Pengikut

Rabu, 29 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 7

 Sambungan dari  SINI...

Pada malam 19 Jun 1978, mereka semua bertolak dari Kroh dengan kenderaan  dan tiba di Ban Chan Tharat hampir tengah malam. Mereka meneruskan pergerakan ke lokasi sementara di kaki sebuah bukit. Mereka tiba di lokasi tersebut pada awal pagi 20 Jun 1978.

*****

Mej Duraisamy seterusnya mengarah Lt Rajasaikaran memasuki ‘Sektor Bravo’ untuk meluaskan kawasan operasi. Bagi tujuan itu, Lt Basri Asari ditumpangkan kepada Lt Rajasaikaran untuk membantunya jika bantuan meriam diperlukan. Tanpa berlengah, Lt Rajasaikaran dan anggotanya bersama Lt Basri Asari dan timnya bergerak ke sektor terbabit. Apabila dimaklumkan kepada Ketua Skuadron yang mereka telah tiba di lokasi itu, Lt Rajasaikaran telah diarah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai  untuk penghantaran ulang bekal yang akan digugurkan oleh Nuri. 

Setelah berehat sebentar, pada lebih kurang jam 1:00 tengah hari, Lt Rajasaikaran mengetuai RKK (Ronda Kumpulan Kecil) terdiri daripada 5 anggotanya dan seorang anggota TBPP, bergerak bagi melaksana tugasan seperti yang diarahkan. Anggota terbabit ialah: 25867 L/Kpl Sofri bin Jaafar; 29571 Tpr Mohd Effendi bin Awang Abdullah; 30717 Tpr Mohd Amin bin Hassan;32537 Tpr Minhat bin Abdullah; 930286 Tpr Jasman bin Safar; Pbt Wah Jirat Omar@Abd Kadir (TBPP).[1]

Aturan pergerakan di dahului oleh L/Kpl Sofri diikuti Lt Rajasaikaran, Pbt Wah Jirat, Tpr Mohd Effendi, Tpr Mohd Amin, Tpr Minhat dan Tpr Jasman di belakang sekali. Setelah bergerak hampir 30-40 minit, mereka menghampiri kawasan lapang. “Pelik, kawasan lapang di tengah hutan dara? Ada yang tidak kena,” terfikir Lt Rajasaikaran.

Lt Rajasaikaran memberi isyarat untuk berhenti dan   mengarah anggota berkedudukan sebaris (standard line) untuk menggeledah kawasan tersebut. Mereka menggeledah kawasan itu dengan teliti namun tidak menemui sebarang kesan kehadiran pengganas komunis. Dengan itu, mereka meneruskan rondaan dengan lebih berhati-hati.

Setelah mengenal pasti satu lokasi yang sesuai, RKK berehat sebentar sebelum bergerak semula ke pangkalan. Setelah bergerak hampir 30-40  minit, mereka tiba di lokasi kawasan lapang itu.  L/Kpl Sofri yang masih mendahului pergerakan, tiba-tiba memberi isyarat untuk berhenti dan menunjukkan sesuatu kepada Lt Rajasaikaran. Mereka mendapati terdapat dua beg galas terletak berhampiran sebatang pokok. “Dari mana pula datang beg-beg ini?” Sungguh menghairankan. Kerana penggeledahan sebelum itu tidak diketemukan sebarang beg. Salah satu barang dalam karung itu terdapat sehelai tuala ‘Good Morning’ yang masih basah. Pbt Wah Jirat dengan menggunakan senjata mengambil tuala itu.

Ini membimbangkan Lt Rajasaikaran. “Ah...ini satu tipu helah musuh. Mungkin aku berada dalam zon bunuh,” bermain dalam fikiran.

Lantas Lt Rajasaikaran memberi isyarat kepada semua anggota untuk berkedudukan pelindungan sekeliling (all round defence). Di waktu yang sama beliau telah menghubungi pangkalan terup dengan menggunakan 'walkie talkie' memaklumkan untuk bersiap sedia sebarang kemungkinan.

Naluri beliau tepat sekali. Salah seorang anggotanya,  Tpr Md Amin yang berada di sebelah hujung telah ternampak 2 orang musuh menuju ke arahnya. Dalam keadaan begitu getir, beliau tidak sedia menunggu musuh menembaknya dahulu. Siapa cepat dia selamat. “Bang...bang...bang.” Lantas  beliau lepaskan tembakan dan berlaku tembakan antara kedua-duanya. Lain anggota terus menembak ke hala tembakan musuh itu.

Kekuatan musuh bukan 2 orang itu sahaja. Itu yang dialami oleh komando. Kini mereka berhadapan dengan tembakan bertubi-tubi dari lereng bukit. Mereka telah diserang hendap! Dari kuasa tembakan musuh Lt Rajasaikaran menganggar kekuatan musuh adalah lebih besar dari kekuatan beliau yang hanya 6 orang. Beliau perlu membuat sesuatu supaya musuh tidak ketahui kekuatan RKK. Justeru, Lt Rajasaikaran telah mengarah Pbt Wah Jirat menembak pelancar grenad M79 ke arah musuh di lereng bukit.  (Peluru M79 TBPP memberi kuasa tembakan yang kuat berbentuk semburan apabila di tembak). Beliau juga mengarahkan Tpr Minhat membaling bom tangan ke arah musuh di lereng bukit.  

Pertempuran berlanjutan lebih kurang 7-10 minit. Keadaan begitu getir sekali. Tetapi bernasib baik. Sebaik sahaja menerima mesej daripada Ketua Trup mereka melalui walkie talkie, Kpl Md Isa, Hassan Leong dan beberapa anggota yang berada di pangkalan sementara  lain bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Sebaik sahaja mendengar tembak-menembak, mereka menukar langkah  kepada berkejar ke lokasi pertempuran.

Walaupun keadaan tidak memihak kepada komando, Lt Rajasaikaran dan anggotanya begitu bersemangat menentang musuh. Undur tidak sama sekali. Beliau menghubungi Lt Basri Ashari meminta bantuan tembakan meriam terhadap sasaran yang  telah di daftar.

Lantas Lt Basri Asari membuat ‘fire mission,’ panggilan tembakan. “Boom...boom...boom.” Letupan bertubi-tubi peluru HE 105 mm dimuntahkan oleh meriam Howitzer ke atas sasaran. Bukan sahaja musuh kecut perut dibedil oleh meriam,[2] komando juga dalam keadaan begitu. Mana tidaknya, terdapat peluru meriam jatuh sehampir 20 meter dari kedudukan mereka. Sungguh berbahaya kepada kedua-dua pihak. Ini membuat Lt Rajasaikaran mengarahkan supaya bedilan meriam dihentikan. Apa pun, tembakan tersebut memang amat berkesan.[3] Berkepul asap hitam di lokasi pertempuran sehingga membatas penglihatan buat seketika waktu. Dan tiada lagi tembakan musuh. Mereka sudah berundur.

Lt Rajasaikaran begitu lega apabila mendapati semua anggotanya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala semangat mereka begitu tinggi. Seterusnya beliau telah membahagikan anggotanya kepada 2 Kumpulan Penggeledahan. Semasa penggeledahan, Kumpulan Penggeledahan di lokasi pertempuran ditemukan mayat seorang pengganas komunis dalam keadaan terlentang. Tangan kanannya masih memegang raifal M16 di atas dada sementara jarinya masih terlekat di picu senjata. Pada pengamatan mereka, mangsa seorang remaja dalam usia 17-20 tahun. Laras M16 masih panas. Semua peluru pada kelopak yang terpasang pada senjata habis di tembak, manakala satu lagi kelopak berisi peluru diikat dengan pita perikat bersama kelopak di senjata.

Sementara itu, Kumpulan Penggeledahan yang melaku penggeledahan di kawasan lereng bukit telah menemui sebanyak 8 beg  yang tersusun dan satu kotak hitam berukuran 3 kaki x 2 kaki x 2 kaki. Pemeriksaan ke atas beg-beg itu menemui pakaian persendirian dan makanan dalam tin. Juga terdapat 1 laras 'shot gun' berjenama 'Special Force' dalam salah satu beg itu. Kotak hitam itu pula mengandungi  ubat-ubatan herba bertulisan Cina dan Thai serta akar kayu. Bukan itu sahaja, terdapat juga sehelai seluar dalam wanita berwarna biru.[4]

Mayat dan ‘harta rampasan’ yang mengandungi 2 laras senjata (M16 dan shot gun), 10 beg galas dan satu kotak hitam  diusung ke pangkalan. Sebuah Nuri tiba di pangkalan sementara No 8 Trup untuk mengambil mayat dan harta rampasan melalui kaedah winching untuk diturunkan di Kroh.

Pada keesokan hari, 21 Jun 1978, dua Kumpulan Penggeledahan telah di atur gerak untuk menggeledah lokasi pertempuran dan memburu musuh yang melarikan diri. Setelah menggeledah hampir 30-40 minit, mereka ternampak seorang lagi musuh yang tersandar di sebelah sebatang pokok besar.

Masih hidupkah musuh itu? Dengan berhati-hati, mereka menghampiri musuh itu. Memang sudah mati. Mayat musuh berbadan tegap dalam usia lingkungan 35-40 tahun. Terdapat kesan tembakan dan kecederaan di bahagian badan. Yang menarik perhatian komando ialah terdapat sebatang giginya bersalut emas. Tetapi tiada sebarang senjata atau peralatan mahu pun beg galas. Kemungkinan musuh itu tercedera atau terbunuh semasa pertempuran semalam atau terkena serpihan bom 105 mm HE. Jika cedera, dia ditinggalkan oleh rakan-rakannya kerana keutamaan adalah menyelamatkan diri mereka sendiri.

Sebuah Nuri ditugaskan untuk mengambil mayat itu. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada saya bersama kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan Sjn Mohsain bin Hashim yang baru tiba dari TUDM Buttterworth pagi itu untuk giliran kami membuat detasmen di Kroh. Penerbangan Nuri ini diiringi oleh dua buah pesawat helikopter gempur. Mayat dinaikkan melalui kaedah winching.

Lt Rajasaikaran Naguran, Ketua Trup No 8, ‘Zulu’ Skuadron. 

 [1]           Manuskrip daripada Mej Rajasaikaran Naguran (B) yang diterima pada 26 Jun 2022.

[2]          C.C. Chin & Karl Hack (Edit). (2004). Dialogues With Chin Peng: New Light On The Malayan Communist Party. Singapore: NUS, hlm 292. Jawapan kepada soalan apa yang Chin Peng takut terhadap musuh (1968-1989): (1) Senoi Praaq, (2) bedilan meriam & dari pesawat, (3) guguran risalah dan hebahan dari pesawat.

[3]           Temu bual dengan Allahyarham Lt Kol Basri bin Asari (B) di Kuala Lumpur pada 19 Januari 2016.

[4]      Menurut Mej Rajasaikaran terdapat seorang wanita bersama dengan kumpulan musuh yang telah menerima latihan perubatan di Negara Cina.

Rabu, 22 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 14

 Sambungan dari SINI...

Sementara pasukan VAT 69 hanya diatur gerak ke kawasan Op Bamboo untuk operasi khusus sahaja, pasukan Senoi Praaq dari Bn 19 dan Bn 20 PPH pula merupakan pasukan tetap yang diatur gerak ke  operasi ini. Kehadiran pasukan Senoi Praaq telah dapat mengurangkan kegiatan musuh daripada mempengaruhi Orang Asli.  Pasukan ini telah berjaya membunuh petualang dan merampas senjata mereka dalam beberapa kejadian.

Antara contoh kejayaan mereka melibatkan pertempuran dengan musuh berlaku pada 2 Oktober 1977. Kejadian berlaku apabila satu sub-unit daripada Bn 20 PPH telah bertembung dengan segerombolan musuh yang dianggarkan kekuatannya 10 hingga 15 orang. Musuh ketika itu sedang mendapatkan makanan di kawasan Pulau Tujuh, Ulu Perak. Pertempuran ini mengakibatkan dua orang musuh telah terbunuh.[1]

 Pada 14 Disember 1977 pula, pasukan Senoi Praaq telah berjaya membunuh tiga orang musuh. Kejayaan ini hasil daripada maklumat daripada Orang Asli di Pos Terhong yang telah membuat laporan bahawa terdapat satu kumpulan seramai 20 orang pengkhianat negara sedang berehat di satu kawasan lembah berhampiran dengan pos  tersebut. Laporan ini juga menyatakan bahawa musuh akan meninggalkan lokasi tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

 Peluang yang tidak boleh berlalu begitu sahaja. Lantas Pegawai Pemerintah Bn 19/20 PPH membuat keputusan menghantar pasukan tambahan untuk operasi memburu dan memusnahkan musuh. Pasukan tambahan ini membabitkan dua platun setiap satu dari Bn 19 dan Bn 20 PPH. Sebuah Nuri dari Butterworth telah ditugaskan untuk mengatur gerak trup ke lokasi terbabit. Kedua-dua platun tersebut diterbangkan dari Kroh ke Pos Terhong pada 13 Disember 1977. Pasukan ini diketuai oleh DSP Syed Zainal Abideen Alsagoff selaku Penolong Pemerintah Bn 19/20 PPH yang berpangkalan di Kroh. Apabila tiba di Pos Terhong, mereka telah meredah hutan sepanjang malam menuju ke lokasi PGK.[2]

 Pada awal keesokan hari, 15 Disember 1977, mereka tiba di lokasi musuh. Seterusnya, DSP Syed Zainal mengatur gerak anggotanya untuk mengepung separuh daripada kawasan musuh. Apabila menyedari musuh sudah sedia untuk bergerak, beliau telah mengarahkan anggotanya untuk menyerang sehingga tercetusnya pertempuran. “Bang...bang...bang.” Pertempuran berterusan selama 15 minit sebelum berhenti. Tipikal taktik musuh yang tahu mereka tidak dapat mampu bertahan lama, mereka bertindak melarikan diri.”

Apabila pertempuran berakhir dan semasa melakukan penggeledahan kawasan tersebut, mereka telah ditemukan tiga mayat musuh, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, lima pucuk raifal jenis  carbine, 47 butir peluru carbine, empat butir bom tangan, sepucuk pistol dan tujuh beg galas.[3]

 Pada 9 Jun 1980 pula, platun dari Bn 20 PPH yang diketuai oleh Insp Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran selaku Ketua Platun Khas bersama 20 orang anggotanya telah membuat rondaan di kawasan barat Pos Gob. Semasa rondaan, mereka berjaya mengesan pergerakan segerombolan musuh dengan kekuatan yang dianggar 30-40 orang. Walaupun kekuatan PPH hanya 21 orang, Insp Gunasegaran tidak mahu melepaskan peluang. Justeru beliau terus menjejaki musuh. Tidak lama kemudian, beliau nampak 4 orang musuh dari kumpulan pengkhianat negara sedang mendaki bukit. Dengan penglihatan itu, beliau dengan segera telah memberi arahan sewajarnya kepada anak buahnya. Pergerakan mereka penuh berhati-hati.

Dalam berhati-hati itu, seorang musuh telah menyedari kehadiran Insp Gunasegaran. Siapa cepat dia selamat. Itu keputusan Insp Gunasegaran. Tanpa bantuan anggotanya beliau telah melepas tembakan terhadap 2 orang musuh. “Bang...bang...bang.” Tersungkur kedua-dua orang musuh dek tindakan pantas Ketua Platun. Namun musuh tersungkur menyembah bumi, tembakan mereka mengena dada sasaran.  Insp Gunasegaran terus rebah. Perjuangan beliau tidak berakhir di situ. Beliau nekad untuk menentang musuh durjana. Walaupun darah membuak-buak membasahi bumi, namun beliau bangun semula dan terus menembak musuh. Akibatnya seorang lagi musuh tersungkur. Namun, beliau turut tersungkur!

Sjn 62059 Long a/l Pandak, selaku Sarjan Platun, sebaik sahaja melihat komandernya rebah dengan keberanian yang tiada tolok bandingnya tanpa menghiraukan dentuman grenad daripada pelancar grenad M79 dan peluru bersimpang-siur yang dimuntahkan oleh senjata automatik musuh, telah meluru ke Insp Gunasegaran. Seterusnya beliau memikul komandernya ke tempat yang selamat. Musuh yang melihat tindakan Platun Khas yang begitu bersemangat, tiada pilihan melainkan bergegas berundur ke arah ke sempadan Thai.

Selaku Sarjan Platun, Sjn Long mengambil alih sebagai komander Platun Khas. Beliau seterusnya memohon helikopter untuk misi casevac. Sebuah Nuri, FM1736 yang dikendalikan oleh Lt (U) Husain Shah bin Abdul Hamid bersama Lt M (U) Azizan in Ashaari dan Sjn Azhar berlepas dari No 3 Skuadron, TUDM Butteworth dipertanggungjawab melakukan misi tersebut.[4] Tapi apakan daya, ketibaan pesawat agak terlewat. Casevac bertukar kepada bodevac. Insp Gunasegaran banyak kehilangan darah. Namun, walau dalam keadaan begitu  beliau mengingatkan anak buahnya supaya meneruskan perjuangan demi untuk Batalion, Pasukan dan negara.

 Pemergian komander mereka tidak sama sekali melemahkan semangat perjuangan platun yang kini dipimpin oleh Sjn Long. Malah mereka berkobar-kobar mahu membalas dendam terhadap petualang negara yang telah membunuh komander mereka. Dengan kekuatan 20 anggota, mereka terus menjejaki musuh durjana. Pada  20 Jun 1980, lebih kurang jam 6:50 pagi, mereka berjaya mengesan kedudukan musuh. “Bang...bang...bang.” Berlaku pertempuran antara trup dengan musuh. Dalam pertempuran ini, unit PPH ini telah berjaya membunuh dan menawan masing-masing seorang musuh, senjata dan dokumen penting.[5]

Wira-wira negara. Kiri: mendiang Insp 1/8294 Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran PGB dan mendiang Insp 62059 Long a/l Pandak PGB. Sumber: SAC (B) Norizan bin Murad 
 
 
 New Sunday Times, Orang Asli no longer support Reds, Thai Minister is told, 18 March 1979. 
Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron, PU Butterworth 

Kehadiran anggota PPP Senoi Praaq berjaya mengawal pengganas komunis daripada mempengaruhi Orang Asli. Dalam taklimatnya kepada Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri dan Jen Lek Neomali, Menteri Dalam Negeri Thailand pada 17 Mac 1979, Supt Ahmad Tajuddin bin Idris, Pegawai Pemerintah Bn 19 PPH Senoi Praaq di Kroh, memberitahu bahawa tindakan kerajaan telah berjaya mempengaruhi Orang Asli di kawasan pedalaman daripada membantu pengganas komunis.[6]

 Bersambung...In syaa Allah

[1]       Mohd Anuar Md Zain. (1989). Roles Of The Senoi Praaq 50. Catatan beliau berlandaskan kepada Operational Records of Bn. 20 PPH, Bidor, rujuk 17/16/3, 15 Oktober 1988.

[2]       Temu bual dengan Supt (B) Syed Zainal Abideen Alsagoff di Ampang, Selangor pada 9 Februari 2014. Menurut beliau ketika itu Bn 19 dan Bn 20 PPH masih satu entiti.

[5]    Sejarah Operasi-Operasi PPH/PGA Briged Utara (Ops Bamboo)–(PR)85/9/1/37, tanpa tarikh. Mendiang Insp 1/8294 Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran dan Insp 62059 Long a/l Pandak telah dianugerah Panglima Gagah Berani (PGB) pada Jun 1981.

[6]        New Sunday Times, Orang Asli no longer support Reds, Thai Minister is told, 18 March 1968.

Sabtu, 18 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 13

 Sambungan dari SINI...

ASP Mohd Zabri dan anak buahnya sungguh marah terhadap kezaliman pengkhianat negara terhadap jenazah 4 anggota  EPC. Mereka nekad memburu musuh. Lantas  ASP Mohd Zabri mengarah patrol-patrol beliau untuk melakukan rondaan dan memburu kumpulan musuh tersebut yang kekuatannya dianggar lebih kurang 20 hingga 25 orang.

Salah satu patrol itu diketuai oleh Kpl Ismail bin Daud (Allahyarham), lebih dikenali sebagai ‘Ismail Rantai’ bersama lebih kurang 18 orang anggotanya. Walaupun mereka mula memburu agak beberapa hari selepas serang hendap itu berlaku, namun mereka berjaya mengesan musuh pada 3 September 1975.[i] Petualang negara terkejut kerana tanpa diduga, mereka berhadapan dengan komando PDRM bak ‘harimau kelaparan.’ “Boom...boom...boom” tembakan mortar musuh dan “bang...bang...bang.” Berlaku pertempuran antara mereka. Dalam keadaan yang terdesak dan seperti yang sudah dijangka, musuh bergegas cabut menyeberang sempadan meninggalkan harta peperangan.

Pertempuran itu telah mencederakan 2 orang anggota akibat terkena serpihan tembakan mortar. Mujurlah kecederaan tidak begitu serius dan mereka masih mampu  bergerak. Sebaik sahaja pasti musuh sudah beredar, Kpl Ismail Rantai melakukan pemeriksaan di kawasan pertempuran. Mereka telah menjumpai satu laras masing-masing 60 mm dan 40 mm mortar, satu pelancar 4 mm, 60 kg ikan salai, 5 kg beras, 4 bungkus glukosa, 15 tin kecil Milo, 2 tin besar Quaker Oats dan ubat-ubatan serta beberapa dokumen. Selain itu, mereka juga menjumpai senapang patah dan bekalan yang dirampas semasa serang hendap terhadap bot pada 28 Ogos 1975.[ii]

Sebaik sahaja mengetahui pertempuran itu, ASP Mohd Zabri bersama anggotanya pula bergegas ke lokasi pertempuran. Tetapi sudah terlewat kerana pengkhianat negara sudah berada di kawasan selamat mereka – selatan Thai. ASP Mohd Zabri tiada pilihan dan terpaksa menghentikan pemburuan. Pada 4 Ogos 1975, beliau telah mengarah semua patrol bergerak ke Fort Tapong, termasuk 2 orang anggota yang cedera. Malang tidak berbau. Pada kira-kira jam 11:00 pagi, ketika berada di tebing Sungai Kenerong, ASP Mohd Zabri telah terpijak jerangkap samar. “Boom.” Beliau mengalami cedera parah.[iii]

Markas Taktikal di Fort Tapong menghantar mesej untuk mendapatkan helikopter untuk misi casevac yang kini melibatkan tiga orang anggota. Pangkalan skuadron helikopter yang paling hampir ialah skuadron helikopter Alouette III di No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Justeru, tugasan casevac ini dipertanggungjawabkan kepada skuadron tersebut.

Tanpa berlengah, pesawat berlepas menuju ke lokasi. Namun mereka berhadapan dengan masalah. Mangsa-mangsa terpaksa dinaikkan melalui kaedah ‘winching’ kerana ketiadaan tempat untuk mendarat. Itu bukannya masalah. Masalahnya ialah ketebalan kanopi hutan dengan ketinggian pokok melebihi 150 kaki.[iv] Panjang kabel hoist pesawat hanya lebih kurang 80 kaki sahaja!  Ekoran itu, ASP Mohd Zabri telah mengarah Kpl Ismail Rantai dan anggotanya membuat strecer dan mengusungnya ke ‘Point Bravo’, iaitu tempat pendaratan (LP) yang dibina pada Jun 1974. Tugas mengusungnya dipikul oleh patrol Kpl Ismail Rantai dan patrol Kpl Hamzah Hashim.[v] 

Allah lebih menyayanginya. Semasa dalam perjalanan ke Point Bravo, ASP Mohd Zabri telah  menyahut panggilan Ilahi. Sebelum meninggal dunia, beliau sempat berpesan kepada anggotanya supaya:

“....Teruskan perjuanganmu...hancurkan petualang negara, buru 
dan hancurkan mereka...biarpun diriku tiada lagi![vi]. Sumber gambar: SAC (B) Norizan Murad

 Begitu hiba anggota mengusung jenazah ketua mereka. Mereka tiba di destinasi pada lebih kurang jam 3:00 petang. Helikopter Alouette III yang berlegar di ruang angkasa Point Bravo mendarat sebaik sahaja kumpulan VAT 69 tiba di LP itu.  Jenazah ASP Mohd Zabri dan 2 orang mangsa jerangkap samar diterbangkan ke Ulu Kinta.

Isteri ASP Mohd Zabri, Cikgu  Che Manis sedang mengajar di sekolah di Pulau Pinang apabila dimaklumkan untuk balik ke Markas VAT 69 di Ulu Kinta tetapi tidak diberitahu  mengapa. Tetapi beliau boleh mengagak dan sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. Lantas beliau bergegas balik ke Ulu Kinta. Hujan lebat menyambut ketibaan Alouette III di Kem Ulu. Namun keadaan ini tidak menghalang para penghuni kem, termasuk  Cikgu  Che Manis, berada di padang. Ketika itulah beliau dimaklumkan bahawa suami tercintanya telah gugur![vii]

Dua minggu selepas kematian ASP Mohd Zabri, anggota VAT 69 dibawa keluar dari kawasan operasi. Tugasan itu dipertanggungjawabkan kepada sebuah Nuri. Trup diturunkan di Gerik.

Bersambung...In syaa Allah



[i]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud di Hotel Holiday Villa Alor Setar, Alor Setar, pada 17 September 2015.

[ii]           A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[iii]          Temu bual dengan SM (B) Hamzah bin Hashim di Perpustakaan Awam, Ipoh pada 5 September  2014.

[iv]          A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[v]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud sebelum ini..

[vi]          Panel Penyelidik dan Penemuramah et al. (2011). Warisan Darah Perwira

[vii]       The Sun Daily. Late hero gets nation's highest award 40 years after he was killed in action. 2 Disember 2014. Allahayarham disahkan pangkat ASP dan dianugerah  Seri Pahlawan  Gagah Perkasa (SP) pada 6 Jun 2014 secara anumerta sempena hari keputeraan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Lihat http://www.thesundaily.my/news/1254692.

Ahad, 12 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 12

Sambungan dari  SINI ...    

Kecuali beberapa kubu/pos yang boleh diakses melalui sungai, yang lain memerlukan perkhidmatan udara. Tugasan mobiliti udara dipertanggungjawab kepada TUDM apabila pasukan keselamatan mengambil alih Op Bamboo. Pesawat TUDM yang memainkan peranan utama ialah DHC-4A Caribou yang mengganti Twin Pioneer yang ditamat perkhidmatannya, Alouette III dan Nuri.  Tugasan Caribou ialah menggugur bekalan rangsum dengan paracut manakala Nuri yang juga lebih dikenali sebagai ‘Bamboo Express’ sebagai platform mengangkut anggota PPH dan bekalan segar. Alouette III pula untuk Perkhidmatan Doktor Udara.

 '1, 2, 3, 4 packs away... all chutes deployed'  Kuatermaster Udara memaklumi juruterbang.  
Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

 Sjn Othman bin Sabirin (memakai bondome) bersama anggota pasukan Hantaran Udara. 
Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

Saat yang ditunggu-tunggu. Ketibaan Bamboo Express di Pos Gob untuk membawa wira-wira 
ke Lasah, Sungai Siput.  Sumber: Kpl (B) 50186 Mohd Sharif bin Othman   

Alouette III sebagai platform untuk Perkhidmatan Doktor Udara di Fort Kemar. Sumber: Coretan Xnuripilot pada  21 Februari 2012

*****

Walaupun kubu/pos tertentu boleh diakses melalui sungai, namun laluan itu berbahaya. Bot untuk penghantaran ulang bekal berhadapan dengan serang hendap. Itu yang berlaku kepada sebuah bot pada 28 Ogos 1975.

Pada pagi hari tersebut, bot dengan 4 anggota ‘Extra Police Constable (EPC)’ menyusuri Sungai Perak dari Gerik ke Fort Tapong. Kubu ini merupakan Markas Taktikal pasukan VAT 69 yang diatur gerak untuk memburu petualang negara. Anggota tersebut ialah EPC 5272 Wan Marzuki bin Wan Hassan, EPC 5247 Yeop bin Omar, EPC 5244 Mat Alias bin Mat Daud, dan EPC 5261 Mohd Sharif bin Yaacob. Misi mereka ialah menghantar bekalan dan satu dram 44 gelen petrol.  

Pada lebih kurang jam 11:30 pagi, kesepian di laluan Sungai Perak dikejutkan: “bang...bang...bang.” Bot telah diserang hendap. Keempat wira negara telah gugur. Sepertimana yang sudah dijangka, petualang negara telah merampas senapang mangsa dan bekalan dalam bot tersebut. Manakala petrol itu pula dibakar. Tembakan dan letupan dram petrol itu boleh didengar di Fort Tapong.

ASP Mohd Zabri bin Abd Hamid (Allahyarham), pemangku Ketua Kompeni yang ketika itu sedang berada di lokasi serang hendap, percaya tembakan itu berpunca bot yang membawa bekalan untuk mereka diserang hendap. Jangkaannya itu bersandarkan bot tersebut sepatutnya sudah tiba di Fort Tapong.   Lantas beliau telah mengarahkan tiga ‘patrol[1] masing-masing diketuai oleh Insp Mohd Anuar bin Md Zain, Kpl 40100 Hamzah bin Hashim dan Kpl Bakar untuk menyiasat kejadian tersebut.[2]

Masalahnya hari sudah lewat untuk mereka menyiasat. Jadi keesokan pagi, 29 Ogos 1975, ketiga-tiga patrol bergerak dengan menyusur sungai dari Fort Tapong menuju lokasi serang hendap. Tidak lama kemudian, mereka ternampak kawasan terbakar di seberang sungai.[3] Mereka tidak terus meluru ke lokasi sebaik sahaja ternampak bot sebaliknya berhati-hati kerana kemungkinan masih ada saki-baki komunis menunggu kedatangan mereka. Setelah yakin musuh tiada lagi di situ, mereka meranduk sungai. Mujurlah sungai itu cetek dan tidak lebar. Sebaik sahaja tiba di tebing, mereka terpandang 2 mayat dan kesan darah yang banyak. Apa yang mereka lihat sungguh menyayat hati. Sekadar merampas bekalan dan senjata tidak dapat memenuhi nafsu serakah kezaliman petualang negara. Pada musuh, tiada istilah hormat terhadap jenazah.

Satu mayat diikat di bawah bot yang berada dalam air dengan tangannya diikat menggunakan jala. Dan mulutnya disumbat dengan kemaluannya! Penyelamat terpaksa menyelam untuk membuka ikatan dan menaikkan ke tebing. Apabila dibuka baju mayat itu, mereka tidak menemui kesan walau sebutir peluru pun pada mayat itu. Apa yang mereka lihat ialah terdapat beberapa azimat. Mungkin komunis mengambil tindakan untuk melemaskan anggota tersebut kerana peluru gagal membunuh tuan punya badan.

Satu lagi mayat ditemui terdampar di atas bongkah batu dalam sungai berhampiran tempat kejadian.  Dan mayat itu penuh dengan kesan peluru. Menurut  Insp Mohd Anuar, beliau menganggar lebih 100 butir menembusi badan anggota tersebut yang mana 50 butir di dada.[4]    

Selepas itu  Insp Mohd Anuar dan anggotanya menggeledah kawasan itu mencari 2 lagi mayat. Namun gagal menemui mayat-mayat itu. Mereka diketemukan  tempat menyalai ikan dan ikan yang telah disalai. Kekuatan musuh pula dianggar seramai lebih kurang 20-25 gerila musuh telah berkhemah di lokasi serang hendap.[5] Menunggu mangsa. Seterusnya beliau meminta helikopter untuk membawa keluar dua mayat tersebut. Sementara menunggu ketibaan Nuri, mereka seterusnya membersihkan satu kawasan di tebing sungai berhampiran lokasi kejadian untuk pendaratan Nuri itu nanti. Insp Mohd Anuar membuat keputusan bermalam itu di situ dan akan menerus pencarian 2 lagi mayat keesokan hari.

           Selepas itu  Insp Mohd Anuar dan anggotanya menggeledah kawasan itu mencari 2 lagi mayat. Tetapi pencarian gagal menemui mayat-mayat itu. Seterusnya beliau meminta helikopter untuk membawa keluar dua mayat tersebut. Sementara menunggu ketibaan Nuri, mereka seterusnya membersihkan satu kawasan di tebing sungai berhampiran lokasi kejadian untuk pendaratan Nuri itu nanti. Insp Mohd Anuar membuat keputusan bermalam itu di situ dan akan menerus pencarian 2 lagi mayat keesokan hari.

Kebetulan pada hari sebuah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan yang dikendalikan oleh Kapt (U) Ismail bin Saud (Allahyarham) bersama kru, Lt (U) Senin bin Jantan dan Sjn Arumugam sedang melakukan tugasan operasi berhampiran kawasan itu. Mereka telah diarah untuk membuat tugasan bodevac.[6] Tanpa berlengah, mereka mendarat di lokasi dan menurunkan mangsa keganasan pengkhianat negara di Gerik. Kru terbang balik ke Kuantan apabila tugasan hari berjaya dilaksanakan.

Keesokan hari, 30 Ogos 1975, para penyelamat  meneruskan pencarian 2 mayat. Kedua-dua mayat tersebut ditemui setelah apabila penyelamat menyelam di dasar sungai berhampiran dengan lokasi kejadian. Menurut Insp Mohd Anuar, satu mayat “... ada kesan peluru jugalah. Tapi ikan makan, ikan toman kut [agak].”[7] Kedua-dua jenazah tersebut diterbangkan oleh sebuah Nuri ke Gerik pada hari itu juga. Setelah jenazah diterbangkan, ketiga-tiga patrol kembali ke Fort Tapong.

Kezaliman pengganas komunis terhadap jenazah seperti yang diperlakukan kepada mangsa yang disumbat kemaluan dalam mulut bukannya satu insiden yang terpencil. Perlakuan yang sama dialami dalam insiden pengganas komunis menyerang hendap sebuah trak Volvo 2 tan yang membawa anggota 22 RAMD di Kampung Lalang di Daerah Baling pada 29 Oktober 1981. Serang hendap tersebut telah menyaksikan 7 wira negara gugur. Memetik karya Brig Jen Dato’ Dr Mohd Radzi bin Hj Abdul Hamid:

“Anggota pertama iaitu Prebet Md Merdeka, pemandu trak Volvo 2 tan, mayatnya dibogelkan dan diikat pada wiper trak. Telinganya dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. Kemaluannya dipotong dimasukkan ke dalam mulut seperti orang sedang menghisap cerut. Kejam.”[8]

Serang hendap terhadap 4 anggota EPC telah memberi kesan hebat kepada Puan Saadiah bt Abdullah, lebih mesra dengan gelaran Makcik Saadiah, isteri EPC 5244 Mat Alias bin Mat Daud. Sebelum kejadian, rutin hariannya ialah pada setiap pagi Makcik Saadiah masak nasi dan membungkusnya untuk dihantar ke IPD Gerik di mana suaminya bertugas. Beliau menghantar makanan tengah hari untuk suami tercinta dengan mengayuh basikal sejauh 5 km dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik. Setiap hari. Walaupun suaminya telah terkorban, beliau meneruskan rutin harian menghantar makanan kepada anggota IPD yang bertugas. Perlakuan ini  sebagai tanda ingatan kepada arwah suaminya. Setelah 37 tahun, pada 2012 rutin ini terhenti selepas beliau terjatuh basikal dan kesihatan agak merosot. Pada 4 September 2021 di usia 84 tahun, Puan Saadiah bt Abdullah@ Makcik Saadiah menyahut panggilan Ilahi.[9]

Makcik Saadiah dengan basikalnya tiba di IPD Gerik dan memberi nasi bungkus
 kepada anggota bertugas. Sumber: Utusan Malaysia 

Bak kata peribahasa - orang berbudi kita berhahasa. Supt Zahriman Alias memerhati perlakuan Makcik Saadiah semenjak beliau menjawat jawatan OCPD Grik (1995-2000). Apabila diberitahu kisah  Makcik Saadiah, beliau telah menghadiahkan sebuah basikal kepada Makchik Saadiah.[10]  

  Supt Zahriman Alias menyerahkan sebuah basikal kepada Makcik Saadiah di IPD Gerik.
Sumber: Supt (B) Zahriman Alias 

Anak bongsunya, Wan Jelani Alias, menjelaskan perlakuan ibunya: "Selain menzahirkan kasih sayang dan kesetiaan kepada arwah ayah, emak secara tidak langsung tunjukkan bahawa dia sangat menghargai petugas keselamatan, jadi sebab itu bila arwah ayah sudah meninggal pun dia masih menghantar makanan kepada polis di balai berkenaan," [11] 

Apakah yang cuba disampaikan oleh petualang negara yang menzalimi jenazah-jenazah yang mereka bunuh? Adakah untuk mematahkan semangat anggota pasukan keselamatan?

Jika itulah nawaitu mereka, tanggapan mereka begitu jauh meleset. Perbuatan keji mereka sebalik membakar semangat wira-wira negara untuk terus maju memburu mereka walaupun berhadapan dengan pelbagai kemungkinan, wallahualam. 

Memang ada kebenaran ungkapan 'Komunis yang baik adalah komunis yang sudah mati'. 

Sumber: DI SINI

Bersambung...In syaa Allah.


[1]            Patrol adalah unit terkecil dalam pasukan VAT 69 dan mengandungi enam orang anggota.

[2]          Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 111). Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Transkripsi wawancara sejarah lisan DCP Dato’ (B) Mohd Anuar bin Md Zain.

[3]            Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 1). Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Transkripsi wawancara sejarah lisan SM (B) Hamzah bin Hashim.

[6]            PW U I Arumugam a/l Manickam (B), Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

[7]             Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 111).

[8]            Brig Jen Dato’ Dr Mohd Radzi bin Hj Abdul Hamid, MC. (2019). Serang Hendap Kampung Lalang. Kem Sungai Buluh: Markas 11 Briged, hlm. 181.

[9]        Sinar Harian. Mak Cik Saadiah sudah tiada. 4 September 2021. Lihat https://www.sinarharian.com.my/ article/159612/EDISI/Mak-Cik-Saadiah-sudah-tiada.

[10]        Zahriman Alias. (2021). 'F Team' Tenggelam Dalam Rahsia - Bahagian 2. Shah Alam: Rabbani Integrated.

[11]         Muhammad Zulsyamini Sufina Suri, My Metro, Tiada lagi makanan dihantar Mak Cik Saadia.  Lihat https://www.hmetro.com.my/utama/2021/09/751142/tiada-lagi-makanan-dihantar-mak-cik-saadiah. Ibid.