Pengikut

Khamis, 29 April 2021

Allahu Akbar

 

Keghairahan pengkhianat negara memburu si Burung Besi semasa Op Selamat Sawadee tidak menunjuk sebarang noktah. Mereka begitu teruja untuk meneruskan pemburuan kerana mereka sedia maklum Nuri per se tidak mampu untuk mempertahankan diri. Saiznya yang besar begitu menawan untuk menajamkan kemahiran mereka. Ditambah pula peluru mereka telah berjaya mengorbankan dua orang wira negara – L/Kpl Ismail bin Ahmad dan L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh. Secara kebetulan pula, kru Nuri No 3 Skuadron, TUDM Butterworth, terpaksa berhadapan dengan ancaman petualang negara. Ramai anak kapal skuadron tersebut mengalami pesawat mereka ditembak. Ada yang hanya sekali diuji oleh pengganas komunis manakala ada yang diuji beberapa kali. Justeru, tidak menghairankan keadaan ini membawa kepada soalan yang diajukan kepada kru yang kembali dari tugasan di Kroh sebaik sahaja masuk ‘Bilik Anak Kapal’: “Berapa peluru dipungut?” Namun ancaman ini tidak sama sekali meluntur semangat mereka untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.

Antara juruterbang No 3 Skuadron yang pernah mengalami ditembak lebih dari sekali ialah Lt (U) Mohd Som bin Othman. Selain dari dua insiden yang dikisahkan sebelum ini (di SINI dan di SINI), pesawat beliau ditembak semasa mendarat di kawasan operasi di Gubir. Insiden berlaku pada 16 Oktober 1978. Pada pagi hari itu, pesawat FM1718 yang kendalikan oleh Kapt (U) Chong Keng Lay, Lt (U) Mohd Som dan Sjn Jeyaraju berlepas dari Butterworth untuk tugasan di kawasan operasi Gubir dengan diiringi oleh sebuah helikopter gempur. Tugasan hari itu membabitkan ulang bekal ke beberapa LP (landing points) termasuk LP Kilo One-Bar (K-), iaitu penempatan tiga laras meriam M102 105 mm dari Trup Bravo, Bateri Charlie, 3 Meriam. Di samping itu, LP tersebut juga merupakan Markas Kompeni salah satu kompeni 12 RAMD.

Setelah melaksanakan penerbangan ke beberapa LP, kini tiba giliran penerbangan ke LP Kilo One-Bar. Pesawat berlepas dari Gubir pada  lebih kurang jam 11:45 pagi. Oleh kerana kawasan operasi tidak dianggap ‘panas’, justeru tiada keperluan helikopter gempur membedil laluan Nuri sebelum mendarat. Pesawat tersebut berlegar di ruang angkasa LP tersebut. Sebelum memulakan fasa ‘approach,’ pemerhatian Kapt Chong K.L. mendapati Kilo One-Bar terletak di atas satu bukit dan di sebelah timur pada jarak lebih kurang 500-600 meter terdapat satu bukit. Sebatang anak sungai mengalir di lembah antara dua bukit tersebut. Sambil memberitahu helikopter gempur, beliau memulakan proses untuk mendarat. Pesawat selamat mendarat di tempat mendarat pada jam 12:11 tengah hari. Sebaik sahaja gear mendarat mencecah bumi dan melihat isyarat tangan dari Sjn Jeyaraju, 23532 Sjn Hasan bin Awang Teh, salah seorang daripada tiga Sarjan Meriam (kini dikenali sebagai Ketua Detasmen) menaiki pesawat untuk membantu menurunkan rangsum dan bekalan segar dengan dibantu oleh anggota Trup yang berada di luar pesawat.

Tidak sempat Sjn Hasan menurunkan bekalan, tiba-tiba: “boom...bang...bang...bang.” Tembakan datang dari arah timur. Kedua-dua juruterbang terkejut apabila melihat asap hitam berkepul di hadapan pesawat. “Allahuakbar,” laungan Lt (U) Mohd Som yang tangan kanannya memegang ‘speed selector levers.’ Grenad tembakan pelancar grenad M79 itu jatuh dan meletup di luar tempat pendaratan di hadapan pesawat. Tidak cukup dengan tembakan M79, pengkhianat negara turut menembak si Burung Besi dengan senjata kecil. Kru menyaksi anggota di luar pesawat berkeliaran mencari perlindungan.

Sepertimana yang diduga, Kapt (U) Chong K.L., sambil mengimbas ‘Ts & Ps’ (temperatures and pressures) di panel instrumen yang menunjukkan semuanya normal, menjerit: “Take-off.” Manakala Lt (U) Mohd Som menolak kedua-dua speed selector levers ke paras maksimum. “All clear,” respons Sjn Jeyaraju. Dalam keadaan begitu getir, Sjn Hasan tidak sempat untuk turun dari pesawat dan terpaksa mengikuti pesawat. Sebaik sahaja pesawat berlepas, helikopter gempur yang menyaksi aksi yang berlaku di LP serta setelah dimaklumkan oleh Kapt (U) Chong K.L. tanpa berlengah menyembur 20 mm HE di timur LP Kilo One-Bar. Serangan musuh berterusan lima hingga 10 minit sebelum mereka menyelinap balik ke pangkalan mereka di sempadan. Sebutir grenad meletup berhampiran dengan kedudukan selaras tapak meriam (gun pit) dan serpihan grenad terkena meriam tersebut. Pasukan Meriam juga tidak berdiam diri. Setelah mendapat kebenaran dari Ketua Bateri yang berada di Markas Taktikal 6 BIM di Kem Gubir, Pegawai Tapak Meriam (Gun Position Officer) menyembur beberapa butir 105 mm HE ke arah kedudukan musuh.

Pesawat selamat mendarat di Gubir. Pemeriksaan ke atas pesawat mendapati satu lubang di fiuslaj kesan sebutir peluru menguji ketebalan fiuslaj pesawat. Tugasan terpaksa ditangguhkan dan mereka seterus terbang balik ke Butterworth. Mereka tidak dapat bayangkan apa yang berlaku sekiranya  grenad itu jatuh  di atas pesawat!

Keesokan hari, Ketua Kompeni 12 RAMD menghantar satu seksyen untuk meronda  kawasan bukit di timur LP Kilo One-Bar. Mereka menemui pangkin di atas sebatang pokok besar. Kewujudan pangkin itu membuktikan petualang negara memerhati kegiatan di LP. Persoalannya, apakah objektif petualang negara yang setia menunggu di situ? Jika para penghuni LP Kilo One Bar merupakan sasaran, mereka tidak perlu menyasar LP tersebut. Kerana dengan mudah mereka boleh menembak anggota ketika anggota menurun bukit untuk mengambil air atau mandi di anak sungai di kaki bukit. Tetapi ini tidak berlaku. Kesimpulannya, sasaran mereka ialah Nuri! Jika berjaya menembak jatuh sebuah Nuri seperti yang berlaku semasa Op Gubir II pada 26 April 1976, sudah pasti morel komrad-komrad komunis melonjak.

Kru FM1718. Dari kiri: Lt (U) Mohd Som bin Othman, Kapt (U) Chong K.L., Sjn Jeyaraju

Ketiga-tiga kru memang tidak asing kepada tembakan musuh. Namun demikian, kecuali Sjn Jeyaraju, Kapt (U) Chong K.L. dan Lt (U) Mohd Som hanya mengalami ditembak dengan senjata kecil. Sebaliknya, insiden kali ini membabitkan tembakan pelancar grenad M79. Sememang mengerikan! Bagi Sjn Jeyaraju pula, insiden ini merupakan kali kedua beliau mengalami ditembak dengan M79. Pengalaman pertama berlaku pada 24 Julai 1978 di LP Zulu di kawasan Op Kota Echo. Ketika pesawat FM1724 yang dikendalikan oleh Kapt (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman dan Lt M (U) Yahya bin Haron berada di tempat pendaratan LP Zulu, pengganas komunis telah menembak pesawat dengan senjata tersebut. Grenad meletup berhampiran pintu kargo di mana ketika itu Sjn Jeyaraju sedang berdiri. Terkaku Sjn Jeyaraju! Juruterbang helikopter gempur, Lt (U) Hashim bin Hamzah yang menyaksi letupan itu, telah menjerit: "Juliet...Cabut...Cabut". Sebaik sahaja pesawat berlepas, tanpa berlengah memuntahkan 20 mm HE ke arah musuh. Sementara itu, sebaik sahaja Nuri melepasi kanopi hutan belantara, musuh melepaskan tembakan kedua. Letupan itu menggegarkan pesawat. Walau bagaimanapun, di bawah lindungan-Nya, pesawat selamat mendarat di Klian Intan.  

Tetapi ketika peristiwa-peristiwa tersebut berlaku, Lt (U) Mohd Som berperanan sebagai pembantu juruterbang, bukannya pembuat keputusan. Pembuat keputusan terletak di atas bahu kapten pesawat.

Bersambung....In sya Allah

Tiada ulasan: