Pages

Jumaat, 12 Julai 2019

Kenyataan Rasmi PKM

Gomen dah keluar kenyataan rasmi mengenai Pertemuan Baling di SINI. PKM pula keluar kenyataan rasmi depa seperti berikut:


KENYATAAN RASMI PKM

Chin Peng tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kegagalan Pertemuan Baling sebaik sahaja peristiwa itu berakhir. Mereka menunggu  pengumuman Tunku hasil pemergian rombongannya ke London untuk membincangkan pemberian kemerdekaan. Setelah Tunku mengumumkan secara rasminya bahawa PTM akan diberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, PKM mengeluarkan kenyataan berikut:


SURAT  KENYATAAN  PKM  BERKENAAN  DENGAN  KEADAAN SEKARANG

PKM telah mengumumkan manifesto program pada 22 Disember 1955 dalam mana telah menjelaskan tujuan parti kami berjuang untuk melaksanakan kemerdekaan, demokrasi dan keamanan di Malaya serta mengemukakan jalan yang betul bagi melaksanakan tujuan itu.

Rundingan damai telah diadakan di Baling pada penghujung bulan Disember yang lalu. Di dalam pertemuan itu PKM telah mengambil sikap yang paling sabar dan bertolak ansur dan berikhtiar dengan sedaya upaya supaya rundingan itu boleh mencapai persetujuan supaya rakyat di seluruh negeri boleh bersatu lebih erat lagi dan berjuang untuk melaksana kemerdekaan tanah air. 

Oleh itu, parti kami telah menyatakan dengan terus terang bahawa kami sanggup memberhentikan perlawanan-perlawanan dan menamatkan peperangan asal saja pihak yang berkuasa Malaya sanggup mengambil sikap yang munasabah, umpamanya membatalkan Undang-Undang Darurat, memberikan hak-hak demokratik dan kebebasan politik kepada rakyat seluruh Malaya termasuk orang-orang komunis, menjamin tidak melakukan keaiban politik dan pembalasan ke atas batang tubuh orang-orang komunis dan anggota-anggota tentera kebebasan dan lain-lain. Tetapi sangatlah dikesalkan kerana pihak lawan di dalam perundingan itu menolak sama sekali kepada usulan-usulan kami yang munasabah, tetap berpegang kepada syarat-syaratnya yang tidak munasabah yang memaksa pihak kami supaya menyerah diri, sedangkan syarat-syarat yang kasar dan tidak munasabah itu tak dapat tidak kami tolak dengan tegas sehingga menyebabkan pertemuan itu tidak dapat mencapai persetujuan. Dari sini bolehlah nampak bahawa sebabnya pertemuan Baling itu tidak mencapai hasil adalah sama sekali kerana haluan yang telah lama sedia ditetapkan oleh British sebelum pertemuan itu lagi untuk mengkhianati rundingan damai tersebut.

Sesudah pertemuan Baling itu, British telah mengadakan rundingan London dengan pihak yang berkuasa Malaya. Hasil-hasil rundingan itu membuktikan bahawa British telah membuat sesetengah tolak ansur kepada pihak yang berkuasa Malaya, tetapi Malaya tidak pun mendapat kemerdekaan, Malaya masih tetap sebagai tanah jajahan British. Mesti ditegaskan bahawa tolak ansur itu telah dibuat oleh British juga kerana menerima tekanan-tekanan dari gerakan kemerdekaan rakyat negeri kita dan perjuangan parti kami. Apa yang lebih penting lagi ialah British masih mempunyai satu niat jahat yang baru iaitu mencuba dengan menerusi sesetengah tolak ansur itu untuk mengumpan sebahagian anasir-anasir atasan Malaya supaya bekerjasama dengannya untuk meneruskan peperangan bagi mencapai tipu daya niat jahatnya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya”.

PKM yang bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat seluruh negeri, menuntut kepada rakyat seluruh negeri supaya mengambil pengertian yang waras kepada tipu daya kaum kolonial British yang jahat itu. Boleh dipastikan, jika sekiranya tipu daya British itu berhasil dan peperangan di Malaya terus menerus berkepanjangan, maka bukan saja segala bangsa-bangsa yang berpersaudaraan di negeri kita akan saling membunuh dan kesengsaraan rakyat di negeri kita akan semakin bertambah-tambah, tetapi juga ada kemungkinan bagi kaum kolonial menggunakan  3 kelanjutan peperangan dan perpecahan di dalam Malaya untuk mengetatkan lagi penguasaannya kepada Malaya, melambatkan kemerdekaan Malaya, bahkan menghampakan sama sekali segala penyerahannya kepada Malaya dahulu.

Oleh itu, PKM berpendapat bahawa kewajipan mustahak bagi segala bangsa, segala lapisan dan segala parti dan perkumpulan-perkumpulan di negeri kita sekarang ini ialah untuk mencegah perpecahan, meneguhkan perpaduan, meleburkan tipu daya yang jahat dan bisa dari British iaitu tipu daya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita. PKM berpendapat bahawa kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya adalah saling berkaitan dan tak boleh dibelah bagi. Parti kami sedang dan akan berjuang terus menerus dengan tidak sayang menggunakan segala tenaga untuk memulihkan keamanan. Parti kami menyatakan sekali lagi dengan tegasnya bahawa sebarang percubaan untuk memaksa parti kami menyerah diri itu semestinya akan gagal, tetapi kalau pihak yang berkuasa Malaya sanggup menamatkan peperangan dengan bersendikan syarat-syarat yang adil dan munasabah sebagaimana yang kami sebutkan di atas itu, maka kami adalah mengalu-alukan supaya rundingan-rundingan diadakan semula.

Dengan ikhlasnya kami menasihati lagi kepada pihak yang berkuasa Malaya bahawa orang-orang yang menumpahkan taat setianya kepada usaha kemerdekaan negeri kita hendaklah dan tidak pula susah dengan penuh kesanggupan meninggalkan sikap yang dipertahankan oleh British untuk memaksa pihak kami menyerah diri itu, dan mengadakan semula rundingan-rundingan dengan parti kami di bawah syarat-syarat yang adil dan munasabah, kalau tetap berpegang kepada haluan yang salah untuk memaksa orang-orang komunis menyerah diri sehingga peperangan tak dapat ditamatkan dan keamanan tak dapat dipulihkan dengan segera, nescaya akan jatuh ke dalam perangkap British dan merosakkan usaha kemerdekaan negeri kita, bahkan tidak akan dapat terelakkan daripada tanggungjawab meneruskan peperangan, tidak syak lagi, bahawa di dalam keadaan yang demikian itu pihak kami akan terpaksa meneruskan penentangan bersenjata yang semestinya bagi membela kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Saudara-saudara di seluruh negeri! Bersatu padulah lebih erat lagi, mencegah perpecahan, meleburkan niat jahat British “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang dengan sekeras-kerasnya untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita! Kita pasti mencapai kemenangan asal saja kita bersama-sama berusaha.

            Jawatankuasa Pusat
Parti Komunis Malaya
5 Mac 1956.[1] 

            Chin Peng sepatutnya tidak gundah terhadap kegagalan Pertemuan Baling dan perlu mengakui bahawa dia tersilap perkiraan terhadap peribadi Tunku. Dia tidak sama sekali menyangka bahawa lawannya seorang nasionalis yang begitu tegas dan tidak mudah berkompromi terutama melibatkan kebajikan rakyat dan agama Islam. Dia sepatutnya tidak mendakwa Tunku mengkhianatinya kerana semenjak awal lagi Tunku telah menegaskan tujuan utama pertemuan adalah untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Malahan China juga agak kehairanan apabila Tunku bersetuju untuk bertemu dengan ketua pengganas. Menurut pegawai International Liaison Department yang bertanggungjawab menjaga keperluan PKM di China, walaupun mereka kecewa dengan kegagalan pertemuan tersebut, mereka anggap agak janggal apabila Tunku yang dipihak menang, sedia memenuhi permohonan PKM, pihak yang kalah, untuk bertemu walaupun hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti; seharusnya beliau tidak melayan permohonan Chin Peng. Dia sebenar tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut sesuatu dari kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Mereka samakan peluang tersebut apabila Chiang Kai Shek enggan berunding dengan Mao Zedong ketika Parti Komunis China di tahap lemah.[2]









[1]               Kini & Silam, Surat Kenyataan PKM Berkenaan Dengan Keadaan Sekarang, 5 November 2009. Lihat https://www.scribd.com/document/22587689/Surat-Kenyataan-PKM-Berkenaan-Dengan-Keadaan-Sekarang (diakses pada 30 Oktober 2018 ); dan Yanqin He, Kee Cheok Cheong & Ran Li, op. cit., hlm. 14.
[2]               Aloysius Chin, op. cit., hlm. 48.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan