Pages

Ahad, 28 Julai 2019

Esei Oleh Lt. Kol. Dr. Syed Othman Syed Omar (B) - Bhg. 1

Semalam, 27 Julai 2019, baru habis baca buku berikut yang dihadiahkan oleh penulis pada Jun 2015...
Diterbitkan pada 2014

Buat masa ini mood untuk menulis agak menurun, jadi tak le boleh buat ulasan terhadap buku tersebut. Namun, rumusan interimnya boleh le saya katakan Dr. Syed mempraktikkan apa yang diistilahkan mat saleh sebagai  'no holds barred'...dicurahkan perasaannya tanpa berselindung liki-liku kehidupannya dari kecil sehingga bersara dari TDM. Pada saya, menarik...sungguh menarik, wallahualam.

Untuk coretan kali ini dan berikutnya nanti, saya akan menurunkan esei beliau. Esei tersebut adalah sebagai mematuhi arahan Jabatanarah Infantri supaya semua pegawai Jabatanarah tersebut menulis esei untuk pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh Markas TD (hlm. 256).

Bagi memenuhi arahan tersebut, Syed telah menyerahkan esei berikut pada 30 Ogos 1999 (hlm. 257-265)...

PEMIMPIN DAN PEMERINTAH YANG BERKESAN
Oleh: Mejar Syed Othman Syed Omar

Menurut Kamus Dewan, pemimpin bermaksud orang yang memimpin manakala pemerintah dalam konteks tentera pula bermaksud pegawai yang mengetuai pasukan dan memberikan perintah. Umumnya di negara kita pemimpin lahir melalui tiga proses: pemilihan di peringkat kerajaan, pelantikan bagi peringkat pentadbiran dan secara semula jadi dalam konteks keluarga. Pemimpin dalam kerajaan yang memerintah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Para pentadbir dan ketua di pelbagai peringkat dalam birokrasi dilantik ke jawatan masing-masing oleh pihak yang diberi kuasa untuk melakukannya. Bapa dan suami secara semula jadi menjadi pemimpin dalam sesebuah keluarga.
            Dalam organisasi Tentera Darat Malaysia (TDM) secara umumnya terdapat tidak kurang dari sembilan peringkat pemimpin dan kesemuanya lahir melalui proses perlantikan. Ketua seksyen pemimpin di peringkat seksyen dilantik oleh ketua platun. Ketua platun/terup pemimpin di peringkat platun/terup dilantik oleh ketua kompeni/skuadron. Ketua kompeni/skuadron pemimpin di peringkat kompeni/skuadron dilantik oleh pegawai memerintah batalion/rejimen. Pegawai memerintah pemimpin di peringkat batalion/rejimen dilantik oleh pengarah kor. Panglima briged pemimpin di peringkat briged, panglima divisyen pemimpin di peringkat divisyen, Panglima Kor Tentera Darat, pemimpin di peringkat Markas Medan Tentera Darat dan mereka dilantik oleh Panglima Tentera Darat (PTD). PTD, Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) pula merupakan pemimpin bagi perkhidmatan tentera darat, laut dan tentera udara manakala Panglima Angkatan Tentera (PAT) merupakan pemimpin bagi keseluruhan organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
            Pemimpin yang dilantik di pelbagai peringkat mempunyai bidang kuasa tertentu selaras dengan senarai tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Dengan sebab itu pemimpin perlulah bersedia membawa perkara-perkara di luar bidang kuasanya ke peringkat lebih tinggi untuk diselesaikan. Permasalahan dan rancangan kebiasaannya lebih mudah diselesaikan dan dilaksanakan dari atas berbanding dari bawah. Berdasarkan keadaan tersebut setiap individu perlu berani dan sedia bertanggungjawab dalam mengemukakan permasalahan dan rancangan kepada tidak hanya kepada atasan mereka sahaja malah sekiranya perlu bersedia membawa hingga kepengetahuan pemimpin tertinggi.
            Pemimpin atasan perlu mengelakkan diri diari mencampuri urusan pentadbiran dan pemerintahan para pemimpin bawahannya kecuali mereka didapati gagal atau menyeleweng dalam tugasnya. Kuasa dan hak pemimpin di setiap peringkat perlu dihormati. Ini bagi menentukan para pemimpin di semua peringkat dihormati oleh anggota bawahan mereka. Selain itu pemimpin juga perlu meneruskan  dasar dan rancangan yang telah dibuat  oleh pemimpin terdahulu yang mana tentunya telah dibuat  secara kolektif sehingga selesai sebelum mengemukakan dasar serta rancangan baru. Ini bagi menentukan wujudnya kesinambungan dalam dasar dan perancangan sekaligus menjadikan kakitangan benar-benar komited terhadap tugas dan pemimpin semasa.
            Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disegani, dihormati dan disukai. Disukai sahaja belum cukup baik kerana manusia kebiasaannya akan menyukai seseorang selagi ia tidak menentang amalannya sekalugus memenuhi citarasanya. Para pengedar atau penagih dadah misalnya tidak akan menyukai pemimpin yang mahu menguatkuasakan undang-undang dadah. Para pengamal rasuah sudah tentu tidak sukakan pemimpin yang anti rasuah. Begitu juga halnya dengan anggota bawahan yang kaki ponteng atau mereka yang suka berlakon pastinya tidak senang dengan pemimpin yang kuat bekerja dan sering pula menegur amalan negatif mereka. Jadi apakah seorang pemimpin dapat diterima sebagai pemimpin yang baik hanya kerana beliau disenangi oleh semua orang? Rasanya tentulah tidak. Namun begitu memang ada pemimpin yang disukai oleh semua pihak kerana pendirian mereka yang serba longgar walaupun mereka sebenarnya bukan dalam golongan pemimpin yang baik.

Bersambung....In syaa Allah.

Jumaat, 12 Julai 2019

Kenyataan Rasmi PKM

Gomen dah keluar kenyataan rasmi mengenai Pertemuan Baling di SINI. PKM pula keluar kenyataan rasmi depa seperti berikut:


KENYATAAN RASMI PKM

Chin Peng tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kegagalan Pertemuan Baling sebaik sahaja peristiwa itu berakhir. Mereka menunggu  pengumuman Tunku hasil pemergian rombongannya ke London untuk membincangkan pemberian kemerdekaan. Setelah Tunku mengumumkan secara rasminya bahawa PTM akan diberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, PKM mengeluarkan kenyataan berikut:


SURAT  KENYATAAN  PKM  BERKENAAN  DENGAN  KEADAAN SEKARANG

PKM telah mengumumkan manifesto program pada 22 Disember 1955 dalam mana telah menjelaskan tujuan parti kami berjuang untuk melaksanakan kemerdekaan, demokrasi dan keamanan di Malaya serta mengemukakan jalan yang betul bagi melaksanakan tujuan itu.

Rundingan damai telah diadakan di Baling pada penghujung bulan Disember yang lalu. Di dalam pertemuan itu PKM telah mengambil sikap yang paling sabar dan bertolak ansur dan berikhtiar dengan sedaya upaya supaya rundingan itu boleh mencapai persetujuan supaya rakyat di seluruh negeri boleh bersatu lebih erat lagi dan berjuang untuk melaksana kemerdekaan tanah air. 

Oleh itu, parti kami telah menyatakan dengan terus terang bahawa kami sanggup memberhentikan perlawanan-perlawanan dan menamatkan peperangan asal saja pihak yang berkuasa Malaya sanggup mengambil sikap yang munasabah, umpamanya membatalkan Undang-Undang Darurat, memberikan hak-hak demokratik dan kebebasan politik kepada rakyat seluruh Malaya termasuk orang-orang komunis, menjamin tidak melakukan keaiban politik dan pembalasan ke atas batang tubuh orang-orang komunis dan anggota-anggota tentera kebebasan dan lain-lain. Tetapi sangatlah dikesalkan kerana pihak lawan di dalam perundingan itu menolak sama sekali kepada usulan-usulan kami yang munasabah, tetap berpegang kepada syarat-syaratnya yang tidak munasabah yang memaksa pihak kami supaya menyerah diri, sedangkan syarat-syarat yang kasar dan tidak munasabah itu tak dapat tidak kami tolak dengan tegas sehingga menyebabkan pertemuan itu tidak dapat mencapai persetujuan. Dari sini bolehlah nampak bahawa sebabnya pertemuan Baling itu tidak mencapai hasil adalah sama sekali kerana haluan yang telah lama sedia ditetapkan oleh British sebelum pertemuan itu lagi untuk mengkhianati rundingan damai tersebut.

Sesudah pertemuan Baling itu, British telah mengadakan rundingan London dengan pihak yang berkuasa Malaya. Hasil-hasil rundingan itu membuktikan bahawa British telah membuat sesetengah tolak ansur kepada pihak yang berkuasa Malaya, tetapi Malaya tidak pun mendapat kemerdekaan, Malaya masih tetap sebagai tanah jajahan British. Mesti ditegaskan bahawa tolak ansur itu telah dibuat oleh British juga kerana menerima tekanan-tekanan dari gerakan kemerdekaan rakyat negeri kita dan perjuangan parti kami. Apa yang lebih penting lagi ialah British masih mempunyai satu niat jahat yang baru iaitu mencuba dengan menerusi sesetengah tolak ansur itu untuk mengumpan sebahagian anasir-anasir atasan Malaya supaya bekerjasama dengannya untuk meneruskan peperangan bagi mencapai tipu daya niat jahatnya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya”.

PKM yang bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat seluruh negeri, menuntut kepada rakyat seluruh negeri supaya mengambil pengertian yang waras kepada tipu daya kaum kolonial British yang jahat itu. Boleh dipastikan, jika sekiranya tipu daya British itu berhasil dan peperangan di Malaya terus menerus berkepanjangan, maka bukan saja segala bangsa-bangsa yang berpersaudaraan di negeri kita akan saling membunuh dan kesengsaraan rakyat di negeri kita akan semakin bertambah-tambah, tetapi juga ada kemungkinan bagi kaum kolonial menggunakan  3 kelanjutan peperangan dan perpecahan di dalam Malaya untuk mengetatkan lagi penguasaannya kepada Malaya, melambatkan kemerdekaan Malaya, bahkan menghampakan sama sekali segala penyerahannya kepada Malaya dahulu.

Oleh itu, PKM berpendapat bahawa kewajipan mustahak bagi segala bangsa, segala lapisan dan segala parti dan perkumpulan-perkumpulan di negeri kita sekarang ini ialah untuk mencegah perpecahan, meneguhkan perpaduan, meleburkan tipu daya yang jahat dan bisa dari British iaitu tipu daya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita. PKM berpendapat bahawa kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya adalah saling berkaitan dan tak boleh dibelah bagi. Parti kami sedang dan akan berjuang terus menerus dengan tidak sayang menggunakan segala tenaga untuk memulihkan keamanan. Parti kami menyatakan sekali lagi dengan tegasnya bahawa sebarang percubaan untuk memaksa parti kami menyerah diri itu semestinya akan gagal, tetapi kalau pihak yang berkuasa Malaya sanggup menamatkan peperangan dengan bersendikan syarat-syarat yang adil dan munasabah sebagaimana yang kami sebutkan di atas itu, maka kami adalah mengalu-alukan supaya rundingan-rundingan diadakan semula.

Dengan ikhlasnya kami menasihati lagi kepada pihak yang berkuasa Malaya bahawa orang-orang yang menumpahkan taat setianya kepada usaha kemerdekaan negeri kita hendaklah dan tidak pula susah dengan penuh kesanggupan meninggalkan sikap yang dipertahankan oleh British untuk memaksa pihak kami menyerah diri itu, dan mengadakan semula rundingan-rundingan dengan parti kami di bawah syarat-syarat yang adil dan munasabah, kalau tetap berpegang kepada haluan yang salah untuk memaksa orang-orang komunis menyerah diri sehingga peperangan tak dapat ditamatkan dan keamanan tak dapat dipulihkan dengan segera, nescaya akan jatuh ke dalam perangkap British dan merosakkan usaha kemerdekaan negeri kita, bahkan tidak akan dapat terelakkan daripada tanggungjawab meneruskan peperangan, tidak syak lagi, bahawa di dalam keadaan yang demikian itu pihak kami akan terpaksa meneruskan penentangan bersenjata yang semestinya bagi membela kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Saudara-saudara di seluruh negeri! Bersatu padulah lebih erat lagi, mencegah perpecahan, meleburkan niat jahat British “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang dengan sekeras-kerasnya untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita! Kita pasti mencapai kemenangan asal saja kita bersama-sama berusaha.

            Jawatankuasa Pusat
Parti Komunis Malaya
5 Mac 1956.[1] 

            Chin Peng sepatutnya tidak gundah terhadap kegagalan Pertemuan Baling dan perlu mengakui bahawa dia tersilap perkiraan terhadap peribadi Tunku. Dia tidak sama sekali menyangka bahawa lawannya seorang nasionalis yang begitu tegas dan tidak mudah berkompromi terutama melibatkan kebajikan rakyat dan agama Islam. Dia sepatutnya tidak mendakwa Tunku mengkhianatinya kerana semenjak awal lagi Tunku telah menegaskan tujuan utama pertemuan adalah untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Malahan China juga agak kehairanan apabila Tunku bersetuju untuk bertemu dengan ketua pengganas. Menurut pegawai International Liaison Department yang bertanggungjawab menjaga keperluan PKM di China, walaupun mereka kecewa dengan kegagalan pertemuan tersebut, mereka anggap agak janggal apabila Tunku yang dipihak menang, sedia memenuhi permohonan PKM, pihak yang kalah, untuk bertemu walaupun hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti; seharusnya beliau tidak melayan permohonan Chin Peng. Dia sebenar tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut sesuatu dari kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Mereka samakan peluang tersebut apabila Chiang Kai Shek enggan berunding dengan Mao Zedong ketika Parti Komunis China di tahap lemah.[2]









[1]               Kini & Silam, Surat Kenyataan PKM Berkenaan Dengan Keadaan Sekarang, 5 November 2009. Lihat https://www.scribd.com/document/22587689/Surat-Kenyataan-PKM-Berkenaan-Dengan-Keadaan-Sekarang (diakses pada 30 Oktober 2018 ); dan Yanqin He, Kee Cheok Cheong & Ran Li, op. cit., hlm. 14.
[2]               Aloysius Chin, op. cit., hlm. 48.

Khamis, 4 Julai 2019

Pembatalan Tawaran Amnesti

Bersambung dari petikan dari Liku-Liku Pertemuan Baling SINI. Pertemuan di antara Tunku dengan Chin Peng berakhir pada 29 Disember 1955 tanpa sebarang persetujuan. Dengan itu, Tunku mengumumkan penamatan tawaran amnesti kepada PKM.

30 Disember 1955 ...

Kuala Lumpur. Tunku berbincang dengan MacGillivray dan Bourne di King's House. Mereka bersetuju untuk membatalkan amnesti dan syarat-syaratnya pada 8 Februari 1956. Sebenarnya tawaran ini boleh dianggap telah gagal kerana semenjak diisytiharkan sehingga penghujung Disember 1955, hanya 65 orang gerila yang menyahut seruan Tunku.[1] Dengan persetujuan itu, Tunku mengumumkan melalui Radio Malaya keputusan Pertemuan Baling berikut:

            Pertemuan di antara Chin Peng dan Ketua Menteri Singapura [David Marshall], Dato’ Sir Cheng-Lock Tan dan saya telah berakhir. Keputusannya bagi segolongan pihak mungkin tidak memuaskan tetapi saya dan rakan-rakan tidak mengharapkan keputusan selain apa yang telah dicapai. Pertemuan tersebut bermula pada 28hb Disember 1955 di Baling dan berakhir pada tengah hari 29hb Disember 1955. Chin Peng dengan jelasnya telah menyatakan kepada saya dan rakan-rakan saya bahawa dia tidak akan menyerah diri kecuali kami bersedia:

(i)                  untuk mengiktiraf parti komunis,
(ii)                tidak melakukan siasatan ke atas mereka, dan
(iii)               tidak menahan mereka untuk disiasat.

Mengenai No. (i), iaitu pengiktirafan parti komunis, saya menjelaskan kepada dia bahawa saya tidak dapat mengiktiraf parti komunis kerana aktiviti-aktiviti mereka tidak selari dengan kehidupan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Semenjak lapan tahun lalu, mereka telah berusaha supaya rakyat menyokong mereka dengan melakukan keganasan dan pembunuhan. Jika kita mengiktiraf parti komunis, rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang pernah mengalami keganasan aktiviti-aktiviti sudah pasti tidak menyokongnya.

Tujuan melakukan siasatan, saya menjelaskan kepada mereka, adalah untuk menentukan kesetiaan mereka. Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa sebelum mereka dibenarkan kembali ke pangkuan masyarakat, pertama sekali mereka perlu bersumpah untuk setia kepada negeri ini dan menghentikan aktiviti-aktiviti komunis mereka. Mereka membantah untuk disiasat dan mereka menuntut untuk mengetahui apakah ujian-ujian bagi mengukur kesetiaan kepada Persekutuan Tanah Melayu yang diperlukan daripada mereka. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa ujian-ujian tersebut mudah sahaja. Ia adalah ujian kesetiaan kepada Raja-Raja dan kerajaan negeri sedia ada dan meninggalkan semua aktiviti-aktiviti komunis. Dalam melaksanakan siasatan ini, adalah perlu mereka di tempat di suatu lokasi tertentu. Mereka menyatakan bahawa menempatkan mereka di mana sahaja membawa erti mereka ditahan dan mereka enggan ditahan. Mereka lebih suka menjalani kehidupan mereka sekarang ini, bebas untuk ke mana sahaja seperti di dalam hutan. Saya juga menjelaskan bahawa penahanan itu diperlukan untuk tempoh siasatan dilakukan bagi menentukan kesetiaan mereka kepada negeri ini. Mereka masih enggan menerimanya.

Kemudian Encik Marshall dan saya bertanya tujuan mereka melakukan tindakan keganasan yang sia-sia ini dan jawapannya ialah mereka melakukannya untuk menanam ideologi komunis. Pada mulanya, mereka cuba menonjolkan bahawa mereka berjuang untuk membebaskan Persekutuan Tanah Melayu daripada kolonialisme, tetapi saya memberitahu mereka bahawa ini tidak perlu sementelah Tuan Yang Terutama [Pesuruhjaya Tinggi] telah memberi jaminan dalam Dewan Undangan [Persekutuan] bahawa kemerdekaan dijanjikan kepada Persekutuan Tanah Melayu dan kami akan mendapatkannya sebaik sahaja beberapa perkara dan butir-butir diteliti membabitkan pemindahan kuasa. Lagi pula, Perhimpunan Agong UMNO serta disokong oleh Majlis Nasional Perikatan telah bersetuju bahawa, jika boleh, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan pada 31hb Ogos 1957. Justeru, adalah agak jelas, hujah mereka bahawa mereka berjuang untuk menamatkan kolonialisme tidak berasas sama sekali.

Saya akan pergi ke England untuk meneliti butir-butir untuk berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Misi saya mendapat sokongan Raja-Raja dan semua organisasi dalam negeri ini. Saya telah memberitahu Chin Peng dan rakan-rakannya bahawa kehadiran saya [di Baling] bukannya untuk menghakim mereka tetapi untuk bercakap dengan mereka dalam bahasa mudah dan jelas. Ketua Menteri Singapura, Encik David Marshall, dan Dato’ Sir Cheng-Lock Tan juga bersependapat bahawa komunis mesti menghentikan perjuangan yang sia-sia ini dan menyerah diri kepada kami: mereka boleh mempercayai kami untuk melakukan apa yang terbaik untuk mereka.

Sesi ketiga dan terakhir pertemuan pada keesokan hari, 29hb Disember, 1955, Chin Peng membuat satu pengisytiharan yang begitu penting dengan menyatakan bahawa Parti Komunis Malaya akan meletak senjata dan menghentikan peperangan sebaik sahaja kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik [oleh rakyat] mendapat kuasa ke atas keselamatan dalam negeri ini. Dia seterusnya menyatakan bahawa Angkatan Bersenjata Komunis yang digelar Tentera Kebebasan Nasional (National Liberation Army) tidak perlu lagi kewujudannya atau meneruskan perjuangan bersenjata mereka. Saya bertanya sama ada Parti Komunis Malaya bersetuju menyerah diri tanpa syarat. Jawapannya adalah negatif yang menurut mereka adalah tidak bermaruah untuk menyerah diri. Encik Marshall kemudian membawa kepada perhatian mereka bahawa terdapat 7,000,000 orang rakyat di Persekutuan Tanah Melayu manakala komunis hanya ada 3,000 orang sahaja. Chin Peng seharusnya memikirkan kebajikan 7,000,000 orang rakyat dan mengorbankan maruahnya walaupun agak memalukan, seperti yang tersirat dalam syarat-syarat menyerah diri. Di waktu itulah Chin Peng mengatakan bahawa dia tiada mandat untuk menerimanya. Malah dia seterusnya mengatakan bahawa mereka akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir daripada berhadapan dengan keaiban  menyerah diri. Saya mengatakan jika itulah pendirian mereka, maka tiada apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mereka.

Kami sampai ke peringkat di mana sama ada Parti Komunis Malaya atau parti saya mengaku kalah. Tetapi, sekiranya saya yang mengaku kalah, bererti saya mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu kepada komunis. Kedua-dua ideologi [demokratik dan komunis] kita sangat jauh perbezaannya. Ideologi komunis adalah ideologi keganasan dan kebencian sementara [ideologi] kita membawa kepada keamanan dan muhibah. [Ideologi] Mereka adalah merupakan satu pergerakan asing dari luar negeri dan disokong hanya oleh sekumpulan kecil dari dalam negeri. Sebaliknya, kami [Parti Perikatan] adalah satu pergerakan nasionalis Persekutuan Tanah Melayu yang disokong oleh rakyat negeri ini. Dengan ini, adalah jelas bahawa ideologi mereka dan kita tidak boleh wujud berseiring kerana apa yang berlaku di China, Korea dan Vietnam adalah petunjuk apa yang akan berlaku di sini. Saya memberitahu Chin Peng bahawa China adalah negerinya sendiri tetapi warga nasionalis China [Parti Nasionalis juga dikenali sebagai Kuomintang] telah diusir keluar oleh komunis. Korea dibahagi dua, satu untuk komunis dan satu lagi untuk Korea Selatan. Sama juga apa yang berlaku di Vietnam tetapi Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil untuk bahagikan kepada puak-puak bermusuhan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu enggan membenarkan mereka dalam keadaan begitu. Orang Cina, Melayu, Tamil dan lain-lain masing-masing turut menyumbang ke atas pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu. Negara baharu ini mesti tidak dimusnahkan oleh komunis. Isunya begitu jelas, iaitu sama ada Parti Komunis Malaya mengaku kalah atau saya mengaku kalah. Saya tidak akan mengaku kalah, justeru Parti Komunis Malaya yang mesti mengaku kalah.

Oleh kerana Parti Komunis Malaya enggan menerima syarat-syarat amnesti saya, sebagai Ketua Menteri kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik, dengan dipersetujui oleh Pesuruhjaya Tinggi dan Jeneral Bourne, dengan ini mengisytiharkan bahawa amnesti yang diisytiharkan pada 9hb September, 1955 dan juga sebarang syarat-syarat menyerah diri yang dikuatkuasakan sebelum pengisytiharan amnesti, ditarik balik berkuat kuasa pada 8hb Februari, 1956.

Saya tidak berhasrat untuk bertemu dengan pemimpin komunis lagi kecuali komunis memberi petunjuk lebih awal bahawa mereka berhasrat untuk menemui saya dengan alasan bahawa mereka mahu menyerah diri sepenuhnya. Saya kesal dan terpaksa mengambil tindakan ini. Kerajaan saya dan parti saya yakin bahawa tiada pendekatan separuh jalan akan berjaya bagi menamatkan perjuangan ini yang telah berlarutan selama lapan tahun. Rakyat sudah jemu dan muak dengan darurat dan pemimpin komunis yang telah menolak tawaran kami untuk menamatkan perjuangan komunis ini. Mereka [komunis] mengatakan bahawa ideologi keamanan dan keharmonian kami tidak boleh wujud seiring dengan ideologi keganasan dan kebencian mereka. Peperangan mesti diperhebat sehingga  kita atau mereka mengaku kalah. Dengan penuh kepastian, bahawa bukan saya yang akan mengaku kalah dan mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Oleh yang demikian, Parti Komunis Malayalah mesti mengaku kalah.

Saya begitu yakin bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu akan memberi sokongan dan kerjasama mereka sepenuhnya kepada tindakan yang telah saya ambil.

MERDEKA![2]

Berikutan pengumuman Tunku, Bourne pula mengeluarkan kenyataan berikut:
It is now clear to the whole world that there is no truth in the Malayan Communist Party claim that they are fighting for the independence of Malaya. Chin Peng insists that he is fighting for the Communist ideology, will not give it up and will not surrender.

He thus admits that he is fighting against the elected Government of Malaya and I feel sure that the people of Malaya under the leadership of Tengku Abdul Rahman will fight back and help the security forces to finish off the remaining Communist terrorists quickly. It can be done.[3]
           
Pengumuman membatal tawaran amnesti menyaksikan trup dari 28 Commonwealth Infantry Brigade yang berpangkalan di Butterworth, diatur gerak ke Kulim. Trup ini terdiri daripada pasukan Australia.  Menurut Brig. P. N. M. Moore, Komander Briged, setibanya di Kulim, trup akan memulakan latihan secepat mungkin dan akan diatur gerak ke kawasan operasi di Hutan Simpan Bongsu, satu kawasan panas.[4] 




[1]               Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Awang. (1984). Darurat 1948-1960. (Penyunting).  Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm. 217.
[2]               Tunku Abdul Rahman Putra. (1984). Malaysia: The Road To Independence. Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd., hlm. 81-86. Buku ini mengandungi ucapan-ucapan terpilih Tunku Abdul Rahman Putra. Terjemahan oleh pengkaji.
[3]               The Straits Times, Feb. 8-then WAR to THE END, 31 Dis 1955, hlm. 1.
[4]               The Straits Times, Aussies Move Closer to Jungle, 2 January 1956, hlm. 4.