Pengikut

Rabu, 20 Julai 2022

PARTI KOMUNIS MALAYA DIBUBAR?

        JULAI…Negara di ambang musim patriotisme - Ogos dan September. Bermula dengan ‘Hari Pahlawan’ pada 31 Julai 2022 nanti. Seperti amalan biasa, akan ada majlis sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Tahun ini, 2022, penantian ketibaan musim itu disulami dengan tayangan filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.” Pahlawan Melayu Pahang menentang penjajah Inggeris di abad 19 lagi. Tanpa diduga, ia mendapat sambutan di luar dugaan bagi  sebuah filem genre sejarah. Selepas 21 hari penayangannya, ia telah berjaya meraih  RM71 juta.[1] Penonjolan semangat patriotisme...satu fenomena!

Pada musim patriotisme rakyat akan disaji dengan filem dan laporan kisah-kisah pengorbanan anggota pasukan keselamatan menentang kedurjanaan pengganas kom unis baik di Semenanjung mahu pun Sarawak. Ancaman militan itu berakhir pada 2 Disember 1989 di Semenanjung sementara 17 Oktober 1990 di Sarawak.[2]

2 Disember 1989 begitu bersejarah bagi Semenanjung khususnya. Pada tarikh tersebut telah termeterai  dua Perjanjian Damai di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada jam 10:30 pagi (waktu Thai). Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM dan Perjanjian Damai antara Kerajaan Thai dan PKM.  Dengan termeterainya perjanjian itu secara rasminya berakhir ancaman ketenteraan PKM terhadap Malaysia yang bermula semenjak tahun 1948 apabila British mengisytihar darurat.

Mereka yang diberi penghormatan untuk menandatangani dokumen bersejarah itu bagi pihak Kerajaan Malaysia ialah Dato’ Sidek bin Wan Abdul Rahman (KSU KDN), Jeneral Tan Sri Hashim bin Mohd Ali (PAT) dan Tan Sri Haniff bin Omar (KPN). PKM pula  diwakili oleh Ong Boon Hua@Chin Peng (Setiausaha Agung), Abdullah C.D. (Pengerusi PKM) dan Rashid Maidin. 

Dalam ucapannya sebaik sahaja majlis menandatangani dokumen tersebut, Chin Peng mengumumkan mereka “...menamat perjuangan senjata” terhadap negara dan akan memusnahkan senjata. Dia seterusnya berikrar bahawa: “...Sebagai warga negara Malaysia, kami berikrar akan taat setia pada Duli Yang Mulia Seri Paduka Yang diPertuan Agong dan negara.”[3]

Chin Peng mengukuhkan lagi pengumuman itu semasa sidang akhbar selepas majlis tersebut apabila dia mengulangi pendirian PKM bahawa “...mereka akan mematuhi perlembagaan dan undang-undang di Malaysia.”[4] Bagaimana pula sama ada dia masih kekal berideologi komunisme? Memetik laporan akhbar ‘Berita Minggu’: “...Beliau juga mengiyakan dengan tegas apabila ditanya sama ada beliau masih menganggap dirinya berfahaman komunis Marxist-Leninist.[5] Ya, sememangnya dia penganut tegar ideologi komunis Marxist-Leninist.

Selain itu, Chin Peng cuba mengelak soalan yang diajukan sama ada PKM telah/akan dibubar. Jawapan dia tidak meyakinkan seperti yang dilapur oleh Berita Minggu apabila dia mengatakan: “Saya sudah jawab tadi, pengumuman bersama (pernyataan bersama) sudah menerangkan segala-galanya.”[6] Masalahnya pengumuman itu tidak menyentuh mengenai status PKM dan ini dilapur oleh akhbar tersebut: “Sebenarnya perjanjian tiga pihak itu tidak menjelaskan kedudukan CPM.” Jawapan dia boleh dirumuskan bahawa PKM tidak dibubar dan masih wujud.

Ketegasan Chin Peng yang dia tetap berpendirian Marxist-Leninist dan PKM masih wujud mempertikaikan keikhlasan mereka. Menyentuh kenyataan Chin Peng itu,  SAC (B) Aloysius Chin, mantan Timbalan Pengarah Cawangan Khas, PDRM merumuskan: “...justeru, ini bererti bahawa dia dan partinya akan meneruskan objektif komunis (thus, implying that he and his party would continue to pursue communist objective.)”[7]

Bagaimana pula dengan kejujuran Setiausaha Agung PKM itu membabitkan ikrar ‘taat setia’ kepada DYMM SPD Agong dan ‘mematuhi perlembagaan dan undang-undang.’ Keraguan ini timbul kerana pendirian Chin Peng bercanggah sama sekali dengan ‘ideologi’ negara, iaitu Rukun Negara:

v Kepercayaan kepada Tuhan.

v Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

v Keluhuran Perlembagaan.

v Kedaulatan Undang-Undang.

v Kesopanan dan Kesusilaan.

Paling utama dan selari dengan prinsip pertama Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan. Apakah pendirian komunis terhadap agama? Adakah mereka menganut atau percaya terhadap sebarang agama?

Persoalan ini dibangkitkan kerana menurut Karl Marx, Pelopor Komunisme mengatakan:

“Agama adalah reaksioner (ajaran usang dan penghalang kemajuan). Ia adalah alat penindas jiwa, ideologi untuk perhambaan golongan pekerja. Jalan usaha untuk memperkuatkan kekuasaan golongan menindas. Agama merupakan candu bagi masyarakat.”[8]

Dalam kata mudah, komunisme tidak percaya kepada sebarang agama! Faktor penolakan agama inilah punca utama kegagalan PKM menarik majoriti orang Melayu menyertai pergerakan mereka menentang British dan kerajaan Malaysia.

Bagi mendapat sokongan Melayu, mereka  telah menubuh Rejimen ke-10 di mana majoriti gerilanya terdiri daripada orang Melayu pada 21 Mei 1948 di kawasan Kerdau, Temerloh, Pahang.[9] Gelaran ke-10 diberi sempena 10 Zulhijah, iaitu orang Islam meraikan Hari Raya Korban. Chin Peng bersetuju dengan gelaran itu kerana ia memberi konotasi bahawa ideologi komunisme selari dengan Islam. Tetapi tidak setuju penggunaan songkok sebagai sebahagian daripada pakaian seragam gerila komunis. [10]

Walau bagaimanapun, kewujudan Rejimen ke-10 masih gagal menarik sokongan orang Melayu. Orang Melayu tidak termakan umpan mereka. Kepincangan ini telah dibincang dalam mesyuarat tertinggi PKM pada April 1952 sebelum Chin Peng dan para gerilanya berundur ke selatan Thailand. Dalam analisisnya, Lee Aun Tong@Lau Lee yang mengetuai Biro Propaganda Pusat merumuskan:

"Kita berjuang menentang Islam dan sikap anti agama kita telah memarahkan orang-orang Melayu. Kita tidak akan mempengaruhi petani-petani Melayu untuk menyertai kita kerana sikap kita itu. Belum tiba masanya untuk kita menyemai 2 benih ideologi kita kepada orang-orang Melayu. Kita mesti cuba mempengaruhi orang-orang Melayu dengan cara yang lembut."[11]

Bersandar kepada analisis itu dan doktrin komunisme, bererti jawapan Chin Peng bercanggah dengan prinsip pertama Rukun Negara. Persoalannya, adakah PKM sedia menerima bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama sebagai salah satu daripada tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara?[12] Wallahualam (Hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran yang sesungguhnya).

Ya, mereka berikrar akan mematuhi undang-undang negara. Itu memang selari dengan Rukun Kelima. Mudah sahaja bagi membuktikan kejujuran mereka. Bubar sahaja PKM yang telah diharam semenjak 1948 dan tidak pula berdaftar dengan Pendaftar Persatuan Malaysia. Adakah itu yang berlaku?

Pengiktirafan PKM bukan isu baharu. Ia mula dibangkit oleh Chin Peng semasa pertemuannya dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri, Persekutuan Tanah Melayu di Baling, Kedah Darulaman pada 28-29 Disember 1955. Tunku dengan tegas tidak akan mengiktiraf parti yang telah diharamkan oleh British. Malah isu ini menjadi salah satu faktor kegagalan pertemuan tersebut. Ketegasan Tunku Abdul Rahman itu mungkin merupakan salah satu punca Chin Peng menyatakan “Maaflah. No komen” apabila dilontar soalan sama ada dia berhasrat menemui Tunku Abdul Rahman.[13]

Sebelum majlis di Hat Yai, isu ini telah dibincang dengan panjang lebar semasa mesyuarat pertama antara wakil Malaysia dengan PKM di Phuket, Thailand pada 2 Februari 1989. Delegasi Malaysia diketuai oleh CP Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Noor (Pengarah Cawangan Khas, PDRM) dengan wakil PKM yang diketuai oleh Chang Ling Yin. Mesyuarat dipengerusikan oleh Mej Jen Kitti Ratanachaya, Timbalan Komander Thai 4th Army, Selatan Thai.

Pada 1 Februari 1989, sehari sebelum mesyuarat itu, delegasi PKM telah kemukakan agenda mereka kepada delegasi Malaysia. Dan pengiktirafan PKM merupa item kedua daripada 11 item dalam agenda itu: item pertama ialah penamatan permusuhan (Common desires to end hostilities).[14]

Alasan PKM tidak perlu dibubar dijelaskan oleh Zainon@Ah Yan (ahli politburo PKM) selaku utusan Chin Peng semasa mesyuarat kedua pada 15-17 Mac 1989 di Phuket. Alasan dia ialah: “Hasrat untuk menamatkan peperangan dan sedia berunding secara aman seharusnya diterima sebagai kejujuran PKM dan justeru tiada keperluan untuk perisytiharan rasmi [pembubaran PKM].”[15]

Mereka mahu menjadikan politik sebagai platform  dalam usaha meneruskan perjuangan demi mencapai objektif utama menjadikan negara tercinta ini berideologi komunisme. Sebagai parti yang sah dari segi undang-undang, PKM layak  bertanding dalam Pilihan Raya Umum apabila diadakan nanti. Perjuangan mereka tidak pernah pudar selagi objektif penubuhan parti itu pada 1930 tidak tercapai selari dengan ideologi dan falsafah politik Niccolò Machiavelli yang menekan “matlamat menghalalkan cara.”   

    Dato’ Abdul Rahim menjelaskan negara tidak boleh iktiraf PKM bagi menghormati lebih separuh daripada rakyat beragama Islam dan mereka anti-komunis yang dianggap sebagai anti-agama. Selain itu, ramai rakyat yang masih belum ‘sembuh’ daripada kekejaman PKM. Lagi pula, pengiktirafan akan memberi implikasi negatif terhadap kerajaan. Beliau menegaskan kerajaan tetap tidak iktiraf walaupun Parti Komunis Malaya dijenama semula sebagai ‘Parti Komunis Malaysia.’[16]

Walau bagaimanapun, Dato’ Abdul Rahim memberitahu delegasi PKM bahawa anggota parti yang telah menjalani proses yang dipersetujui untuk kembali ke Malaysia boleh bergiat dalam politik dan menubuh parti politik. Beliau memberitahu mereka boleh menubuh parti yang berprinsip sosialis. Namun demikian, beliau mengingatkan mereka bahawa Pendaftar  Pertubuhan Malaysia akan menolak permohonan penubuhan parti sekiranya terdapat ideologi komunisme dalam draf  perlembagaan parti itu.

Peringatan itu dipertikai oleh Rashid Maidin. Dia mengatakan Perlembagaan Malaysia tidak tercatat sekatan terhadap ideologi ‘Marxism.’ Bagi menjawab Rashid Maidin, DCP Dato’ Norian Mai (Timbalan Pengarah I, Cawangan Khas) menjelaskan Perlembagaan mencatat apa yang rakyat boleh lakukan tetapi ‘diam’ apa yang tidak boleh dilakukan.[17]

Pada mesyuarat sesi ketiga pada 11-13 Mei 1989, PKM memberitahu delegasi Malaysia, sebagai kompromi sementelah kerajaan menolak pengaktifan PKM, mereka mencadang untuk menubuh parti baharu yang dikenali sebagai Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM) (Socialist Labour Party of Malaysia [SLPM]). Tetapi prinsip parti itu tetap berpaksi kepada ideologi Marxism. Justifikasi mereka bersandarkan bahawa:

Marxisme ialah falsafah untuk menganalisis keadaan sosial dalam masyarakat, tidak seperti Leninisme dan Pemikiran Moa Tse-Tung yang menyokong keganasan dan perjuangan bersenjata. Oleh itu, Marxisme, sebagai ideologi panduan SLPM sesuai dengan objektif yang diisytiharkan untuk berfungsi secara aman dalam kerangka Perlembagaan Malaysia.”[18]

Setelah mendengar hujah di atas, sekali lagi delegasi Malaysia mengulangi bahawa Marxisme adalah ideologi yang begitu asing kepada rakyat Malaysia dan tidak boleh diterima. Rakyat akan beranggapan SLPM adalah sambungan kepada PKM. Dan undang-undang Malaysia telah menetapkan hanya mereka yang bermastautin di negara ini boleh memohon untuk menubuh parti politik. Hujah delegasi negara mendapat perhatian serius delegasi PKM.[19]

Penjelasan delegasi Malaysia di atas membuahkan hasil. Pada mesyuarat sesi kelima di Phuket pada 12-14 November 1989, Wu Jit Shih, ketua delegasi PKM menyatakan bahawa PKM tidak akan mengguna ideologi Marxisme dalam perlembagaan parti itu nanti.  Mereka akur rakyat tidak boleh menerima ideologi itu. Dia seterusnya memohon supaya proses permohonan untuk menubuhkan SLPM dipercepatkan.[20]

Kesediaan menggugur perkataan Marxisme mendapat sambutan baik oleh delegasi Malaysia. Dato’ Rahim Noor dengan panjang lebar menjelaskan permohonan untuk menubuh parti politik perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan.[21] Kebiasaannya proses itu mengambil masa 6-12 bulan.[22] Oleh yang demikian, beliau tidak boleh memberitahu secara spesifik bila parti itu akan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.

Delegasi Malaysia juga sedia berkompromi. Dato’ Rahim Noor memberitahu delegasi PKM bahawa tuntutan kerajaan supaya klausa PKM dibubarkan dicatatkan dalam dokumen Perjanjian Damai itu nanti akan diketepikan. Kerajaan mengambil kira dilema yang dihadapi oleh Chin Peng untuk menerangkan kepada anggota bersenjatanya. Malahan, pada 17 Mac 1989 lagi Dato’ Rahim Noor memberi dua opsyen kepada mereka. Opsyen pertama ialah menubuh parti baharu selepas sembilan bulan setelah menandatangani Perjanjian Damai atau kedua, bubar PKM dan selepas sembilan bulan Perjanjian Damai ditandatangani, mereka menubuh parti baharu.[23]

Justeru di atas kesefahaman ini, dokumen Perjanjian Damai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 tidak terdapat klausa menyatakan PKM dibubar. Setahu penulis, semenjak majlis di Hat Yai 32 tahun lalu sehingga sekarang, 2022, tidak terdengar kewujudan Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM)/Socialist Labour Party of Malaysia (SLPM).

Persoalannya, tanpa penubuhan parti PBSM/ SLPM adakah PKM masih wujud?  Akhbar ‘Bangkok Post’ mengguna istilah “now-defunct Communist Party of Malaya (CPM)[24] yang membawa erti PKM sudah tidak wujud lagi atau tidak aktif! Tetapi bagi C. C. Chin jawapannya: ‘Tidak.’ Dalam artikelnya – In Search of the Revolution: A Brief Biography of Chin Peng – beliau menulis: “Dengan termeterainya perjanjian itu [Perjanjian Damai], insurgensi secara rasmi telah berakhir. Tetapi Parti [PKM]  tidak dibubar, dan Chin Peng masih perlu menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung Parti. (With that agreement, the insurgency is now officially over. But the Party has not been disbanded, and Chin Peng still has to carry out his duties as the Secretary General of the Party.)”[25] Masih aktif? Wallahualam (Hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran yang sesungguhnya).

Dan Chin Peng akui bahawa: “Saya masih seorang sosialis.”[26]

 

Dokumen Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM yang ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Sumber: Jen Tun Hashim bin Mohd Ali (Bersara)

 
Majlis menandatangani Perjajian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

[1]     Berita Harian, Selepas 21 hari, Mat Kilau raih RM71 juta, 12 Julai 2022. Lihat https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti /2022/07/975534/selepas-21-hari-mat-kilau-raih-rm71-juta.

[2]              James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo. Kuching: Bekas Persatuan Polis Malaysia, hlm. 318. Perjanjian Damai pertama antara Kerajaan Malaysia dan PARAKU berlaku ditandatangani Simanggang, Sarawak pada 21 Oktober 1973. Kerajaan diwakili oleh Datuk Patinggi Abdul Rahman bin Ya'kub, Ketua Menteri Sarawak, dan Bong Kee Chok mewakili Biro Ke-2 PARAKU. Ancaman PARAKU berakhir apabila termeterai Perjanjian Damai antara Kerajaan yang diwakili oleh Tan Sri Mohamad Bujang Nor (Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak), Mej Jen Dato’ Abdul Manaf bin Ibrahim (GOC) dan T/PJP Datuk Ghazali Yakub (Pesuruhjaya Polis Sarawak) di Kuching, Sarawak pada 17 Oktober 1990. PARAKU diwakili oleh Hung Chu Ting dan Wong Lian Kui. Mereka mewakili 52 saki baki anggota PARAKU.

[4]              Ibid.

[5]              Ibid.

[6]              Ibid.

[7]            Aloysius Chin. (1995). The Communist Party of Malaya: The Inside Story. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm. 247.

[8]          Kamal Nazarbayev, Kedudukan Agama Pada Pandangan Marxisme-Komunisme, The Patriots, 3 Mei 2020. Lihat https://www.thepatriots.asia/?_gl=1%2A1596k3c%2A_ga%2AUm5xRkhwa VBJUVM3Wkw3M2QyRlJLcG1feGNIbUo2d2g4aXZnRGdoNkRBelVKNnhsYVpUSEJuSUw5ejhWRGsxSQ.

[9]              Suriani Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher, hlm. 41. Suriani Abdullah merupakan isteri kepada Abdullah C.D.

[10]            Lamry Mohamed Salleh, A History of the Tenth Regiment's Struggles, Inter-Asia Cultural Studies, Vol. 16, 24 Mac 2015, Routledge, hlm. 46. Lihat https://doi.org/10.1080/14649373.2015. 1008201. 

[11]            ANM. Majlis Pengkisahan Sejarah Rundingan Baling 28-29 Disember 1955 sempena sambutan Kemerdekaan 2004 tanpa catatan lokasi dan tarikh. Skrip asal oleh Tan Sri Dato' Hj. Shafie Abdullah, Setiausaha Peribadi YTM Tunku Abdul Rahman; dan Miller, Harry. (1972). Jungle War in Malaya. London: Arthur Barker Ltd., hlm. 119

[12]            Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AlQuran dan Masyarakat: Undang-undang. Pengerusi, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Lihat https://mufti.penang.gov.my/ index.php/2014-11-12-02-48-39/kertas-kerja-seminar/kuliah-umum/89-al-quran-masyarakat/file.

[13]            Berita Minggu, Chin Peng belum putuskan hendak ke mana, 3 Disember 1989.

[14]            General Dato’ Kitti Ratanachaya. (1996). The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand. Bangkok: Duangkaew Publishing House, hlm. 

[15]            Ibid, hlm. 103.

[16]            Ibid, hlm. 77.

[17]            Ibid, hlm. 138.

[18]            Ibid, hlm. 185-186.

[19]            Ibid, hlm. 186.

[20]            Ibid, hlm. 255.

[21]            Ibid, hlm. 255.

[22]            Ibid, hlm. 136.

[23]            Ibid, hlm. 147.

[24]            Achara Ashayagachat, Bangkok Post, Former insurgents celebrate 25 years of peace, 4 Disember 2014. Lihat https://www. bangkokpost.com/thailand/general/447082/former-insurgents-celeb rate-25-years-of-peace.

[25]            C. C. Chin, In Search of the Revolution: A Brief Biography of Chin Peng, dalam Chin & Hack (editors). (2004). Dialogues with Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party. Singapore: Singapore University Press, hlm. 371.

[26]            Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Alias Chin Peng: Chin Peng - My Side of History. Singapore: Media Master, hlm. 514. Ching Peng meninggal dunia di Bangkok pada 16 September 2013.

Khamis, 7 Julai 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 5A

Sambungan dari SINI...

Objektif Op Cahaya Bena II ialah untuk memusnah Rejimen ke-10 yang diketuai oleh Abdullah CD. Dua hari sebelum pasukan keselamatan bergerak ke lokasi yang telah dipertanggungjawabkan, pesawat Tentera Udara Diraja Thai telah mengebom kawasan yang dipercayai lokasi markas Abdullah CD. Keesokan hari giliran meriam dan mortar Tentera Darat Malaysia  TDM) pula membedil sasaran itu. Tujuan pengeboman supaya ‘melembutkan’ ancaman yang akan dihadapi oleh pasukan keselamatan nanti.

Antara unit yang terlibat dalam operasi ini ialah dua kompeni daripada 1 RAMD yang berpangkalan di Kem Mentakab. Dua kompeni tersebut, Kompeni Bravo yang diketuai oleh Kapt  Mohd Azumi bin Mohamed dan Kompeni Delta oleh Kapt Muslim bin Yusuf, ditumpang kepada 8 BIM, Pangkalan Chepa, Kelantan.[1]  TUDM pula turut menyumbang empat buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan bagi memenuhi keperluan mobiliti udara.

Misi yang dipertanggungjawab kepada dua kompeni 1 RAMD ialah untuk mengesan dan menawan markas Abdullah CD. 1 RAMD ketika berpangkalan di Kem Mentakab. Dalam taklimat kepada kedua-dua Ketua Kompeninya, Lt Kol Abdul Malik bin Ismail, Pegawai Memerintah (CO) mengingatkan mereka supaya berhati-hati terhadap musuh halimunan – jerangkap samar. Pengalaman telah mengajar pasukan keselamatan bahawa petualang negara mengguna sepenuhnya senjata tersebut. Bagi tujuan itu, satu seksyen TPJS (Tim Pemusnah Jerangkap Samar) seramai 10 anggota ditumpangkan kepada setiap kompeni. Di samping itu, CO mengarah mereka supaya mengelak daripada mengguna denai-denai sebaliknya menggunakan lereng-lereng bukit. 

Kedua-dua kompeni bertolak dari Mentakab dengan keretapi dan turun di Kuala Krai, Kelantan. Dari situ, beberapa trak dari 8 BIM sedia menunggu untuk membawa mereka ke Dabong untuk meneruskan pergerakan ke kawasan operasi masing-masing. Laluan ke destinasi memerlukan mereka menyeberang Sungai Golok. Kompeni Bravo menyeberang Sungai Golok yang cetek berhampiran Bukit Bunga.  Seperti yang dijangka, pergerakan agak perlahan kerana mereka perlu berhati-hati daripada ditimpa kecelakaan akibat jerangkap samar. Di samping itu kompeni juga membuat rondaan dan serang hendap. Bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat.

Sememangnya malang tidak berbau. Dalam berhati-hati itu pun, dua orang anggota Kompeni Bravo, 16541 Kpl  Adnan bin Jefferi dan 28468 Pbt Ramli bin Salleh telah tercedera akibat  musuh halimunan.[2] Kpl Adnan telah mengalami cedera di ibu jari kaki kanannya sehingga terpaksa dipotong manakala Pbt Ramli pula cedera di paha dan kaki kanannya. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan oleh sebuah Nuri.

Sama seperti Kompeni Bravo, setelah bergerak di waktu yang sama membuat rondaan dan serang hendap, pada hari keempat Kapt Muslim tiba di kaki sebuah bukit. Dan diketemukan dengan ‘penjaga’ bukit dalam bentuk dua lubang ranjau berkedalaman empat kaki di lereng bukit. Kedua-dua lubang itu padat dengan buluh rebung yang tajam menunggu mangsa. Berhampiran dengan jerangkap samar itu, trup telah menemui satu saluran air yang diperbuat daripada buluh yang disambung hingga ke atas bukit. Air itu berpunca daripada mata air di lereng bukit. Seharian mereka menjejak saluran air yang panjangnya lebih kurang 250 meter. Di hujung saluran itu membawa mereka satu kawasan yang dipercayai Markas Rejimen Ke-10. Dalam proses penjejakan itu, mereka ditemukan dua lagi lubang ranjau dan dahan-dahan pokok serta lubang-lubang besar kesan bedilan pesawat, meriam dan mortar.

Kapt Muslim membuat keputusan tidak terus masuk ke kem musuh. Sebaliknya mereka bermalam lebih kurang 50 meter di luar kem musuh. Keesokan pagi, dengan  berwaspada mereka mula membuat operasi penggeledahan dan pembersihan terhadap kem tersebut. Penghuni yang mereka temui hanyalah seekor kucing hutan yang jinak. Memang sukar pesawat mengesan kem boleh menempat 200-250 penghuni kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar dan tinggi.[3]

Dengan penemuan kem itu, Kompeni Bravo diarah untuk tidak meneruskan misi mereka ke kem komunis tersebut.

Antara penemuan dalam kem ialah sebuah pondok kecil yang dipercayai kediaman Abdullah CD; bangsal sebagai kediaman anggota bujang lelaki dan perempuan; dapur dan beberapa kawah dan longgokan kayu api; dewan; bengkel mini; gelanggang bola keranjang dan sepak takraw; penjana elektrik berkuasa kecil; surau tetapi tiada sejadah, tasbih atau Al-Quran/surah Yasin;  terowong. Dan bersepah dengan jerangkap samar terutama di kawasan jalan masuk ke kem itu. Ini menyukarkan pergerakan dalam kem itu. Justeru, TPJS membersihkan beberapa laluan selebar dua kaki untuk ke tengah-tengah kem. Anggota diarah untuk mengguna laluan tersebut untuk sebarang pergerakan. Apa yang menakjubkan Kapt Muslim ialah beliau mendapati tiada sebarang kerosakan terhadap infrastruktur dalam kem itu seolah-olah ‘dipayung’ daripada dihujani bom dan peluru!

Susun atur kem Abdullah CD. Sumber: Abdul Rahman Alavi


                                                                        
Terowong yang ditemui di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B)
Alat mencetak di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B) 

Sepanjang 10 hari berada di kem komunis itu, Kompeni Delta tidak berhadapan dengan gangguan musuh. Sebaliknya mereka mengalami gangguan daripada alam mistik yang tidak kurang menakutkan. Anggota yang mandi berbogel di sungai di kaki bukit mengalami dibaling dengan ketul-ketul batu dari tangan ghaib. Kejadian aneh itu berhenti apabila mereka tidak berbogel lagi. Sementara kumpulan yang membuat rondaan melihat kelibat lembaga dalam bentuk ‘manusia’ berpakaian hitam tanpa baju melintasi laluan mereka. Tetapi ia tidak mengganggu mereka meneruskan rondaan. Bukan itu sahaja. Peronda-peronda kerap melihat seekor harimau dari jarak jauh. Yang agak peliknya ialah haiwan itu tidak mengaum dan hilang dari penglihatan begitu sahaja. Harimau jadian?

Kapt Muslim tidak terkecuali daripada mengalami kejadian mistik. Pada satu malam lebih kurang jam 10:00 malam, beliau yang sedang berbaring di ‘hammock’ tiba-tiba dilambung oleh sesuatu kuasa ghaib. Beliau bertanya kepada anggotanya sama ada mereka melihat sesuatu lembaga memasuki khemahnya. Jawapan mereka ialah tiada. Mujurlah itu sekali sahaja sepanjang berada di situ.

Klimaks gangguan berlaku pada malam terakhir mereka berada di kem itu. Pada  lebih kurang jam 10:00 malam, Pbt Jamaludin diserang histeria di khemahnya yang terletak di pinggir perimeter kawasan pertahanan kompeni. Dalam keadaan meracau-racau itu, Pbt Jamaludin dengan suara garau mahu berjumpa dengan ketua pasukan keselamatan, iaitu Kapt Muslim. Permintaan itu disampaikan kepada Kapt Muslim oleh KSM (Kompeni Sarjan Mejar). Lantas  mereka bergegas ke khemah Pbt Jamaludin.

“Assalamualaikum.” ‘Pbt Jamaludin’ dengan matanya tertutup dan duduk bersila memberi salam kepada Kapt Muslim sebaiknya Ketua Kompeni tiba.

“Waalaikumussalam.” Kapt Muslim membalas salam anak buahnya. Juga dalam keadaan duduk bersila menghadap penanya. 

“Siapa ketua di sini?” Pbt Jamaludin mengajukan soalan.

“Saya. Saya bercakap dengan siapa?” Tanya Kapt Muslim.

“Aku wakil ketua penghuni di sini.” Jawab Pbt Jamaludin. Ini bermakna Kapt Muslim sedang  berkomunikasi dengan wakil Abdullah CD. Bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya: “Di mana ketua itu sekarang ini?”

“Dia berdiri di luar khemah.” Jawab  Pbt Jamaludin.

“Kalau begitu, suruh dia tunjukkan dirinya.”  Kapt Muslim mencabar Pbt Jamaludin.

“Mengapa kamu suruh dia tunjukkan dirinya?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Tujuan saya supaya kita boleh berbincang supaya dia meletakkan senjata dan menyerah diri bagi menamat perjuangan sia-sia ini.” Kapt Muslim mengambil kesempatan ‘berunding’ dengan wakil Abdullah CB melalui jasad  Pbt Jamaludin yang disaksikan oleh ramai anggota kompeni.

“Kamu ikhlas? Ketua aku tidak yakin keikhlasan pelawaan kamu. Kamu dan orang-orang kamu hanya mengejar pangkat dan pingat-pingat sahaja. Tetapi percayalah. Satu hari kami akan menamatkan perjuangan kami. Menyerah diri tidak sama sekali.”

“Terpulanglah.” Jawab Kapt Muslim. Beliau seterusnya bertanya: “Mengapa kami diganggu?”

Pbt Jamaludin terdiam buat seketika sebelum menjawab dengan nada marah: “Orang kamu berkelakuan tidak senonoh. Mandi telanjang, ada yang berjudi, tidak menghormati persekitaran hutan dan tidak solat. Kami boleh tembak kamu bila-bila masa jika kami mahu.” Beliau terdiam sebelum mengucap: “Assalamualaikum.” Pbt Jamaludin terus tersungkur dan terbaring di situ. Apabila sedar, beliau terpinga-pinga melihat Ketua Kompeni dan rakan-rakan berada di khemahnya.

Setelah kawasan tertentu berjaya dibersihkan daripada jerangkap samar oleh TPJS, Kapt Muslim memaklumkan Markas Taktikal 8 BIM untuk arahan selanjutnya. Arahan yang diterima ialah untuk menyediakan satu tempat pendaratan (LP) untuk pesawat Nuri. Brig Jen Abdullah bin Samsudin, Panglima 8 BIM akan melawat kem komunis itu dengan pesawat tersebut. Bukan satu tugas yang ringan. Mereka tidak dibekal dengan gergaji bermotor, hanya sebilah parang setiap seorang. Diameter pokok bukan satu peluk orang dewasa tetapi beberapa peluk. Penyelesaian mudah sahaja. Kesepian hutan belantara dikejutkan dengan letupan: “Boom...boom...boom.” Pokok-pokok tersungkur menyembah bumi dek ‘plastic explosive’ digunakan untuk menumbangkan pokok-pokok itu.

Setelah melawat persekitaran kem yang telah dibersihkan, Brig Jen Abdullah membuat keputusan menamat operasi penggeledahan. Beliau akui agak mustahil untuk membersihkan kesemua kawasan daripada jerangkap samar. Keesokan hari, dua buah Nuri berlepas dari Pangkalan Chepa untuk membawa keluar Kompeni Delta dan diturunkan di Dabong. Dari Dabong, mereka menaiki trak ke Kuala Krai sebelum bertolak balik ke Mentakab.

Setelah Kompeni Delta diundurkan, meriam dan mortar memuntahkan peluru ke atas kem itu dalam usaha memusnahkannya. Tetapi tiada kepastian kemusnahannya. Adakah ia masih ‘dipayung’? Wallahualam.

Lt Kol Muslim bin Yusof. Sumber: Brig Jen Dato' Muslim bin Yusof (B)

Adakah ramalan ‘Pbt Jamaludin’ pada  Julai 1977 hanya satu kebetulan sahaja apabila 12 tahun kemudian, 2 Disember 1989, telah termeterainya Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM? Tanpa ayat ‘menyerah diri’? Wallahualam.

Bersambung...In syaa Allah

[1]           Penjelasan daripada Brig Jen Dato’ Muslim bin Yusof (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Jun 2022.

[2]           Senarai anggota pasukan keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II.

[3]          Abdul Rahman Alavi. (2022). Jejak Pertempuran: Demi Negara. Kem Sungai Besi: UPNM.