Pagi 6 November 1985
Di
Bilik Gerakan No 6 Skuadron, TUDM Kuantan; Skuadron A4 Skyhawk.
Mej
Victor Emmanuel TUDM
(Victor) memberi taklimat kepada Kapt Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (Hayon),
Kapt Abu Bakar bin Hashim TUDM (Bakar) dan Kapt Zainal Abidin Aidid bin Omar Azaddin TUDM
(Aidid). Misi mereka ialah ‘menyerang’ TUDM Butterworth oleh 4 buah
pesawat A4 Skyhawk. Bukan menyerang dalam kata erti sebenarnya. Mereka
terlibat dalam ‘ADEX – Air
Defence Exercise’ selari dengan persetujuan ‘Five Powers Defence Arrangements
(FPDA).’
‘Arrangements’?
Bukan ‘Agreements/Perjanjian’? Ya...bukannya ‘Perjanjian’
pertahanan seperti ‘Anglo-Malaya
Defence Agreement (AMDA) yang dengan jelas
menyatakan UK akan membantu Malaysia sekiranya ia diancam oleh negara
asing. (Klausa AMDA kekal apabila
Malaysia ditubuhkan). FPDA merupakan kesan
pemansuhan AMDA apabila UK membuat keputusan untuk mengundur pasukan tenteranya
dari Malaysia dan Singapura. 5 negara terbabit ialah Australia, Malaysia, New
Zealand, Singapura dan UK. Bagi Malaysia, FPDA berperanan sebagai ‘jaring
keselamatan’ (safety net).
Perlaksanaan FPDA dikendalikan oleh ‘Integrated
Air Defence System’ (IADS) yang markasnya berpangkalan
di PU Butterworth.
Dengan
termeterainya FPDA pada 1 November 1971, kelima-lima negara tersebut:
“...declared, in relation to the external defence of
Malaysia and Singapore, that in the event of any form of armed attack against
Malaysia and Singapore, their Governments would immediately consult together
for the purpose of deciding what measures should be taken jointly or separately
in relation to such attack or threat.”
Setelah taklimat berakhir, keempat-empat juruterbang beredar ke pesawat yang telah diperuntukkan kepada mereka. Hari itu, Kapt Hayon diperuntukkan pesawat M32-14: nama panggilan ‘Madah Four.’ Mereka seterusnya ‘taxi’ pesawat masing-masing ke landasan ‘36’ seperti yang diarahkan oleh Menara Kawalan. Pada jam lebih kurang 12:40 tengah hari, kedengaran “...cleared to take off runway 36” dari Menara Kawalan. Sebaik sahaja mendapat kebenaran tersebut, formasi empat buah pesawat A4 Skyhawk berlepas dengan didahului oleh Mej Victor manakala Kapt Bakar di kedudukan no 2 sementara Kapt Aidid no 3. Kapt Hayon no 4 di belakang sekali.
Seperti
yang dirancang, penerbangan ini menggunakan kaedah penerbangan rendah sehingga
ke sasaran. Kaedah ini diperlukan bagi mengelak pesawat dikesan oleh radar
‘musuh.’ Bagi tujuan itu, sebaik sahaja berlepas, mereka mengalih pesawat ke
kiri daripada 360º (arah landasan) kepada lebih kurang 280º, iaitu arah laluan
ke Butterworth. Arah ini membawa pesawat ke Sg Lembing. Pesawat-pesawat
seterusnya menyelinap di celah-celah bukit dan gunung yang ketinggiannya lebih
kurang 2700 kaki.
Disebabkan
mereka berlepas agak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan lantas mereka
memecut pesawat pada kelajuan 470 knots (870 km/jam). Dalam konfigurasi penerbangan begini, mereka
dijangka tiba di sasaran lebih kurang sejam kemudian, iaitu 1:40 minit. Kebiasaannya, penerbangan
ke Butterworth hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.
Malang
tidak berbau! Manusia yang mampu merancang, Allah menentukan. Ketika pesawat
Kapt Hayon berada lebih kurang 40 batu nautika dari landasan terbang, tiba-tiba:
“boom.” Letupan yang begitu kuat sekali. Kepala Kapt Hayon terhentak ke
belakang dengan sangat kuatnya sebelum melantun ke hadapan selepas helmet beliau
terhantuk dengan bahagian atas kerusi anjal. Sudahlah hentakan melibatkan
kepalanya, pada masa yang sama kedengaran bunyi deruan angin yang sangat kuat. Mana
tidaknya. Kanopi pesawat sudah hancur berderai. Yang tinggal hanya bingkainya sahaja. Bayangkan beliau berhadapan dengan tiupan angin sederas 870 km/jam
tanpa sebarang perlindungan! “Ya Allah...Lindungi hamba-Mu ini,” bisik Kapt Hayon. Beliau terpinga-pinga: “Kenapa kanopi aku
pecah?”
Dalam
keadaan yang begitu getir, Kapt Hayon mengimbas panel instrumen. Beliau mendapati
enjin pesawat dalam keadaan baik tetapi kelajuan telah menurun ke 350 knots
(648 km/jam). “Mungkin kerana ‘drag’
sebab pesawat tidak berkanopi.” Beliau seterusnya membelokkan pesawat ke kiri dan
mengurangkan kelajuan pesawat kepada 200 knots (370 km/jam).
Di waktu yang sama beliau membuat panggilan
‘pan call’, iaitu panggilan kecemasan tetapi keseriusannya tidaklah
mengancam nyawa juruterbang atau penumpang. “Pan...Pan...Pan. Madah Four. Canopy blown off. Sungai Lembing. Request
landing runway 18.”
Mej
Victor yang mendengar panggilan ‘pan’ mengarah Kapt Aidid untuk
mengiringi Kapt Hayon. Kini hanya flight leader
dan Kapt Bakar selaku wingman
meneruskan misi mereka.
Setelah
mengalih pesawatnya ke arah landasan terbang Kuantan, Kapt Hayon memeriksa keadaan dirinya dengan
melihat cermin pandang belakang di dalam pesawat. “Apa kena dengan mata aku?
Mengapa hanya nampak sebelah kiri sahaja? Mengapa samar-samar sahaja?” Oh...Oh...masalah.
Beliau hanya dapat melihat sebelah kiri
sahaja. Tanpa disedari sebelum ini, batasan penglihatan yang dialaminya kerana terdapat
serpihan dalam matanya yang mengakibatkan beliau menghadapi kesukaran untuk
membuka mata sepenuhnya yang menunjukkan sedikit bengkak. Keadaan ini kesan ‘visor’ topi penerbangannya berkecai.
“Ya Allah...Lindungilah hamba-Mu ini!” Itu sahaja yang termampu Kapt Hayon berdoa kepada Penciptanya.
Dalam pada mengemudi pesawat balik ke pangkalan, Kapt Hayon teringat pula yang ‘secondary ejection handle’ berada di belakang kepalanya. Dalam keadaan kecemasan sebegini kemungkinan handle itu ‘tertarik’ oleh tolakan angin selaju 370 km/jam tidak boleh ketepikan. Jika ini berlaku, beliau boleh ter’eject.’ Menyedari kemungkinan ini boleh berlaku, lantas beliau menaik taraf kecemasan. “Mayday...Mayday...Mayday. Madah Four....”
Sudah
pasti Menara Kawalan mendengar panggilan kecemasan itu dan mengarahnya. Namun
beliau tidak mendengar sebarang arahan atau komunikasi radio daripada
mana-mana, baik pun dari Kapt Aidid yang mengiringinya. Memang mustahil dek bunyi
deruan angin yang berkuatan kuat 370 km/jam. Tanpa mempedulikan apa jua arahan
dari Menara Kawalan yang tidak didengarnya, Kapt Hayon bertekad hendak mendarat
secepat mungkin. Beliau yakin Menara Kawalan meluluskan permohonannya untuk
mendarat di runway
18, iaitu arah selatan, apabila beliau dapat lihat kelipan kenderaan bomba dan
ambulans samar-samar di tepi landasan. Lagi pula, pesawat yang berhadapan
dengan kecemasan diberi keutamaan untuk mendarat. Dengan mengurangkan kelajuan 130
knots (240 km/jam), beliau terus mendaratkan pesawat dengan selamatnya pada
lebih kurang jam 1:00 tengah hari. Diikuti
oleh Kapt Aidid. Syukur alhamdulillah.
Selepas
mendarat, Kapt Hayon ‘taxi’
pesawatnya melalui ‘high speed taxiway’
dan terus mematikan enjin dan semua sistem pesawat. Setelah membuka semua
‘strap’ beliau berdiri di dalam
kokpit. Dalam samar-samar, beliau melihat 4 orang anggota bomba berdiri di
depan pesawat tetapi mereka tidak bergerak: tergamam melihat Kapt Hayon. Ini
membuatnya menjerit: “tangga”. Beliau menjerit kepada mereka untuk membawa
tangga untuk beliau turun dari pesawat. Namun mereka masih dalam keadaan kaku.
Ini membuat beliau berang. Lantas, beliau buka topi penerbangannya dan baling
helmet ke arah mereka. Baru mereka tersedar. “Baik tuan” dan mereka bergerak dan mendapatkan tangga
untuk beliau turun dari pesawat.
Kapt
Hayon seterus dibawa ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di pangkalan dengan
ambulans. Pemeriksaan tekanan darah dan luka-luka di muka dan di bahagian mata
dibersihkan. Tidak lama kemudian, Kol (U) Hussein bin Supian TUDM, Pegawai
Memerintah, tiba untuk melawat Kapt Hayon. Beliau memberitahu bahawa pesawatnya
(Kapt Hayon) telah menguji kekuatan dengan seekor burung helang. Pemeriksaan ke
atas pesawat oleh anggota kejuruteraan yang diketuai oleh Mej Mohd Tazaai bin
Lope mendapati bulu-bulu dan tulang burung dalam kokpit. Barulah Kapt Hayon mengetahui punca insiden itu ialah beliau
telah bertembung dengan seekor burung helang. Semasa kejadian, sememangnya
beliau tidak melihat burung tersebut!
Kebiasaannya,
juruterbang yang mengalami insiden ditahan di RSAT, sekurang-kurangnya sehari
untuk pemerhatian oleh pegawai
perubatan. Kecuali merasakan sakit sikit-sikit sahaja kesan luka di mukanya, Kapt Hayon rasa tahap kesihatannya seperti biasa
sahaja. Jadi, beliau merayu kepada doktor supaya membenarkannya pulang ke
rumah. Akhirnya pada jam 6:00 petang doktor mengalah dan membenarkan beliau
balik ke rumah kelamin di kompleks pangkalan. “Okeylah Hayon, anda boleh balik.
Hubungi RSAT jika mengalami apa-apa masalah.” “Okey doktor.”
Alangkah
gembiranya berada di rumah bersama isteri dan anak-anak kesayangan. Apabila menanggal
sut penerbangan untuk mandi, baru Kapt Hayon ternampak lebam
sebesar telur ayam di bahu kanannya. Lebam itu kesan strap kedudukan
paracut. Secara keseluruhannya, beliau percaya kecederaan tak serius pun. Sangkaannya
diperkukuhkan lagi apabila malam itu beliau tidur nyenyak. Itu sangkaannya.
Keesokan
pagi, 7 November, ketika sujud semasa solat subuh, tiba-tiba Kapt Hayon merasakan bilik berputar begitu laju. “Ah sudah...aku
kena vertigo.” Beliau terpaksa baring
dan tidak bergerak. Mujurlah vertigo
itu tidak lama. Dalam masa 5-10 minit keadaan pulih semula. Seterusnya beliau pergi
ke RSAT untuk melapor sakit. Doktor merujuknya kepada doktor pakar di Institut
Perubatan Penerbangan (IAM) di TUDM Kuala Lumpur. Selepas itu, beliau pergi ke
hangar untuk memeriksa pesawat M32-14. Penemuannya menjawab punca lebam di bahu
kanannya. Ini kerana cermin pandang
belakang sebelah kanan pecah berderai akibat lantunan burung helang yang telah
menghentam strap
dibahu kanan beliau. Akibatnya beliau hanya dapat lihat sebelah kiri sahaja semasa
beliau memeriksa keadaannya apabila terbang balik ke Kuantan.
Jawapan
dari aspek lebam dan keterbatasan penglihatan sudah terjawab. Masih ada satu
lagi persoalan yang perlu dijawab. Persoalan mengapa anggota Bomba ‘kaku’
semasa hendak menyelamatkannya? Justeru, beliau pergi ke Cabang Bomba untuk
mendapat penjelasan mereka. Jawapannya? Mereka tergamam kerana tidak pernah
melihat muka juruterbang penuh dengan darah!
Pada
hari yang ditetapkan, Kapt Hayon memandu keretanya
ke IAM, TUDM Kuala Lumpur. Di sana beliau diperiksa oleh Kol
Dr Chiang, pakar ‘Aviation Medicine.’
Proses pemeriksaan memerlukan belakang kepalanya ke atas bantal dalam keadaan berbaring. Oh...Oh...Terus bilik itu
berputar-putar dengan pantas. Vertigo
datang semula. Setelah beliau kembali pulih, Kol Dr
Chiang memberitahunya bahawa matanya berpusing-pusing! Kol Dr Chiang seterusnya
merujuk Kapt Hayon ke pakar ENT di Hospital Angkatan Tentera, Kinrara. Menurut
Kapt Hayon, pakar ENT mendapati “... ‘vestibular
bone’ saya telah berubah
kedudukan akibat hentakan yang kuat di kepala semasa kejadian.”
“Tak
perlu bimbang, Hayon. Masalah anda boleh dirawat.” Jelas Pakar ENT. Ada dua
pilihan: melakukan pembedahan atau pemulihan semula jadi. Pilihan mudah. Sudah
pasti pemulihan semula jadi menjadi pilihan. Jelas Kapt Hayon lagi: “Selepas empat
tahun, saya telah disahkan boleh terbang semula setelah membuat siri ujian di
HKL. Saya juga telah menjalani pembedahan di bahagian mata sebanyak lima kali
di HKL untuk membuang serpihan-serpihan dari ‘visor helmet’ yang tertanam di dalam kedua-dua
mata saya.”
Kejadian
ini telah menarik perhatian oleh Royal New Zealand Air Force (RNZAF). Mereka
telah membuat kajian ke atas topi penerbangan yang ada kesan retakan di
bahagian dahi. Hasil kajian itu menunjukkan kelajuan burung helang tersebut semasa
bertembung dengan Skyhawk ialah 160 km/jam.
Mengimbau kembali insiden 40 tahun berlalu, Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B) dengan penuh keinsafan menyatakan: “Saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi perlindungan semasa kejadian itu.”
Keseriusan masalah yang dihadapi oleh Kol Mohd Hayon di rakamkan oleh Brig Jen Dato' Abdul Rahman bin Ali, bekas juruterbang A4 Skyhawk: "A good write-up of a very serious life-threatening air incident. My brave friend decided to fly the fighter home instead of ejecting, for which he is justified to do. Syabas!"
Saya
mengambil kesempatan ini untuk merakam penghargaan kepada Kol Mohd Hayon bin
Mohd Slowhorn TUDM (B) yang sedia
menulis pengalaman beliau dan menghantar kepada saya. Untuk itu, TERIMA KASIH.
Penghargaan turut dipanjangkan kepada S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B) yang melayan kerenah Tukang Karut ini untuk melakar sesuatu insiden. TERIMA KASIH.
1. Five Power Defence
Talks Communique.
(April 16, 1971). Foreign Affairs Malaysia, Volume 4, August 1971.