Pages

Rabu, 12 Jun 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 4)

 Sambungan dari SINI

Hujan peluru

Sabar.” Hanya lima abjad yang membawa erti “tahan menempuh sesuatu yang sukar.” Terdapat sejumlah 90 kali perkataan ini dalam kitab suci Al-Quran.[1] Itu bagi umat Islam. Adakah Kim Siong seorang penyabar? Sudah tentu tidak. Sebagai seorang komunis, agama hanya sebagai candu yang mengkhayalkan supaya penagih (mereka yang tertindas)  akan terlupa tekanan yang dihadapi.[2]

Ketiadaan sifat murni ini pada Kim Siong terpancar apabila dia tidak sabar menunggu arahan daripada pihak tertinggi PKM mengenai bila Rumah Pasung Gua Musang diserang. Dia bersama lebih kurang 100[3] anggotanya begitu teruja dan sudah siap sedia untuk melaksana tugasan tersebut. Kejayaannya itu nanti sudah pasti terpahat dalam sejarah  pengganas komunis sebagai ‘wira’ yang ‘memerdekakan’ pekan terpencil itu dan kawasan berhampiran sebagai kawasan bebas daripada penjajah British.

Tetapi arahan daripada Chin Peng masih tidak diterima. Keadaan begini membuat Kim Siong hilang sabar. Tanpa mempedulikan ketiadaan arahan daripada Jawatankuasa Tertinggi PKM, dia membuat keputusan untuk menyerang Rumah Pasung[4] Gua Musang.[5] Dia memilih hari Sabtu, 17 Julai 1948 sebagai pembebasan Gua Musang. Bagi memastikan kejayaan, dia akan ‘mengundang’ penduduk Kpg Pulai untuk menyertai misinya itu.

*****

16 Julai 1948

Rumah Penghulu Kpg Pulai...

Dengan keputusan itu, Kim Siong mengetuai gerilanya bergerak ke Kpg Pulai. Sudah tentu destinasinya ialah rumah penghulu kampung tersebut, iaitu Tong K.N. Terkejut Tong K.N.  melihat para tetamu yang tidak diundang datang ke rumahnya. Secara ringkasnya, Kim Siong memberitahu Tong K.N. mereka akan menyerang Rumah Pasung  Gua Musang pada awal pagi keesokan hari, iaitu 17 Julai 1948. Dia mengarah Tong K.N. dan penduduk Kpg Pulai untuk turut bersama melaksana misi tersebut. Secara khususnya, peranan Tong K.N. ialah untuk memberitahu anggota polis supaya tidak menentang pengganas komunis. Jika Tong K.N.  enggan memenuhi arahan itu, dia dan keluarganya akan dibunuh.[6] Dengan ugutan itu, Tong K.N. ‘terpaksa’ bersetuju.

Dengan taklimat ringkas itu, Kim Siong mengarah Tong K.N. mengumpul anak buahnya di Tokong Swee Nyet Keung untuk dia memberi taklimat kepada mereka. Sebaik sahaja penduduk Kpg Pulai berkumpul di tokong tersebut, Kim Siong memberitahu mereka dia dan gerilanya adalah ‘Pasukan Pembebasan Pahang Barat (West Pahang Liberation Army). Dia mengumumkan peperangan telah meletus dengan Russia di Eropah dan gerila komunis telah menawan Singapura dan Kuala Lumpur. Malahan, pasukan British telah meninggalkan PTM. Misi dia ialah untuk menyerang dan menawan Rumah Pasung Gua Musang. Bagi tujuan itu, dia mahu mereka turut serta dengan gerilanya menjayakan misi tersebut. Bagi menguatkan lagi hujahnya, dia memberitahu penghulu mereka akan menyertai komunis keesokan ke Gua Musang.

Seterusnya, Kim Siong mengatur pergerakan ke Gua Musang kepada kumpulan-kumpulan. Tong K.N. termasuk dalam kumpulan dengan tugasan yang telah diberitahu sebelum ini. Mereka akan bergerak pada lebih kurang pukul 3:00 pagi supaya boleh tiba di Gua Musang lebih kurang  pukul 5:00-6:00 pagi. Di waktu itu, kebanyakan penduduk sedang dilamun mimpi.

Tokong Swee Nyet Keung...

Pada malam itu, lebih kurang  80 gerila komunis yang siap bersenjata serta penduduk Kpg Pulai bermalam di Tokong Swee Nyed Keung. Mereka menyembah Goddess of Mercy supaya mereka berjaya menawan Rumah Pasung Gua Musang keesokan hari.[7]

*****

17 Julai 1948...

Kpg Pulai: lebih kurang pukul 3:00 pagi...

Kim Siong mengetuai lebih kurang 250 gerila komunis dan penduduk Kpg Pulai[8] mula bergerak secara berkumpulan seperti yang dirancang. Dia dan kumpulannya akan mengambil alih dispensari sementara kumpulan lain akan mengepung Rumah Pasung  Gua Musang. Satu kumpulan akan ditempatkan di lereng Bukit Gua Musang. Misi utama kumpulan ini ialah untuk melontar grenad tangan ke arah balai tersebut semasa pertempuran nanti.

Gua Musang: lebih kurang pukul 5:00 pagi...

Seperti di mana-mana rumah pasung, di Rumah Pasung  Gua Musang terdapat empat anggota yang bertugas. Mereka terdiri daripada dua orang di kaunter untuk menerima sebarang aduan daripada orang awam. Sementara seorang mata-mata bertugas sebagai sentri manakala seorang lagi meronda (prowler) di kawasan balai. Lain-lain anggota yang tidak bertugas berada di berek. Disebabkan terdapat ancaman komunis akan menyerang Gua Musang, semua anggota dibenar membawa senjata masing-masing ke kediaman mereka selepas waktu bertugas; kebiasaannya, senjata diserah kepada stor senjata selepas bertugas. 

*****

Kumpulan Kim Siong tiba di Gua Musang. Mereka terus pergi ke dispensari. Sementara orang-orangnya mengawal dispensari, Kim Siong pergi ke rumah  Sellapan. Dia mengetuk pintu rumah.

“Siapalah pula datang pagi-pagi ini.” Rungut Sellapan.  Terkejut bila melihat komunis berdiri apabila pintu dibukanya.

“Kamu buka dispensari sekarang. Kami sudah bebaskan Gua Musang.” Arah Kim Siong kepada  Sellapan. Sudah pasti dresser itu akur akan perintah tersebut. Seterusnya, Kim Siong mengarah Tong K.N. untuk mencari dan membawanya berjumpa dia (Kim Siong) di dispensari. Itu tidak menjadi masalah kerana dia mengenali Insp Ibrahim. Nasibnya baik kerana dia terjumpa Insp Ibrahim berhampiran deretan kedai.[9]

“Tuan, saya maklumat penting. Ikut saya ke dispensari. Saya akan beritahu di sana.” Kata Tong K.N. “Baiklah.” Jawab Insp Ibrahim tanpa mengesyaki apa-apa. Beliau yakin maklumat mengenai kegiatan komunis. Maklum sajalah, Tong K.N. adalah Penghulu Kpg Pulai dan dia telah diberitahu untuk memaklum polis jika terdapat sebarang kegiatan komunis di kampungnya.

Sebaik sahaja memasuki dispensari, Insp Ibrahim terkejut melihat beberapa orang komunis berada di situ. Beliau terus ditahan oleh komunis.[10] Senjatanya dirampas. Dengan nada marah, Insp Ibrahim menoleh ke arah Penghulu Kpg Pulai. “Tong. Kamu pengkhianat...pembelot. Harapkan pagar, pagar makan padi.”[11] Tengking Insp Ibrahim walaupun beliau yakin Tong K.N. tidak faham peribahasa tersebut. Tong K.N. hanya membisu seribu bahasa.

“Diam.” Jerkah Kim Siong kepada Insp Ibrahim. “Kami sudah mengepung rumah pasung kamu. Baik kamu menyerah diri. Kami ramai. Kami tidak akan apa-apakan kamu jika kamu menyerah diri.” Sambung Kim Siong.

“Pantang Melayu menyerah diri tanpa tentangan” bermain dalam fikiran Insp Ibrahim. Beliau perlu mencari helah. Lantas, beliau berpura-pura setuju dengan kehendak Kim Siong;  “Baiklah, kami akan menyerah diri.”  Meleret senyuman Kim Siong dan anggotanya mendengar jawapan Insp Ibrahim. Bagi tujuan itu, Insp Ibrahim minta supaya beliau  pergi ke rumah pasung untuk memberitahu anggotanya untuk menyerah diri. Permintaan dipersetujui tetapi beliau akan diiringi oleh anggota komunis.

*****

Lebih kurang pukul 5:30 pagi...

Waktu subuh menjelang tiba. Dalam kegelapan pagi, seperti biasa Mata-mata Daud dengan senjatanya keluar dari balai menuju ke Sungai Galas berhampiran untuk membersihkan diri dan mandi sebagai persediaan sebelum menghadap Maha Pencipta nanti.[12] Beliau tidak menyedari pergerakan musuh mengepung rumah pasungnya. Keadaan yang sama berlaku kepada musuh; mereka tidak sedar Mata-mata Daud keluar dari balai. Selain Mata-mata Daud, lain-lain penduduk Islam di Gua Musang dan kawasan berhampiran bersiap sedia untuk menunai solat subuh dan seterusnya mencari rezeki-Nya, seperti menoreh getah.

*****

 Lebih kurang pukul 6:00 pagi...

Dengan diiringi oleh beberapa orang anggota komunis, Insp Ibrahim meninggalkan dispensari yang ketika itu masih gelap.  Apabila hampir dengan rumah pasung, tanpa memikir keselamatan dirinya, Insp Ibrahim memecut ke rumah pasung sambil menjerit: “Komunis...komunis.”

Tindakan Insp Ibrahim membuatkan komunis terkejut buat seketika. Sebaik sahaja sedar semula, mereka menembak pegawai polis tersebut: “bang...bang...” Sebutir peluru pun tidak menyinggah tubuh Insp Ibrahim walaupun musuh bertubi-tubi menembaknya. Betul frasa “ajal maut di tangan Allah,” bukan di tangan komunis atau peluru mereka. Kegelapan membuatkannya seolah-olah orang halimunan; tidak dapat dilihat.

Terkejut penghuni rumah pasung mendengar jeritan ketua mereka dan tembakan musuh. Mereka yang berada di berek terus mencapai senjata masing-masing dan bergegas keluar dari berek. Mereka menembak ke arah komunis yang berada di belakang dan rusuk kawasan rumah pasung. Sementara itu, salah seorang anggota dalam rumah pasung mematikan lampu. Seorang lagi mengetuk loceng sebagai tanda bahawa rumah diserang sebelum keempat-empat mereka mendapatkan perlindungan bersama dengan tiga anggota lagi. Sebaik sahaja ketua mereka selamat berada dalam rumah pasung, kelima-lima mereka membalas tembakan musuh dari arah hadapan rumah pasung.

“Boom...boom...boom...” Letupan beberapa butir grenad tangan. Anggota komunis yang berada di lereng Bukit Gua Musang melontar grenad tangan ke arah rumah pasung. Walaupun kedudukan rumah pasung berhampiran dengan Bukit Gua Musang, namun lontaran tersebut jauh tersasar daripada sasaran. Letupan terdekat ialah 50 ela (46 meter) dari rumah pasung.[13]

Penghuni rumah pasung dihujani peluru yang tidak mengenal mangsa. Tiba-tiba kedengaran jeritan: “Allah...” Salah seorang mata-mata tersungkur disinggah peluru musuh. Sudah tersurat beliau menyahut panggilan Ilahi! Keadaan ini membuatkan anggota polis nekad untuk terus menentang musuh durjana. Mereka terdengar jeritan komunis: “Mata-mata. Baik kamu menyerah diri.”

“Kami tidak akan menyerah diri.” Jerit Insp Ibrahim. Ekoran itu, pertempuran berterusan lebih kurang 90 minit. Mereka kini kehabisan semua peluru. Keadaan ini membuatkan Insp Ibrahim berbincang dengan Sjn Yaacob tindakan mereka selanjutnya. Demi menyelamatkan nyawa lain-lain anggota, mereka bersetuju untuk menyerah diri dan berdoa kepada Allah agar Kim Siong mengota janjinya, iaitu mereka tidak akan diapa-apakan.

“Baiklah...kami serah diri.” Jerit Insp Ibrahim. Pada pukul lebih kurang 7:30 pagi, mereka keluar dari rumah pasung. Pertempuran berakhir. Komunis seterusnya masuk ke dalam Rumah Pasung Gua Musang. Dengan tertawannya rumah pasung tersebut, bermakna komunis berjaya ‘membebaskan’ Gua Musang daripada British. Matlamat PKM tercapai.

*****

Berbalik kepada Mata-mata Daud yang sedang mandi di Sungai Galas. Sudah tentu beliau terkejut mendengar tembak-menembak dan letupan grenad tangan. Beliau percaya pengganas komunis sedang menyerang rumah pasungnya diperkukuh dengan pekikan mereka. Kini beliau berbelah bagi apa tindakan yang seharusnya diambil. Sama ada balik ke rumah pasung untuk membantu rakan-rakannya atau melapur kejadian ini kepada Insp Razak, Ketua Polis Daerah di Kuala Krai. Apa yang mampu beliau lakukan bagi membantu rakan seperjuangan? Beliau hanya ada selaras senjata dengan beberapa butir peluru sahaja. Mana mungkin beliau boleh berhadapan dengan musuh yang begitu ramai.

Sebaliknya, Mata-mata Daud sedia maklum kejadian ini tidak diketahui orang di luar kawasan Gua Musang; apa tah lagi di Kuala Krai, malahan Bertam. Insp Razak perlu diberitahu apa yang berlaku di kawasan penjagaannya supaya tindakan sewajarnya diambil bagi membebaskan Gua Musang daripada pengganas komunis. Bersandar dengan alasan ini, Mata-mata Daud membuat keputusan untuk pergi ke Kuala Krai.

Utusan Melayu, 20 Julai 1948. '100 penjahat China menyerang rumah pasung. Polis melawan sehingga kehabisan peluru.’ Sumber: SAC (B) Norizan bin Murad


****

Sama seperti Mata-mata Daud, orang Melayu di Gua Musang percaya komunis sedang menyerang Rumah Pasung Gua Musang. Mereka juga ada mendengar khabar angin tentang berita pengganas komunis akan menyerang pekan mereka. Lantaran itu, sebaik mendengar pertempuran itu mereka bergegas melarikan diri ke hutan mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri dan keluarga. Peristiwa kekejaman komunis lima tahun lalu masih segar dalam ingatan mereka, iaitu semasa pemerintahan Jepun.

Mengimbau kembali peristiwa pada 1 Januari 1943, sekumpulan pengganas komunis telah menyerang Gua Musang. Tanpa belas kasihan mereka telah bunuh seramai 26 orang Melayu manakala 12 orang mendapat kecederaan. Salah seorang yang dibunuh ialah Nik Mah binti Nik Soh yang baru berusia 20an yang ketika itu sedang sarat mengandung anak sulungnya. Beliau adalah

adik kepada Nik Jaafar bin Nik Soh, Penggawa Gua Musang. Semasa kejadian tersebut, Nik Mah  berselindung dalam pembetung jalan masuk ke Kampung Melayu berhampiran masjid Gua Musang. Apabila pengganas komunis menemuinya, tanpa belas kasihan mereka telah membunuhnya.[14] Sebaik sahaja pengganas komunis beredar dari situ, jenazah Nik Mah terpaksa disemadi secara bersembunyi berhampiran kolah di belakang masjid tersebut.[15] Harry Miller, dalam rencananya di ‘The Straits Times’ pada 25 Julai 1948, mencatat peristiwa itu sebagai “...massacring many Malays.”[16]

Sebaik sahaja pihak atasan diberitahu tentang peristiwa berdarah itu, mereka perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak orang Melayu Gua Musang terus menjadi mangsa kepada keganasan pengganas komunis. Tidak mustahil mereka akan terus menyerang Gua Musang jika keadaan memihak kepada mereka. Ekoran itu, Penggawa Nik Jaafar telah diarah membawa anak buahnya berpindah ke Kuala Krai. Menurut Penggawa Nik Jaafar, “...saya telah di prentah  bawa hilir kesemua ra’ayat2 saya (orang2 Melayu) ke Kuala Krai.”[17]

Peristiwa kekejaman komunis tidak mungkin boleh dilupa oleh penduduk Melayu di Gua Musang dan sesiapa yang singgah di Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang. Ini kerana pusara Nik Mah binti Nik Soh terdapat di tengah-tengah masjid tersebut. Pusara arwah tidak dipindah dari tapak asalnya apabila masjid tersebut dibina.

    

Maka tidak menghairankan orang Melayu Gua Musang meninggalkan Gua Musang apabila mendengar tembak-menembak antara anggota polis dengan pengganas komunis kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali!

*****

Antara penduduk Gua Musang yang turut mendengar dengan jelas pertempuran itu ialah Manah bin Samah yang tinggal lebih kurang 1½ batu (2.4 km) daripada rumah pasung tersebut. Beliau ketika itu dalam perjalanan pergi kerja. Tanpa berlengah, beliau bergegas ke hutan berhampiran untuk mendapatkan perlindungan. Dalam keadaan kelam kabut, beliau terserempak dengan Mata-mata Daud. Mata-mata Daud memberitahunya bahawa rumah pasung diserang pengganas komunis yang pada anggarannya berjumlah beratus-ratus. Beliau seterusnya menyatakan  yang beliau hendak pergi ke Kuala Krai untuk melapor kepada Ketua Polis Daerah.

Sebaik sahaja mendengar hasrat Mata-mata Daud mahu ke Kuala Krai, beliau bersama orang-orang kampung yang juga ketika itu cuba mendapat perlindungan di hutan, membantu Mata-mata Daud melarikan diri ke Kuala Krai.[18] Dalam keadaan begitu getir, mereka mendapatkan sebuah rakit di tebing Sungai Galas.

Ekoran itu, Mata-mata Daud berakit bersendirian ke Bertam, perhentian pertamanya. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, berakit ke Bertam banyak risiko. Beliau perlu berhati-hati kerana perjalanan akan mengharungi lebih daripada 7 jeram yang berbahaya. Ini bukan masanya rekreasi berakit arus deras (white water rafting) seperti dewasa kini sebaliknya membabit hidup atau mati!

Allah memelihara Mata-mata Daud. Setelah berakit lebih kurang 5-6 jam, beliau tiba di Bertam. Setelah menambat rakit di tebing Sg Galas, beliau pergi ke Rumah Pasung Bertam. Terkejut Ketua Polis Balai Bertam melihat Mata-mata Daud yang basah kuyup dan sehelai sepinggang. Dan kelaparan! Ya, Mata-mata Daud tidak sempat bersarapan pagi apabila melarikan diri dari Gua Musang.

Mata-mata Daud seterusnya membuat laporan mengenai serangan ke atas Rumah Pasung Gua Musang. Beliau memberitahu beliau akan melapor kejadian tersebut kepada Ketua Polis Daerah Kuala Krai. Sebaik sahaja mendengar apa yang berlaku di Gua Musang, Ketua Balai membuat keputusan semua anggotanya beredar Kuala Krai pada keesokan hari (18 Julai 1948).[19] Mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan sebelum mengosongkan Rumah Pasung Bertam.

*****

Bersambung...in sya Allah..

 


[1]     Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Ke-48: Erti Sabar,  21 Julai 2015. Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1950-irsyad-fatwa-ke-48-erti-sabar?Template Style=17 (diakses pada 30 Mei 2024).

[2] Marquette University, Karl Marx on Religion, January 20, 2015. Lihat https://law.marquette.edu/facultyblog/2015/01/karl-marx -on-religion/comment-page-1/ (diakses pada 30 Mei 2024).

[3]       Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng: My Side of History. Singapore: Media Master, hlm. 232; J. W. Goodwin, The Straits Times, Ghosts take over in historic Pulai, 24 June 1951, hlm. 10.  Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/ straitstimes19510624-1.2.119 (diakses pada 25 Mei 2024). Menurut J. W. Goodwin, Tong King Nyen (Penghulu Kpg Pulai) mendakwa kekuatan komunis ialah lebih kurang 200 orang.

[4]         Patrick Morrah, The History of the Malayan Police, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 36, Pt. 2, 1968, hlm. 8.  

[5]          Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng, hlm. 232 sebelum ini.

[6]    The Straits Times, Ghosts take over in historic Pulai, 24 June 1951, hlm. 10. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19510624-1.2.119 (diakses pada 12 Mei 2024).

[7]           Tan Teng Phee, Oral History and People’s Memory of the Malayan Emergency (1948-60): The Case of Pulai, Sojourn: Journal of Social Issues in Southeast Asia ISEAS–Yusof Ishak Institute Volume 27, Number 1, April 2012, hlm. 95. Lihat https://muse. jhu.edu/article/470695/pdf (diakses pada 15 Mei 2024). Pengkaji menemubual Wong, seorang suri rumah, merupakan satu-satunya wanita yang turut menyertai serangan ke atas Gua Musang pada 26 Mac 1948.

[8]         Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng sebelum ini, hlm. 232; Abdullah Zakaria Ghazali, Menangani Pemberontakan Komunis, Abdullah Zakaria Ghazali, Ho Hui Ling, & Mahmud Embong, Darurat Di Kelantan 1948-1960, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, hlm. 141. Chin Peng menyatakan kekuatan gerila komunis lebih kurang 100 orang sementara Abdullah Zakaria Ghazali pula mencatat seramai 131 orang penduduk Kpg Pulai terlibat dalam serangan ke atas Rumah Pasung Gua Musang pada 17 Julai 1948. Beliau merujuk kepada ‘Chronology of Important Event During The Emergency  in Malaya For the Period June 1948 to June 1949, hlm. 5, Fail Setiausaha Kerajaan Selangor 2114/1949, Chronology of Important Event During The Emergency.’  

[9]          Tan Teng Phee, Oral History sebelum ini, hlm. 95 sebelum ini. Semasa temu bual dengan seorang suri rumah, Wong, Tan Teng Phee mencatat Insp Ibrahim ditemu di kedai gunting rambut; Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini. Tan Sri Hj. Mubin Sheppard tidak menyata dari mana Insp Ibrahim ditemu sebelum pergi ke dispensari.

[11]            Ghaz Idris, Harapkan PAGAR atau PEGAR makan padi? Ini jawapannya, Iluminasi, 26 Jun 2022. Lihat https://iluminasi.com /bm/harapkan-pagar-atau-pegar-makan-padi-ini-jawapannya. html (diakses pada 4 Jun 2024). 

[12]        Dokumen Muzium PDRM. Temu bual dengan  Sjn 1650 Yaacob bin Awang, Ketua Polis Balai.              

[13]          Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats. Singapore: Cultured Lotus, hlm. 357. (Pertama kali diterbit bertajuk The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960 oleh Frederick Muller Ltd, Great Britain pada 1975). Pada tahun 1952, A. E. Young  yang mengganti Kol W. N. Gray sebagai Pesuruhjaya Polis. Beliau telah menjenama semula ‘rumah pasung’ kepada ‘balai polis.’ Istilah rumah pasung dikekal dalam tulisan ini.

[14]          Diari Nik Jaafar bin Nik Soh yang dihantar kepada penulis oleh Nik Hasan bin Nik Jaafar melalui aplikasi WhatsApp pada 9 Jun 2024; Harry Miller, The Straits Times, Ulu Kelantan’s Ill-Fated.

[15]    Ramli Ibrahim, myMetro, Kisah pilu pusara 72 tahun, 29 Ogos 2020. Lihat https://www.hmetro.com.my/utama/2020/08/615 091/kisah-pilu-pusara-72-tahun (diakses pada 25 April 2024).

[16]           Harry Miller, The Straits Times, Holy men fought sebelum ini.

[17]            Diari Nik Jaafar bin Nik Soh sebelum ini.

[18]        Dokumen daripada Muzium PDRM. Temu bual dengan En Manah bin Samah pada tahun 1990. 

[19]           Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan