Chin
Peng: Saya telah menjelaskan
adalah mustahil untuk kami menerima perkara
membabitkan siasatan. Saya tiada kuasa untuk menerimanya kecuali ia
dilaksanakan tanpa memberi gambaran bahawa kami menyerah diri.
Marshall: Bagaimana siasatan yang kamu mahu
cadangkan?
Chin
Peng: Terus terang saya katakan,
jumlah kami adalah kecil, bukan besar. Cadangan saya kepada kamu ialah dari
jumlah ini, jumlah tertentu dibenarkan meninggalkan negeri ini dan yang
lain-lain bebas kembali ke kediaman mereka masing-masing. Kerajaan boleh
melakukan siasatan terhadap mereka, tetapi mereka mesti dibenarkan kembali ke
rumah mereka.
Tunku: Bagaimana kami menghubungi
mereka? Kami tidak tahu rumah mereka.
Chin
Peng: Kami tidak akan ambil
tindakan seperti yang kami lakukan pada 1945-1948.
Marshall: Tunku sudah menerima cadangan itu
bahawa tiada siasatan terhadap mereka yang mahu ke luar negeri. Mereka boleh
terus menaiki kapal.
Tunku: Berapa ramai mereka yang mahu
pergi?
Chin Peng: Adakah ini
sesuatu yang kamu mahu dari saya?
Tunku: Saya mahu menentukan jika terdapat
ramai yang mahu pergi, mungkin mereka yang tinggal di sini tidak perlu
disiasat. Sekiranya ramai, iaitu pemimpin dan sejumlah besar pengikut mahu
balik ke China, sementara mereka yang mahu menjadi warganegara jumlahnya kecil,
saya tidak akan melakukan siasatan. Kita jadikan itu sebagai garisan panduan
am. Tiada keperluan untuk melaksanakan siasatan. Syarat yang dikenakan hanyalah
mereka perlu melaporkan di mana mereka berada.
Chin Peng: Melapor kepada polis mempunyai elemen
menyerah diri.
Tunku: Sepertimana yang saya katakan,
menyerah diri tidak dapat dielakkan.
Chin Peng: Kita boleh buat cara begini: benarkan
mereka keluar ke pangkuan masyarakat seperti orang biasa. Kemudian Kerajaan
boleh menghantar detektif-detektif untuk mengintip mereka.
Tunku: Ini bermakna jumlah detektif mesti
sama dengan jumlah komunis. Kerajaan tidak mampu melakukannya. Adakah jumlah
yang mahu pergi ke China besar?
Chin Peng: Jawapan kepada soalan ini terpulang sama
ada P.K.M. diiktiraf.
Tunku: Tidak. Dalam semua negara, seperti
yang kamu sendiri ketahui, di mana berlakunya perjuangan di antara komunis dan
nasionalis, mereka terpaksa berpecah
kepada beberapa wilayah. Sebagai contoh, Korea terbahagi dua, Vietnam terbahagi
dua. Kita juga tidak boleh wujud bersama. Sekiranya kami menerima ‘tidak
menyerah diri’, kita terpaksa membahagi Persekutuan Tanah Melayu kepada
Persekutuan Tanah Melayu Komunis dan Persekutuan Tanah Melayu Bukan Komunis.
Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil. Jika keadaan ini berlaku, kita sentiasa
akan berhadapan dengan masalah dan peperangan. Kamu sudah sedia maklum apa yang
saya katakan sebentar tadi – satu parti mesti menyerah diri. Malang sekali,
walaupun kamu tidak suka perkataan ‘menyerah diri’, saya perlu berterus terang
dengan kamu dan mengatakan kamu mesti menyerah diri.
Menurut Noel Barber,
Chin Peng hilang kawalan dirinya apabila Tunku mengatakan bahawa dia mesti
menyerah diri kepada kerajaan. Dia menolak kerusinya ke belakang dan terus
berdiri serta berkata dalam dialek Kantonis ‘chay yang hao’ yang bermaksud “itu sesuai dengan kami”.[1]
Kata-kata ini turut didengar oleh Harry Miller yang berada di lereng
bukit di belakang bilik mesyuarat. Kedudukannya membolehkan beliau mendengar
perjalanan mesyuarat.[2]
[1] Barber,
Noel. (2004). The War Of The Running Dogs.
(William Collins. [1971]). London: Cassel, hlm. 279. Kata-kata ini tidak
tercatat dalam transkrip.
[2] Harry
Miller, The Straits Times, The War Goes
On! Amnesty to End after ‘Period of Grace’,
30 Disember 1955, hlm. 1.