Pengikut

Jumaat, 28 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari  di SINI

Medevac

Sabtu, 26 Mac 1994/15 Syawal 1414H

Jurang Low’s Gully. Selepas stand to, Platun No. 8 dan UCIS meneruskan rutin pagi seperti biasa di dasar jurang. Mereka kini menunggu arahan selanjutnya daripada Markas Taktikal 16 RAMD.

Kevin’s Cave. Sinaran sang suria pagi amat melegakan. Sepanjang malam, LUK Mohd Noh dan LUK Aris hampir tidak dapat tidur kerana kesejukan yang menikam tulang.[1] Mereka tidak perlu risau tentang sarapan pagi; L/Kpl Cheung Y.K. dan Pbt Chow W.K. telah menyediakannya. Seusai makan, mereka berehat di atas bongkah-bongkah batu sambil menunggu ketibaan pesawat Nuri.

 L/Kpl Cheung Y.K. menunggu ketibaan 'Talian Hayat. 
 Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Dari kiri: Pbt Chow W.K., Mej Ron Foster, LUK Mohd Noh, L/Kpl Cheung Y.K. 
Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

LUK Mohd Noh (kiri) dan Wings (paramedik SAS) di luar Kevin's Cave. 
Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Kem Lok Kawi. Sekitar jam 5.30 pagi, selepas bersarapan, kedua-dua kru Nuri dan Alouette III melaksana pemeriksaan ke atas pesawat massing-masing di padang kem. Seperti hari sebelumnya (25 Mac), Lt Kol Yahya dan Mej Dr Shamsuddin bersama tiga anggotanya menaiki Nuri. Peranan Alouette III pada hari itu siap siaga mengambil alih tugasan Nuri sekiranya pesawat tersebut menghadapi masalah teknikal.

Selesai pemeriksaan, kedua-dua pesawat berlepas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mengisi bahan api sebelum menerus penerbangan ke Kg. Nahandang Melangkap pada jam 6.22 pagi[2] dan mendarat lebih kurang jam 6.35 pagi.

 Dari kampung itu, Gunung Kinabalu tersergam jelas; keadaan yang ideal untuk melaksana sorti ke Kevin’s Cave. Menyedari baki bahan api yang terhad serta keperluan mengeluar enam anggota dari lokasi tersebut, Lt Gabriel memaklum kepada CO 16 RAMD dan Mej Dr Shamsuddin bahawa beliau tidak dapat membawa mereka dalam sorti ini. Pada jam 6.45 pagi, pesawat berlepas bersama empat anggota CAR, sementara Kapt Mohamad Izhar kekal di kampung itu.

*****

Pengalaman operasi pada hari sebelumnya banyak membantu. Kapten pesawat menerbangkan Nuri terus ke Kevin’s Cave. Dalam keadaan terapung, F/Sjn Gobiraja menurunkan kabel hoist. Sebaik sahaja kabel mencecah batu, LUK Aris menyarung NATO strop pada Pbt Chow W.K., manakala beliau sendiri mengguna ‘bosun chair’ sebelum memberi isyarat untuk hoist dinaikkan. Setelah kedua-duanya selamat berada dalam pesawat, proses yang sama diulang - kali ini giliran Mej Ron Foster dan L/Kpl Cheung Y.K.

Mej Ron Foster turun dari M23-09. Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)

Mej Ron Foster dikerumini penduduk Kpg Nahandang Melangkap.  
 Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Demi keselamatan, kesemua mereka terpaksa meninggal haversack masing-masing. Menyedari hakikat ini, Mej Ron Foster membawa dokumen dan alatan paling penting - pasport, diari, dan kamera video.[3]

Tidak lama kemudian, kedua-dua lampu amaran bahan api - FWD FUEL LOW dan AFT FUEL LOW - kembali menyala serentak. Lt Gabriel segera membuat keputusan RTB (return to base), meninggalkan LUK Mohd Noh dan Wing. Pesawat mendarat pada jam 7.10 pagi.

Para subjek pencarian turun dari pesawat disambut anggota keselamatan dan seterusnya dibawa ke dewan sukan untuk pemeriksaan oleh Mej Dr Shamsuddin dan Mej Dr Andy Williams.

Dengan enjin tidak dimatikan, kedua-dua AQM dengan bantuan anggota CAR mengisi bahan api daripada beberapa dram 44-gelen. Untuk sorti berikutnya, kapten pesawat menawar tempat kepada Lt Kol Yahya, Mej Dr Shamsuddin dan tiga anggotanya. Sjn Mohd Salleh turut mengambil peluang untuk turut serta.

*****

Walau bagaimanapun, sorti kali ini tidak semudah yang pertama. Ketika memasuki jurang, sistem ‘Doppler’ gagal memberi bacaan hanyut (drift) dan angin lintang (cross wind). Kapten pesawat menganggar halaju angin (wind velocity) ialah lebih kurang 15-20 knot. Dalam keadaan begini, beliau  perlu mengawal pesawat semasa terapung dengan penuh berhati-hati - sebarang hembusan angin yang tidak dijangka boleh menolak pesawat ke dinding granit.

Bagaimanapun kekangan itu tidak mematah semangat Lt Gabriel. Selari dengan tradisi tentera, ‘tiada siapa yang ditinggalkan/leave no one behind, beliau bertekad menyempurna misi yang masih belum selesai. Tambahan pula, cuaca selepas ini tidak dapat diramal. Berbekal pengalaman sebelumnya, beliau bertekad untuk meneruskan misinya. Lantaran itu, beliau mengolah gerak pesawat terapung di atas Kevin’s Cave dalam keadaan ‘downwind.’[4] Beliau bergelut bagi mengekal kestabilan pesawat.

F/Sjn Gobiraja menurunkan kabel yang amat dinanti oleh kedua-dua paramedik. Sebaik kabel mencecah bongkah batu, LUK Mohd Noh dan Wings[5] dinaikkan. Setelah mereka selamat berada di dalam pesawat, kapten menaikkan collective sambil menolak cyclic dan keluar dari kawasan itu menuju pangkalan hadapan. Pesawat mendarat pada jam 8.27 pagi.[6]

Penyelamat bersama yang diselamat di Kpg Nahandang Melangkap. Dari kiri: Lt Gabriel, Pbt Chow W.K.,LUK Mohd Noh, L/Kpl Cheung Y.K., LUK Wan Mustafa, LUK Che Baharin, F/Sjn Sandiran, Sjn Mohd Salleh. Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)
*****

Namun bagi Lt Kol Yahya, tugas belum selesai. Tiga anggota Platun No 8 yang cedera perlu dibawa keluar segera. Beliau meminta Lt Gabriel melaku satu lagi penerbangan medevac. Kapten pesawat bersetuju.

CO segera menghubungi Lt Zainal Abidin. Beliau memaklum perkembangan terkini dan  mengarah mereka mencari lokasi yang sesuai untuk memudah kru menaik anggota-anggota tersebut melalui kaedah winching. Ketua Platun diingat supaya menembak suar bagi membantu kru Nuri mengenal pasti kedudukan mereka. 

Selesai perbualan, Ketua Platun mengarah Sarjan Platun, Kpl Zulkifli bin Ahmad, mencari tapak yang sesuai. Beliau membawa beberapa anggota keluar dari kawasan penempatan. Lokasi yang dilihat paling berpotensi ialah di tebing sungai yang mengalir deras, dikelilingi pokok-pokok tinggi dan bongkah batu besar di kedua-dua tebing.[7]

 Tepat jam 9.30 pagi,[8] Nuri berlepas bersama enam anggota CAR dan Lt Kol Yahya menuju lokasi. Mendengar deruman enjin ‘Talian Hayat, Lt Zainal Abidin melepas pistol ‘Very.’ Sebaik melihat cahaya suar itu, Lt Gabriel mengolah gerak pesawat untuk terapung lebih kurang 200 kaki[9] di lokasi tersebut. Kali ini, giliran LUK Wan Mustafa diturunkan. Sebaik mencecah bumi, beliau mendapati L/Kpl Mohd Azlin  sukar untuk bergerak. Lantaran itu, beliau menyedia L/Kpl Zulkifli dan Pbt Zulkifli untuk dinaikkan dahulu. Apabila mendarat isyarat daripada LUK Wan Mustafa, F/Sjn Gobiraja memula proses menaik mereka berdua. Seterusnya, anggota CAR tersebut membantu L/Kpl Mohd Azlin dinaikkan.[10] Pesawat berlepas ke Kpg Nahandang Melangkap dan mendarat dengan selamat pada jam lebih kurang 10.15 pagi.[11] Ketiga-tiga anggota 16 RAMD diturun di situ.[12]

LUK Wan Mustafa memegang L/Kpl Mohd Azlin dinaik melalui kaedah 'winching.' 
 Sumber: Koleksi Kpl Wan Mustafa bin Wan Yusoff  (B)

Kapt Gabriel tidak memati enjin pesawat. Beliau perlu menghantar tiga anggota British itu ke Sabah Medical Centre dengan segera. Ekoran itu, proses mengisi semula bahan api dilaksana melalui kaedah ‘running refuelling.’ Di waktu yang sama, mengarah tiga anggota British terbabit dan anggota perubatan menaiki pesawat. Selesai pengisian, Nuri berlepas semula dan mendarat di hospital pada jam 10.55 pagi[13] diiringi oleh Alouette III.

Sebaik enjin Nuri dimatikan, berpusu wartawan menghampiri pesawat. Kedua-dua kru pesawat mengambil peluang untuk melawat Lt Kol Robert Neill dan Mej Ron Foster:

 Two visitors whom Neill and Foster were especially delighted to welcome were Gabriel Joel (by now known as ‘the Archangel Gabriel’) and Michael Izhar, pilot of the Alouette...”[14]

Berita Minggu, 27 Mac 1994. hlm. 1.  Sumber: Koleksi Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Pemberita di Sabah Medical Centre.  Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)

*****

Di Kpg Nahandang Melangkap, tiga anggota yang cedera diberi rawatan awal oleh Kapt Dr Harcharan Singh. Seterusnya mereka dihantar ke RSAT (Rumah Sakit Angkatan Tentera) di Kem Lok Kawi dengan ambulans yang sudah berada di situ.[15]

*****

Dari parkir kereta hospital swasta itu, kedua-dua pesawat segera berlepas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mengisi bahan api sebelum menerus penerbangan ke Labuan. Setibanya di Labuan, Lt Gabriel menaksi pesawatnya ke dispersal Pergerakan Udara, manakala Kapt Mohamad Izhar menghala ke kawasan No 5 Skuadron. Usai memati enjin pesawat, Lt Gabriel bersama kru dan anggota CAR bergerak ke pejabat Detasmen Flait SAR di Bangunan Pergerakan Udara bagi menerus tugasan hakiki mereka - berada dalam keadaan siap siaga untuk combat air rescue. Tugasan Lt Gabriel dan kru berakhir pada 29 Mac 1994 apabila pengganti mereka tiba dari Kuching mengambil alih detasmen.

Bagi hari itu, 26 Mac 1994, kru Nuri mencatat 4 jam 40 minit penerbangan,[16]  manakala kru Alouette III pula mencatat 2 jam 30 minit penerbangan.[17]

Dengan pendaratan Rescue 08 (Nuri) dan Angkasa 389 Bravo (Alouette III) di PU Labuan, maka berakhirlah penglibatan TUDM dalam Op SAR Low’s Gully – satu penglibatan yang terbukti amat signifikan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa operasi ini merupakan antara operasi SAR paling epik yang pernah dilaksanakan oleh TUDM: satu operasi yang kompleks, berisiko tinggi, dan menampil kemampuan, keberanian serta profesionalisme warga TUDM pada tahap yang paling cemerlang.

 Bersambung...in...sya...Allah...



[1]              Maklumat daripada Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2025. Menurutnya, LUK Aris mencerita pengalamannya semasa bermalam di Kevin’s Cave.

[2]              Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[3]             Ibid.; Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 245.

[4]             Ibid.

[5]              Ibid., hlm. 234.

[6]             Ibid.

[7]            Catatan harian Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) sebelum ini.

[8]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[9]             Ibid.

[10]              Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[11]             Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[12]            Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[13]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[14]           Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 232.

[15]            Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[16]           Kapt Gabriel Buja Joel PTU TUDM, Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[17]           Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B), Buku Harian Penerbangan Pemandu.


Jumaat, 21 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari di SINI

Jangan masuk...jangan masuk

Jam 4.07 petang.[1] Dari Kpg Nahandang Melangkap, Kapten Gabriel melihat awan mula bertompok-tompok di Low’s Gully. Beliau sedar, matahari akan terbenam kira-kira pukul 6.00 petang, menanda masuknya waktu maghrib. Masa yang berbaki sekitar dua jam - suatu tempoh yang amat kritikal - untuk membawa keluar enam anggota (masing-masing tiga dari kumpulan ekspedisi dan paramedik) yang masih tersadai di Kevin's Cave. Berdepan dengan batasan masa ini, beliau tanpa lengah membuat keputusan untuk melaku sorti ketiga ke lokasi tersebut. Selain Mej Dr Shamsuddin dan anggotanya, Flt Lt Mowbray turut menyertai sorti ini.

Cuaca sekali lagi tidak dapat diramal. Ketika menghampiri jurang itu, awan tebal mula menyelimuti Kevin’s Cave. Namun keadaan itu tidak mematahkan tekad Lt GabrieCuaca memang tidak dapat diramal. Apabila menghampiri jurang itu, awan mulai menyelimuti Kevin’s Cave. Namun awan tebal itu tidak sekali-kali mematah tekad Lt Gabriel. Beliau nekad untuk cuba masuk ke lokasi tersebut. Ekoran ini, beliau menaikkan pesawat melepasi tompokan awan yang menutup Kevin’s Cave sambil menaikkan pesawat melepasi tompokan awan sambil meninjau celahan kecil - ‘lubang’ awan - yang cukup untuk mengolah gerak pesawat turun ke lokasi tersebut.

Pencariannya tidak sia-sia. Beliau ternampak satu lubang di atas lokasi itu – peluang yang tidak akan dilepas begitu sahaja. Namun tidak begitu mudah. Jarak penglihatan menghalang beliau membawa pesawat ke keadaan terapung melalui kaedah seperti sebelum ini. Daripada pemerhatiannya, jarak antara dinding-dinding granit tampak agak lebar. Keadaan ini memberinya satu-satunya pilihan yang ada, iaitu melaksana ‘...tight spiral descend…,’[2] iaitu menurun secara berpusar. Tanpa berlengah, tangan kirinya menurun collective sementara ‘banking’ dengan tangan kanan menolak cyclic ke kanan sambil kaki kanan menolak pedal kanan. Lt Gabriel perlu   berhati-hati semasa banking bagi memasti tidak melebihi had maksimum 45º ‘angle of bank.[3] Dengan tindakan itu, pesawat berpusing ke arah itu. Seperti biasa, Lt Nazhar memantau panel instrumen sementara kedua-dua AQM memantau keadaan di sebelah kanan dan kiri.

Apabila pesawat berada lebih kurang 300 kaki di atas lokasi yang dituju, tiba-tiba satu suara pecah di radio: “Jangan masuk...jangan masuk.”[4] Teriakan itu datang daripada seorang anggota CAR/paramedik di bawah melalui radio 2-hala Motorola. Penghuni Kevin’s Cave sememang mendengar bunyi dua enjin ‘General Electric 1500 shaft horsepower’ makin hampir setiap saat tetapi tidak nampak kelibat pesawat – hanya bunyi enjin sahaja. Zero visibility!

Keadaan pada ketika itu amat mencemaskan. Olah gerak yang ada hanyalah ‘...tight spiral ascend...’[5] Dengan tangan kirinya menaikkan collective, sementara tangan kanannya menolak cyclic ke kanan serta pedal kanan, pesawat mula mendaki sambil berpusar. Dalam keadaan ‘Instrument Meteorological Conditions (IMC),’ iaitu tanpa rujukan visual luar, Lt Gabriel menumpu sepenuhnya pada instrumen ‘artificial horizon’ - satu-satunya rujukan yang memaparkan profil pesawat - agar tidak mengalami ‘spatial disorientation’ hingga akhirnya pesawat menembusi puncak awan pada ketinggian 11,000 kaki - keluar dari keputihan awan.

Pendakian berpusar tersebut jauh daripada lancar kerana pesawat terdedah kepada badai bawah dan atas (updraft and downdraft).[6] Pesawat terasa ‘ditarik’ dan ‘ditolak.’ Menyedari risiko meningkat, kapten membuat keputusan untuk kembali ke pangkalan hadapan. Pesawat mendarat pada jam 5.05 petang.[7] Setelah itu enjin dimatikan dan mereka menunggu peluang untuk membuat percubaan seterusnya.

Sebaik melihat Nuri mendarat, Lt Kol Robert Neill berjalan ke pesawat dengan membawa kameranya untuk menyambut tiga lagi anggotanya. Beliau melambai-lambai tangannya kepada para penyelamat. Sebaliknya, kegembiraan bertukar ke pada kekecewaan – tiada kelihatan Mej Ron Foster dan dua lagi anggotanya turun dari pesawat.[8]

Lakaran memapar pesawat membuat ‘spiral climbing’ daripada 6,000 kaki hingga 11,000 kaki. Sumber: Mej Nazhar bin Abdullah PTU TUDM (B)

*****

Demi masa. Hanya sejam sahaja sebelum sinaran sang suria beredar. Lt Gabriel tidak mudah mengalah. Beliau tekad untuk cuba sekali lagi sebelum kegelapan menyelubungi bumi. Ekoran itu, beliau membuat keputusan untuk mencuba buat kali terakhir ke Kevin’s Cave. Dengan baki bahan api yang sedia dan para penumpang yang sama, Nuri berlepas untuk sorti keempat ke lokasi berkenaan pada jam 5.32 petang.

Cuaca sememangnya tidak dapat diramal. Sebaik menghampiri permukaan jurang, baik jurang mahupun  kemuncak Gunung Kinabalu hilang daripada penglihatan dek diselubungi awan. Keadaan ini membuat kapten pesawat tiada pilihan selain membatal sorti menyelamat untuk hari itu. Ia merupakan satu keputusan yang amat berat baginya. Tambahan pula, dia sedia maklum bahawa ketiga-tiga paramedik – seorang anggota SAS dan dua CAR/paramedik – tidak membawa haversack masing-masing. Mereka terpaksa bermalam di situ di mana suhu mencecah lebih kurang 13-15 darjah dengan hanya pakaian yang dipakai semasa diturunkan. Anggota SAS tersebut dan LUK Aris hanya memakai pakaian celoreng, manakala LUK Mohd Noh memakai ‘overall biru.[9]

Lt Gabriel masih mengejar masa. Sebaik mendarat dan tanpa  mematikan enjin pesawat, beliau mengarah AQM membuat ‘running refuelling,’ iaitu mengisi semula beberapa dram bahan api cukup penerbangan ke Lok Kawi. Seterusnya, pesawat berlepas ke Kota Kinabalu bersama para penumpang sebelum ini termasuk Mej Dr Tony Williams[10] serta Lt Kol Robert Neill dan Pbt Lam W.K. Pesawat mendarat di parkir kereta, Sabah Medical Centre, Kota Kinabalu, pada jam 6.35 petang.[11] Manakala Alouette III berlepas ke Lok Kawi untuk bermalam. Hari itu, kru Alouette III mencatat 2.30 jam penerbangan.[12]

Pbt Lam W.K. dibantu turun melalui pintu kargo  Nuri di Sabah Medical Centre. 
Sumber: Arkib Negara Malaysia - Utusan Malaysia, 26 Mac 1994
Lt Kol Robert Neill atas troli di Sabah Medical Centre. 
Sumber: Arkib Negara Malaysia – New Straits Times, 26 Mac 1994
Daily Telegraph, 26 Mac 1994. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Sepertimana yang sudah dijangka, selain doktor dan anggota hospital swasta siap sedia dengan dua troli, para wartawan sedia menunggu ketibaan Nuri. Lt Kol Robert Neill yang pada awalnya mahu berjalan masuk ke hospital terpaksa mengalah apabila diarah baring atas troli seperti Pbt Lam W.K. Mereka seterusnya ditolak ke hospital untuk pemeriksaan. Memetik laporan akhbar Berita Harian pada 26 Mac 1994, dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan 5 BIM, Brig Jen Hussin memberitahu bahawa “...mereka tidak dapat menyelamatkan tiga lagi anggota itu kerana cuaca buruk dan mereka berharap dapat melakukannya pada pagi esok (26 Mac 1994).”[13]

Mej Jen John Folley memaklum bahawa satu Lembaga Penyiasatan akan ditubuh di Britain bagi meneliti punca lima anggota berkenaan boleh hilang semasa latihan selama 10 hari di Gunung Kinabalu. Beliau turut mengiktiraf komitmen anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi SAR tersebut. Di samping itu, beliau juga merakam penghargaan kepada PDRM, Border Scouts, Renjer Taman Kinabalu serta penduduk kampung yang menyedia bekalan makanan di laluan yang dijangka menjadi pergerakan lima anggota tersebut.[14]

*****

Setelah bersendirian di biliknya, Lt Kol Robert Neill menelefon isterinya Fiona di Yorkshire. Namun, hanya kedengaran ‘ring...ring...ring’ – tidak diangkat. Ekoran itu, beliau menelefon pasukannya di York dan dijawab oleh rakannya, Mike Lentz. Alangkah terkejutnya bila diberitahu bahawa Fiona ada di situ. Fiona memberitahu suaminya bahawa beliau dan kedua-dua anak mereka akan pergi sama ada ke Hong Kong atau Kota Kinabalu  keesokan hari (26 Mac 1994) – tertakluk bila beliau akan discaj dari hospital.[15]

*****

London. Sebaik sahaja menerima berita penemuan lima anggota tentera itu, pada hari itu juga (25 Mac 1994) Perdana Menteri UK, John Major, segera menghantar mesej kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Dalam mesej itu, beliau merakam penghargaan atas kesediaan Malaysia menggerak tenaga dan aset - tanpa sebarang sekatan - bagi usaha menyelamat lima anggota tentera  Britain berkenaan, meskipun hubungan kedua-dua negara ketika itu berada dalam keadaan yang agak tegang.[16]

Ketegangan berpunca apa yang digelar sebagai ‘Pergau Dam Affair’ di UK. Akhbar Britain (The Sunday Times)[17] telah “...membuat serangan kononnya Dr Mahathir dan pemimpin negara menerima rasuah dalam meluluskan projek yang diswastakan.”[18] Kerajaan Britain sebaliknya mendiam diri terhadap dakwaan itu. Ekoran itu, sebagai protes, Kerajaan Malaysia telah membatal semua kontrak bernilai berjuta pounds (£).[19]

 Bagaimanapun, hubungan dingin antara Malaysia dengan UK sama sekali tidak menghindar operasi SAR tersebut. Brig Jen Hussin menjelaskan “Politik tidak masuk campur dalam hal ini. Ini tentang askar membantu sesama askar.”[20]

*****

Hong Kong. Sama seperti Perdana Menteri UK, pada itu juga Gabenor Hong Kong, Chris Patten, pula mengalu-alu usaha Malaysia apabila dimaklum penemuan lima anggota tersebut. Dalam kenyataan rasminya, beliau menyata:

“Saya mengucap tahniah kepada semua yang terlibat dalam operasi menyelamat yang amat sukar ini - khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamat para anggota yang hilang.”[21]

*****

Setelah dua anggota tersebut beredar, Lt Gabriel menerbangkan pesawatnya ke Kem Lok Kawi untuk bermalam di situ. Hari itu kru mencatat lima jam penerbangan.[22] Walaupun dalam keletihan, selepas makan malam, beliau mengumpul anggotanya untuk berbincang tugasan keesokan hari. Mereka sedia maklum cabaran yang dihadapi. Beliau memberitahu mereka sekiranya berlaku sekiranya berlaku sebarang kemungkinan terhempas, beliau akan mematikan kedua enjin bagi mengelak pesawat meletup dan bakar apabila terhempap di atas bongkah-bongkah batu. Tindakan ini dapat mengurang risiko musibah yang akan berlaku kepada mereka.[23] Mereka seterusnya beredar ke penginapan masing-masing. Sebaik meletak kepala ke bantar, terus lena dek keletihan fizikal dan mental.

 Kevin’s Cave. Cuaca ketika itu begitu sejuk hingga terasa menusuk ke tulang hitam. Keadaan ini dihadapi oleh tiga anggota paramedik - LUK Mohd Noh, LUK Aris dan Wing (paramedik SAS) – yang tanpa haversack mereka. Bagi mengekang kesejukan, Wings telah membuat rumpun api daripada kayu-kayu mati yang terdampar di tengah sungai menggunakan pisau survival pada tengah hari sebelum sorti pertama Nuri. Mej Ron Foster pula menyerahkan beg tidur (sleeping bag) milik Lt Kol Robert Neill dan Pbt Lam W.K. kepada dua anggota CAR. Namun, biarpun ada api dan beg tidur, “...they were frozen, and passed a miserable night on rock mattresses.” [24]

 Makanan bukan satu masalah mereka kerana terdapat bekalan yang dihantar oleh Kapt Mohamad Izhar pagi itu. LUK Aris dan LUK Mohd Noh memilih makanan yang diyakini halal seperti coklat dan biskut untuk mengalas perut. Pada malam itu, dek keterujaan Mej Ron Foster berbual hampir separuh malam dengan Wings, sambil berkali-kali menyediakan teh dan sup. Hanya selepas itu beliau akhirnya melelapkan selama beberapa jam.

*****

Bersambung...in...sya...Allah...

[2]              Ibid.

[3]             Sikorsky. Flight Manual for Royal Malaysian Air Force sebelum ini, 1-77.

[4]             Penjelasan oleh PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui telefon pada 30 Ogos 2025.

[5]              Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[6]             Penjelasan oleh PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 18 November 2025.

[vii]            Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” sebelum ini.

[8]           Ibid.

[9]             Penjelasan oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2025.

[10]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 237.

[11]             Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[12]            Laksma (M) Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B), Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[13]           Berita Harian, Tentera Britain yang hilang ditemui hidup, 26 Mac 1994, hlm. 1.

[14]           Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[15]            Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 239.

[16]           Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[17]           Tim McGirk & Will Bennet, Independent, Pilot spotted ‘pebble SOS’ left by lost soldiers, 26 March 1994.

[18]          Berita Harian, Malaysia kecewa Britain diam diri, 2 Mac 1994, hlm. 1.

[19]           Philip Johnston, Hopes raised for an end to tension. Koleksi keratan akhbar tanpa nama akhbar dan tarikh PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[20]            Tim McGirk & Will Bennet, Independent, Pilot spotted ‘pebble SOS’ sebelum ini.

[21]           Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[22]           Kapt Gabriel Buja Joel PTU TUDM, Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[23]          Penjelasan oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Oktober 2025.

[24]          Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 244.