Pages

Ahad, 12 Februari 2023

 Sambungan dari SINI...

 Jam 5:00 pagi keesokan hari, 15 Jun 1971. Rjr Abang Bolhi melihat musuh-musuh meninggalkan gua itu dan menghilang dalam kegelapan. Pemergian petualang negara menaikkan semangatnya dan Allah pula telah memulihkan tenaga. Maka, beliau membatalkan hasratnya untuk menyusuri sungai ke Chemor kerana tidak pasti bila beliau boleh tiba di Chemor. Sebaliknya, beliau membuat keputusan untuk berpatah balik ke lokasi beliau bermalam pada 13 Jun 1971, iaitu hari pertempuran tersebut. Beliau percaya pasukan tambahan sudah berada di lokasi pertempuran dan mencarinya.

      Tekanan mendiang Kapt Chandran yang diasak ke atas anggota kompeninya yang mementingkan kecergasan dan kekuatan mental memang berkesan.[1] Ini terbukti kekuatan mental yang dipamerkan oleh Rjr Abang Bolhi; sungguh menakjubkan. Walaupun cedera parah, mengalami kekejangan dan kali terakhir menjamah makanan tiga hari lalu, beliau tiba destinasinya walaupun pergerakan ada kalanya terpaksa merangkak mendaki bukit. Dan dalam keadaan letih lesu dengan tangan kirinya masih menggenggam grenad.

      Apabila tiba di lokasi yang dituju, Rjr Abang Bolhi  terus terbaring di bawah pokok dalam keadaan  letih lesu.

*****

Pada lewat petang, 15 Jun 1971, Kapt Ariffin bin Yaakob, Ketua Kompeni Bravo, 4 Renjer bersama 22 anggota telah diterbangkan ke kawasan pertempuran oleh sebuah Nuri yang dikendali oleh Kapt Richard Jalleh dan kru, iaitu Fy Off Ismail bin Saud dan Sjn Marimuthu.[2] Oleh kerana tiada tempat mendarat, mereka diturunkan melalui kaedah winching. Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan kumpulan Lt M Donald dan juga Kpl Rahman daripada kumpulan Kapt Chandran.

Kini Kapt Ariffin mengambil alih operasi. Beliau mengarah Lt M Donald dan empat anggotanya sebagai cut-off party, manakala beliau bersama anggotanya bergerak ke lokasi kejadian dengan Kpl Rahman sebagai petunjuk arah. 

Pergerakan perlu berhati-hati. Bukan sahaja kemungkinan berhadapan dengan musuh, lebih menggerunkan ialah musuh halimunan...jerangkap samar. Seterusnya Kapt Ariffin dengan segera bergerak ke lokasi pertempuran. Mereka tiba di lokasi pada jam lebih kurang 6:00 petang dalam cuaca mendung. Lebih kurang 100 meter daripada kem musuh, peninjau (scout) menjumpai wayar. Ini bermakna kewujudan jerangkap samar. Lantas, Kapt Ariffin membuat pemeriksaan yang membawanya hingga ke pinggir kem. Alangkah leganya apabila tiada jerangkap samar; palsu.

Pemeriksaan terhadap kem itu mendapati telah dikosongkan oleh musuh. Hari mulai gelap dan hujan renyai-renyai mulai membasahi mereka. Kapt Ariffin mendapati terdapat satu pondok besar pada jarak lebih kurang 30 meter. Sebagai langkah keselamatan, beliau terus melutut untuk memerhati keadaan sekeliling pondok itu. Tindakan yang sungguh wajar. Beliau ternampak  kelibat seseorang dalam pondok itu.

Kapt Ariffin terus memberi isyarat tangan yang musuh berada di depannya kepada Kpl Rahman yang berada di belakang beliau. Di waktu yang sama, beliau mendapati seorang Renjer yang berada lebih kurang 10 meter di belakangnya mara ke hadapan. Manakala seorang Lans Koperal yang berada di sebelah kirinya pula sedang merapati sebatang pokok besar di hujung pondok tersebut.

Pergerakan ini telah disedari musuh. Oh...musuh pun tidaklah begitu hebat. Tanpa diduga, mereka telah mencabar dalam bahasa Cina. Ya, mereka ingat yang menghampiri mereka adalah rakan mereka. Lans Koperal di sebelah kiri Kapt Ariffin melihat tiga pengganas komunis dalam pondok itu. Justeru, beliau membidik senjata SLRnya (Self Loading Rifle) menghala ke pondok itu. Kapt Ariffin yang memerhati tindakan anggota tersebut, agak hairan tidak kedengaran letupan peluru 7.62 mm melungsur dari laras SLR. Anggota tersebut terlupa untuk mencekah (cocked) senjatanya! Setelah mencekah raifalnya, anggota tersebut terus menembak ke arah pondok itu. Namun, bukan tembakan kaedah automatik, hanya terdengar satu tembakan sahaja.[3]  

Lantas, Kapt Ariffin mengangkat SLRnya  dan melepaskan satu tembakan ke arah pondok disusuli dengan melepaskan tiga tembakan pelancar grenad M79. Petualang yang terkejut dengan serangan pasukan keselamatan membalas tembakan bertubi-tubi. Walau bagaimanapun, tembakan musuh tidak memberi kesan kepada Kapt Ariffin dan anggotanya. Setelah yakin pengkhianat negara telah beredar dari kubu komunis, Kapt Ariffin membuat keputusan untuk bermalam di situ.

Keesokan pagi, 16 Jun 1971. Pada pagi itu  Kapt Ariffin memulakan misi mencari dan menyelamat. Beliau memecah anggotanya kepada beberapa kumpulan untuk mencari mayat Kapt Chandran dan Rjr Abang Bolhi yang tidak diketahui statusnya. Tanpa menghiraukan aspek keselamatan, mereka melaung: “Abang Bolhi... Abang Bolhi.” Pada lebih kurang jam 9:00 pagi, kumpulan di kawasan kaki bukit yang terdiri daripada Kpl Morni dan seorang lagi anggota mendengar sayup-sayup: “...saya di sini, saya di sini. Tolong...tolong...tolong.”  Respons Rjr Abang Bolhi  sebaik sahaja mendengar laungan namanya.[4]

      Bagi mendapat kepastian, pencari menjerit: “Siapa itu?” 

      “Rjr Abang Bolhi  dari 4 Renjer...saya di sini...saya di sini.” Jawab Rjr Abang Bolhi. Sebaik sahaja mendengar nama rakan seperjuangan, lantas mereka bergegas ke arah suara itu. Setiba di situ, memang sah Rjr Abang Bolhi yang terbaring dengan menyandang MGK tanpa kelopak. Sebaik sahaja menghampirinya, mereka tiba-tiba berhenti. Mereka melihat sebutir grenad tanpa pin keselamatan dalam genggaman Rjr Abang Bolhi.

      “Tuan, tuan, tuuuaaaaan, tuuuaaannnnn.”[5] Jerit Kpl Morni ke arah atas bukit. Sebaik sahaja mendengar jeritan itu, Kapt Ariffin dan beberapa orang anggotanya termasuk Kpl Rahman bergegas menuruni bukit menuju ke arah jeritan tersebut. Kapt Ariffin mendapati Rjr Abang Bolhi dalam keadaan kaku dek kesejukan dengan tapak tangan kanannya masih menggenggam grenad. Dengan penuh berhati-hati, Kapt Ariffin membuka skru grenad dalam genggaman Rjr Abang Bolhi bagi mengeluarkan fiusnya. Bagaimanapun usahanya gagal kerana jari-jemari Rjr Abang Bolhi sudah ‘beku.’

Kapt Ariffin sedia maklum anggota Rjr Abang Bolhi perlu dipanaskan supaya darah dapat mengalir semula. Maka, beliau mengurutnya jari-jemari mangsa sehingga membolehkannya mengeluarkan fius grenad. Beliau seterusnya memeluk Rjr Abang Bolhi. Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati luka di belakang Rjr Abang Bolhi sudah berulat. Kpl Rahman pula bersyukur kerana anak buah masih hidup. Beliau sebelum ini tidak mengetahui nasib Rjr Abang Bolhi setelah cedera ditembak musuh.

      Kapt Ariffin mengarah anggotanya untuk membuat strecer dengan menggunakan buai rajut (hammock).’ Rjr Abang Bolhi seterusnya diusung mendaki bukit ke lokasi kem komunis. Apabila tiba di sana, beliau dijamu dengan teh panas dan satu tin nanas rangsum. Tidak lama kemudian, mereka menemui mayat mendiang Kapt Chandran tidak jauh dari perimeter kem. Mayat ditutup dengan daun-daun di celah batu besar dan dalam keadaan sempurna malahan tidak berbau. Ini disebabkan keadaan cuaca sejuk. Kapt Ariffin mendapati mendiang ditembak di kepala kiri dan tembus ke belakang dengan ‘carbine.[6]

Kapt Ariffin seterusnya menghubungi Markas 4 Renjer meminta sebuah helikopter untuk penerbangan casevac dan bodevac. Rjr Abang Bolhi dan mayat Kapt Chandran berjaya dibawa keluar melalui kaedah ‘winching’ oleh sebuah Nuri yang dikendali oleh Kapt (U) Richard Jalleh dan kru. Mereka diturunkan di padang Kem Suvla Line. Rjr Abang seterusnya dikejar ke hospital Ipoh. Dua hari kemudian, beliau diterbangkan ke Hospital Terendak, Melaka dan discaj enam bulan kemudian.

Pemeriksaan ke atas penempatan komunis, mengesahkan mereka sudah bertapak di situ. Kem itu boleh menempatkan 30-40 orang.[7] Kedudukannya yang sungguh strategik. Ia dibina di lereng permatang sebuah bukit kecil dengan tebing yang curam. Keadaan ini menyukar  pendakian dan menuruni. Kem itu dikelilingi dengan ‘parit komunikasi’ berukuran tiga kaki lebar dan empat kaki dalam.[8]

Mengimbau peristiwa ini, Kapt Arifin bin Yaakob masih ingat kata-kata mendiang Kapt Chandran apabila beliau menegurnya kerana mendiang memakai pakaian seragam Tentera Darat New Zealand sebelum bertolak dari Kem Suvla Line ke kawasan operasi:

Chandran, you’re improperly dress.”  “What are we Arifin? We command only 10 men. We are not Company Commander." Itu jawapannya. Satu petunjuk ia akan pergi buat selama-lamanya.”[9]

Kapt Arifin juga kagum dengan semangat Rjr Abang Bolhi: “Saya tabik padanya. Semangatnya KENTAL.”

L/Kpl Bajau ak Ladi PGB (B) pula semasa Majlis HUT Jubli Emas 4 RRD di Kem Syed Putra, Ipoh pada 26 Jun 2016 mengharapkan agar “...peristiwa ini dapat menyedarkan generasi muda tentang pengorbanan wira-wira kita.”[10]

PW II Abang Bolhi bin Abang Doladi (B) pula mana mungkin dapat melupakan peristiwa tersebut sehingga ke akhir hayatnya apabila melihat tangan kanan kanannya:

“Setiap kali terpandang parut ini, ingatan saya segera mengimbau detik cemas ketika bertempur dengan sekumpulan pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Kinta, Perak yang hampir meragut nyawa saya, 48 tahun lalu.”[11]

PW II Abang Bolhi juga kecewa apabila terdapat suara-suara sumbang yang memperlekehkan perjuangan anggota ATM dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara. Luahan ini dilapur oleh akhbar ‘Berita Harian’ (24 September 2019):

“Beliau turut menyatakan rasa terkilan apabila kini perjuangan anggota tentera yang menggadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara sering diperlekehkan dan berharap masyarakat menghayati pengorbanan anggota tentera sama ada yang sudah lama meninggalkan perkhidmatan mahupun yang masih berkhidmat ketika ini.”[12]

KIA

Kapt Mohana Chandran a/l Velayuthan SP

WIA 

Dari kiri: PW II Abang Bolhi bin Abang Doladi KPK (B), L/Kpl Bajau anak Ladi PGB

Majlis HUT Jubli Emas 4 RRD di Kem Syed Putra, Ipoh pada 26 Jun 2016 . Duduk dari kiri: PW II Abang Bolhi bin Abang Doladi KPK (B), Allahyarham PW I Rahman bin Jaafar (B), L/Kpl Bajau ak Ladi PGB (B). Sumber: New Straits Times, 28 Ogos 2016 

PW II Abang Bolhi bin Abang Doladi PKP (B) menunjukkan parut di tangan kirinya akibat tembakan musuh ketika bertempur di Perak. Sumber: NSTP/Mohd Roji Kawi, 24 September 2019

Pertemuan mantan anggota 4 RRD sempena Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Julai 2018. Dari kiri: Lt Kol Harban Singh (B) (RSO), Brig Jen Dato' Jamil Rais bin Abdullah (B) (Ketua Platun Kompeni Bravo), Kapt Dato' Azmi bin Hamid Bidin (IO), PW II Abang Bolhi bin Doladi KPK (B), Kapt Ariffin bin Yaakob (Ketua Kompeni Bravo), L/Kpl Bajau anak Ladi PGB. Sumber: Kapt Ariffin bin Yaakob

Nama mendiang Kapt Mohana Chandran tersenarai dalam 'Role of Honour' pada tugu di alma maternya, Officer Cadet School, Portsea, Australia. Sumber:Officer Cadet School Portsea

Kapt Chandran bukannya satu-satunya kematian yang dialami oleh anggota pasukan keselamatan dalam Op Iblis!

Nota

Coretan Op Iblis ini bersandar kepada buku oleh Lt Kol Dr Syed Othman bin Syed Omar (B), "Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B, Jilid 1", terbitan DBP pada 1993. Tajuk kisah ialah 'Pertempuran di Hutan Simpan Kinta', hlm.165-180. Beliau telah menemubual Allahyarham PW I Abdul Rahman bin Jaafar (B), Allahyarham PW I Osman bin Sharif PGB (B), PW II Abang Bolhi bin Abang Doladu KPK (B) dan L/Kpl Bajau anak Ladi PGB.  



[1]            Maklumat daripada PW II Ekram bin Zaini melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2022.

[2]           E-mel daripada Lt Kol Richard Jalleh TUDM (B) pada 23 Januari 2022. Beliau kini menetap di Perth, Australia.

[3]            Penjelasan oleh Kapt Ariffin bin Yaakob melalui aplikasi WhatsApp pada 9 Ogos 2022.

[5]            Ibid., hlm. 176.

[7]             Col Sharom bin Hashim (Editor-in-Chief). (2008). The Malaysian Army’s Battle against Communist Insurgency in Peninsular Malaysia 1968-1989. Kuala Lumpur: Army Headquarters,Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysiahlm. 120. 

[8]            Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia, hlm. 175.

[9]          Penjelasan oleh Kapt Arifin bin Yaakob melalui aplikasi WhatsApp pada 16 November 2022.

[10]              New Straits Times, ‘Captain Chandran saved our live’, 28 Ogos 2016

[11]  Berita Harian, Parut imbau kenangan bertempur, September 24, 2019. Lihat https://www.bharian.com.my/beri ta/wilayah/2019/09/610348/parut-imbau-kenangan-bertempur.

[12]          Ibid. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan