'Hot Pursuit', 6 Jun 1976.

[iii]          Manuskrip diterima daripada Jen Tan Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara) pada 28 November 2020. Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Tentera Udara (PTU).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan