Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Book. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Book. Papar semua catatan

Isnin, 12 Julai 2021

TERIMA KASIH

 

Daripada seorang rakan Facebook tyang tidak menyiarkan namanya.

 

Salam Kemerdekaan Malaysia yang ke 63 Tuan Dr Nor Ibrahim. Thank you very much for this day...for you had been one of the Nation’s Heroes who had done your part for us all Malaysians to be able to breathe the air in peace. Your sacrifices and all those who were with you during those trying days and times are greatly appreciated. I can’t thank you and them enough... May Allah’s blessings and grace be with you and all of them.

 Heroes...Always...

 

Hingga detik ini ribuan darah telah tertumpah

Hingga detik ini ribuan nyawa telah melayang

Hingga detik ini ribuan belulang telah berserakan

Sebuah harga yang harus dibayar

Demi terwujudnya kemerdekaan bangsa

Demi terwujudnya satu kata

Merdeka!

 

Detik ini bangsa kita telah merdeka

Detik ini Malaysia telah merdeka

Bangsa besar telah lahir

Terwujud dengan semangat para pejuang wira-wira negara

Yang dibayar dengan keringat

titisan darah dan air mata

Serta jiwa-jiwa luhur yang terkorban

Yang tak terhitung, tak terbayar dengan wang dan timbunan emas

Demi satu kata

Merdeka!

 

Hanya TERIMA KASIH yang mampu Kapt (U) Nor Ibrahim ucapkan. 👍😁

1 September 2020

Saya juga hanya mampu merakamkan ribuan TERIMA KASIH kepada anda.

Rabu, 7 Julai 2021

IMBAUAN BUKU LOG PENERBANGAN

 

Draf Prakata buku yang sedang diusahakan untuk diterbitkan nanti, in syaa Allah. Bila? Tertakluk bila PKP berakhir, wallahualam. 


PRAKATA 


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

 

Lafaz syukur saya ucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya masih diberi kekuatan untuk menerbit buku yang merupakan koleksi coretan-coretan terpilih dalam blog saya - Coretan Xnuripilot. Saya sejujurnya sudah ketandusan modal untuk mencoret kisah penglibatan helikopter Nuri@Burung Besi dalam usaha kerajaan menentang ancaman insurgensi komunis terhadap negara Malaysia tercinta ini di suatu ketika dulu.  Di Semenanjung Malaysia ancaman tersebut berakhir apabila termeterainya Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Dengan ternoktahnya perjanjian tersebut, adalah menjadi harapan saya agar negara tidak lagi berhadapan dengan ancaman daripada pihak yang masih tegar menjadikan negara tercinta ini ‘menganut’ ideologi komunisme. Ideologi yang tidak percaya kepada sebarang agama! “Nauzubillah min zalik (Kami berlindung dengan Allah daripada perkara [perkara buruk] tersebut [daripada menimpa kami]).”

 

            Pada saya, rakyat yang cinta kepada tanah air perlu terus diperingatkan ancaman insurgensi komunis itu. Minda mereka perlu diasak supaya mengimbau apa yang berlaku semasa era itu. Kesejahteraan kehidupan yang mereka nikmati sekarang tidak datang bergolek begitu sahaja. Banyak darah mengalir bagi menentukan petualang negara gagal dalam objektif mereka.  Bagi tujuan itu, saya hanya mampu berulang kali kongsi pengalaman saya dan rakan seperjuangan yang pernah kami alami di waktu itu.  Di era persekolahan saya dahulu, istilah digunakan ialah ‘cheap matinee’, kini lebih dikenali sebagai ulang tayang. Walaupun ulang tayang, saya sedaya upaya cuba mengemas kini kisah-kisah tersebut berlandaskan kepada maklumat-maklumat mutakhir yang diterima daripada para pelaku sesuatu insiden.  Saya percaya ramai di luar sana yang ‘tertinggal’ membaca coretan-coretan dalam blog saya atau buku-buku saya terdahulu.

 

            Tumpuan utama buku ini ialah penglibatan helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri@Burung Besi dan pengiringnya, helikopter gempur Alouette III semasa Op Selamat Sawadee (24 April 1978 - 5 Julai 1980). Operasi ini menyaksikan Nuri berterusan menjadi mangsa buruan pengkhianat negara. Selain itu, turut memuatkan kisah pesawat Canadair CL-41G Tebuan, De Havilland Canada DHC-4A Caribou dan Douglas A-4 Skyhawk.

 

Ramai mereka yang terbabit dalam penceritaan sudah pergi menyahut panggilan Ilahi. Manakala kelima-lima jenis pesawat kini tidak lagi berada dalam inventori TUDM. Perkhidmatan mereka telah ditamatkan. Bagi mereka yang pernah terlibat dengan pesawat-pesawat tersebut, kini hanya tinggal dalam kenangan!

 

            Saya bersyukur kerana daripada pemerhatian saya, ramai rakyat terutama golongan muda yang dahagakan kisah-kisah membabitkan pasukan keselamatan. Perkembangan ini sangat membanggakan. Pada saya, negara boleh dianggap bernasib baik kerana ramai para veteran yang terlibat semasa konfrontasi oleh Indonesia ke atas Malaysia dan ancaman insurgensi komunis di seluruh Malaysia masih hidup. Ramai antara mereka yang sedia berkongsi pengalaman. Harapan mereka agar pengalaman yang dikongsi itu akan dapat menaikkan semangat patriotisme di kalangan para pendengar. Mungkin pihak berwajib dapat mempertimbang supaya diwujudkan platform yang sesuai untuk mereka. Tetapi diharapkan program itu secara berterusan, bukan bermusim!

 

            Saya juga mengharapkan supaya para veteran mendokumentasi pengalaman mereka dalam bentuk buku supaya dijadikan bahan rujukan untuk generasi akan datang. Malang sekali jika pengalaman itu berkubur dengan jasad apabila tiba masanya jika tidak dibukukan. Dan destinasi terakhir menghampiri setiap saat!

 

            Saya ingin merakam penghargaan kepada rakan-rakan seangkatan yang sedia kongsi pengalaman mereka dan melayan kerenah saya tanpa mengira waktu. Terima kasih kepada Brig Jen Dato’ Ibrahim bin Hashim TUDM (B), Kol Mohd Amin bin Mohd Razi TUDM (B), Kol Zainal bin Piee TUDM (B),  Lt Kol Chong K.L. TUDM (B),  Lt Kol Nik Ibrahim bin Hassan (B), Lt Kol Zaini bin Hasim (B), Lt Kol Abu Bakar bin Hashim TUDM (B), Mej Ahmad Mohaini bin Mohamed Nor (B), Mej Govindaraj A/L Kanappan (B), Kapt Dato’ Faisal bin Yusof, PW U I Mohsain bin Hashim. Dan ramai lagi yang tidak dapat disenaraikan di sini.

 

            Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan juga buat Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang PTU TUDM, Panglima Angkatan Tentera yang sudi berkongsi pengalaman walaupun sibuk dengan urusan negara. Tidak ketinggalan kepada Lt Kol Muhd Zuraiman bin Abdul Ghani dan saudara Aidy Abdullah yang menyumbang beberapa rekaan untuk kulit buku sementara S/Sjn Zainudin bin Ahmad memberi pandangan membina.

 

            Selain itu, penghargaan kepada isteri tercinta, Siti Roffini bt Mohd Yusof yang sentiasa menyokong usaha saya ini.

 

Sekali lagi saya mengharapkan agar buku ini dapat mencetuskan ramai lagi para veteran mencoret pengalaman mereka untuk tatapan rakyat yang menyintai negara ini. Demi tanah air tercinta.

 

 

 

MEJ DR. NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN PTU TUDM (B)


Bila PKP berakhir, akan dapatkan sebut harga dari pencetak, in syaa Allah. Cadang nak cetak 400 naskah sahaja. Rasanya tak diulang cetak, wallahualam.

Ahad, 31 Julai 2016

The Old But Faithful "IRON BIRD"

Syukur Alhamdulillah, akhirnya 500 naskah buku yang dicetak diterima sebentar tadi.



Sesiapa yang berminat, sila kredit RM130 senaskah ke dalam akaun CIMB 0210-0001938-20-2 NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN. Kemudian harap WhatsApp/sms/messenger di 019-4744849 dan beri nama penuh & alamat pos. Apa jua sokongan sangat saya hargai. 

TERIMA KASIH

Selasa, 21 Jun 2016

Deraf Buku

Pikio punya pikio, saya ambil keputusan untuk terus menerbitkan buku The Old But Faithful Nuri walaupun tak orang nak menaja. Terpaksa keluar duit simpanan....kesian saya!

Anyway, inilah rupa deraf buku tersebut, insyaAllah.


 
  



Harga RM130 di Semenanjung dan RM140 untuk Sabah/Sarawak, termasuk pos. Jika datang ke rumah, diskaun RM10. Buku ini tidak dijual di toko2 buku, hanya perlu menghubungi saya melalui telefon atau emel.  Mungkin siap dicetak pada penghujung Julai nanti, insyaAllah.Saya hanya mampu mencetak 500 naskah sahaja. Jadi, kira2 Limited Edition le...He...He...He.

Saya berharap para pembaca blog ini menyokong usaha saya ini dengan membelinya. Untuk itu, didahului dengan ucapan TERIMA KASIH.

Sabtu, 21 Mei 2016

"FORWARD"

Sambungan dari SINI. Sapa sangka, jika  terterbitnya buku mejar menyebok ini dengan izin Allah yang maha kuasa, "FORWARD"nya dinukil oleh PM...he...he...he.

Semalam, saya telah menulis surat kepada 1 organisasi memohon agar mereka 'menaja' dengan membeli sejumlah buku bersamaan dengan nilai kos pencetakan. Jujur dikatakan, mungkin agak 'berat' sikit, tapi kalau tak cuba, mana nak tahu. Jika dimakbulkanNya, syukur alhamdulillah. Jika tidak, tak apalah...dah tak ada rezeki. Sekurang-kurangnya, saya telah mencuba. Keluar le dari simpanan, insyaAllah. Lepas tu, jaja le ke sana, ke sini...He...He...He.

Jumaat, 13 Mei 2016

The Old But Faithful "IRON BIRD"

Lanjutan daripada coretan di SINI.

Sebenonya, apa yang saya maksudkan 'Penaja' bukannya 'menderma' sejumlah ongkos tanpa sebarang balasan. Apa yang saya harapkan ialah penaja bersetuju untuk membeli sejumlah buku yang bernilaikan kos pencetakan. Jujur saya katakan, kos menerbit buku ini boleh tahan juga. Tanpa kesedian/jaminan sesuatu entiti, kemungkinan hanya tinggal satu impian saja.

Tak apalah. Apa yang bermain dalam fikiran saya diterjemahkan dalam deraf berikut.





Pada 5/5/16 lepas, saya telah terbang ke KL untuk berbincang dengan seorang bakal penaja/pembeli. Mungkin penghujung bulan ini akan dimaklumkan sama ada organisasi beliau sedia membeli buku itu nanti. Jika responsnya positif, syukur alhamdulillah. Tindakan seterusnya ialah cuba mendapatkan orang beso tertentu untuk menukil "Forward" dan memohon ISBN daripada Perpustakaan Negara. Saya hanya merancang untuk mencetak 500 naskah sahaja...kira2 Limited Edition le...He...He...He.

Jika sebaliknya, tak apa kerana dah tak ada rezeki. Pokoknya saya telah mencuba. Dan sekurang-kurangnya saya ada satu salinan deraf sebagai kenangan.

Ini sajalah sumbangan yang termampu saya laksanakan untuk mengabadikan The Iron Bird, wallahualam.

Sabtu, 2 April 2016

HUT Nuri ke50 Tahun

2017...Genaplah 5 dekad Nuri berada dalam inventori TUDM. Nuri pertama, FM1141, diserahkan oleh Sikorsky kepada TUDM pada 31/10/67 di Stratford, Conn. USA. Jangan dinafikan Burung Besi ini banyak menyumbang bakti terhadap keselamatan dan pembangunan negara. Sungguh sedih sekali bila ada pihak yang menyamakannya sebagai 'flying coffin' hanya kerana berlakunya nahas yang melibatkan Nuri walaupun disahkan bahawa sebahagian besar nahas2 bukan dek usianya...sungguh menyedihkan!

Ekoran itu, saya pun memikiokan untuk menerbit sebuah buku dalam bentuk bergambar mengenai sejarah Nuri (pictorial history) sementelah buat masa ini ada masa lapang sementara menunggu penyelia menyemak tesis saya. Itu pun tertakluk jika bahan mencukupi dan, yang paling mustahak, ada orang yang sedia menajakannya. Saya telah pergi ke satu syarikat pencetakan bertanyakan kos untuk mencetak buku yang mengandungi lebih kurang 120 halaman dengan ciri-ciri kertas licin, kulit tebal, dan berwarna. Terkejut berok dibuatnya apabila jurujual memberi anggaran. Jujur dikatakan, jika ongkos sendiri...lupakan saja le! Kalau nak jual, harga minima RM120, termasuk pos. Buku macam ini bukannya saleable sangat. Bukan ramai individu yang sedia bayo untuk beli buku sebegini. Nak harapkan institutional buyers, saya pula tak kenal orang2 beso.

Apa yang bermain dalam minda, tajuk buku tu lebih kurang seperti berikut:

Sikorsky S61A-4 Nuri


The Old But Faithful Iron Bird

Seorang juruterbang S61 Sea King dari Royal Canadian Air Force (RCAF), telah menerbitkan buku bertajuk "Perseverance: The Canadian Sea King Story", sempena HUT ke50 Tahun helikopter tersebut berkhidmat dalam RCAF.


Saya berminat membelinya untuk kajian saya. Harganya C$20 tak termasuk postage. Saya menghantar emel kepada Sheawater Aviation Museum tetapi tiada jawapan. Cuba Amazon dan e-Bay. Depa pun tak ada buku tersebut. Tiba2, seorang WhatsApp group member memaklumkan yang beliau kini berada di Kanada. Apa lagi, saya pun bertanya le sama ada beliau boleh belikan buku itu untuk saya. Beliau telah mencari di kedai2 buku di Calgary and Vancouver, tapi tak ada. Akhir sekali, beliau telah menghubungi muzium dan dimaklumkan buku tersebut masih ada. Jika ada rezeki, dapatlah buku itu nanti, insyaAllah.

Para pembaca, jika ada gambo2 Nuri, saya berterima kasih sekiranya sudi menghantarnya kepada saya melalui emel. Gambo yang dihantar melalui telefon akan 'pecah' bila diperbesarkan. Saya tengah menggagau mencari gambo2 Nuri yang terlibat di Acheh, Kampuchea, Op Fajar di Laut Merah,  Op Selamat yang melibatkan Nuri diaturgerak ke Manila pada 16/12/87 sempena persidangan Ketua2 Negara ASEAN, Op Daulat di Lahat Datu, banjir pada 1971, dll. Saya hanya mampu menghargai sumbangan dengan merakamkan "Courtesy of ......", tu saje le. Terima kasih.

Sabtu, 25 Mei 2013

Buku Panduan

Sekarang mejar pencen ni dah jadi 'consultant' pula. He...He...He. Pada 21/5, saya terima emel bertanyakan tentang pengalaman saya menerbit buku. Ini kerana sipengirim berhasrat menerbit buku. Antara lain, beliau bertanya '..... Ingin mendapatkan bantuan dan maklumat tentang penghasilan buku. Saya rasa tuan tentu arif tentang selok belok penghasilan buku ni. Maklumlah saya tak pernah lagi tapi ingin menerbitkan buku yg hasil dari penyelidikan saya

Saya ingin mengetahui tentang kos sebenar pembuatan buku ini, format dan bagaimana utk memasarkannya. 

Jika buku mempunyai gambar warna, berapa kos nya dan jika warnya hitam putih pula bagaimana? 

Format yg diguna pakai adalah? Jika tuan berikan saya contoh format pun mmg saya harapkan dan saya ucapkan terima kasih. Gambar yg dimuatkan ke dalam halaman buku adakah ia final atau kita perlu memberikan gambar hi-res kepada syarikat penerbitan?

Dan kosnya. Jika kita ingin memasarkan dibawah DBP, adakah mempunyai syarat? Bagaimana pula dgn dana?'

Tak jadi masalah. Saya sedia kongsi pengalaman jika ia dapat membantu bakal penulis tu. Bukankah kongsi ilmu/pengalaman satu amalan sedekah? Dah senja-senja ni, apa jua cara nak dapat pahala pasti 'grab' punya. Jadi, saya pun hantaq le emel berikut....

'....Terima kasih terhadap persepsi anda yang saya seorang 'arif' tentang penerbitan buku. Jujur dikatakan, pengetahuan saya tentang penerbitan buku adalah '0' ketika menerbitkan buku pertama saya - "Coretan Xnuripilot". Saya sendiri berasa malu apabila melihat kembali buku itu. Saya cuba memperbaiki kelemahan itu dalam penerbitan buku ke2 - "Perbatasan Terhadapan Negara & Kisah-Kisah Lain". Namun demikian, kekurangan ini tidak menghalang saya kongsi bersama pengalaman dengan anda.

Persoalan pertama. Adakah anda berhasrat untuk menerbit buku itu sendiri atau buku diterbitkan oleh pihak ke3? Sekiranya ingin menerbit secara persendirian seperti saya, anda perlu melakukan semua aktiviti, seperti menyediakan draf, edit, mencari pencetak, memasarkanya, dll. Lebih kurang andalah messenger, book-keeper, manager, banker, dll.

Jika anda mahukan pihak ke3 menerbitkannya, seperti DBP, anda hanya menyediakan draf untuk pertimbangan mereka. Jika mereka setuju untuk menerbitkannya, anda tidak perlu melakukan apa2. Anda hanya perlu tandatangan kontrak dengan mereka.

Jika kaedah ini dipersetujui, anda hanya akan menerima 'royalty' sahaja diatas penjualan buku. Dan, penerbit akan mengawal 'hakcipta'. Ini bererti anda perlu memohon kepada mereka jika anda hendak mengguna bahan terbitan itu nanti.

Berbeza jika menerbitkannya sendiri. Untung rugi semuanya terpulang kepada usaha anda. Dan paling penting, anda pemilik hak cipta.

Sebagai penerbit persendirian, kos penerbitan yang perlu diambil kira termasuk saiz kertas, seperti A4, A5. Untuk buku ke2, pencetak menasihatkan saya mengguna kertas A5. Kaedah ini menjimatkan kos kerana kertas A4 dipotong 2. 

Berapa halaman buku itu? Lagi tebal buku, lagi mahal kos pencetakan. Ketebalan pula bergantung kepada 'indent', 'font' dan spacing. Dan, apa jenis kertas yang diperlukan? 'Matt-Art' atau 'glossy' lebih mahal berbanding dengan kertas biasa. 

Penggunaan & susunan gambar meningkatkan kos. Gambar berwarna lebih mahal daripada hitam putih. Jika anda perhatikan, kebanyakan buku mengumpul gambar2 berasingan daripada kandungan buku. 

Hampir semua gambar dalam kedua-dua saya adalah kiriman para pengirim melalui emel. Kaedah ini menjadikan gambar2 kabur apabila dicetak.

Masalah besar yang dihadapi oleh saya dan beberapa rakan ialah memasarkannya. Kebanyakan kedai buku, seperti MPH, Popular, tidak mengambil buku terbitan individu. Mereka mengambil buku daripada penerbit yang sudah established, seperti PTS, DBP. Untuk makluman, MPH mengambil komisyen 55% daripada harga jualan buku. Jika ada outlets yang sedia mempamer & menjual buku anda, purata komisyen yang dikenakan ~40%!

Saya memasarkan kepada para pembaca blog saya, perpustakaan negeri2 & rakan taulan. Di masa inilah media massa paling penting. Jika ada kenalan di kalangan wartawan, tv, gunakan mereka. Wartawan boleh membuat 'book review'. 

Dan, jangan lupa mendapatkan ISBN. Tanpanya, tiada agensi kerajaan yang sedia membeli buku anda. Untuk mendapatkannya, anda perlu hubungi Perpustakaan Negara Malaysia.

Oh ya, apa itu MHG dan bidang penyelidikan anda?

Sekian. Harap nukilan ini sedikit-sebanyak dapat memberi gambaran tentang apa yang perlu diharungi untuk menerbitkan buku secara persendirian, wallahualam.'

Oh ya. Sibertanya berhasrat mendokumentasikan pengalaman beliau '....membuat penyelidikan khusus tentang sejarah ketenteraan di Malaysia. Skop kajian cenderung kepada perang dunia ke dua dan zaman komunis dimana saya akan tertumpu kepada skop kajian kesan tapak peperangan dan kajian kepada bangkai pesawat yg terhempas di dalam hutan. Saya byk membantu agensi kerajaan seperti muzium tentera darat dan muzium tentera udara dalam penyelidikan mereka. Hasil penyelidikan kami dapat membantu menyelesaikan beberapa kes tertunggak seperti bangkai pesawat dakota KN630 yg terhempas di Kelantan yg mengorbankan 12 orang dimana hasil kajian kami dan lawatan ke kawasan nahas membantu mengeluarkan cebisan tulang dan pada Mac tahun lepas, kesemua mereka  yg terkorban dikebumikan di Cheras. Satu lagi adalah mangsa nahas pesawat pengebom liberator B-24 KL654 di Negeri Sembilan. Kajian saya selama 14 tahun membuahkan hasil dan dgn bantuan muzium tentera darat dan wakil waris keluarga, cebisan tulang dapat dikeluarkan dan mereka ditanam di Cheras pada tahun lepas juga.'

Sesiapa yang berminat nak menerbit buku, mungkin nukilan di atas boleh dijadikan panduan. Saya menerbitkan buku pertama tanpa sebarang pengetahuan atau bantuan  daripada mana-mana pihak. Itu sebabnya saya berasa malu apabila melihat 'end-product'.  Saya berterima kasih kepada pada pembeli yang masih sudi membeli (depa mana nak tahu keadaan buku sebelum membelinya. He...He....He). Justeru, saya tidak mahu melihat orang lain menghadapi masalah sepertimana yang pernah saya alami. Belajarlah daripada kesilapan orang agar kita dapat mengelak daripada turut membuat kesilapan yang sama.

Khamis, 5 April 2012

Mungkin Tidak Kesampaian

24 Mac 2012, jam 0930....Akhirnya saya bersua dengan wakil DBP untuk membincangkan tentang 'penambahbaikan' yang dimaksudkan di sini. Beliau telah memberi 'garis panduan' berikut sekiranya masih berminat DBP menerbitkan buku saya itu...


Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa terbabit mahukan tajuk buku ditukar kepada "CATATAN JURUTERBANG NURI". Secara spontan, saya bersetuju dengan apa yang dicadangkan. Saya bertanya juga tentang 'royalty'. Menurut beliau, jika DBP bersetuju untuk menerbit sesebuah buku, cetakan pertama adalah sejumlah 2000 naskah. Pengarang diberi 13% royalty atas harga jualan jumlah tersebut, tidak kira sama ada buku itu laku dijual atau tidak. Walaubagaimana pun, harga buku ditentukan oleh pihak DBP. Penulis juga diberi diskaun 30% untuk membeli bukunya sendiri.

Apabila balik ke rumah dan berhadapan dengan komputer untuk memulakan proses penambahbaikan yang disyorkan, terfikir oleh saya tentang tajuk. Saya sudah sinonim dengan 'Xnuripilot' dan dah jadi nama pena saya. Dan saya bangga dengan blog 'Coretan Xnuripilot' yang sudah wujud semenjak 2009 lagi!! Jawabnya, saya keberatan dengan pertukaran tajuk dan melayanglah emel berikut yang antara lain....'SEKIRANYA INI SEMUA TIDAK MEMENUHI KRITERIA DBP, SAYA DENGAN BERAT HATI TERPAKSA MENARIK DIRI TERHADAP HARAPAN AGAR DBP MENERBITKAN BUKU SAYA:( sad'

Respons beliau pada hari yang saman '...Berhubung dengan tajuk buku, iaitu "Catatan Juruterbang Nuri", ia dicadangkan oleh panel Jawatankuasa Penerbitan (JKP) Dewan Bahasa.  Tajuk tersebut bukan cadangan saya secara peribadi.   Saya akan rujuk perkara ini terlebih dahulu dengan Pengarah Penerbitan sekiranya tuan agak keberatan untuk menukarkannya.  Cadangan tajuk baru tersebut saya peroleh daripada Pengarah sendiri yang menghadiri mesyuarat JKP.'

Tak apalah...Dah setakat itu rezeki saya.  Paling utama sekali, objektif saya telah terlaksana. Sesiapa yang berminat boleh membaca di semua Perpustakaan awam negeri-negeri. Apa pun, Alhamdulillah.

Kepada bakal penulis yang berhajat menerbitkan buku melalui DBP...Saya harap garis panduan di atas dapat membantu anda.

Rabu, 28 Mac 2012

Tragedi 26 April 1976...Kisah XAlouette Pilot

Saya telah menghubungi Lt Kol Harun Bin Ayob TUDM (B), Ketua Flait No 3 Skuadron, TUDM Butterworth, agar menceritakan penglaman beliau ketika Ops Gubir. Saya memaklumkan pada beliau bahawa sekiranya diberi peluang dan ada rezeki bagi menerbit edisi ke2 'Coretan Xnuripilot', saya bercadang untuk memuatkan pengkisahan beliau, insya-Allah. Malah, saranan ini telah diajukan kepada beliau ketika kami bersua semasa menerima PJM di sini.

Pada 26 Mac 2012, saya terima emel berikut...

From: Harun Ayob
To: "nibsny@yahoo.com"
Sent: Monday, 26 March 2012 7:26 PM
Subject: Operasi Gubir 1976.

Pada 15 April 1976, Kapt (U) Harun b Ayob memandu pesawat helikopter Alouette III Gunship bernombor FM 1314 bersama Sjn Lee untuk gerakan Operasi Gubir. Tugasnya ialah 'escort' helikopter Nuri terbang memasuki kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand yang diduduki oleh pengganas komunis. Pada 16 April 1976 pra-operasi bermula diwaktu pagi dengan penerbangan tinjauan untuk cari lokasi kem pengganas oleh Lt (U) Mohamad Darby Owen dengan helikopter Alouette III sebanyak 2 missi tetapi tidak berjaya. Kapt (U) Harun b Ayob telah mengambil alih missi ke-3 penerbangan tinjauan tersebut bersama Lt (U) Mohamad Darby Owen disebelah petang. Setelah menjalani penerbangan rendah taktikal (tactical low flying) lebih kurang jam 1600 beliau berjaya jumpa kem pengganas tersebut terletak di atas satu banjaran bukit selang banjaran sempadan dan memberi koordinat yang tepat kepada Markas Operasi Gubir. Sekembalinya ke Markas Operasi Gubir, Kapt (U) Harun telah memberi taklimat terperinci kepada Pemerintah Operasi Bersama ATM. 

Pada 17 April 1976 (D-Day), Kapt (U) Harun telah bertugas memandu helikopter Alouette III Gunship bersama rakan sejawat yang lain (Lt (U) Khalid b Ali) untuk 'escort' helikopter Nuri S61A-4 mengangkut trup Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ke lokasi memintas laluan bolos (enemy escape route) pengganas komunis beberapa meter di seberang sempadan Malaysia-Thailand, di utara Betong, Thailand. Setelah 'cut off troops' mengambil tempat masing masing, barulah operasi bermula (H-hour) dengan pengeboman 'target' kem komunis oleh pesawat 'ground attack' Jet Tebuan CL 41-G diikuti oleh pesawat Jet Pejuang F 5-E. Operasi berlanjutan hingga ke senja dan beberapa hari selepas itu. Ekoran dari gerakan tersebut, Penduduk Betong dibawah pengaruh dakyah komunis telah melancarkan tunjuk perasaan besar besaran anti-Malaysia. Peristiwa ini memberi kesan terus berupa tekanan pengunduran kepada kehadiran Pasukan Polis Hutan Malaysia di Betong, Thailand.

Kem komunis tersebut berjaya ditawan dengan kemasukan trup Tentera Darat melalui gerakan 'abseiling' dari atas helikopter Nuri S61A-4 ke atas kem pengganas, tetapi bukan tanpa pengorbanan. Helikopter Nuri pertama sampai kedudukan 'hovering' telah ditembak oleh sepasukan pengganas sehingga bersarang perut pesawat menyebabkan bahan bakar Avtur bertaburan seperti hujan. Kapten pesawat tersebut telah bertindak pantas mengelak pesawatnya dari terhempas dan terbang balik ke Kem Gubir dengan pertolongan Allah Subhanahu Wataala dengan selamat.

Tidak semua Wira Wira ATM dalam Operasi Gubir 1976 ini dapat mengelak dari trajedi dan pengorbanan. Pada pagi 26 April 1976 Bilik Operasi TUDM Butterworth telah dikejutkan dengan berita sebuah pesawat helikopter Nuri telah ditembak jatuh di kawasan Operasi Gubir. Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Butterworth, Lt Kol (U) Fauzi b Husin telah mengarahkan Kapt (U) Harun membawa beliau meninjau kawasan kemalangan dengan helikopter Aloutte III bernombor FM 1306. Selepas 25 minit penerbangan, pesawat tiba di kawasan kemalangan, lebih kurang 5 minit 'flight time' dari Kem Gubir. Ketika itu masih kelihatan api sedang marak membakar pesawat Nuri tersebut. Pasukan penyelamat Nuri masih belum dapat diturunkan kerana 'crash site' berkedudukan sulit dikelilingi hutan tebal dan lurah dalam. Diantara yang terkorban ialah Kapt (U) Choo Yok Boo dan Lt (U) Wan Munsif. 

Catatan oleh:  Lt Kol Hj Harun b Ayob (B) TUDM
                     Kenanga Villa,
                     Lorong Sri Kenanga
                     Jejawi Dalam,
                     02600 Arau, Perlis.

Kini Lt Kol Harun mengusaha inapdesa "KENANGA VILLA", di Arau, Perlis. Beliau boleh dihubungi di...
Bantu le rakan mempromosikan homestay beliau

Lt Kol Harun bin Ayob...Terima kasih.

Ahad, 26 Februari 2012

Jawapan DBP

Setelah beberapa bulan menanti respons kepada surat saya diposkan di sini, akhirnya pada 25 Feb 2011, saya terima jawapan rasmi daripada DBP bertarikh 8 Feb 2011......

Sepertimana yang dicatatkan dalam posting tersebut, saya dah menduga bahawa kemungkinan besar responsnya tidak memberangsangkan.  Memang tepat sekali jangkaan saya itu. Masin betul mulut saya ni! Sebelum penerimaan surat di atas, saya telah menghubungi 1-2 pegawai berkaitan untuk mengetahui kedudukan permohonan saya. Persoalan yang dikemukakan ialah apakah yang dimaksud 'penambahbaikan'? Adakah tatabahasa perlu diperbetulkan? Kalau itu, bukankah DBP pakar bahasa dan mereka boleh menyuntingkannya. Atau jalan ceritanya?
Menurut 'contact person' yang tercatat dalam surat di atas, beliau hanya akan mengetahui maksud penambahbaikan apabila menerima minit mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan. Beliau tidak mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Jadi, tunggulah sehingga beliau kembali daripada menunai umrah pada penghujung Mac nanti. Mungkin masa itu minit mesyuarat sudah diedarkan kepada beliau, wallahualam. 

Apa pun keputusannya, saya tetap bersyukur kepada Ilahi kerana telah berjaya mencetak 2000 naskah buku itu. Kalau ada rezeki...Syukur Alhamdulillah. Kalau tiada...Apa nak dikatakan tetapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya telah mencuba. 

Para pembeli buku saya, anggaplah ia 'Limited Edition'. Bagi mereka yang tidak berkesempatan membeli tapi minat membacanya, pergilah ke Perpustakaan Awam di seluruh negara. 

Rabu, 23 November 2011

Diterbit Semula?

Sepertimana yang saya nyatakan di  sini,  saya bersyukur kerana buku 'Limited Edition' telah habis dijual. Tapi saya sedih kerana terpaksa mengucap sayonara kepada "Coretan Xnuripilot". Dan, turut berasa kecewa kerana pembacanya juga terhad. Mana tidaknya, selain pembaca yang membeli terus daripada saya, berapa ramai yang minat membacanya di Perpustakaan Awam? Saya memang mimpikan agar buku tersebut dijual di gedung-gedung buku. Tapi, itu bukan satu perkara yang mudah untuk penerbit persendirian...percayalah!

Faktor utama membantutkan keinginan ini ialah RM...Biasalah tu! Namun demikian, andaikan  ongkos bukanlah satu masalah untuk mejar pencen ini, saya tak nampak jalan bagaimana buku-buku tersebut boleh diedar di kedai-kedai buku seluruh negara. Bagi melaksanakan impian ini, saya memerlukan penerbit yang berwibawa. Jadi, cubalah nasib dengan menghubungi Dewan Bahasa & Pustaka bertanyakan sama ada mereka mempunyai dasar menerbitkan buku yang telah diterbitkan oleh penerbit persendirian seperti saya. Maka, melayanglah surat berikut kepada KP DBP.....

Ingatkan habis begitu sajalah. Ketika sedang tarik troli pada pada 22/11/2011 jam 0805, tut...tut...saya terima panggilan telefon daripada DBP memohon saya hantarkan satu naskah buku bagi mereka 'mengkaji' kesesuainya untuk diterbitkan oleh mereka. Jawabnya, lepas 9-lubang saja, bergegaslah saya ke pos laju untuk pos xpreskan buku itu. Apa keputusannya nanti...Wallahualam.

Jujur dikatakan, saya agak pesimistik akan keputusan yang saya akan dimaklumkan nanti. Sebabnya? Kan ke DBP diamanahkan oleh gomen untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Mana ada DBP menerbitkan buku yang gaya penulisan 'talking writing' dan bahasanya pula lebih daripada rojak buah! Agaknya mereka yang terbabit di DBP mengeleng kepala membaca buku saya tu...Eh...Eh...Eh.

Apa pun, saya sentiasa bersyukur kerana, sekurang-kurangnya, saya telah mencuba. Kalau ada rezeki....Alhamdulillah.

Jumaat, 11 November 2011

TAMAT

Syukur Alhamdulillah....Terjual juga 2000 naskah buku saya ini akhirnya! Sudah tentu saya banyak-banyak berterima kasih kepada para pembaca blog saya ini yang sentiasa memberi sokongan sehingga buku tersebut berjaya diterbitkan. Saya tabik spring kepada saya sendiri kerana berjaya menghadapi pelbagai halangan untuk menjadikan impian saya satu kenyataan....No joke man. Masuk bakul angkat sendiri...He...He...He!

Sesiapa yang berhasrat untuk menerbit buku secara 'solo', hubungilah 'Consultant' tak bertauliah ini  dan saya akan memberi pandangan seikhlas-ikhlasnya. Jangan risau, tiada sebarang fee dikenakan...FOC, insya-Allah. Apa yang dimaksudkan 'solo'? Sayalah penerbit, pengedit, pemasar, penyimpan kira-kira, runner/despatch, operator telefon, dan apa-apa yang anda boleh fikirkan. Kalau buku diterbitkan oleh pihak kedua, anda tidak akan menghadapi masalah ini semua. Anda hanya perlu menulis...hantar kepada penerbit. Dan mereka akan edit, cetak, lancar dan pasarkan. Lepas tu, tunggu dapat royalty.

Kalau saya seorang ternama atau bergelar, mungkin mudah sikit untuk melariskan jualan buku. Jika hanya seorang mejar pencen, bukan mudah! Memang benar ramai politikus dan pak-pak jeneral  menyarankan agar para veteran mendokumentasikan pengalaman sebelum menutup mata. Masalahnya, kebanyakan mereka 'cakap tak serupa bikin'.   Bayangkan, pelancaran buku saya oleh Menteri Pertahanan di KEMENTAH pada 2 Ogos 2011....hanya laku lebih kurang 25 buku sahaja! (Pak Menteri sendiri telah membeli 200 naskah pada 9 Mei....saya bulldozed my way ketika beliau tiba kat Hotel Sri Malaysia, Kangar. He...He....He). Semasa meraikan majlis Hari Raya Aidilfitri bersama warga 6 Briged dan penduduk di Sungai Petani, hanya senaskah saja yang laku! Itu pun dibeli oleh seorang isteri kepada seorang pegawai untuk dihadiahkan kepada suaminya.  Kos petrol dan tol pun lebih daripada harga buku...Kesian saya! Inilah alam kenyataan yang mungkin ramai yang tidak mengetahui dan mesti dihadapinya oleh penulis persendirian.

Saya bernasib baik juga kerana ulasan Dato' Zaini Hassan dalam kolum 'Cuit'nya di Utusan Malaysia, majalah 'Perajurit', surat KSN,  serta  program TV3 'Malaysia Hari Ini' banyak membantu.

Apa pun, saya bersyukur kerana Perpustakaan Awam (935 naskah), Perpustakaan ATM (70 naskah) dan unit-unit TUDM (TUDM memesan 100 naskah) telah memperolehi buku tersebut. Ada juga organisasi tertentu, seperti AIROD (mahukan 100 naskah tapi telah dihantar hanya 90 saja kerana ketiadaan stok), INTAN, Jabatan Kesenian & Kebudayaan Negeri dan BTN turut membeli (bukan semua). Saya telah fak/emel kepada pelbagai agensi kerajaan; hampir 2 inci tebal file surat-menyurat. Ada yang memberi respons - positif & negatif (banyak yang negatif) - setelah saya menghubungi Ketua Jabatan itu sendiri. Kira-kira bertuah dapat bercakap dengan bos. Kebiasaannya hanya terhenti di tahap 'gate-keeper' sahaja. Kalau harapkan mereka respons kepada surat/emel tanpa disusuli dengan panggilan telefon, jawabnya tunggu saja le sehingga kucing bertanduk!

Kemungkinan besar saya tidak akan mencetak lagi buku ini melainkan ada permintaan dalam jumlah yang besar atau pun ada penaja yang sedia membiayai kos penerbitannya. Memadailah dengan 2000 naskah tersebut. Yang paling penting ialah ia memberi satu kepuasan kepada saya...A real achievement as far as I'm concerned.  
Sekarang bolehlah difikirkan buku kedua. Semuanya tertakluk jika ada sumbangan cerita daripada para veteran yang mahu pengalaman mereka diabadikan. Sebelum mengucapkan sayonara kepada "Coretan Xnuripilot", sekali lagi...TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN ANDA SEMUA.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Seketika Di Wisma Perwira 6 RAMD

3 Oktober 2011....Saya sempat main golf 8 lubang  saja kerana ada temu janji dengan pegawai 6 RAMD.

6 RAMD - Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah


Mejar Adnan Shafie, pegawai yang kerap saya hubungi, menjemput saya ke Wisma Perwira pada jam lebih kurang 1030 untuk bertemu dengan Pegawai Memerintah (PM) dan lain-lain pegawai. Beliau telah mengatur pertemuan ini berlandaskan kepada surat yang telah saya faks kepada PM. Dalam surat tersebut, saya telah menyatakan bahawa saya telah mengabadikan kisah arwah 22297 Lans Koperal Saidi Bin Ismail, warga 6 RAMD,  yang terkorban ditembak pengganas komunis. Ketika saya mengambil beliau di LP pada waktu malam dengan kaedah 'winching', beliau hanya satu 'casevac' tapi bertukar status kepada 'bodevac' dalam pesawat.

Saya turut mendokumentasikan bagaimana Kapt (U) Chong Keng Lay yang telah ditembak oleh musuh ketika cuba mengambil seorang casevac 6 RAMD, Prebet Majeni.  Misi 'Combat Air Rescue' telah mengorbankan seorang anggota  Air Rescue Team, Lans Koperal Ismail PGB.   

Saya sangat terharu kerana PM menghargai sumbangan saya dengan menggalakkan pegawai beliau memperolehi buku tersebut. Sambutan sungguh menggalakkan.

Dari kiri: Mej Adnan (PMC), Lt Kol Robia'ai (PM)

Saya sungguh kagum dengan infrastruktur kem dan kemudahan di Wisma Perwira...Sungguh jauh bezanya dengan apa yang pernah saya alami! Dan, inilah kali pertama saya menjejak kaki ke mes pegawai Tentera Darat, khususnya unit infantri (menumpang di mes pegawai di barisan depan seperti Kroh semasa berkhidmat dulu, dah jadi kebiasaan) sejak beberapa dekad. Kali terakhir saya 'menumpang' atau singgah di mes pegawai 'proper' ialah pada awal 70'an - Mes Pegawai 1 Renjer di Kem Tambun, Ipoh; Pegawai Memerintah ialah Lt Kol 'Mike' Nasir. Kami membuat detasmen ketika terlibat dalam satu operasi - Ops Setia? - yang dilancarkan oleh 2 Briged di bawah panglimanya, Brig Jen Dato' Jaafar Onn. Kami diberi sebuah rumah kelamin berhampiran dengan mes pegawai. Melepaklah kami setiap malam di mes.

Bila dikenangkan semula kisah-kisah ini, nampak sangat saya ini seorang veteran!!

Pegawai Memerintah, Mejar Adnan & Semua Pegawai 6 RAMD....Terima kasih.