Sambungan dari SINI
Biar putih tulang, jangan putih mata
Komunis sangat marah. Mana tidaknya. Mereka berpendapat para wira akan menyerah diri setelah Ketua Platun dan beberapa anggota terkorban. Sebaliknya mereka mendapati Kpl Jamaluddin dan anggotanya terus menentang mereka. Walaupun marah, mereka memberi ‘peluang’ untuk menyerah diri. Buat kali kedua, ketua komunis menyeru kepada para wira:
“Slender Melayu. Kalau slender gua tatak tembak sama lu.”[1] Seruan ini tidak dijawab oleh Kpl Jamaluddin. Malahan tiada kedengaran sebarang tembakan daripada anggota platun. Keadaan ini membuatkan komunis menyangka kesemua anggota Platun No 12 sudah tewas. Gerila komunis melihat beberapa anggota gugur dan cedera sementara seorang menyerah diri (Pbt Nordin). Tanpa sebarang respons kepada seruan itu, mereka beranggapan saki baki anggota sama ada terkorban atau cedera sehingga tidak mampu untuk bertindak balas. Lantaran itu, lebih kurang 12 orang musuh[i2 di lereng bukit merangkak turun untuk mengutip harta rampasan, iaitu senjata dan peluru. Musuh tersilap percaturan! Mereka berhadapan dengan perajurit yang pegang kepada pepatah Melayu: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”
Kerana Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid memerhati gelagat musuh sambil berhati-hati mengacukan senjata mereka ke arah musuh. Sebaik sahaja musuh hampir kepada wira-wira yang gugur untuk mengambil senjata dan peluru, ketiga-tiga anggota tersebut serentak melepaskan tembakan kepada musuh-musuh itu. Tembakan mereka tepat menyinggah sasaran dan musuh terus tumbang. Sebaik melihat komrad mereka tumbang, barisan musuh di seberang sungai melepaskan tembakan Brengan bertalu-talu ke atas kumpulan Kpl Jamaluddin di rumpun pokok hampir 15 minit.[3] Namun begitu, tembakan itu tidak menepati sasaran. Ketiga-tiga anggota dilindungi Maha Pencipta.
‘Kedegilan’ tiga wira 3 RAM membuatkan musuh bertambah berang. Sama seperti sebelum ini, ketua komunis dengan penuh geram menyeru supaya Kpl Jamaluddin menyerah diri: “Slendar Melayu. Kalau tidak kamu semua habis. Slendar lakas, lakas, lakas...!”[4]
Tiada jawapan daripada Kpl Jamaluddin. Lalu komunis melepas tembakan bertubi-tubi dan membaling grenad tangan ke arah Kpl Jamaluddin dan dua rakannya di rumpun buluh. Lalu berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Dalam pertempuran ini, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid tercedera akibat terkena serpihan grenad tangan.[5] L/Kpl Muhamad tercedera pada tangannya manakala Pbt Rashid pada kakinya. Kpl Jamaluddin bernasib baik. Peluru musuh hanya terkena pada ‘pouch’ dan bajunya sahaja.[6] Namun demikian, kecederaan ini tidak menoktah semangat perjuangan mereka. Mereka terus memberi tentangan sehingga kehabisan peluru. Kini mereka hanya mampu berserah kepada-Nya untuk perlindungan.
*****
Sama seperti dua rakannya, Kpl Jamaluddin
kehabisan peluru Stengannya. Tetapi ini tidak mematahkan semangatnya untuk
terus menentang musuh durjana. Lantas beliau merangkak ke arah seorang anggota
yang terkorban untuk mengambil senjatanya. Musuh pula buat kali keempat menyeru
supaya wira-wira menyerah diri.[7]
Tetapi tiada sebarang jawapan. Kpl Jamaluddin
mendengar suara musuh di tebing di atasnya. Lantas, beliau melontar sebutir
grenad tangan ke arah suara itu; “boom.” Daripada jeritan kesakitan musuh,
beliau yakin lontarannya menepati sasarannya.[8]
Jam menunjukkan lebih kurang pukul 2:30 petang. Sudah empat jam pertempuran berlaku bagaimanapun musuh masih gagal menumpas kedegilan Kpl Jamaluddin. Keadaan ini membuatkan musuh sangat geram dengan seorang anggota RAM ini. Selagi kumpulan ‘rumpun buluh’ tidak dimusnah, komunis sedar usaha untuk memungut ‘harta perang’ akan gagal. Keadaan ini membuatkan ketua pengganas seboleh-bolehnya menawan wira RAM ini. Dengan itu, tumpuan mereka sekarang ialah menembak ke arah Kpl Jamaluddin di rumpun buluh. Di samping itu, beberapa orang pengganas komunis di atas tebing dengan berhati-hati bergerak untuk mengepung kedudukan Kpl Jamaluddin.
Keadaan sungguh getir. Kpl Jamaluddin tidak menembak membuta tuli untuk menjimatkan peluru. Beliau mengarah L/Kpl Muhamad supaya memerhati sebarang pergerakan musuh di tebing sungai. Namun demikian, semak samun di rumpun buluh penempatan mereka membatas penglihatan mereka. Tiba-tiba seorang gerila melompat dari tebing ke atas L/Kpl Muhamad. Kecederaan yang dialaminya membuatkan beliau tidak mampu untuk melawan. Dalam keadaan kelam kabut ini, seorang lagi gerila pula melompat ke atas Kpl Jamaluddin. Beliau cuba melawan tetapi gerila itu mengacu senjatanya kepada Kpl Jamaluddin. Manakala beberapa gerila bergegas mengatasi ketiga-tiga wira tersebut.
Dengan tertawannya ketiga-tiga wira tersebut, iaitu Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid, pertempuran empat jam itu berakhir. Daripada 26 anggota pasukan keselamatan, hanya tiga anggota yang tidak cedera oleh peluru musuh. Mereka ialah Kpl Jamaluddin, Pbt Nordin (tawanan pertama) dan Pbt Wan Ismail. Sementara itu, lima anggota yang cedera tetapi masih boleh berjalan ialah L/Kpl Mohammad, Pbt Salleh, Pbt Mohd Sabri dan Pbt Hussin. Pbt Ahmad, Pbt Mohd Shariff dan Pbt Osman pula mengalami cedera parah manakala Pbt Wahab dan Pbt Rashid cedera di kaki. Kelima-lima mereka ini tidak mampu untuk bergerak. Pbt Wahab yang sangat dahaga merangkak ke tebing sungai untuk minum. Bagaimanapun, seorang komunis memberitahunya supaya tidak minum jika mahu hidup.[9]
Seterusnya, Kpl Jamaluddin diarah untuk membawa anak buahnya menemui ketua komunis di atas bukit manakala. Ekoran itu, mereka berenam mendaki bukit ke markas taktikal musuh dengan diiringi oleh musuh.
[2] Zakaria Salleh. (2007). Limpahan
Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 107.
[3] Tan Sri Datuk A. Samad Idris.
(1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 289.
[4] Ibid.
[6] Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai
Semur sebelum ini, hlm. 109.
[7] Harry Miller, A Malay
Platoon at
Ulu Semur sebelum
ini.
[9] Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum
ini, hlm. 154.
*****
Bersambung...in sya Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan