Ahli panelis wacana “Liku-Liku Pertemuan Baling”.
Dari kiri: Prof Madya Dr Mohd Kasri Saidon, Mej Dr Nor Ibrahim Sulaiman TUDM
(Bersara), En Ghani Abu (fasilitator) sempena Majlis
Pelancaran Buku “Liku-Liku Pertemuan Baling” di Dewan Kenangan Tun Abdul
Razak, Baling, Kedah Darulaman pada 27 Februari 2022
Ya. Mengapa
Pertemuan bukan Rundingan? Sejujurnya sebelum ini terpahat dalam minda saya apa
jua yang mengaitkan peristiwa tersebut sebagai Rundingan. Tetapi setelah
mendalam sikit mengenai peristiwa tersebut, maka terfikir soalan asas. Mengapa
dokumen National Archives UK mengguna istilah ‘Talks’. Di samping itu, Almarhum
Tunku Abdul Rahman (Tunku)[1]
dan mendiang Chin Peng[2],
para pelaku utama juga mengguna istilah Talks dalam buku mereka. Mengapa
tidak istilah ‘Negotiations’? Bukankah secara amnya Negotiation
dalam Bahasa Melayu ialah Rundingan?
Apakah definisi Negotiation?
Memetik takrifan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah
‘Satu kaedah untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian tanpa
bertempur/berlawan, satu cara untuk mencapai keputusan bersama membabitkan
pihak-pihak terbabit yang mempunyai pandangan berbeza atau mencapai objektif satu
pihak walaupun satu pihak lagi mempunyai objektif berlainan (It is a way
of settling disputes without fighting, a way of making joint decisions when
those who are making decisions hold different views or a way of achieving your
own objectives despite other participants having different objectives).[3]
Tetapi sebelum
menyelami lebih lanjut persoalan ini, perlu dijelaskan punca yang membawa
kepada peristiwa bersejarah itu. Seperti yang umum sedia maklum, atas desakan
UMNO telah menyaksikan sebuah negeri, ‘Malayan Union’ yang ditubuhkan
pada 1 April 1946[4]
lenyap dari peta dunia. Sebaliknya kini muncul sebuah negeri bernama ‘Persekutuan
Tanah Melayu (PTM)/Federation of Malaya (FM)’ pada 1 Februari 1948[5] setelah
termaktubnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang
ditandatangani pada 21 Januari 1948.[6] Antara
mukadimah perjanjian itu ialah:
“AND WHEREAS it is the desire
of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards
eventual self-government and, as a first step to that end, His Majesty and
Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions
will permit, legislation should be introduced for the election of members
to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.”[7]
Dalam lain perkataan, dengan perjanjian tersebut British sedia memberi
‘berkerajaan sendiri (self-government)’, iaitu ‘KEMERDEKAAN.’
Bererti PTM sebagai sebuah negara berdaulat, bukannya lagi sebuah koloni
British. Tetapi persoalannya: Bila? Sebaik sahaja ‘keadaan mengizinkan.’
Syarat ini ditekankan lagi oleh Robert Anthony Eden, Setiausaha Luar Negara
semasa lawatannya ke Kuala Lumpur pada 2 Mac 1955. Beliau menyatakan UK hanya
akan menentukan hala tuju PTM ke arah pemerintahan sendiri, antara lain apabila
berakhirnya keganasan komunis dan rakyat bersedia menentang penyerapan dan
subversif komunis.[8]
Tidak semudah itu British hendak menyerah ‘lombong emas’ yang menyumbang kepada
ekonomi UK!
Kenyataan Anthony Eden di Kuala Lumpur pada 2 Mac 1955. Sumber: The Straits Times, 3 Mac 1955.
Bagaimanakah keadaan PTM ketika itu sehingga British menjadikan ia satu syarat? Jawapannya ialah PTM ketika itu berada dalam keadaan darurat (emergency) yang diisytihar oleh British pada 18 Jun 1948.[9]
Mengapa British mengisytihar darurat? Kerana Parti Komunis Malaya (PKM)
yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Ong Boon Hua, lebih dikenali
sebagai Chin Peng telah mengangkat senjata menentang British dalam usaha mereka
mengusir kolonialis untuk ‘memerdekakan’ PTM. Tindakan PKM membawa
penderitaan kepada rakyat dan banyak nyawa terkorban serta cacat anggota tubuh
badan yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat.
Ada kebenarankah hanya
PKM sahaja yang menentang British bagi mendapatkan kemerdekaan PTM? Jawapannya
sudah pasti TIDAK sama sekali. Parti Perikatan yang ditunjangi oleh
UMNO, juga mempunyai visi yang sama seperti PKM, iaitu berjuang untuk
kemerdekaan tanah air tercinta ini. Hanya misinya berbeza dan telah terbukti
keberkesanannya. Ini terbukti apabila British terpaksa tunduk terhadap tuntutan
UMNO sehingga Malayan Union terpaksa dibubarkan dan wujud bibit-bibit
kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Tanpa
pertumpahan darah!
Ya, kedua-dua
pihak – Parti Perikatan dan PKM – mempunyai visi yang sama, namun objektif
mereka jauh berbeza. Objektif Parti Perikatan ialah mewujudkan sebuah negara demokratik
di mana kerajaan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum dan mengamal sistem
Raja Berperlembagaan. Sistem yang mengiktiraf Raja sebagai Ketua Negara. Sebaliknya,
objektif PKM pula ialah untuk mewujudkan‘People’s Democratic Republic of
Malaya’ yang berpaksi
kepada ideologi
komunisme. Satu
ideologi yang tidak percaya kepada sebarang agama!
Persediaan awal ke arah pemerintahan sendiri bermula apabila British
bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum pada Mei 1955 bagi mengisi keahlian
Majlis Perundingan Persekutuan. Sudah pasti Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA
dan MIC yang dipimpin oleh Tunku akan bertanding. Dan sudah pasti PKM tidak
layak bertanding kerana parti tersebut telah diharamkan.
Antara manifesto kempen pilihan raya Parti Perikatan ialah Tunku akan
memberi pengampunan/amnesti kepada pengganas komunis yang menyerah diri dan
meletak senjata. Mereka tidak akan didakwa atas kesalahan/kezaliman yang
dilakukan sebelum program amnesti tersebut. Seperti yang dijangka, British
tidak setuju dengan saranan Tunku ini. Kerana mereka telah menawarkan program supaya pengganas komunis menyerah
diri. Perbezaannya ialah pengganas komunis yang menyerah diri akan didakwa di
mahkamah.
Gelombang kemerdekaan membuak-buak. Pilihan raya yang diadakan pada 27
Julai 1955 menyaksikan Parti Perikatan memenangi 52 kerusi daripada 53 kerusi
Dewan Undangan Persekutuan. British tiada pilihan
tetapi terpaksa melantik Tunku sebagai Ketua Menteri (KM).
Sebagai KM, Tunku bertegas untuk melaksana manifesto memberi amnesti. British terpaksa akur dengan
pendirian Tunku.
Apa pula pendirian Chin Peng? Dia menyedari dia dan PKM dipihak yang
kalah. Namun dia menyatakan mereka tidak boleh terima terma amnesti. Mereka sama
sekali tidak akan menyerah diri. Sebaliknya dia mencadangkan untuk bertemu
dengan Tunku untuk berunding.
Tunku seorang politikus yang pintar! Beliau tidak akan melepaskan peluang
yang datang bergolek ke ribanya. Peluang untuk menonjolkan dirinya kepada
rakyat PTM yang beliau sebagai seorang pemimpin yang dipilih rakyat sedia
menemui ketua pengganas komunis demi kesejahteraan rakyat dan seterusnya
mencapai kemerdekaan. Tunku akui bahawa:
“I felt then I had to wrest the
initiative from the MCP and its “Commissionaire of Violence”, and try to make
my presence felt throughout the country as the people’s elected leader. But in those
seven years of suffering there was one approach that had not been tried. “Why
not,” I thought, “meet face to face? Have it out once and for all round a table.
Then we would know just where we stand.” The direct approach, that was the
answer. The Communists were always declaring they were fighting for Malaya’s independence.
I would go and meet their leader, stress the fact in the public interest that
my presence there was a Malaya’s elected leader of the people to gain independence
from the British – in short, to give the lie to the MCP and Chin Peng’s assertion
that it was he who was trying to liberate Malaya.”[10]
British pada awalnya cuba melarang
Tunku bertemu dengan Chin Peng kerana bimbang beliau akan tunduk terhadap tuntutan
ketua komunis itu. Tanggapan mereka itu jauh tersasar apabila Tunku mempamerkan
semangat anti-komunis apabila Chen Tien, wakil Chin Peng yang mengedar
kenyataan akhbar semasa keluar dari hutan di Klian Intan, Perak pada 17
November 1955 untuk bertemu dengan wakil Tunku. Dalam sidang akhbar pada lewat
malam 17 November 1955, Tunku mengingatkan Chin Peng:
“...jika Komunis masih mengeluarkan
kenyataan kepada akhbar dan terlibat dalam taktik propaganda seperti yang mereka
lakukan kelmarin, saya tidak menemui Chin Peng atau sesiapa pun. Saya tidak
pergi untuk berunding dengan atau melayan Chin Peng sebagai sama status dengan
saya, saya pergi untuk menjelaskan amnesti. Saya akan dengar sekiranya dia
mencadangkan sesuatu kepada saya dan saya akan mempertimbangkan. Saya mewakili
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kami mempunyai sumber-sumber untuk
menentang dan mengalahkan Komunis.”[11]
Noktah.
Ketegasan Tunku terus menyerlah apabila komunis menyerang balai polis di
Kea Farm, Cameron Highlands pada jam 2:00 pagi 20 November 1955 yang telah mengorbankan
Konstabel Omar Mat Isa dan membunuh Chou Yin San, anggota ‘Home Guards’ yang juga seorang petani. Keesokan
hari, 21 November 1955, Tunku mengumumkan bahawa “...kawasan-kawasan selamat
dibatalkan mulai 1 Disember 1955.”
Sikap anti-komunis ini mendapat perhatian British. Mereka penuh yakin bahawa Tunku tidak akan tunduk terhadap tuntutan Chin Peng semasa pertemuan itu nanti. Justeru, semasa persidangan Majlis Persidangan Persekutuan untuk pembentangan belanjawan pada 30 November 1955, Sir Donald MacGillivray selaku Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan:
“Saya, dengan ini, ingin menjelaskan
bahawa kemajuan ke arah berkerajaan sendiri tidak akan tergugat walaupun Parti
Komunis Malaya cuba membuktikan kesediaan mereka untuk berdamai atau peperangan
berterusan.”[12]
Apa signifikan pengumuman MacGillivray? Memang bermakna bagi rakyat
PTM yang mahukan kemerdekaan. Kerana British sudah ketepikan syarat yang
termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Bererti kemerdekaan
akan diberi walaupun darurat masih belum berakhir!
Pengumuman itu juga membawa maksud Tunku
tidak perlu pergi ke Baling untuk bertemu dengan Chin Peng. Mana mungkin Ketua
Menteri berunding dengan ketua parti yang diharamkan. Berunding membawa
maksud beliau mengiktiraf PKM. Tidak hairan beliau enggan menyediakan
agenda pertemuan itu seperti yang dipinta oleh Chen Tien kerana pemergian
beliau ke Baling hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Tetapi beliau
tetap mahu bertemu dengan Chin Peng supaya rakyat dan dunia mengetahui objektif
sebenar PKM.
Bagaimana pula pendirian Chin Peng?
Dia tetap dengan pendiriannya. Kerajaan mesti mengiktiraf PKM, sama sekali
tidak akan menyerah diri dan meletak senjata. Noktah.
Pertemuan Baling telah mempamer
ketegasan Tunku dan Chin Peng. Tunku seorang nasionalis terserlah apabila beliau
memakai baju Melayu sepanjang pertemuan tersebut. Keutamaan beliau ialah menentukan PTM mencapai kemerdekaan demi kesejahteraan rakyat. Manakala keutamaan Chin
Peng ialah demi maruah parti. Kepentingan parti mengatasi kesejahteraan rakyat!
Pendirian Chin Peng dirumuskan oleh David Marshall, Ketua Menteri
Singapura:
“Pada mereka, pergi jahanam dengan
kebajikan rakyat – keutamaan adalah Parti Komunis. Mereka kata
mereka tidak boleh membubarkan Parti Komunis dan tetap berada di Persekutuan
Tanah Melayu. Kita nampaknya tidak bercakap dalam satu bahasa.”[13]
Melalui pembacaan saya yang terbatas mengenai peristiwa bersejarah ini, saya mendapati
Prof Dato’ Dr Ramlah Adam mengguna istilah Pertemuan dalam karyanya – Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra.[14]
Walau bagaimanapun beliau tidak menjelaskan penggunaan istilah tersebut. Sebaliknya
Rashid Maidin yang turut menyertai delegasi Chin Peng merumuskan:
“...bahawa itu bukanlah perundingan
dalam erti kata sebenarnya. Berunding bererti berbincang untuk mencapai kata
sepakat atau mencari jalan yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Sebaliknya perundingan itu lebih bersifat menekan pihak kami dengan mengenakan
bermacam-macam syarat seperti menyerah diri, tahanan dan soal siasat,
mengharamkan parti kami dan lain-lain, tidak ada sebarang tolak ansur walau
sedikit pun.”[15]
Bukan Rashid Maidin sahaja yang beranggapan begitu. Chin Peng tersilap ‘membaca’ Tunku. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa Tunku begitu tegas pendiriannya. Pada hemat Chin Peng, Tunku akan tunduk terhadap tuntutannya kerana Tunku ‘terdesak’ untuk mendapatkan kemerdekaan. Kesilapan ini dijelaskan kepada Chin Peng oleh John Davis, pegawai yang tugas untuk mengiring delegasi PKM. Beliau mengingatkan Chin Peng bahawa dari awal lagi Tunku telah memberitahu tujuan utama pertemuan tersebut hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Itu sahaja. Sepatutnya Chin Peng berterima kasih kepada Tunku kerana sedia menemuinya walaupun Chin Peng dipihak yang kalah. Dia selaku setiausaha agung parti haram sebenarnya tidak ada kuasa tawar menawar untuk berunding dengan seorang Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat. Malahan pegawai International Liaison Department yang bertanggungjawab menjaga keperluan PKM di China akui agak janggal apabila Tunku yang merupakan pihak menang, bersedia memenuhi permohonan PKM dipihak yang kalah untuk bertemu walaupun hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti.
Pertemuan Baling menyerlahkan
objektif PKM. Tidak dinafikan PKM menentang penjajah British dengan laungan untuk
memerdekakan PTM. Tetapi misi mereka terbantut apabila Tunku mendesak kepada
British memberi amnesti. Amnesti menyerlahkan kepimpinan beliau sehingga British
memansuh syarat untuk berkerajaan sendiri. Amnesti juga membawa kepada
Pertemuan Baling yang kesannya menonjolkan objektif utama PKM.
31 Ogos 1957. Finale akhir.Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bergema apabila Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan:
“MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA.”
Tanpa
penglibatan Chin Peng dan PKM !!!
Saya telah beri alasan saya mengapa saya guna istilah 'Pertemuan' bukan 'Rundingan'. Terpulanglah kepada pandangan para pembaca istilah mana digemari, wallahualam.
Saya masih tercari-cari rasional apabila kedengaran dakwaan bahawa, pertama, British memberi kemerdekaan kepada PTM kerana peranan yang dimainkan oleh PKM. Betulkah? Bersandarkan kepada kenyataan Anthony Eden pada 3 Mac 1955 yang mengukuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu seperti yang dibincangkan di atas kemerdekaan akan diberi apabila ancaman komunis berakhir. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tersebut termeterai kesan tekanan UMNO menentang Malayan Union yang bertahan hanya selama dua tahun. Tidak tersasar sekiranya tanpa ancaman komunis, kemerdekaan mungkin dicapai lebih awal lagi. Wallahualam.
Kedua ialah apabila PKM mendakwa mereka berjuang untuk kemerdekaan
sehingga ada yang menobatkan perjuangan parti itu sebagai wira kemerdekaan.
Sepertimana yang dikatakan sebelum ini, PKM menentang kolonis British sama
sekali tidak dinafikan. Tetapi kemerdekaan? Jika begitu, kenapa mereka terus
mengancam keselamatan PTM setelah merdeka pada 31 Ogos 1957 disusuli dengan
penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963? Adakah masih untuk
memerdekakan negara dari kolonis? Siapakah kolonis itu? Rakyat yang diberi
kebebasan untuk memilih parti untuk meneraju negara?
Kesimpulannya ialah objektif mereka bukannya demi kepentingan rakyat
jelata sebaliknya menjadikan negara
Malaysia tercinta ini sebagai republik berideologi komunisme. Tetapi mereka telah
gagal mencapai objektif itu dan terpaksa meletak senjata apabila termeterainya
Perjanjian Damai yang di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989.
Kesimpulannya ialah objektif mereka bukannya demi kepentingan rakyat jelata sebaliknya menjadikan negara Malaysia tercinta ini sebagai republik berideologi komunisme. Tetapi mereka telah gagal mencapai objektif itu dan membubar unit ketenteraannya dan memusnah senjata apabila termeterainya Perjanjian Damai yang di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. Apa jua istilah yang digunakan, rumusan Tun Dr Mahathir bin Mohamad, mantan Perdana Menteri dalam ‘Kata Pengantar’ buku ‘The Finest Hour: The Malaysian-MCP Peace Accord in Perspective: “...Guerrillas believe they can never be defeated. But in Malaysia they were.”
Iklan sikit. Buku - Liku-Liku Pertemuan Baling - boleh dibeli di DBPNIAGA dan Shopee. Harga: RM37. Terima kasih.
[1] Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj. (2011). Looking Back. Petaling Jaya: MPH Group
Publishing Sdn. Bhd. (Penerbit asal Pustaka Antara. [1977]).
[2] Chin Peng. (2003). Chin Peng: My Side of History.
Singapore: Media Masters.
[3] United Nations. Lihat https://www.un.org/en/model-united-nations/fundamentals-negotiation.
[4] Dr Cheah Boon Kheng. The Malayan
Union and its impact. Malaysian Bar. Lihat https://www.malaysianbar. org.my/article/news/legal-and-general-news/general-news/the-malayan-union-and-its-impact.
[5] History SG. Federation of Malaya
is Inaugurated 1st Feb 1948. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/
history/events/72e9ebe6-7a0f-4512-aa48-3da99d598525.
[6] ANM.
Formation on the Federation of Malaya.
Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. Lihat http:// hids.arkib.gov.my/en/peristiwa/-/asset_publisher/WAhqbCYR9ww2/content/persekutuan-tanah-melayu-ditubuhkan/pop_up?101_INS
TANCE_WA hqbCYR9ww2_viewMode=print.
[7] ANM. The
Federation of Malaya Agreement, 1948.
[8] The Straits Times. THIS IS
THE WAY—EDEN, 3 March
1955. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ newspapers/Digitised/Article/straitstimes19550303-1.2.2
[9] Australian Government: Department
of Veterans’ Affairs. The Malayan Emergency 1948 to 1960. Lihat https://anzacportal.dva.gov.au/wars-and-missions/malayan-emergency-1948-1960.
[10] Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
(2011). Looking Back.
[11] Nor Ibrahim Sulaiman.
(2021). Liku-Liku Pertemuan Baling. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlm. 99.
[13] Ibid., hlm. 216.
[14] Ramlah Adam.
(2004). Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka (hlm. 232).
[15] Rashid Maidin. (2005). Memoir
Rashid Maidin. Petaling Jaya: SIRD, hlm. 78.