Pengikut

Sabtu, 8 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 8

 Sambungan dari DI SINI

 Biar putih tulang, jangan putih mata

Komunis sangat marah. Mana tidaknya. Mereka berpendapat para wira akan menyerah diri setelah Ketua Platun dan beberapa anggota terkorban. Sebaliknya mereka mendapati Kpl Jamaluddin dan anggotanya terus menentang mereka. Walaupun marah, mereka memberi ‘peluang’ untuk menyerah diri. Buat kali kedua, ketua komunis menyeru kepada para wira: “Slender Melayu. Kalau slender gua tatak tembak sama lu.”[1] 

Seruan ini tidak dijawab oleh Kpl Jamaluddin. Malahan tiada kedengaran sebarang tembakan daripada anggota platun. Keadaan ini membuatkan komunis menyangka kesemua anggota Platun No 12 sudah tewas. Gerila komunis melihat beberapa anggota gugur dan cedera sementara seorang menyerah diri (Pbt Nordin). Tanpa sebarang respons kepada seruan itu, mereka beranggapan saki baki  anggota sama ada terkorban atau cedera sehingga tidak mampu untuk bertindak balas. Lantaran itu, beberapa orang musuh di tebing bukit merangkak turun untuk mengutip harta rampasan, iaitu senjata dan peluru. Musuh tersilap percaturan! Mereka berhadapan dengan perajurit yang pegang kepada pepatah Melayu: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

 Kerana Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid memerhati gelagat musuh sambil berhati-hati mengacukan senjata mereka ke arah musuh. Sebaik sahaja musuh hampir kepada wira-wira yang gugur untuk mengambil senjata dan peluru, ketiga-tiga anggota tersebut serentak melepaskan tembakan kepada musuh-musuh itu. Tembakan mereka tepat menyinggah sasaran dan musuh terus tumbang. Sebaik melihat komrad mereka tumbang, barisan musuh di seberang sungai melepaskan tembakan Brengan bertalu-talu ke atas kumpulan Kpl Jamaluddin di rumpun pokok hampir 15 minit.[2] Namun begitu, tembakan itu tidak menepati sasaran. Ketiga-tiga anggota dilindungi Maha Pencipta.

‘Kedegilan’ tiga wira 3 RAM membuatkan musuh bertambah berang. Sama seperti sebelum ini, ketua komunis dengan penuh geram menyeru supaya Kpl Jamaluddin menyerah diri: “Slendar Melayu. Kalau tidak kamu semua habis. Slendar lakas, lakas, lakas...!”[3]

 Tiada jawapan daripada Kpl Jamaluddin. Lalu komunis melepas tembakan bertubi-tubi dan membaling grenad tangan ke arah Kpl Jamaluddin dan dua rakannya di rumpun buluh. Lalu berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Dalam pertempuran ini, L/Kpl Muhamad tercedera pada tangannya manakala Pbt Rashid pada kakinya. Kecederaan ini tidak menoktah semangat perjuangan mereka. Mereka terus memberi tentangan sehingga kehabisan peluru. Sama seperti dua rakannya, Kpl Jamaluddin kehabisan peluru Stengannya.

Lukisan memaparkan serang hendap ke atas Platun No 12, Kompeni D, 3 RAM 
di Sg Semur pada 25 Mac 1950. Sumber: Mej Yaakop bin Jaafar

Bersambung...in sya Allah 

 


[1]              Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 288.

[2]              Ibid., hlm. 289.

[3]              Ibid.

Tiada ulasan: