Sambungan dari SINI
Potong lidah demi
komunis
Rabu, 4
Ogos 1948/29 Ramadan 1367...
Pagi itu, trup menunggu ketibaan pesawat Dakota. Tepat pada waktu seperti yang dijadual, trup melihat paracut mengembang setelah digugur dari sebuah pesawat Dakota.[1] Mereka menarik nafas lega. Semangat dengan perut kosong, apa tah lagi dalam bulan Ramadan, akan memberi kesan terhadap morel anggota termasuk yang beragama Islam. Bukan sekadar makanan sahaja, mereka hampir kehabisan peluru untuk menentang musuh yang bermatian mempertahan sarang mereka - Kpg Pulai. Selepas menggugur bekalan, pesawat Dakota seterusnya membuat rondaan di kawasan Kpg Pulai. Sama seperti sebelum ini, pesawat tersebut berperanan sebagai ‘airborne relay,’ iaitu penghubung trup kepada pesawat Spitfires.
Setelah semua urusan penerimaan bekalan beres, Lt Kol N.F.B. Shaw dan trup bergerak ke Kpg Pulai. Sebelum itu, beliau telah mengarah laluan mereka dibedil dengan mortar. Penggunaan mortar ini merupakan buat pertama kali mortar diguna semenjak operasi menentang komunis dilancar semenjak darurat diisytihar.[2] Suasana sepi dikejutkan dengan bunyi dentuman “Boom...boom...boom.” Yakin dengan tembakan mortar pasti ‘menakutkan’ pengganas komunis, trup terus bergerak ke Kpg Pulai. Tiba-tiba, “bang...bang...bang.” Sama sekali di luar jangkaan Lt Kol N.F.B. Shaw, mereka diserang hendap buat kali ketiga berturut-turut. Dalam serang hendap itu, seorang anggota Gurkha telah terkorban.[3]
Lantas, Lt Kol N.F.B. Shaw menghubungi pesawat Dakota meminta bantuan pesawat Spitfires untuk membedil kawasan laluan mereka ke Kpg Pulai. Sekali lagi Spitfires yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga di pangkalannya di Kuala Lumpur, berlepas ke Kpg Pulai. Sebaik sahaja melihat ketibaan pesawat tersebut, Lt Kol N.F.B. Shaw memberi sasaran untuk pesawat tersebut memuntahkan muatan yang menggerunkan komunis. Tindakan Spitfires sangat berkesan sekali. Komunis lintang pukang meninggal kubu mereka bagi menyelamatkan diri di hutan berhampiran.
Setelah yakin mereka tidak lagi berhadapan dengan halangan oleh komunis serta Spitfires turut memberi pengawalan udara, trup meneruskan pergerakan ke Kpg Pulai. Berhampiran dengan kawasan serang hendap, mereka melihat beberapa notis ditampal pada batang-batang pokok. Notis itu menyatakan British tidak dapat sama sekali akan menawan Pulai. Selain itu, trup hairan terdapat beberapa bilah pisau dengan kesan darah digantung di dahan-dahan. Menurut seorang bekas anggota Force 136 yang turut menyertai pasukan Lt Kol N.F.B. Shaw, pisau-pisau itu kepunyaan Tokong Swee Nyet Keung. Pisau-pisau tersebut hanya diguna untuk sesuatu majlis membabitkan “Guanyin, Goddess of Mercy” rasmi di tokong itu.[4] Persoalannya: mengapa pisau-pisau itu digantung pada dahan-dahan dan ada kesan darah?
Persoalan itu terjawab apabila trup ditemuikan tiga mayat pengganas yang terbunuh akibat bedilan Spitfires. Pemeriksaan ke atas salah seorang komunis yang mati, trup menemui selaras raifal kepunyaan Polis Negeri Perak.[5] Apabila memeriksa mulut mayat-mayat tersebut, trup mendapati lidah mereka dipotong sebelum berhadapan dengan kemaraan pasukan keselamatan. Di samping itu, mereka menemui seorang komunis yang cedera parah di leher. Anggota Force 136 yang pernah beroperasi di Kpg Pulai mengenali dia sebagai ahli keluarga Tong King Nyen (Penghulu Kpg Pulai). Walaupun dalam keadaan kritikal, dia cuba bersiul lagu “Internationale,” iaitu lagu kebangsaan untuk pergerakan antarabangsa komunis. Dalam keadaan lidah dipotong dan cedera di leher, dia gagal dan tidak lama kemudian pun mati. Kematian itu bermakna empat komunis terbunuh.[6]
Tentangan begitu hebat yang dihadapi oleh pasukan keselamatan diakui oleh Mej Jen C.H. Boucher (GOC, Malaya). Beliau menegaskan: “The advancing force had met with strong opposition on the track to Pulai...”[7] Trup berhadapan dengan bukan calang-calang komunis; mereka berhadapan dengan komunis yang sangat tegar/hardcore.
Lt Kol N.F.B. Shaw dan trup memasuki Kpg Pulai yang kini seperti ‘Kampung Hantu’; tanpa penduduk.[8] Penduduk telah melarikan diri di hutan. Beberapa rumah yang disyaki penempatan musuh musnah akibat bedilan Spitfires. Orang pertama dicari oleh pasukan keselamatan ialah Tong K.N. Namun, dia gagal dikesan.[9]
Selain tentangan dan penglibatan beberapa penduduk, penggeledahan ke atas sarang komunis itu menemukan stok beras yang disorok. Selain itu, trup juga menjumpa barang/peralatan, seperti kain selimut, yang dirampas daripada Rumah Pasung Gua Musang. Penemuan ini tidak syak lagi komunis berhasrat menjadikan Kpg Pulai sebagai pangkalan mereka dan seterusnya mengembang sayap ke lain-lain kawasan.[10] Tiada keraguan lagi. Keraguan Mej Jen C.H. Boucher terhadap pengaruh komunis ke atas penduduk Kpg Pulai juga terjawab!
Misi pasukan RAM dan Gurkha Rifles masih belum berakhir. Mereka terus memburu komunis yang dipercayai melarikan diri ke selatan dan juga ke barat.
*****
Khamis,
5 Ogos 1948/30 Ramadan 1367...
Semasa membuat rondaan keselamatan di Gua
Musang, platun 1 RAM telah berjaya menahan lima tawanan termasuk Sellappan,
iaitu dresser dispensari. Dia dipercayai membantu komunis
semasa serangan ke atas Gua Musang.[11]
Dengan penangkapan itu, platun tersebut diarah mengiringi lima tawanan tersebut
balik ke Kota Bharu untuk siasatan selanjut.
Dengan arahan tersebut, pada pagi itu platun tersebut bersama lima orang tawanan bergerak ke Bertam dengan menaiki bas. Dari situ, mereka menerus perjalanan ke Kuala Krai dengan menaik bot. Sebaik tiba di Kuala Krai, trak tentera membawa mereka ke Kota Bharu. Perhentian pertama ialah di Kontinjen Polis Negeri Kelantan untuk menyerah orang tawanan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut. Setelah itu, platun bergerak ke Pengkalan Chepa.
“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa
ilaaha illallahu Wallahu Akbar”...bergema tadbir sempena menyambut Hari Raya
Aidilfitri di masjid dan surau di Kuala Krai, Kota Bharu, Kuala Lipis dan di
lain-lain. Namun tiada kedengaran tadbir di masjid/surau di Gua Musang, Bertam,
Merapoh! Tempat-tempat ibadah itu kekosongan tanpa anak kariah yang telah
meninggalkan kampung halaman kerana komunis.
Anggota 2 RAM dan Jungle Squad yang beragama Islam pula meredah hutan belantara memburu komunis. Tiada berita daripada kaum keluarga tersayang. Tiada kaum keluarga menziarahi pusara tiga wira di Kuala Lipis kerana keadaan tidak mengizinkan. Hanya doa dari jauh agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, beriman dan Jannah Firdaus. Tiada bermaaf-maafan sesama keluarga. Tiada juadah istimewa, lemang, ketupat, rendang dan sebagainya. Memadai dengan menikmati ‘kompo-ration’ yang digugurkan oleh Dakota. Namun, kesedihan diketepi demi ibu pertiwi. Bagi anggota RAM, mereka berpegang teguh kepada cogan kata pasukan mereka: TAAT SETIA.
*****
Setelah dua hari berada di Kpg Pulai yang
beliau percaya telah bersih daripada komunis, Lt Kol N.F.B. Shaw membuat
keputusan untuk balik ke Markas Taktikal di Gua Musang. Rombongan beliau
terdiri daripada D.W.Yates dan anggota Jungle Squad
yang akan mengganti subunit 1 RAM yang telah balik ke Kota Bharu bersama lima
tawanan kelmarin (5 Ogos 1948). Jungle Squad
diberi tanggungjawab untuk mengambil alih Rumah Pasung Gua Musang sementara
menunggu ketibaan anggota polis. Manakala anggota Kompeni D, 2 RAM dan 2/6 Gurkha Rifles
meneruskan operasi menjejak musuh.
Semasa melalui trek, mereka melihat seorang berlari ke arah mereka sambil melaung: “tuan...tuan.” Sebaik berhadapan dengan ‘pembebas’ Kpg Pulai, individu tersebut terus bersujud di kaki Lt Kol N.F.B. Shaw dan D.W.Yates.[12] Tindakan yang tidak disangka sudah tentu mengejutkan kedua-dua mereka. Apa tah lagi individu tersebut ialah orang yang dicari-cari, iaitu Tong K.N., Penghulu Kpg Pulai! Ekoran itu, dia dibawa ke Gua Musang untuk siasatan selanjutnya.
Tong K.N. mendakwa komunis bahawa perang dengan Rusia di Eropah manakala Singapura dan Kuala Lumpur telah jatuh ke tangan komunis. Sekarang tiada lagi trup British seluruh PKM. Selepas serangan ke atas Gua Musang, penduduk Kpg Pulai melarikan diri daripada komunis. Lantaran itu, dia memohon Lt Kol N.F.B. Shaw menghantar notis pengumuman memberitahu penduduk Kpg Pulau supaya balik ke penempatan mereka serta menjamin keselamatan mereka. Notis itu pula perlu dengan mengguna kertas rasmi berlambang pasukan 2/6 Gurkha Rifles.
Lt Kol N.F.B. Shaw setuju dengan permohonan Tong K.N. Setelah diterjemah dalam Bahasa Cina, notis tersebut telah ditampal di dinding tokong berlubang-lubang akibat dibedil oleh pesawat Spitfires.[13]
Bersambung...in syaa Allah...
[1] The Straits
Times, New Advance By Big Kelantan Force, 5 August 1948, hlm. 1.
Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers
/digitised/article/straitstimes19480805-1.2.14 (diakses pada
10 Julai 2024).
[2] The Straits Times, Dyaks May Help Fight Rebels sebelum ini.
[3] Ibid.; The Singapore Free Press, Rebel guns hold up
troop advance, 4 August 1948, hlm. 1. Sumber: https://eresources.nlb.gov.
sg/newspapers/digitised/article/freepress19480804-1.2.2 (diakses pada 10 Julai 2024).
[4] The Straits Times, Holy Men Fought With
Pulai Bandits sebelum ini.
[6] Ibid.
[7] The Straits Times, Dyaks May Help Fight
Rebels sebelum ini.
[8] The Straits Times, Insurgent Village
Destroyed sebelum ini.
[9] The Straits Times, Missing
Headman Arrested, 13 August 1948, hlm. 5. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
digitised/article/straitstimes19480813-1.2.61 (diakses pada 10 Julai 2024).
[10] The Straits Times, Insurgent Village
Destroyed sebelum ini.
[11] Malaya Tribune, 5 Held in Gua
Musang Sweep, 7 August 1948, hlm. 2.
Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
digitised/article/maltribune19480807-1.2.29 (diakses pada 10 Julai 2024).
[12] Harry Miller, The Straits Times, Holy Men Fought With
Pulai Bandits sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan