Pengikut

Khamis, 4 Julai 2019

Pembatalan Tawaran Amnesti

Bersambung dari petikan dari Liku-Liku Pertemuan Baling SINI. Pertemuan di antara Tunku dengan Chin Peng berakhir pada 29 Disember 1955 tanpa sebarang persetujuan. Dengan itu, Tunku mengumumkan penamatan tawaran amnesti kepada PKM.

30 Disember 1955 ...

Kuala Lumpur. Tunku berbincang dengan MacGillivray dan Bourne di King's House. Mereka bersetuju untuk membatalkan amnesti dan syarat-syaratnya pada 8 Februari 1956. Sebenarnya tawaran ini boleh dianggap telah gagal kerana semenjak diisytiharkan sehingga penghujung Disember 1955, hanya 65 orang gerila yang menyahut seruan Tunku.[1] Dengan persetujuan itu, Tunku mengumumkan melalui Radio Malaya keputusan Pertemuan Baling berikut:

            Pertemuan di antara Chin Peng dan Ketua Menteri Singapura [David Marshall], Dato’ Sir Cheng-Lock Tan dan saya telah berakhir. Keputusannya bagi segolongan pihak mungkin tidak memuaskan tetapi saya dan rakan-rakan tidak mengharapkan keputusan selain apa yang telah dicapai. Pertemuan tersebut bermula pada 28hb Disember 1955 di Baling dan berakhir pada tengah hari 29hb Disember 1955. Chin Peng dengan jelasnya telah menyatakan kepada saya dan rakan-rakan saya bahawa dia tidak akan menyerah diri kecuali kami bersedia:

(i)                  untuk mengiktiraf parti komunis,
(ii)                tidak melakukan siasatan ke atas mereka, dan
(iii)               tidak menahan mereka untuk disiasat.

Mengenai No. (i), iaitu pengiktirafan parti komunis, saya menjelaskan kepada dia bahawa saya tidak dapat mengiktiraf parti komunis kerana aktiviti-aktiviti mereka tidak selari dengan kehidupan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Semenjak lapan tahun lalu, mereka telah berusaha supaya rakyat menyokong mereka dengan melakukan keganasan dan pembunuhan. Jika kita mengiktiraf parti komunis, rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang pernah mengalami keganasan aktiviti-aktiviti sudah pasti tidak menyokongnya.

Tujuan melakukan siasatan, saya menjelaskan kepada mereka, adalah untuk menentukan kesetiaan mereka. Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa sebelum mereka dibenarkan kembali ke pangkuan masyarakat, pertama sekali mereka perlu bersumpah untuk setia kepada negeri ini dan menghentikan aktiviti-aktiviti komunis mereka. Mereka membantah untuk disiasat dan mereka menuntut untuk mengetahui apakah ujian-ujian bagi mengukur kesetiaan kepada Persekutuan Tanah Melayu yang diperlukan daripada mereka. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa ujian-ujian tersebut mudah sahaja. Ia adalah ujian kesetiaan kepada Raja-Raja dan kerajaan negeri sedia ada dan meninggalkan semua aktiviti-aktiviti komunis. Dalam melaksanakan siasatan ini, adalah perlu mereka di tempat di suatu lokasi tertentu. Mereka menyatakan bahawa menempatkan mereka di mana sahaja membawa erti mereka ditahan dan mereka enggan ditahan. Mereka lebih suka menjalani kehidupan mereka sekarang ini, bebas untuk ke mana sahaja seperti di dalam hutan. Saya juga menjelaskan bahawa penahanan itu diperlukan untuk tempoh siasatan dilakukan bagi menentukan kesetiaan mereka kepada negeri ini. Mereka masih enggan menerimanya.

Kemudian Encik Marshall dan saya bertanya tujuan mereka melakukan tindakan keganasan yang sia-sia ini dan jawapannya ialah mereka melakukannya untuk menanam ideologi komunis. Pada mulanya, mereka cuba menonjolkan bahawa mereka berjuang untuk membebaskan Persekutuan Tanah Melayu daripada kolonialisme, tetapi saya memberitahu mereka bahawa ini tidak perlu sementelah Tuan Yang Terutama [Pesuruhjaya Tinggi] telah memberi jaminan dalam Dewan Undangan [Persekutuan] bahawa kemerdekaan dijanjikan kepada Persekutuan Tanah Melayu dan kami akan mendapatkannya sebaik sahaja beberapa perkara dan butir-butir diteliti membabitkan pemindahan kuasa. Lagi pula, Perhimpunan Agong UMNO serta disokong oleh Majlis Nasional Perikatan telah bersetuju bahawa, jika boleh, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan pada 31hb Ogos 1957. Justeru, adalah agak jelas, hujah mereka bahawa mereka berjuang untuk menamatkan kolonialisme tidak berasas sama sekali.

Saya akan pergi ke England untuk meneliti butir-butir untuk berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Misi saya mendapat sokongan Raja-Raja dan semua organisasi dalam negeri ini. Saya telah memberitahu Chin Peng dan rakan-rakannya bahawa kehadiran saya [di Baling] bukannya untuk menghakim mereka tetapi untuk bercakap dengan mereka dalam bahasa mudah dan jelas. Ketua Menteri Singapura, Encik David Marshall, dan Dato’ Sir Cheng-Lock Tan juga bersependapat bahawa komunis mesti menghentikan perjuangan yang sia-sia ini dan menyerah diri kepada kami: mereka boleh mempercayai kami untuk melakukan apa yang terbaik untuk mereka.

Sesi ketiga dan terakhir pertemuan pada keesokan hari, 29hb Disember, 1955, Chin Peng membuat satu pengisytiharan yang begitu penting dengan menyatakan bahawa Parti Komunis Malaya akan meletak senjata dan menghentikan peperangan sebaik sahaja kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik [oleh rakyat] mendapat kuasa ke atas keselamatan dalam negeri ini. Dia seterusnya menyatakan bahawa Angkatan Bersenjata Komunis yang digelar Tentera Kebebasan Nasional (National Liberation Army) tidak perlu lagi kewujudannya atau meneruskan perjuangan bersenjata mereka. Saya bertanya sama ada Parti Komunis Malaya bersetuju menyerah diri tanpa syarat. Jawapannya adalah negatif yang menurut mereka adalah tidak bermaruah untuk menyerah diri. Encik Marshall kemudian membawa kepada perhatian mereka bahawa terdapat 7,000,000 orang rakyat di Persekutuan Tanah Melayu manakala komunis hanya ada 3,000 orang sahaja. Chin Peng seharusnya memikirkan kebajikan 7,000,000 orang rakyat dan mengorbankan maruahnya walaupun agak memalukan, seperti yang tersirat dalam syarat-syarat menyerah diri. Di waktu itulah Chin Peng mengatakan bahawa dia tiada mandat untuk menerimanya. Malah dia seterusnya mengatakan bahawa mereka akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir daripada berhadapan dengan keaiban  menyerah diri. Saya mengatakan jika itulah pendirian mereka, maka tiada apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mereka.

Kami sampai ke peringkat di mana sama ada Parti Komunis Malaya atau parti saya mengaku kalah. Tetapi, sekiranya saya yang mengaku kalah, bererti saya mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu kepada komunis. Kedua-dua ideologi [demokratik dan komunis] kita sangat jauh perbezaannya. Ideologi komunis adalah ideologi keganasan dan kebencian sementara [ideologi] kita membawa kepada keamanan dan muhibah. [Ideologi] Mereka adalah merupakan satu pergerakan asing dari luar negeri dan disokong hanya oleh sekumpulan kecil dari dalam negeri. Sebaliknya, kami [Parti Perikatan] adalah satu pergerakan nasionalis Persekutuan Tanah Melayu yang disokong oleh rakyat negeri ini. Dengan ini, adalah jelas bahawa ideologi mereka dan kita tidak boleh wujud berseiring kerana apa yang berlaku di China, Korea dan Vietnam adalah petunjuk apa yang akan berlaku di sini. Saya memberitahu Chin Peng bahawa China adalah negerinya sendiri tetapi warga nasionalis China [Parti Nasionalis juga dikenali sebagai Kuomintang] telah diusir keluar oleh komunis. Korea dibahagi dua, satu untuk komunis dan satu lagi untuk Korea Selatan. Sama juga apa yang berlaku di Vietnam tetapi Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil untuk bahagikan kepada puak-puak bermusuhan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu enggan membenarkan mereka dalam keadaan begitu. Orang Cina, Melayu, Tamil dan lain-lain masing-masing turut menyumbang ke atas pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu. Negara baharu ini mesti tidak dimusnahkan oleh komunis. Isunya begitu jelas, iaitu sama ada Parti Komunis Malaya mengaku kalah atau saya mengaku kalah. Saya tidak akan mengaku kalah, justeru Parti Komunis Malaya yang mesti mengaku kalah.

Oleh kerana Parti Komunis Malaya enggan menerima syarat-syarat amnesti saya, sebagai Ketua Menteri kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik, dengan dipersetujui oleh Pesuruhjaya Tinggi dan Jeneral Bourne, dengan ini mengisytiharkan bahawa amnesti yang diisytiharkan pada 9hb September, 1955 dan juga sebarang syarat-syarat menyerah diri yang dikuatkuasakan sebelum pengisytiharan amnesti, ditarik balik berkuat kuasa pada 8hb Februari, 1956.

Saya tidak berhasrat untuk bertemu dengan pemimpin komunis lagi kecuali komunis memberi petunjuk lebih awal bahawa mereka berhasrat untuk menemui saya dengan alasan bahawa mereka mahu menyerah diri sepenuhnya. Saya kesal dan terpaksa mengambil tindakan ini. Kerajaan saya dan parti saya yakin bahawa tiada pendekatan separuh jalan akan berjaya bagi menamatkan perjuangan ini yang telah berlarutan selama lapan tahun. Rakyat sudah jemu dan muak dengan darurat dan pemimpin komunis yang telah menolak tawaran kami untuk menamatkan perjuangan komunis ini. Mereka [komunis] mengatakan bahawa ideologi keamanan dan keharmonian kami tidak boleh wujud seiring dengan ideologi keganasan dan kebencian mereka. Peperangan mesti diperhebat sehingga  kita atau mereka mengaku kalah. Dengan penuh kepastian, bahawa bukan saya yang akan mengaku kalah dan mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Oleh yang demikian, Parti Komunis Malayalah mesti mengaku kalah.

Saya begitu yakin bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu akan memberi sokongan dan kerjasama mereka sepenuhnya kepada tindakan yang telah saya ambil.

MERDEKA![2]

Berikutan pengumuman Tunku, Bourne pula mengeluarkan kenyataan berikut:
It is now clear to the whole world that there is no truth in the Malayan Communist Party claim that they are fighting for the independence of Malaya. Chin Peng insists that he is fighting for the Communist ideology, will not give it up and will not surrender.

He thus admits that he is fighting against the elected Government of Malaya and I feel sure that the people of Malaya under the leadership of Tengku Abdul Rahman will fight back and help the security forces to finish off the remaining Communist terrorists quickly. It can be done.[3]
           
Pengumuman membatal tawaran amnesti menyaksikan trup dari 28 Commonwealth Infantry Brigade yang berpangkalan di Butterworth, diatur gerak ke Kulim. Trup ini terdiri daripada pasukan Australia.  Menurut Brig. P. N. M. Moore, Komander Briged, setibanya di Kulim, trup akan memulakan latihan secepat mungkin dan akan diatur gerak ke kawasan operasi di Hutan Simpan Bongsu, satu kawasan panas.[4] 




[1]               Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Awang. (1984). Darurat 1948-1960. (Penyunting).  Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm. 217.
[2]               Tunku Abdul Rahman Putra. (1984). Malaysia: The Road To Independence. Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd., hlm. 81-86. Buku ini mengandungi ucapan-ucapan terpilih Tunku Abdul Rahman Putra. Terjemahan oleh pengkaji.
[3]               The Straits Times, Feb. 8-then WAR to THE END, 31 Dis 1955, hlm. 1.
[4]               The Straits Times, Aussies Move Closer to Jungle, 2 January 1956, hlm. 4. 


Tiada ulasan: