Pages

Sabtu, 1 Jun 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 3)

  

Sambungan dari SINI

Perkiraan keadaan

 

Objektif PKM sudah diketahui: Gua Musang dipilih sebagai kawasan bebas (liberated area): bebas daripada kolonialis. Sekarang terpulang kepada komrad Kim Siong sebagai ketua kumpulan komunis di kawasan Gua Musang merancang untuk mencapai objektif tersebut. Tetapi dia tidak diberi kebebasan bila melaksana objektif tersebut. Arahan bila Gua Musang akan diserang  terpulang kepada keputusan Jawatankuasa Pusat PKM.

Sebagai seorang ‘otai,’ dia tidak membuat sesuatu rancangan membuta tuli begitu saja. Dia mempraktik apa yang diajar oleh pegawai British semasa penglibatannya dengan Force 136 menentang pasukan Jepun. Sebelum merancang sesuatu operasi, mesti membuat ‘perkiraan keadaan (appreciation).’[1] Kaedah ini mengambil kira beberapa faktor.

Antara faktor diambil kira ialah dari aspek keselamatan Gua Musang dan kawasan persekitaran. Adakah terdapat penempatan tentera di situ? Jawabnya ialah tiada. Unit tentera terdekat ialah di Kuala Lipis, Pahang, lebih kurang 73 batu (117 km) di selatan Gua Musang. Selain itu, terdapat unit tentera di utara Gua Musang, iaitu di Pengkalan Chepa, lebih kurang 140 batu (225 km).

Keselamatan dan ketenteraman awam Gua Musang dipertanggungjawab kepada anggota polis di situ yang beroperasi di sebuah balai polis yang baru dibina. Balai polis sebelum itu telah dibakar oleh tentera Jepun. Kedudukan balai terletak di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen kereta api. Keanggotaan tetap balai polis ini ialah seramai 16 orang yang diketuai oleh Isnp (Percubaan) Ibrahim. 

*****

Sebelum 17 Julai 1948, kekuatan Balai Polis Gua Musang ialah seramai 12 anggota yang diketuai oleh Sjn 1650 Yaacob bin Awang selaku Ketua Polis Balai (OCS). Beliau telah dihubungi oleh D. W. Yates, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Negeri Kelantan, Kota Bharu.[2] D. W. Yates memintanya untuk menyiasat berita yang mengatakan Gua Musang akan diserang komunis. Hasil siasatan sangat membimbangkannya. Memang benar terdengar desas-desus kawasannya akan diserang; hanya tidak tahu bila akan berlaku. Terfikir dalam benaknya: 12 orang untuk mempertahan balai polis dan Gua Musang? Mana cukup!

Justeru, beliau telah menghubungi ketuanya, Insp  Razak selaku Ketua Polis Daerah (OCPD) di Kuala Krai. Beliau memohon supaya anggota tambahan dihantar ke Gua Musang. Permohonannya dilulus. Insp Razak menghantar Insp (Percubaan) Ibrahim dan tiga mata-mata ke Gua Musang. Dengan kehadiran empat anggota tersebut, kekuatan balai polis ialah 16 orang.[3] Kini Insp Ibrahim mengambil alih OCS daripada Sjn Yaacob.

*****

Bagi melaksana tugasan, balai polis Gua Musang disediakan dengan sembilan laras ‘Sten gun’, 13 larasrifle Mk V’, dan tiga pucuk ‘revolver.’ Untuk Sten gun, terdapat 12 kelopak yang diisi 30 butir peluru 9 mm setiap kelopak. Sementara itu, jumlah bekalan peluru .303 untuk rifle Mk V ialah 600 butir manakala 50 butir untuk revolver.[4]

Selain itu, mereka tidak disediakan sebarang kenderaan untuk kegunaan tugasan, seperti membuat rondaan. Tugasan ini dilakukan dengan menaiki basikal serta membawa senjata.[5] Oleh kerana Kpg Pulai agak jauh (8 batu), Tong Kong Nyen sebagai Penghulu dibekalkan dengan sebuah basikal. Dia dikehendaki melapor kepada polis dengan segera dengan menaiki basikal jika kampungnya diancam atau terdapat aktiviti komunis di persekitarannya.[6]

Walaupun keanggotaan telah bertambah, Insp Ibrahim dan Sjn Yaacob masih berhadapan dengan masalah penting. Balai Polis Gua Musang tidak dilengkap dengan set ‘wireless’ (set radio HF) atau pun telefon! Kepincangan ini membuatkan Gua Musang terputus dengan dunia luar sekiranya pekan terpencil ini di serang komunis.

Kelemahan polis kelebihan kepada pengganas komunis.


*****

Selain itu, Kim Siong mengambil kira faktor kemudahan pergerakan ke Gua Musang. Sebelum pemerintahan Jepun, Gua Musang boleh diakses melalui laluan keretapi ‘Kelantan Express’ dan mudik Sg Galas menaiki bot. Kemudahan keretapi berakhir semasa era Jepun. Penakluk telah memindah rel keluli landasan kereta api untuk dibawa ke Siam (Thailand). Mereka mahu membina landasan keretapi, lebih terkenal sebagai ‘death railway,’ ke Burma (Myanmar). Yang tinggal hanya batu kerikil dan kayu ‘sleepers’.

Ekoran itu, akses ke Gua Musang dari Kota Bharu melalui ke Kuala Krai, lebih kurang 40 batu (65 km). Dari situ, ada dua pilihan. Pertama, mudik Sg Galas menaiki bot hingga ke Gua Musang; kedua, ‘transit’ di Bertam. Jika memilih pilihan pertama, mereka perlu berhadapan mengharungi tujuh atau lebih jeram yang berbahaya. Harry Miller, wartawan ‘The Straits Times,’ menerangkan keadaan jeram di laluan itu: “They were “devils”, and only the foolhardy risked the seven or more dangerous rapids between Gua Musang and Bertam.”[7]

Sebaliknya, transit di Bertam memerlu mereka berjalan kaki sejauh lebih kurang 35 batu (57 km) mengguna trek landasan keretapi. Untuk tiba di Bertam, perjalanan bot memudik Sg Galas mengambil masa lebih kurang 8-10 jam.[8] Jika bernasib baik, sempat menaiki bas[9] yang berulang-alik sehari sekali dari Kuala Lipis-Gua Musang-Bertam.

*****

Di selatan Gua Musang, pekan berhampiran ialah Kuala Lipis, Pahang. Jaraknya lebih kurang 72 batu (117 km) dari Gua Musang. Perhubungan antara Gua Musang-Merapoh-Kuala Lipis ialah melalui jalan darat. Sama seperti Bertam, jalan itu adalah bekas landasan keretapi yang lebarnya hanya cukup laluan sebuah kenderaan sahaja. Hanya terdapat di tempat  tertentu yang membolehkan dua kenderaan berselisih. Sudah tentu perjalanan tidak selesa sementelah trek tersebut tidak digelek dengan jentera penggelek jalan (steamroller). Harry Miller merakam pengalamannya mengguna laluan tersebut: “It is the longest rough-riding country road in Malaya and between the two indented lines which mark the wheel tracks, lallang, gorse, and wild flowers flourish.”[10]

Sepertimana yang katakan sebelum ini, terdapat perkhidmatan bas henti-henti berulang-alik sehari sekali dari Kuala Lipis ke Bertam melalui Merapoh, Gua Musang, dan kampung-kampung di sepanjang laluan tersebut. Ekoran itu perjalanan sejauh lebih kurang 108 batu (174 km) dari Kuala Lipis ke Bertam mengambil masa selama tujuh jam. Perkhidmatan ini merupakan satu-satunya pengangkutan awam dan dimonopoli oleh seorang kaum Cina. Tambang tiketnya ialah enam (6) sen sebatu. Sebenarnya bas itu adalah  trak tentera yang diubah suai sebagai bas. Antara bekalan yang dibawa dari Kuala Lipis ke Gua Musang ialah ketulan ais.[11] Ais dimuat dalam guni yang diisi dengan habuk kayu (sawdust).

*****

Kim Siong juga mengambil kira faktor topografi persekitaran Gua Musang yang tidak asing baginya, bak kata semua dalam koceknya. Faktor ini membolehkan dia memilih kawasan yang sesuai untuk menyerang hendap trup yang pasti akan diatur gerak ke Gua Musang. Kim Siong pasti  pasukan keselamatan akan mengatur gerak pasukan ke Gua Musang untuk mengambil semula pekan tersebut dan seterusnya memburu dan menghapus komunis. Dan trup yang terdekat ialah dari Kuala Lipis dan Pengkalan Chepa. Dia yakin trup bantuan tersebut dari Kuala Lipis dan Pengkalan Chepa masing-masing akan mengambil jalan laluan bas dari Kuala Lipis dan Sg Betis dari Kuala Krai ke Bertam. Ekoran itu, dia telah mengenal pasti masing-masing satu lokasi berhampiran Bertam dan Merapoh untuk ‘menyambut’ ketibaan trup itu nanti.

*****

Kelebihan Kim Siong ialah masa menyebelahinya. Tanpa wireless dan telefon, dia tidak perlu menggelabah berhadapan dengan kehadiran pasukan keselamatan. Trup tidak akan tiba di Gua Musang sekelip mata. Mana tidaknya. Trup dari Kuala Lipis akan mengambil lebih kurang 2-3 jam untuk tiba di Gua Musang. Sementara dia yakin trup dari Pengkalan Chepa akan transit di Bertam dan dari berjalan kaki lebih kurang 35 batu. Ini bermakna trup akan tiba di Gua Musang  lebih kurang 16-17 jam. Itu pun tertakluk kepada keadaan cuaca.

Setelah membuat appreciation yang difikirnya begitu rapi, tiba masanya Kim Siong mengatur rancangan untuk menyerang Gua Musang. Selain balai polis, sasaran sampingannya ialah ‘menawan’ dispensari kerajaan. Pengganas memerlukan bekalan ubat-ubatan dan di mana untuk mendapatkan stok ubat-ubatan jika tidak daripada dispensari. Agensi ini hanya mampu memberi rawat pesakit luar sahaja. Pesakit, termasuk anggota polis, yang menghadapi penyakit serius akan dihantar ke Rumah Sakit (hospital) Kuala Lipis.[12] Antara anggota dispensari ialah Sellapan, iaitu seorang ‘dresser.’[13] Dia dan keluarganya tinggal di rumah kelamin di kawasan dispensari. Mereka tidak akan berhadapan dengan masalah besar untuk mengambil alih dispensari tersebut. Seterus dispensari akan dijadikan markasnya nanti.

*****

 Kim Siong berpuas hati kerana yakin dia sudah mengambil kira semua faktor dalam rancangannya untuk menawan Gua Musang. Gua Musang pasti dapat dibebaskan daripada Inggeris. Persoalannya: bila arahan daripada pihak tertingginya untuk melancar serangan itu?

Tetapi dia terlepas pandang satu faktor: kuasa udara (air power)!

*****

 Bersambung....in syaa Allah



[1]              Istilah ‘appreciationterbiasa diguna dalam tentera. Justeru, istilah ini dikekal dalam tulisan ini.

[2]              Harry Miller, The Straits Times, Holy men fought with Pulai bandits, 22 August 1948, hlm. 7. Supt. Haji Halal bin Haji Ismail (Ketua Pengarang). (1997). Sejarah Bergambar: Institusi Polis di Malaysia. Kuala Lumpur: Muzium PDRM, hlm. 288. Bahan perisikan seperti kegiatan komunis adalah dalam bidang kuasa Cawangan Khas (SB). Ketika itu, unit tersebut adalah sebahagian daripada Jabatan Siasatan Jenayah. Pada Mac 1952 Cawangan Khas berpisah daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan menjadi satu unit berasingan dalam struktur organisasi polis.

[3]              Dokumen daripada Muzium PDRM, Peristiwa Serangan Balai Polis Gua Musang oleh Pengganas Komunis pada 17 Julai 1948.

[4]              Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats. Singapore: Cultured Lotus, hlm. 102. (Pertama kali diterbit bertajuk The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960 oleh Frederick Muller Ltd, Great Britain pada 1975).

[5]              Harry Miller, The Straits Times, Ulu Kelantan’s Ill-Fated Gua Musang, 25 July 1948, hlm. 6.

[6]              Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats, hlm. 102.

[7]             Harry Miller, The Straits Times, By Road and River Through Kelantan, 22 August 1948, hlm. 6.

[8]              Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats, hlm. 102. 

[9]              Harry Miller, The Straits Times, Ulu Kelantan’s Ill-Fated.

[10]            Ibid.

[11]            Ibid.

[12]           Ibid. 

[13]     Malaya Tribune, 5 Held in Gua Musang Sweep, 7 August 1948, hlm. 2. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/maltribune19480807-1.2.29 (diakses pada 20 Mei 2024).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan