Pengikut

Jumaat, 11 Mac 2022

BALING 28-29 DISEMBER 1955: PERTEMUAN VS RUNDINGAN














































 

Ahli panelis wacana “Liku-Liku Pertemuan Baling”. Dari kiri: Prof Madya Dr Mohd Kasri Saidon, Mej Dr Nor Ibrahim Sulaiman TUDM (Bersara), En Ghani Abu (fasilitator) sempena Majlis Pelancaran Buku “Liku-Liku Pertemuan Baling” di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah Darulaman pada 27 Februari 2022

           Soalan pertama yang diajukan oleh En Ghani Abu, fasilitator, ialah: “Tajuk buku ini, ‘Liku-liku Pertemuan Baling’. Perkataan “Pertemuan” bukan “Rundingan” seperti yang ramai khalayak fahami sebelum ini. Dalam perkataan Inggeris, “Talks vs Negotiation”. Mohon pandangan tuan.

Ya. Mengapa Pertemuan bukan Rundingan? Sejujurnya sebelum ini terpahat dalam minda saya apa jua yang mengaitkan peristiwa tersebut sebagai Rundingan. Tetapi setelah mendalam sikit mengenai peristiwa tersebut, maka terfikir soalan asas. Mengapa dokumen National Archives UK mengguna istilah ‘Talks’. Di samping itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman (Tunku)[1] dan mendiang Chin Peng[2], para pelaku utama juga mengguna istilah Talks dalam buku mereka. Mengapa tidak istilah ‘Negotiations’? Bukankah secara amnya Negotiation dalam Bahasa Melayu ialah Rundingan?

Apakah definisi Negotiation? Memetik takrifan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah  ‘Satu kaedah untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian tanpa bertempur/berlawan, satu cara untuk mencapai keputusan bersama membabitkan pihak-pihak terbabit yang mempunyai pandangan berbeza atau mencapai objektif satu pihak walaupun satu pihak lagi mempunyai objektif berlainan (It is a way of settling disputes without fighting, a way of making joint decisions when those who are making decisions hold different views or a way of achieving your own objectives despite other participants having different objectives).[3]

Tetapi sebelum menyelami lebih lanjut persoalan ini, perlu dijelaskan punca yang membawa kepada peristiwa bersejarah itu. Seperti yang umum sedia maklum, atas desakan UMNO telah menyaksikan sebuah negeri, ‘Malayan Union’ yang ditubuhkan pada 1 April 1946[4] lenyap dari peta dunia. Sebaliknya kini muncul sebuah negeri bernama ‘Persekutuan Tanah Melayu (PTM)/Federation of Malaya (FM)’ pada 1 Februari 1948[5] setelah termaktubnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948.[6] Antara mukadimah perjanjian itu ialah:

AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual self-government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.[7]

Dalam lain perkataan, dengan perjanjian tersebut British sedia memberi ‘berkerajaan sendiri (self-government)’, iaitu ‘KEMERDEKAAN.’ Bererti PTM sebagai sebuah negara berdaulat, bukannya lagi sebuah koloni British. Tetapi persoalannya: Bila? Sebaik sahaja ‘keadaan mengizinkan.’ Syarat ini ditekankan lagi oleh Robert Anthony Eden, Setiausaha Luar Negara semasa lawatannya ke Kuala Lumpur pada 2 Mac 1955. Beliau menyatakan UK hanya akan menentukan hala tuju PTM ke arah pemerintahan sendiri, antara lain apabila berakhirnya keganasan komunis dan rakyat bersedia menentang penyerapan dan subversif komunis.[8] Tidak semudah itu British hendak menyerah ‘lombong emas’ yang menyumbang kepada ekonomi UK!


Kenyataan Anthony Eden di Kuala Lumpur pada 2 Mac 1955. Sumber: The Straits Times, 3 Mac 1955.

Bagaimanakah keadaan  PTM ketika itu sehingga British menjadikan ia satu syarat? Jawapannya ialah PTM ketika itu berada dalam keadaan darurat (emergency) yang diisytihar oleh British pada 18 Jun 1948.[9]

Mengapa British mengisytihar darurat? Kerana Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Ong Boon Hua, lebih dikenali sebagai Chin Peng telah mengangkat senjata menentang British dalam usaha mereka mengusir kolonialis untuk ‘memerdekakan’ PTM. Tindakan PKM membawa penderitaan kepada rakyat dan banyak nyawa terkorban serta cacat anggota tubuh badan yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat.

Ada kebenarankah hanya PKM sahaja yang menentang British bagi mendapatkan kemerdekaan PTM? Jawapannya sudah pasti TIDAK sama sekali. Parti Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO, juga mempunyai visi yang sama seperti PKM, iaitu berjuang untuk kemerdekaan tanah air tercinta ini. Hanya misinya berbeza dan telah terbukti keberkesanannya. Ini terbukti apabila British terpaksa tunduk terhadap tuntutan UMNO sehingga Malayan Union terpaksa dibubarkan dan wujud bibit-bibit kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Tanpa pertumpahan darah!

Ya, kedua-dua pihak – Parti Perikatan dan PKM – mempunyai visi yang sama, namun objektif mereka jauh berbeza. Objektif Parti Perikatan ialah mewujudkan sebuah negara demokratik di mana kerajaan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum dan mengamal sistem Raja Berperlembagaan. Sistem yang mengiktiraf Raja sebagai Ketua Negara. Sebaliknya, objektif PKM pula ialah untuk mewujudkan‘People’s Democratic Republic of Malaya’ yang berpaksi kepada ideologi komunisme. Satu ideologi yang tidak percaya kepada sebarang agama!

Persediaan awal ke arah pemerintahan sendiri bermula apabila British bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum pada Mei 1955 bagi mengisi keahlian Majlis Perundingan Persekutuan. Sudah pasti Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC yang dipimpin oleh Tunku akan bertanding. Dan sudah pasti PKM tidak layak bertanding kerana parti tersebut telah diharamkan.

Antara manifesto kempen pilihan raya Parti Perikatan ialah Tunku akan memberi pengampunan/amnesti kepada pengganas komunis yang menyerah diri dan meletak senjata. Mereka tidak akan didakwa atas kesalahan/kezaliman yang dilakukan sebelum program amnesti tersebut. Seperti yang dijangka, British tidak setuju dengan saranan Tunku ini. Kerana mereka telah menawarkan  program supaya pengganas komunis menyerah diri. Perbezaannya ialah pengganas komunis yang menyerah diri akan didakwa di mahkamah. 

Gelombang kemerdekaan membuak-buak. Pilihan raya yang diadakan pada 27 Julai 1955 menyaksikan Parti Perikatan memenangi 52 kerusi daripada 53 kerusi Dewan Undangan Persekutuan.  British tiada pilihan tetapi terpaksa melantik Tunku sebagai Ketua Menteri (KM).

Sebagai KM, Tunku bertegas untuk melaksana manifesto memberi  amnesti. British terpaksa akur dengan pendirian Tunku.

Apa pula pendirian Chin Peng? Dia menyedari dia dan PKM dipihak yang kalah. Namun dia menyatakan mereka tidak boleh terima terma amnesti. Mereka sama sekali tidak akan menyerah diri. Sebaliknya dia mencadangkan untuk bertemu dengan Tunku untuk berunding.

Tunku seorang politikus yang pintar! Beliau tidak akan melepaskan peluang yang datang bergolek ke ribanya. Peluang untuk menonjolkan dirinya kepada rakyat PTM yang beliau sebagai seorang pemimpin yang dipilih rakyat sedia menemui ketua pengganas komunis demi kesejahteraan rakyat dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Tunku akui bahawa:

I felt then I had to wrest the initiative from the MCP and its “Commissionaire of Violence”, and try to make my presence felt throughout the country as the people’s elected leader. But in those seven years of suffering there was one approach that had not been tried. “Why not,” I thought, “meet face to face? Have it out once and for all round a table. Then we would know just where we stand.” The direct approach, that was the answer. The Communists were always declaring they were fighting for Malaya’s independence. I would go and meet their leader, stress the fact in the public interest that my presence there was a Malaya’s elected leader of the people to gain independence from the British – in short, to give the lie to the MCP and Chin Peng’s assertion that it was he who was trying to liberate Malaya.”[10]

            British pada awalnya cuba melarang Tunku bertemu dengan Chin Peng kerana bimbang beliau akan tunduk terhadap tuntutan ketua komunis itu. Tanggapan mereka itu jauh tersasar apabila Tunku mempamerkan semangat anti-komunis apabila Chen Tien, wakil Chin Peng yang mengedar kenyataan akhbar semasa keluar dari hutan di Klian Intan, Perak pada 17 November 1955 untuk bertemu dengan wakil Tunku. Dalam sidang akhbar pada lewat malam 17 November 1955, Tunku mengingatkan Chin Peng:

“...jika Komunis masih mengeluarkan kenyataan kepada akhbar dan terlibat dalam taktik propaganda seperti yang mereka lakukan kelmarin, saya tidak menemui Chin Peng atau sesiapa pun. Saya tidak pergi untuk berunding dengan atau melayan Chin Peng sebagai sama status dengan saya, saya pergi untuk menjelaskan amnesti. Saya akan dengar sekiranya dia mencadangkan sesuatu kepada saya dan saya akan mempertimbangkan. Saya mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kami mempunyai sumber-sumber untuk menentang dan mengalahkan Komunis.”[11] Noktah.

Ketegasan Tunku terus menyerlah apabila komunis menyerang balai polis di Kea Farm, Cameron Highlands pada jam 2:00 pagi 20 November 1955 yang telah mengorbankan Konstabel Omar Mat Isa dan membunuh Chou Yin San, anggota ‘Home Guards’ yang juga seorang petani. Keesokan hari, 21 November 1955, Tunku mengumumkan bahawa “...kawasan-kawasan selamat dibatalkan mulai 1 Disember 1955.”

Sikap anti-komunis ini mendapat perhatian British. Mereka penuh yakin bahawa Tunku tidak akan tunduk terhadap tuntutan Chin Peng semasa pertemuan itu nanti. Justeru, semasa persidangan Majlis Persidangan Persekutuan untuk pembentangan belanjawan pada 30 November 1955, Sir Donald MacGillivray selaku Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan:

“Saya, dengan ini, ingin menjelaskan bahawa kemajuan ke arah berkerajaan sendiri tidak akan tergugat walaupun Parti Komunis Malaya cuba membuktikan kesediaan mereka untuk berdamai atau peperangan berterusan.”[12]

           Apa signifikan pengumuman MacGillivray? Memang bermakna bagi rakyat PTM yang mahukan kemerdekaan. Kerana British sudah ketepikan syarat yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Bererti kemerdekaan akan diberi walaupun darurat masih belum berakhir!

         Pengumuman itu juga membawa maksud Tunku tidak perlu pergi ke Baling untuk bertemu dengan Chin Peng. Mana mungkin Ketua Menteri berunding dengan ketua parti yang diharamkan. Berunding membawa maksud beliau mengiktiraf PKM. Tidak hairan beliau enggan menyediakan agenda pertemuan itu seperti yang dipinta oleh Chen Tien kerana pemergian beliau ke Baling hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Tetapi beliau tetap mahu bertemu dengan Chin Peng supaya rakyat dan dunia mengetahui objektif sebenar PKM.

         Bagaimana pula pendirian Chin Peng? Dia tetap dengan pendiriannya. Kerajaan mesti mengiktiraf PKM, sama sekali tidak akan menyerah diri dan meletak senjata. Noktah.

Tunku berbaju Melayu sepanjang Pertemuan Baling. Sumber: ehm.my

            Pertemuan Baling telah mempamer ketegasan Tunku dan Chin Peng. Tunku seorang nasionalis terserlah apabila beliau memakai baju Melayu sepanjang pertemuan tersebut. Keutamaan beliau ialah menentukan PTM mencapai kemerdekaan demi kesejahteraan rakyat. Manakala keutamaan Chin Peng ialah demi maruah parti. Kepentingan parti mengatasi kesejahteraan rakyat! Pendirian Chin Peng dirumuskan oleh David Marshall, Ketua Menteri Singapura: 

“Pada mereka, pergi jahanam dengan kebajikan rakyatkeutamaan adalah Parti Komunis. Mereka kata mereka tidak boleh membubarkan Parti Komunis dan tetap berada di Persekutuan Tanah Melayu. Kita nampaknya tidak bercakap dalam satu bahasa.”[13]

Melalui pembacaan saya yang terbatas mengenai peristiwa bersejarah ini, saya mendapati Prof Dato’ Dr Ramlah Adam mengguna istilah Pertemuan dalam karyanya – Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra.[14] Walau bagaimanapun beliau tidak menjelaskan penggunaan istilah tersebut. Sebaliknya Rashid Maidin yang turut menyertai delegasi Chin Peng merumuskan:

“...bahawa itu bukanlah perundingan dalam erti kata sebenarnya. Berunding bererti berbincang untuk mencapai kata sepakat atau mencari jalan yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Sebaliknya perundingan itu lebih bersifat menekan pihak kami dengan mengenakan bermacam-macam syarat seperti menyerah diri, tahanan dan soal siasat, mengharamkan parti kami dan lain-lain, tidak ada sebarang tolak ansur walau sedikit pun.”[15]

          Bukan Rashid Maidin sahaja yang beranggapan begitu. Chin Peng tersilap ‘membaca’ Tunku. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa Tunku begitu tegas pendiriannya. Pada hemat Chin Peng, Tunku akan tunduk terhadap tuntutannya kerana Tunku ‘terdesak’ untuk mendapatkan kemerdekaan. Kesilapan ini dijelaskan kepada Chin Peng oleh John Davis, pegawai yang tugas untuk mengiring delegasi PKM. Beliau mengingatkan Chin Peng bahawa dari awal lagi Tunku telah memberitahu tujuan utama pertemuan tersebut hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Itu sahaja. Sepatutnya Chin Peng berterima kasih kepada Tunku kerana sedia menemuinya walaupun Chin Peng dipihak yang kalah. Dia selaku setiausaha agung parti haram sebenarnya tidak ada kuasa tawar menawar untuk berunding dengan seorang Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat. Malahan pegawai International Liaison Department yang bertanggungjawab menjaga keperluan PKM di China akui agak janggal apabila Tunku yang merupakan pihak menang, bersedia memenuhi permohonan PKM dipihak yang kalah untuk bertemu walaupun hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti.              

            Pertemuan Baling menyerlahkan objektif PKM. Tidak dinafikan PKM menentang penjajah British dengan laungan untuk memerdekakan PTM. Tetapi misi mereka terbantut apabila Tunku mendesak kepada British memberi amnesti. Amnesti menyerlahkan kepimpinan beliau sehingga British memansuh syarat untuk berkerajaan sendiri. Amnesti juga membawa kepada Pertemuan Baling yang kesannya menonjolkan objektif utama PKM.

31 Ogos 1957. Finale akhir.Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bergema apabila Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan: 

MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA.”

Tunku melaungkan 'Merdeka' di Stadium Negara pada 31 Ogos 1957. Sumber: thesundaily.my

Tanpa penglibatan Chin Peng dan PKM !!!

Saya telah beri alasan saya mengapa saya guna istilah 'Pertemuan' bukan 'Rundingan'. Terpulanglah kepada pandangan para pembaca istilah mana digemari, wallahualam.

Saya masih tercari-cari rasional apabila kedengaran dakwaan bahawa, pertama, British memberi kemerdekaan kepada PTM kerana peranan yang dimainkan oleh PKM. Betulkah? Bersandarkan kepada kenyataan Anthony Eden pada 3 Mac 1955 yang mengukuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu seperti yang dibincangkan di atas kemerdekaan akan diberi apabila ancaman komunis berakhir. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tersebut termeterai kesan tekanan UMNO menentang Malayan Union yang bertahan hanya selama dua tahun. Tidak tersasar sekiranya tanpa ancaman komunis, kemerdekaan mungkin dicapai lebih awal lagi. Wallahualam.

Kedua ialah apabila PKM mendakwa mereka berjuang untuk kemerdekaan sehingga ada yang menobatkan perjuangan parti itu sebagai wira kemerdekaan. Sepertimana yang dikatakan sebelum ini, PKM menentang kolonis British sama sekali tidak dinafikan. Tetapi kemerdekaan? Jika begitu, kenapa mereka terus mengancam keselamatan PTM setelah merdeka pada 31 Ogos 1957 disusuli dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963? Adakah masih untuk memerdekakan negara dari kolonis? Siapakah kolonis itu? Rakyat yang diberi kebebasan untuk memilih parti untuk meneraju negara?

Kesimpulannya ialah objektif mereka bukannya demi kepentingan rakyat jelata sebaliknya  menjadikan negara Malaysia tercinta ini sebagai republik berideologi komunisme. Tetapi mereka telah gagal mencapai objektif itu dan terpaksa meletak senjata apabila termeterainya Perjanjian Damai yang di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. 

Kesimpulannya ialah objektif mereka bukannya demi kepentingan rakyat jelata sebaliknya  menjadikan negara Malaysia tercinta ini sebagai republik berideologi komunisme. Tetapi mereka telah gagal mencapai objektif itu dan membubar unit ketenteraannya dan memusnah senjata apabila termeterainya Perjanjian Damai yang di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. Apa jua istilah yang digunakan, rumusan Tun Dr Mahathir bin Mohamad, mantan Perdana Menteri dalam ‘Kata Pengantar’ buku ‘The Finest Hour: The Malaysian-MCP Peace Accord in Perspective: “...Guerrillas believe they can never be defeated. But in Malaysia they were.”              

Iklan sikit. Buku - Liku-Liku Pertemuan Baling - boleh dibeli di DBPNIAGA dan Shopee. Harga: RM37. Terima kasih.

[1]       Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (2011). Looking Back. Petaling Jaya: MPH Group Publishing Sdn. Bhd. (Penerbit asal Pustaka Antara. [1977]).

[2]              Chin Peng.  (2003). Chin Peng: My Side of History. Singapore: Media Masters.

[4]        Dr Cheah Boon Kheng. The Malayan Union and its impact. Malaysian Bar. Lihat https://www.malaysianbar. org.my/article/news/legal-and-general-news/general-news/the-malayan-union-and-its-impact.

[5]     History SG. Federation of Malaya is Inaugurated 1st Feb 1948. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ history/events/72e9ebe6-7a0f-4512-aa48-3da99d598525.

[6]              ANM. Formation on the Federation of Malaya.  Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. Lihat http:// hids.arkib.gov.my/en/peristiwa/-/asset_publisher/WAhqbCYR9ww2/content/persekutuan-tanah-melayu-ditubuhkan/pop_up?101_INS TANCE_WA hqbCYR9ww2_viewMode=print.

[7]              ANM. The Federation of Malaya Agreement, 1948.

[8]      The Straits Times. THIS IS THE WAY—EDEN, 3 March 1955. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ newspapers/Digitised/Article/straitstimes19550303-1.2.2

[9]              Australian Government: Department of Veterans’ Affairs. The Malayan Emergency 1948 to 1960. Lihat https://anzacportal.dva.gov.au/wars-and-missions/malayan-emergency-1948-1960.

[10]            Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (2011). Looking Back.

[11]            Nor Ibrahim Sulaiman. (2021). Liku-Liku Pertemuan Baling. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 99.

[12]            Ibid., hlm. 113.

[13]            Ibid., hlm. 216.

[14]            Ramlah Adam. (2004). Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (hlm. 232).

[15]            Rashid Maidin. (2005). Memoir Rashid Maidin. Petaling Jaya: SIRD, hlm. 78.