Pages

Selasa, 4 Mei 2021

Juliet One...Juliet Two Kena Tembak

 Bersambung dari  DI SINI

Tetapi ketika peristiwa-peristiwa tersebut berlaku, Lt (U) Mohd Som berperanan sebagai pembantu juruterbang, bukannya pembuat keputusan. Pembuat keputusan terletak di atas bahu kapten pesawat. Status beliau sebagai pembantu juruterbang akan berubah  pada Mac 1979 apabila beliau bersama Lt (U) Noel Richard (Mohd Noor Rashid Anthony bin Abdullah [1995]) dipilih untuk menjalani kursus peralihan sebagai kapten pesawat Nuri. Kursus ini dilaksana di No 3 Skuadron yang dikendalikan oleh Kapt (U) Raja Mohamed, Pegawai Latih bersama Kapt (U) Thiagarajah. Pada 19 April 1979, status Lt (U) Mohd Som dan  Lt (U) Noel Richard bernoktah apabila Kapt (U) Munusamy, Pemeriksa dari Unit Pemeriksaan, mengesahkan mereka melepasi ujian standardisasi  sebagai kapten dalam kategori ‘D’ (Delta). Kategori sementara ini kebiasaannya selama enam bulan sebelum pemegang kategori ‘D’ diuji untuk dinaik taraf ke kategori ‘C’ (Charlie). Secara ringkasnya, kapten kategori D tidak dibenarkan membawa penumpang/trup kecuali kru tambahan (supplementary crew) seperti anggota kejuruteraan untuk membaik pulih pesawat.

Pada awal tahun 1979, kegiatan Op Selamat Sawadee agak tenang tidak lagi memerlukan Nuri dan helikopter gempur membuat detasmen di Kroh. Walau bagaimanapun, kru Nuri dan helikopter gempur berada dalam keadaan siap siaga di Butterworth untuk memenuhi keperluan perkhidmatannya membabitkan operasi tersebut seperti pertukaran unit, ulang bekal dan  casevac/medevac/bodevac. Pada 24 Jun 1979, No 3 Skuadron dipertanggungjawabkan tugasan untuk menghantar trup dan ulang bekal kepada pasukan 4 Renjer yang berpangkalan di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. Bagi tujuan itu, tiga buah Nuri diperuntukkan. Misi ini diketuai oleh Kapt (U) Nor Ibrahim sementara dua buah lagi pesawat dikendalikan oleh Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard. Kru Kapt (U) Nor Ibrahim ialah Lt M (U) Mohd Kamal bin Sabran dan Sjn Chen dan peruntukkan pesawat FM1718; nama panggilan ialah ‘Capung 467 Juliet One.’ Lt (U) Mohd Som bersama kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan Sjn Abdul Wahid bin Basri mengendali FM1734 dengan nama panggilan ‘Capung 467 Juliet Two.’ Manakala ‘Capung 467 Juliet Three’ nama panggilan untuk Lt (U) Noel Richard dan kru, Lt M (U) Abdul Hamid bin Shamsudin dan Sjn Mansur yang mengendali FM1736. Mereka diiringi oleh sebuah helikopter gempur, FM1319, yang dikendalikan oleh Kapt (U) Yeow C.C. dan Sjn Mohd Ismail bin Mohd Hashim selaku jurumesingan dengan nama panggilan ‘Capung 467 Alpha.’

Setelah menandatangani ‘Autho Sheet’ (Tanda-Tanda Kebenaran Rekod Ujian-Ujian Dan Waktu Penerbangan/Authorisation And Record Of Flight Duty Exercise And Times) untuk Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard, keempat-empat pesawat berlepas ke Kroh. Seperti kebiasaan, apabila mendarat di Kroh, mereka pergi ke Bilik Operasi CTFHQ untuk mendapatkan taklimat. Antara LP terbabit ialah LP Lima yang menempatkan Markas Kompeni Delta, 4 Renjer, yang diketuai oleh Kapt Zulkapli bin Abdul Rahman juga dikenali sebagai ‘American Ranger’. Selain anggota Markas, lokasi ini menempat Platun Mortar, satu platun dan beberapa anggota Thai Border Police Patrol (BPP). Di samping itu, seramai 19 anggota ditumpangkan ke unit itu, termasuk 1019853 Rjr Zainudin bin Ahmad. Mereka baru menjalani  latihan Lanjutan Rekrut di 4 Renjer,  Kem Wardieburn setelah tamat latihan rekrut di Pusat Latihan Rekrut, Garison Port Dickson, pada April 1979. Kehadiran mereka ini sebagai pengenalan kepada kehidupan yang akan dilalui setelah menjerumuskan diri dalam bidang ketenteraan.

Bagi melicinkan pelaksanaan tugasan, Kapt (U) Nor Ibrahim merancang supaya Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard membawa bekalan dengan kaedah ‘underslung.’ Apabila pesawat pertama tiba di LP, bekalan akan dilepaskan (release) di luar tempat pendaratan dan seterusnya berlepas balik ke Kroh. Seperti pesawat pertama, pesawat kedua yang mengekori pesawat pertama, akan melepaskan bekalan dan seterusnya mendarat di tempat mendarat untuk mengambil net kargo yang ditinggalkan oleh pesawat pertama. Manakala Kapt (U) Nor Ibrahim pula membawa trup ke LP dan sebaliknya. Pergerakan  bermula dengan Lt (U) Noel Richard disusuli oleh Lt (U) Mohd Som. Destinasi pertama ialah LP Lima.

Sepertimana yang dirancang, Lt (U) Noel Richard berlepas dari Kroh dengan diiringi oleh helikopter gempur. Sorti pertama ini tidak menghadapi sebarang masalah.  Lt (U) Noel Richard membawa pesawatnya dalam keadaan terapung di luar tempat pendaratan dan melepaskan net kargo dan berlepas balik ke Kroh. Sebaik sahaja bekalan dilepas, Rjr Zainudin bersama lebih kurang 6-7 rakannya ditugaskan untuk memungut bekalan tersebut dan mengambil net kargo untuk diberikan kepada pesawat kedua. Setelah Lt (U) Noel Richard berlepas, kini giliran Lt (U) Mohd Som memulakan fasa approach ke LP. Pada lebih kurang jam 10:00 pagi, apabila pesawat hampir dalam keadaan terapung, trup melihat cahaya suar berpunca dari pistol ‘Very.’ Tiba-tiba, “bang...bang...bang.” Musuh menembak pesawat dari beberapa sudut sekitar hutan keliling pangkalan. Anggota bergegas ke kubu masing-masing. Sementara itu Rjr Zainudin dan rakan-rakannya yang sedang mengangkat bekalan diarah berlindung di sebalik tunggul-tunggul kayu.

“Allahu Akbar,” terpacul dari mulut Lt (U) Mohd Som apabila menyedari pesawatnya ditembak serta melihat anggota di LP melarikan diri dari LP. Secara spontan beliau menekan butang untuk melepas net kargo yang jatuh di lereng LP. Di waktu yang sama beliau memberitahu kru dan helikopter gempur: “Overshoot. Aircraft being shot.” “All clear” respons Sjn Wahid  sambil menutup pintu kargo. Manakala tangan kanan Lt M (U) Fong C.K. menolak kedua-dua speed selector levers ke hadapan. Malang sekali helikopter tidak dapat memuntahkan peluru 20 mm HE kerana mengalami masalah teknikal.

Serangan pengkhianat negara dibalas oleh Kapt Zulkapli yang mengarahkan  seksyen senjata bantuan menembak GPMG (General Purpose Machine Gun) terhadap musuh. Tidak cukup dengan tembakan GPMG, beliau meminta bantuan tembakan meriam. Tidak lama kemudian, “boom... boom...boom” letupan peluru 105 mm bertalu-talu  dari trup pasukan meriam. Tembakan meriam yang menggegarkan suasana berterusan hampir selama 20 minit. Keadaan ini membuatkan musuh beredar ke pangkalan mereka.


Lakaran FM1734 ditembak musuh di LP Lima pada 24 Jun 1979. Lakaran oleh Kapt Mohd Som bin Othman PTU

Sebaik sahaja mengetahui pesawat Lt (U) Mohd Som ditembak, Lt (U) Noel Richard yang ketika dalam penerbangan balik ke Kroh, menghubungi Kapt (U) Nor Ibrahim. “Juliet One, Juliet Two kena tembak” melalui radio UHF.

“Ya Allah...Memang sial komunis” luahan Kapt (U) Nor Ibrahim.  “Bagaimana Mohd Som?”, beliau bertanya. Ketika itu beliau berada di Kroh menunggu trup menaiki pesawat untuk LP Lima.

“Dalam penerbangan balik”, respons  Lt (U) Noel Richard.

Sebaik sahaja trup berada dalam pesawat, Kapt (U) Nor Ibrahim berlepas dari Kroh. Seterusnya, beliau menghubungi ketiga-tiga pesawat.

“Juliet Two...Mendarat kat Ban Cha Tharat dan matikan enjin.  Juliet Three dan Alpha...Iringi Juliet Two. Saya dalam penerbangan ke Ban Cha Tharat.”

Wilco (will comply)” respons ketiga-tiga pesawat.

Sebaik sahaja tiba di Ban Cha Tharat, Kapt (U) Nor Ibrahim mendapati pesawat Lt (U) Mohd Som sudah berada di sana sementara pesawat Lt (U) Noel Richard dan helikopter gempur berlegar di ruang angkasa landasan terbang tersebut. Sebaik sahaja mendarat dan tanpa mematikan enjin pesawatnya,  Kapt (U) Nor Ibrahim mengarahkan  Lt (U) Mohd Som dan kru mengambil alih pesawatnya. Beliau seterusnya mengarah trup untuk memberi kawalan keselamatan berhampiran pesawat. Setelah pertukaran ini berlaku, Kapt (U) Nor Ibrahim dan kru membuat pemeriksaan ke atas FM1734. Mereka menemui beberapa kesan peluru menembusi fiuslaj pesawat. Walau bagaimanapun, pemeriksaan agak terbatas kerana ketiadaan tangga untuk meneliti bahagian ekor pesawat dan kipas utama dengan lebih teliti. Kerosakan yang ketara ialah salah satu daripada dua penjana (generator) tidak berfungsi. Pada perkiraan Kapt (U) Nor Ibrahim, pesawat selamat diterbangkan ke Kroh dan seterusnya ke Butterworth. Justeru, beliau mengarahkan trup menaiki pesawat FM1718 yang kini dikendalikan oleh Lt (U) Mohd Som. Beliau pula menerbangkan FM1734. Selain itu, Kapt (U) Nor Ibrahim mengarah Juliet Three dan Juliet Alpha mengiringi pesawatnya.

Keempat-empat pesawat selamat mendarat di Kroh. Kesemua kru memeriksa FM1734 tetapi tidak menemui kerosakan baharu. Ketua Skuadron, Lt Kol (U) Nawi bin Alias menghubungi  Kapt (U) Nor Ibrahim untuk bertanya keadaan pesawat dan anak-buahnya. Setelah diberitahu keadaan kru dan pesawat, beliau bertanya tindakan Kapt (U) Nor Ibrahim selanjutnya. “Saya terbang balik FM1734 ke Butterworth,” respons  Kapt (U) Nor Ibrahim. Keputusan ini diambil kerana pesawat selamat terbang dengan satu penjana lagi pula sepanjang laluan Kroh-Baling terdapat banyak kawasan untuk membuat pendaratan kecemasan sekiranya keadaan memaksa.

Pesawat FM1734 selamat mendarat di Butterworth. Pemeriksaan oleh anggota kejuruteraan menemukan sejumlah lebih kurang 12 kesan tembakan musuh. Paling mengejutkan ialah sebutir peluru telah menembusi ‘spar’ sebilah kipas utama. ‘BIM’ (Blade Indicator Method) di pangkal kipas tersebut bertukar warna yang menunjukkan gas nitrogen dalam spar meresap keluar. Keadaan ini menunjukkan terdapat rekahan pada kipas tersebut. Jika terdapat pertukaran warna pada BIM sebelum penerbangan, kipas terbabit perlu diganti. Rekahan memungkinkan kipas itu patah. Jika itu berlaku, pesawat sukar dikawal dan kemungkinan mengalami musibah yang serius sekiranya penerbangan diteruskan juga. Kerosakan ini tidak dapat dikesan ketika dalam penerbangan kerana ia tidak tersenarai pada lampu amaran di panel instrumen. Semasa pemeriksaan di Ban Cha Tharat dan Kroh, BIM tidak menunjukkan sebarang perubahan. Sebutir peluru pula telah menembusi penutup ‘tail rotor drive shaft’ tetapi tidak menembusi shaft. Sama seperti kerosakan kepada kipas utama, pesawat ketika dalam penerbangan akan mengalami musibah. Selain itu, beberapa kesan bahagian bawah pesawat yang menunjukkan tangki bahan api terkena tembakan. Ciri-ciri ‘self-sealing’ tangki tersebut mengelak kebocoran bahan api. Lt M (U) Fong C.K. bernasib baik kerana terdapat kesan peluru pada tempat duduknya yang diperbuat daripada material kalis peluru. 

Di LP Lima, setelah keadaan kembali tenang, Rjr Zainudin dan rakan-rakan diarahkan untuk mengambil bekalan catuan yang berselerak apabila dilepaskan oleh Nuri di lereng LP. Setelah diperiksa, mereka mendapati banyak catuan seperti makanan dalam tin, paket beras dan gula yang rosak terkena peluru petualang negara. Secara berseloroh, ‘orang lama’ mengusik pendatang baharu: “bila la pula Nuri nak mai, kebuloq la hampa.” Kerana ulang bekal hari itu ditunda!


Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) pada 24 Jun 1979. Catatan pertama: FM1718: C467J’1’-BW-KROH-LPS-KROH. Catatan kedua: FM1734: C467J’1’-KROH-BW FERRY. Sumber: Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B)

Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan Kapt Mohd Som bin Othman PTU pada 24 Jun 1979. Catatan pertama: FM1734: C467J2-BW-KROH-LPS-KROH A/C SHOT. Catatan kedua: FM1718: C467J2 BW-KROH-BW. Sumber: Kapt Mohd Som bin Othman PTU

                            ‘Spar’ sebilah kipas utama FM1734 ditembusi sebutir peluru. Sumber: Kapt Fong C.K.

                                    Penutup ‘tail rotor drive shaft’ FM1734 ditembusi peluru. Sumber: Kapt Fong C.K.

            Pangkal antena radio UHF di bahagian bawah pesawat FM1734 rosak ditembak musuh. Sumber: Kapt                Fong C.K.

19 anggota (berdiri) yang tamat menjalani latihan lanjutan di pangkalan 4 Renjer, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur setelah menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson. Sumber: Sjn Zainudin bin Ahmad (B)

    Rujukan:

1.         Temu bual dengan Kapt Mohd Som bin Othman PTU melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Oktober 2020.

2.         Temu bual dengan S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Februari 2021.

3.         Temu bual dengan Kapt Fong C.K. melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Mei 2021.

4.         Temu bual dengan PW U I Abdul Wahid bin Basri (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Mei 2021.

5.         Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B).  Buku Log  Penerbangan Anak Kapal.

6.         Kapt Mohd Som bin Othman PTU. Buku Log Penerbangan Anak Kapal.

7.         Lt (U) Noel Richard memeluk Islam pada 1995 dengan nama Islamnya Mohd Noor Rashid Anthony bin Abdullah (Allahyarham).  

Nota: Semenjak penerbitan buku pertama saya - Coretan Xnuripilot - yang diterbitkan pada 2011, saya berusaha untuk mendapatkan siapa kru arwah Kapt Richard@Mohd Noor Rashid. Namun tidak berjaya. Pada 13 Mei 2021, Kapt Halim Abdullah telah menghantar no telefon balu arwah. Seperti yang para pembaca boleh agakkan, tanpa membuang masa, saya telah menghubungi isteri arwah dan memohon jika beliau sedia menghantar halaman 'Buku Log Penerbangan' berkaitan. Pagi tadi, 14 Mei 2021, akhirnya saya tahu siapa kru Juliet selain Lt (U) Richard. Untuk itu, TERIMA KASIH PUAN        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan