Pengikut

Ahad, 23 Mac 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 13

Sambungan dari SINI (klik)

 Lebih kurang pukul 6:00 petang...

 Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan terdengar tiupan tetuang. Isyarat kepada gerila komunis supaya gerila-gerila bersiap sedia untuk beredar dari situ.[1] Apabila hampir 6:30 petang, para tawanan diberitahu mereka boleh menggunakan rakit-rakit yang membawa daun-daun nipah dan payung untuk balik ke pangkalan, iaitu Kpg Pulai.[2] Dalam perkiraan keadaannya, ketua komunis penuh yakin Kpl Jamaluddin akan mengambil 3-4 jam untuk tiba di pangkalannya; lebih kurang 10:00-11:00 malam. Tempoh masa itu memberi ruang mereka beredar dari situ dengan selamat.

*****

 Lebih kurang pukul 6:30 petang...

 Kini tiba masanya Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan meninggalkan lokasi yang telah meragut nyawa ketua dan rakan seperjuangan mereka. Selaku anggota yang terkanan, beliau mengarah supaya Pbt Md Sharif, Pbt Osman dan Pbt Ahmad yang berada atas strecer dinaikkan ke atas rakit-rakit tersebut. Mereka diawasi oleh beberapa gerila komunis. Seterusnya, mereka semua (termasuk pemungut daun-daun) menaiki rakit-rakit dan mula menyusur sungai yang akan membawa mereka ke Kpg Pulai.[3]

Komunis beraya sakan apabila rakit-rakit itu mula menyusur sungai. Ketua komunis sudah pasti gembira kerana usahanya melatih ‘rekrut’  telah terbukti berhasil. Tetapi dia lupa ‘kejayaannya’ tidak sama sekali mematah semangat waja anggota 3 RAM. Walaupun keadaan tidak memihak mereka, Kpl Jamaluddin dan anak buahnya terus berjuang bermati-matian sehingga dapat membunuh beberapa gerila komunis. Kini penghuni kawasan tragis tersebut hanyalah Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid serta 15 mayat. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak nampak satu sama lain kerana jarak antara mereka agak jauh. Kesunyian ini membuatkan Pbt Wahab bukan hanya lapar tetapi begitu dahaga. Beliau tiada pilihan kecuali merangkak ke tebing sungai untuk minum. Kegelapan mula menyelimuti kawasan dan sepi sesepinya.  apa tah lagi malam kian menjelma. Dalam keadaan begitu, Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid hanya berserah kepada Maha Pencipta.

*****

Kpl Jamaluddin dan anak buahnya, kecuali Pbt Nordin yang diberi makanan oleh komunis, begitu lapar dan dahaga kerana sepanjang hari mereka hanya bersarapan pagi sahaja. Walaupun dahaga, mereka tidak mahu mengambil risiko minum air sungai. Pengalaman mengajar mereka kecederaan boleh membawa maut  jika  minum air. Dalam pada itu, keadaan menjadi lebih sedih apabila Pbt Ahmad menghembus nafas terakhirnya![4] Mereka selamat tiba di Kpg Pulai pada lebih kurang pukul 9:00 malam.[5] Seterusnya, Kpl Jamaluddin dan anak buahnya serta dibantu oleh tujuh anggota mengusung tiga strecer balik ke pangkalan Kompeni D berhampiran.

Keadaan di pangkalan Kompeni D menjadi gempar apabila pengawal dan mereka yang berada di pangkalan apabila melihat sekumpulan manusia menghampiri kem dengan hanya berseluar dalam atau bersarong pelekat. Bukan itu sahaja mereka mengusung 3 strecer. Apabila tiba di bilik pengawal, penghuni kem terkejut dan riuh rendah adalah Kpl Jamaluddin bersama saki baki Platun No 12 dan tujuh anggota SC. Sebaik berada dalam kem, keadaan bertukar kepada kesedihan apabila Pbt Osman dan Pbt Ahmad pula menerima panggilan Ilahi![6] Dengan itu, serangan pengganas telah meragut nyawa 18 anggota pasukan keselamatan. Wira-wira yang KIA ialah:

Platun No 12:

1.         1134    Lt M    Hassan bin Haji Yassin

2.         4082    LKpl    Othman bin Abd Samad

3.         4100    LKpl    Mohd Rasul bin Osman

4.         4015    Pbt       Mohd Yunus bin Haji Tahir

5.         4018    Pbt       Ismail bin Rasol

6.         4059    Pbt       Ahmad bin Mohd Jan

7.         4132    Pbt       Md Isa bin Ahmad

8.         4359    Pbt       Ibrahim bin Awang

9.         4403    Pbt       Daud bin Ismail

10.       4411    Pbt       Omar bin Deris

11.       4016    Pbt       Mohd Yasin bin Haji Ali

12.       4045    Pbt       Mustaffa bin Sulaiman

13.       4123    Pbt       Wahab bin Sidek

14.       4397    Pbt       Osman bin Yacob

15.       4103    Pbt       Md Sharif bin Abd Manaf

16.       4067    Pbt       Kassim bin Mohd Amin

17.       4057    Pbt       Hussin bin Haji Yusof

Polis 

 1.              SC 545 Latif bin Ariffin

 Bersambung...insyaAllah...

 


[1]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 28.

[2]              Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 296.

[3]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[4]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, hlm. 150.

[5]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 28.

[6]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, hlm. 150.

  

Sabtu, 15 Mac 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 12

 Sambungan dari  SINI (klik)

 Berseluar dalam

Semasa sesi indoktrinasi berjalan, rakit-rakit yang membawa 18 pemungut serta muatan daun-daun nipah dan payung dilihat menyusur sungai di lokasi pertempuran. Tanpa sebarang tentangan, pemungut-pemungut tersebut ditahan dan dibawa ke markas komunis. Pemeriksaan ke atas mereka hanya menghasilkan alatan memotong daun-daun tersebut seperti parang dan kapak. Mereka juga dikumpul bersama dengan lain-lain tawanan.

 Sebelum dibebaskan, ketua komunis mengarah Sjn Jamaluddin dan anak buahnya untuk mengumpul mayat-mayat. Dengan dibantu oleh tujuh anggota SC, mereka melaksana tugasan yang menyayat hati. Mana tidaknya, daripada 27 anggota yang terdiri daripada 26 anggota Platun No 12 dan seorang SC sebagai pengiring, 15 mayat yang hanya berseluar dalam bergelimpangan berhampiran sepanjang trek. Musuh bukan sahaja merampas senjata dan peralatan anggota, malah turut mengambil pakaian seragam. 

Anggota rondaan Platun No 12 yang KIA dalam pertempuran tersebut ialah: (1)  1134 Lt M Hassan bin Yassin; (2)  4087 L/Kpl Othman bin Abu Samad; (3)  4100 L/Kpl Mohd Rasul bin Othman; (4)  4045 Pbt Mustaffa bin Sulaiman; (5) 4018 Pbt Ismail bin Rasul; (6)  4016 Pbt Mohd Yassin bin Hj Ali; (7)  4057 Pbt Hussain bin Hj Yusof; (8)  4067 Pbt Kassim bin Amin; (9)  4123 Pbt Wahab bin Sidek; (10) 4132 Pbt Md Isa bin Ahmad; (11) 4359 Pbt Ibrahim bin Awang; (12) 4403 Pbt Daud bin Ismail; (13) 4411 Pbt Omar bin Deris; (14) 4015 Pbt Mohd Yunus bin Hj Taha; (15) SC 545 Latif bin Ariffin.[1]

Dengan sedihnya Kpl Jamaluddin bersama dengan anggota lain-lain mengumpul mayat-mayat tersebut dan diletakkan di satu kawasan yang agak lapang. Tumpuan seterusnya ialah membantu anggota yang cedera. Anggota yang cedera ialah: (1) 4103 Pbt Md Sharif bin Abd Manaf; (2) 4397 Osman bin Hj Yaacob 4059; (3) Pbt Ahmad bin Mohd Jan;[2] (4) 4056 Pbt Wahab bin Hamid; (5) 4358 Pbt Abdul Rashid bin Wahab. Pbt Md Sharif mengalami perutnya terburai akibat dijamah peluru musuh. Pbt  Osman pula cedera bahu dan dadanya.[3] Pbt Wahab cedera pada kedua-dua paha akibat ditembusi peluru manakala dan buku lali kirinya pula terkena serpihan grenad tangan.[4] Pbt Abdul Rashid juga cedera pada kaki.  

Mengambil kira hanya 10 anggota yang tidak cedera (tiga anggota RAM dan tujuh SC), Kpl Jamaluddin membuat keputusan untuk membawa balik Pbt Md Sharif, Pbt Osman dan Pbt Ahmad untuk mendapat  rawatan dengan seberapa segera. Ini bermakna Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid terpaksa ditinggalkan. Kpl Jamaluddin memberitahu Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid keputusannya. Beliau berjanji mereka akan diselamatkan nanti. Bagi mengurangkan kesakitan, mereka berdua dibiarkan berada di tempat kejadian. Seterusnya Kpl Jamaluddin bersama anggotanya dan SC mengimprovisasi apa jua bahan hutan untuk membuat tiga strecer.

*****

Sebelum pukul 6:00 petang, Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan kecuali pemungut daun-daun nipah dan payung terkejut mendapat arahan daripada ketua komunis. Dia mengarah mereka menanggal pakaian mereka kecuali seluar dalam dan ‘kain pelikat’ (sarong)! Sudah tentu mereka terkejut. Apabila ditanya mengapa, jawapannya mudah sahaja...untuk merekalah! Dalam keadaan yang tidak memihak kepada mereka, mahu tidak mahu mereka terpaksa akur. Ekoran itu, mereka semua melondehkan pakaian seragam mereka. Mereka tidak terbayang akan meredah hutan dengan hanya memakai kain pelikat dan seluar dalam berwarna hijau yang dibekal oleh Kuatermaster.

 Jawapan ketua komunis itu juga menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran mereka apabila melihat 15 mayat rakan seperjuangan mereka hanya berseluar dalam. Pengecualian diberi kepada mereka yang cedera, iaitu  Pbt Md Sharif, Pbt Osman, Pbt Ahmad, Pbt Wahab dan  Pbt Abdul Rashid.[5] Mungkin timbul perasaan kesian terhadap lima anggota itu, komunis tidak melondehkan mereka, wallahualam. Dengan itu, selain harta rampasan senjata, inventori peralatan komunis menyaksi pertambahan meliputi “...puluhan pasang uniform serta sejumlah besar alat-alat kelengkapan tentera seperti tali pinggang, tali batung, baju hujan, bocong air, dan bekas nasi. Alat-alat kelengkapan ini boleh menampung satu platun tentera baru.”[6]

*****

Bersambung...In syaa Allah...



[1]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, hlm. 150.

[2]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 31.

[3]              M. Daim,  Serang Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah! sebelum ini.

[4]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 53-55.

[5]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 153.

[6]              Abdullah CD.  (2023). Memoir Abdullah CD: Bahagian Kedua sebelum ini, hlm. 100.

 

Sabtu, 8 Mac 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 11

 Sambungan dari SINI (klik)

 Sesi indoktrinasi

Di atas bukit, ketua komunis dan konco-konconya beraya sakan atas kejayaan ini. Ya, bukan sahaja berjaya membunuh 14 anggota,  mereka  juga dapat menawan hidup-hidup anggota pasukan keselamatan, iaitu RAM dan SC. Di samping itu, kejayaan ini melonjak inventori senjata dan peralatan serta pakaian seragam mereka. Tipikal propaganda komunis, dalam memoirnya, Abdullah CD selaku Pengerusi PKM, mendakwa kumpulan komunis itu telah merampas:

 “...34 pucuk senjata, antaranya sepucuk meriam katak, empat pucuk mesingan ringan, 12 pucuk senapang Sten, sepucuk carbine, 14 pucuk raifal, sepucuk pistol buatan Kanada dan sepucuk pistol isyarat. Selain itu, mereka juga merampas 29 butir peluru meriam katak, 32 butir bom tangan, sembilan butir bom asap, 3,000 butir lebih peluru berbagai jenis, lapan bilah benet, 33 buah haversack…”[1]

 Itu dakwaan Abdullah CD tanpa sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa. Kecuali 33 haversack (26 anggota Platun No 12 termasuk seorang SC sebagai juru pandu dan tujuh anggota SC), dakwaan jumlah ‘29  butir peluru meriam katak’ dipertikaikan. Meriam katak/mortar dan Bren gun memainkan peranan sebagai senjata bantuan platun di bawah Detasmen Mortar dari Seksyen Bantuan yang ditumpang daripada Kompeni. Kebiasaannya, satu platun membuat tugasan operasi dalam hutan bawa enam butir bom mortar; 18 butir bom mortar untuk tiga platun. Bom-bom itu  dibawa oleh dua orang kru mortar. Jika ada keperluan membawa lebih daripada jumlah itu, tugasan membawa bom-bom itu diagih kepada lain-lain anggota dalam kumpulan Markas Platun. Ini akan membebankan anggota terbabit disebabkan tambahan yang terpaksa dipikul; berat sebutir bom mortar lebih kurang 1.02 kg (HE). Anggota Seksyen Raipal dikecualikan kerana seksyen boleh dipisahkan dari platun untuk penugasan tertentu.[2] Bersandar kepada kebiasaan enam butir dibawa manakala dua butir bom pula telah diguna semasa pertempuran, kemungkinan hanya empat butir bom mortar yang dirampas oleh komunis; bukan 29 butir.

Tetapi kemenangan itu bukannya ‘murah’. Komunis terpaksa dibayar dengan harga yang mahal juga. Sjn Jamaluddin melihat gerila komunis mengumpul beberapa mayat komrad mereka yang terbunuh ditanam dalam beberapa lubang. Sama seperti yang dialami Pbt Nordin, Sjn Jamaluddin dan lain-lain tawanan tidak diapa-apakan. Musuh memapar sikap persahabatan dalam usaha memenangi hati mereka. Ketua komunis memberitahu mereka tidak perlu takut kerana akan dibebaskan dan balik ke pangkalan selepas pukul 6:30 petang. Mereka juga boleh membawa bersama anggota yang WIA.[3] Sementara menunggu waktu itu, ketua komunis cuba mendoktrinkan mereka supaya menyokong perjuangan komunis.[4]

 Sama seperti propaganda yang disampaikan kepada penduduk Kpg Pulai pada Julai 1948 sebelum menyerang Gua Musang pada 17 Julai 1948, ketua komunis menjelaskan kekuatan mereka telah berjaya menghalau British daripada Malaya.[5] Tujuan dia supaya mereka benci British  dan meninggalkan pasukan keselamatan. Mereka juga “...dikehendaki membawa keluar risalah-risalah komunis untuk disebar kepada umum.”[6] Sebagai tawanan, para wira hanya mendiamkan diri sahaja bagai ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’; sia-sia sahaja.  Pengetahuan ketua komunis tentang semangat patriotisme tawanan dia sangat dangkal. Kerana semangat kecintaan terhadap tanah air inilah membuatkan wira-wira dengan sukarela sedia menggadai nyawa dengan menyertai pasukan keselamatan. Mereka sedia berkorban dalam usaha menentang komunis. Bagi anggota 3 RAM, semangat patriotisme selari dengan moto RAM ‘Ta'at Setia’ yang sudah terpahat dalam jiwa mereka. 

*****



[1]              Abdullah CD.  (2023). Memoir Abdullah CD: Bahagian Kedua, hlm. 100.

[2]              Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 3 Mac 2025.

[3]             Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 296.

[4]             Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[v]              Ibid.

[6]             Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 296. 

Bersambung...In syaa Allah...

Jumaat, 21 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 10

Sambungan dari SINI (klik)

 

 ‘SC’ datang membantu


Lokasi: RV...

Tugasan pemungut daun nipah dan daun payung yang diawasi oleh  Sjn Wan Yaacob dan 15 anggota SC hampir siap. Pada lebih kurang pukul 10:30 pagi, mereka terdengar tembak-menembak bertubi-tubi. Sjn Wan Yaacob yakin tembakan itu adalah pertempuran antara Platun 12 dengan musuh. Beliau nekad membawa anggotanya untuk membantu Lt M Hassan. Lantas, beliau mengarah anak buahnya bersiap sedia untuk bergerak dengan segera. Selain itu, beliau mengarah pemungut daun supaya kekal di lokasi sehingga mereka kembali.

Seterusnya, Sjn Wan Yaacob serta anak buahnya berkejar ke lokasi pertempuran. Mereka tiba di situ sejam kemudian. Setiba di sana, beliau mengatur taktik  untuk mengalih perhatian musuh yang sedang bertempur dengan Platun No 12. Beliau mengarah   kumpulan Bren gun yang terdiri daripada tujuh orang anggota menyeberang sungai. Kumpulan beliau yang terdiri daripada lapan anggota memberi tembakan perlindungan (covering fire) semasa kumpulan Bren gun menyeberang sungai. Masalahnya mereka tidak ketahui musuh menyedari kehadiran mereka.

Ketika kumpulan tersebut menyeberang sungai, musuh menembak bertalu-talu mereka dari arah selatan tebing sungai; hanya tiga orang SC yang berjaya menyeberang sungai. Empat lagi anggota yang tidak sempat menyeberang sungai. Lantaran itu, kesemua mereka membalas tembakan. Pertempuran berlaku lebih kurang 20 minit sebelum kumpulan tersebut kehabisan peluru.[1] Manakala kumpulan Sjn Wan Yaacob terus memberi tembakan perlindungan. Namun demikian, tembakan perlindungan daripada Sjn Wan Yaacob tidak berterusan kerana kumpulan beliau turut menjadi sasaran musuh dari belakang.

Dalam keadaan ini Sjn Wan Yaacob tidak dapat membantu kumpulan Bren gun. Justeru, beliau membuat keputusan untuk membawa kumpulannya cuba menyerang kedudukan musuh dengan bergerak ke bahagian rusuk kiri bukit. Namun demikian, pergerakan tidak begitu lancar kerana hutan tebal.[2]  Apabila tiba di lokasi yang difikir sesuai,  beliau mengarah anggotanya hanya tembak apabila melihat. Jangan tembak semberono sahaja bagi menjimat peluru. Arahan ini membawa hasil. Mereka melihat seorang musuh bersenjata Bren gun. Saat yang ditunggu-tunggu. Senjata kumpulan Sjn Wan Yaacob memuntahkan peluru terhadap musuh itu membuatkan dia tersungkur.

*****

Sementara itu, musuh yakin kumpulan Bren gun SC kehabisan peluru kerana tiada lagi tembakan ke atas mereka. Seperti yang sudah dijangka, musuh mengarah tujuh anggota SC tersebut untuk menyerah diri.[3] Anggota SC tiada pilihan. Mereka akur perintah tersebut kerana sekadar menentang secara fizikal sudah pasti membawa maut. Komunis memungut senjata mereka. Seterusnya, mereka diarah dan diiringi ke markas komunis di atas bukit.

Sjn Wan Yaacob dan lapan anggotanya di bawah lindungan-Nya. Kedudukan mereka tidak dapat dikesan oleh musuh. Pada pukul 2:30 petang, tiada lagi kedengaran tembakan baik daripada anggota Platun No 12 atau pun musuh, Sjn Wan Yaacob yakin pertempuran telah berakhir. Beliau tidak tahu untung nasib tujuh anggotanya. Mana mungkin beliau bersama lapan anggota bersamanya serta jumlah peluru yang terbatas, terus menentang musuh. “Aku mesti lapor kepada pihak atasan secepat mungkin.” Itu yang bermain dalam fikirannya. Apabila malam menjelma dan percaya musuh telah beredar, Sjn Wan Yaacob membawa anak buahnya meredah hutan balik ke pangkalan SC di Kpg Pulai. Mereka tiba pada awal pagi keesokan hari, 26 Mac 1950.[4]

Bersambung...In syaa Allah...


[4]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini. 

Sabtu, 15 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 9

Sambungan dari SINI

Biar putih tulang, jangan putih mata

 Komunis sangat marah. Mana tidaknya. Mereka berpendapat para wira akan menyerah diri setelah Ketua Platun dan beberapa anggota terkorban. Sebaliknya mereka mendapati Kpl Jamaluddin dan anggotanya terus menentang mereka. Walaupun marah, mereka memberi ‘peluang’ untuk menyerah diri. Buat kali kedua, ketua komunis menyeru kepada para wira:

“Slender Melayu. Kalau slender gua tatak tembak sama lu.”[1] Seruan ini tidak dijawab oleh Kpl Jamaluddin. Malahan tiada kedengaran sebarang tembakan daripada anggota platun. Keadaan ini membuatkan komunis menyangka kesemua anggota Platun No 12 sudah tewas. Gerila komunis melihat beberapa anggota gugur dan cedera sementara seorang menyerah diri (Pbt Nordin). Tanpa sebarang respons kepada seruan itu, mereka beranggapan saki baki  anggota sama ada terkorban atau cedera sehingga tidak mampu untuk bertindak balas. Lantaran itu, lebih kurang 12 orang musuh[i2 di lereng bukit merangkak turun untuk mengutip harta rampasan, iaitu senjata dan peluru. Musuh tersilap percaturan! Mereka berhadapan dengan perajurit yang pegang kepada pepatah Melayu: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

 Kerana Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid memerhati gelagat musuh sambil berhati-hati mengacukan senjata mereka ke arah musuh. Sebaik sahaja musuh hampir kepada wira-wira yang gugur untuk mengambil senjata dan peluru, ketiga-tiga anggota tersebut serentak melepaskan tembakan kepada musuh-musuh itu. Tembakan mereka tepat menyinggah sasaran dan musuh terus tumbang. Sebaik melihat komrad mereka tumbang, barisan musuh di seberang sungai melepaskan tembakan Brengan bertalu-talu ke atas kumpulan Kpl Jamaluddin di rumpun pokok hampir 15 minit.[3] Namun begitu, tembakan itu tidak menepati sasaran. Ketiga-tiga anggota dilindungi Maha Pencipta.

‘Kedegilan’ tiga wira 3 RAM membuatkan musuh bertambah berang. Sama seperti sebelum ini, ketua komunis dengan penuh geram menyeru supaya Kpl Jamaluddin menyerah diri: “Slendar Melayu. Kalau tidak kamu semua habis. Slendar lakas, lakas, lakas...!”[4]

Tiada jawapan daripada Kpl Jamaluddin. Lalu komunis melepas tembakan bertubi-tubi dan membaling grenad tangan ke arah Kpl Jamaluddin dan dua rakannya di rumpun buluh. Lalu berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Dalam pertempuran ini, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid tercedera akibat terkena serpihan grenad tangan.[5] L/Kpl Muhamad tercedera pada tangannya manakala Pbt Rashid pada kakinya. Kpl Jamaluddin bernasib baik. Peluru musuh hanya terkena pada ‘pouch’ dan bajunya sahaja.[6] Namun demikian, kecederaan ini tidak menoktah semangat perjuangan mereka. Mereka terus memberi tentangan sehingga kehabisan peluru. Kini mereka hanya mampu berserah kepada-Nya untuk perlindungan.

*****

Sama seperti dua rakannya, Kpl Jamaluddin kehabisan peluru Stengannya. Tetapi ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus menentang musuh durjana. Lantas beliau merangkak ke arah seorang anggota yang terkorban untuk mengambil senjatanya. Musuh pula buat kali keempat menyeru supaya wira-wira menyerah diri.[7]  Tetapi tiada sebarang jawapan. Kpl Jamaluddin mendengar suara musuh di tebing di atasnya. Lantas, beliau melontar sebutir grenad tangan ke arah suara itu; “boom.” Daripada jeritan kesakitan musuh, beliau yakin lontarannya menepati sasarannya.[8]

 Jam menunjukkan lebih kurang pukul 2:30 petang. Sudah empat jam pertempuran berlaku bagaimanapun musuh masih gagal menumpas kedegilan Kpl Jamaluddin. Keadaan ini membuatkan musuh sangat geram dengan seorang anggota RAM ini. Selagi kumpulan ‘rumpun buluh’ tidak dimusnah, komunis sedar usaha untuk memungut ‘harta perang’ akan gagal. Keadaan ini membuatkan ketua pengganas seboleh-bolehnya menawan wira RAM ini. Dengan itu, tumpuan mereka sekarang ialah menembak ke arah Kpl Jamaluddin di rumpun buluh. Di samping itu, beberapa orang pengganas komunis di atas tebing dengan berhati-hati bergerak untuk mengepung kedudukan Kpl Jamaluddin.

Keadaan sungguh getir. Kpl Jamaluddin tidak menembak membuta tuli untuk menjimatkan peluru. Beliau mengarah L/Kpl Muhamad supaya memerhati sebarang pergerakan musuh di tebing sungai. Namun demikian, semak samun di rumpun buluh penempatan mereka membatas penglihatan mereka. Tiba-tiba seorang gerila melompat dari tebing ke atas L/Kpl Muhamad. Kecederaan yang dialaminya membuatkan beliau tidak mampu untuk melawan. Dalam keadaan kelam kabut ini,  seorang lagi gerila pula melompat ke atas Kpl Jamaluddin. Beliau cuba melawan tetapi gerila itu mengacu senjatanya kepada Kpl Jamaluddin. Manakala beberapa gerila bergegas mengatasi ketiga-tiga wira tersebut.

Dengan tertawannya ketiga-tiga wira tersebut, iaitu  Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid, pertempuran empat jam itu berakhir. Daripada 26 anggota pasukan keselamatan, hanya tiga anggota yang tidak cedera oleh peluru musuh. Mereka ialah Kpl Jamaluddin, Pbt Nordin (tawanan pertama) dan Pbt Wan Ismail. Sementara itu, lima anggota yang cedera tetapi masih boleh berjalan ialah L/Kpl Mohammad, Pbt Salleh, Pbt Mohd Sabri dan Pbt Hussin. Pbt Ahmad, Pbt Mohd Shariff dan Pbt Osman pula mengalami cedera parah manakala Pbt Wahab dan Pbt Rashid cedera di kaki. Kelima-lima mereka ini tidak mampu untuk bergerak. Pbt Wahab yang sangat dahaga merangkak ke tebing sungai untuk minum. Bagaimanapun, seorang  komunis memberitahunya supaya tidak minum jika mahu hidup.[9]

 Seterusnya, Kpl Jamaluddin diarah untuk membawa anak buahnya menemui ketua komunis di atas bukit manakala. Ekoran itu, mereka berenam mendaki bukit ke markas taktikal musuh dengan diiringi oleh musuh.  



[2]              Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 107.

[3]             Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 289.

[4]             Ibid.

[6]             Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 109.

[7]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[9]             Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 154.

      *****

Bersambung...in sya Allah