Pages

Isnin, 27 Mei 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 2)

 Sambungan dari SINI....

 Gua Musang: sasaran ‘kawasan bebas’

Bermula 18 Jun 1948, semua negeri dalam PTM diletak di bawah undang-undang darurat; tiada negeri terkecuali. Namun demikian, keganasan dan kezaliman komunis di Kelantan tidak sebegitu hebat jika dibanding dengan lain-lain negeri. Malahan, dalam Susunan Perang (Order of Battle [ORBAT]) pengganas komunis pada 1951, tiada pasukan khusus dipertanggungjawab kepada negeri Kelantan. Pasukan yang dipertanggungjawab terhadap negeri Kelantan ialah Rejimen No 5 dengan kekuatan 550 anggota dan No 12 berkekuatan 460 anggota. Kawasan Rejimen No 5 ialah negeri Perak dan bahagian barat Kelantan sementara Rejimen No 12 pula Perak utara dan Kelantan utara.[1] Menurut perangkaan pada Julai 1953, hanya terdapat 160 gerila, iaitu 3.1%.,[2] di Kelantan; kekuatan gerila komunis paling rendah.

‘Keamanan’ yang ‘dinikmati’ rakyat Kelantan dinyata dalam ‘The Annual Report of the State of Kelantan for the year 1948’:

“Kelantan is extremely fortunate in not having had to suffer the blood-shed, the burning and the destruction which have taken place elsewhere. Still, as we stood on 1.7.1948, with the storm upon us, our position was not pleasant.”[3]

Kelantan juga bernasib baik kerana bukan semua kawasan berhadapan dengan ancaman komunis. Kegiatan komunis tertumpu di Ulu Kelantan yang merangkumi Gua Musang dan Kuala Krai selain Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Puteh.[4] Namun demikian, Kelantan, terutama Gua Musang dan kawasannya yang merangkumi Kpg Pulai dan Bertam, mendapat perhatian Chin Peng walaupun secara relatifnya agak ‘aman.’

*****

Persoalannya mengapa Gua Musang? Apa yang istimewa  mengenai Gua Musang? Jawapannya merujuk kepada strategi Mao Zedong iaitu  “encircling the cities from the countryside.[5] Bagi menjayakan strategi itu, pada tahun 1948 Jawatankuasa Pusat PKM membuat keputusan untuk mewujudkan kawasan bebas (liberated area) daripada British. Bakal kawasan bebas yang dipilih ialah Gua Musang dan kawasan persekitarannya.[6] Menurut Chin Peng:

When first mooted, the liberated areas strategy had sparked considerable enthusiasm among senior comrades for the idea of launching a heavy attack on  Gua Musang, in central Kelantan.”[7]

Pemilihan ini tidak menghairankan. Keistimewaan Gua Musang dan kawasannya, Kpg Pulai, ialah kerana lokasi tersebut merupakan ‘kubu’ kuat komunis semenjak pemerintahan Jepun lagi. Malahan, Penghulu Kpg Pulai, Tong Kong Nyen (52 tahun), adalah seorang veteran MPAJA dan penerima anugerah ‘British Empire Medal (BEM)’ kerana penglibatannya menentang tentera Jepun.[8]

Sepanjang pemerintahan Jepun, Kpg Pulai menjadi kubu kuat MPAJA. Walaupun tentera Jepun membakar kampung itu namun mereka gagal ‘menjinak’ penduduk Kpg Pulai. Sebaliknya tentera Jepun diserang hendap di laluan Kpg Pulai-Gua Musang; satu-satunya jalan darat ke Gua Musang.[9] 

*****

Gua Musang merupakan sebuah pekan terpencil di selatan Kelantan dan bersempadan dengan Pahang. Topografinya yang berhampiran dengan Sg Galas dikelilingi oleh bukit-bukau dengan hutan dara tropika. Terdapat beberapa anak sungai bercantum dengan Sg Galas, seperti Sg Tuang, Sg Semur. Tidak menghairankan Gua Musang dianggap sebagai “...one of the loneliest and most isolated villages in Malaya.”[10] Jumlah penduduknya lebih kurang 1,000 orang. Kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina yang berniaga barang keperluan untuk penoreh getah dan penduduk persekitaran seperti Kpg Mentara dan Kpg Pulai.[11]

Sementara majoriti penduduk Kpg Mentara terdiri daripada orang Melayu, penghuni Kpg Pulai  pula didiami oleh lebih kurang 1,000 orang Cina daripada kaum Hakka. Mereka telah tinggal di situ lebih daripada 200 tahun.[12]

Tanahnya yang subur  membuatkan penghuni Kpg Pulai terlibat menanam padi, berkebun sayur dan menoreh getah serta melombong emas secara kecil-kecilan.[13] Hasil titik peluh mereka dijual di Gua Musang. Sementelah kedudukan Gua Musang dan Kpg Pulai berkongsi Sg Galas, penduduk Kpg Pulai turut menjadikan sungai ini sebagai alternatif laluan untuk ke Gua Musang.

Daripada aspek sosial, mereka seperti ‘kera sumbang;’ duduk dalam alam mereka sendiri. Kecuali beberapa peniaga yang berinteraksi dengan orang Melayu, majoriti tidak bergaul dengan orang Melayu. Keadaan ini membuatkan mereka mengguna bahasa isyarat apabila berkomunikasi orang Melayu. Bukan itu sahaja, mereka juga berhadapan masalah bila berinteraksi dengan kaum Cina yang mengguna dialek selain Hakka, seperti Hokkien. Ini kerana mereka hanya mengguna dialek Hakka sahaja.[14] Pusat aktiviti mereka ialah Tokong Swee Nyet Keung yang menempatkan berhala ‘Goddess of Mercy.” 

Dalam kedudukan begini, ramai pemuda-pemudi Kpg Pulai terpengaruh dengan diayah komunis dan menyertai gerila komunis.[15] Satu aset kepada pengganas komunis.

*****

Pasukan gerila komunis di kawasan Gua Musang dipimpin oleh komrad Kim Siong. Mereka lengkap bersenjata dan morel yang tinggi.[16] Ekoran itu,  pasukan gerila yang berpengalaman dari Perak dikerah ke Cameron Highlands sebelum diatur gerak ke Gua Musang. Chin Peng yakin, dengan sokongan penduduk Kpg Pulai, Gua Musang akan menjadi kawasan bebas; bebas daripada cengkaman kolonialis Inggeris.


Bersambung...in sya Allah

[1]         Robert Jackson. (1991). The Malayan Emergency, hlm. 14. Susunan Perang pengganas komunis: (1). Rejimen No 1 (kekuatan 220) – Selangor; (2). Rejimen No 2 (kekuatan 250) – Negeri Sembilan; (3) Rejimen No 3 (kekuatan 250) – Johor Utara dan Melaka; (4) Rejimen No 4 (kekuatan 370) – Johor selatan; (5) Rejimen No 5 (kekuatan 550) – Perak dan Kelantan barat; (6) Rejimen No 6 (kekuatan 380) –Pahang barat; (7) Rejimen No 7 (kekuatan 150) –Terengganu selatan; (8) Rejimen No 8 (kekuatan 270) – Kedah dan Perlis; (9) Rejimen No 9 (kekuatan 250) – Johor tengah; (10) Rejimen No 10 (kekuatan 100) – Pahang tengah; (11) Rejimen No 12 (kekuatan 460) – Perak utara dan Kelantan utara.

[2]              Abdullah Zakaria Ghazali, Ho Hui Ling, Mahmud Embong. (2009). Darurat di Kelantan. Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, hlm. 43.

[3]              Ibid., hlm. 42.

[4]              Ibid., hlm. 44.

[5]            Shen Weili, Zhang Yingli, On Mao Zedong's Geographic Strategic Concept of Encircling The Cities From The Countryside,

Human Geography 1992, Vol. 7 Issue (1): 1-6,23, DOI:10.13959/ j.issn.003-2398.1992.01.001. Lihat http://rwdl.xisu.edu.cn/EN/abst ract/abstract11169.shtml (diakses pada 15 Mei 2024).

[6]              Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng, hlm. 232.

[7]              Ibid., hlm. 232.

[8]            Harry Miller, Holy men fought with Pulai bandits, The Straits Times, 22 August 1948, hlm. 7. Lihat  https://eresources.nlb. gov.sg/newspapers/digitised/article/straitstimestimes19480822-1.2. 67 (diakses pada 12 Mei 2024); Tan Teng Phee, Oral History, hlm. 92.

[9]      The Straits Times, Ghosts take over in historic Pulai, 24 June 1951, hlm. 10. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19510624-1.2.119 (diakses pada 12 Mei 2024).

[10]    The Straits Times, 300 Bandits Seize 15 Policemen, 20 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digiti sed/article/straitstimes19480720-1.2.5 (diakses pada 25 April 2024).

[11]            Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang, Berita Harian, 19 November 1969, hlm. 4. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/beritaharian19691119-1.2.50 (diakses pada 25 April 2024).

[12]            Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur; Sejarah & Penghargaan. Kota Bharu: Markas 8 Briged, hlm. 18.

[13]            Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur, hlm. 18.

[14]            Tan Teng Phee, Oral History, hlm. 92.

[16]            Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng, hlm. 232.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan