Pengikut

Sabtu, 27 Ogos 2022

"Hello Two One Alpha...this is Alfa Charlie"

         April 1978. Kini tiba pula giliran pasukan 14 Rejimen Askar Wataniah (RAW) yang berpangkalan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang diatur gerak ke kawasan operasi Gubir.  Pegawai Memerintah ketika itu ialah arwah Lt Kol Harun Al Rasheed (Allahyarham). Kebetulan ketika itu 6 BIM (Briged Infantri Malaysia) yang mana markasnya di Sungai Petani, Kedah telah melancar operasi khas, Op Sedar Gubir, pada awal April hingga 30 Mei 1978. Tetapi bukan semua kompeni 14 RAW di atur gerak ke Gubir. Kompeni ‘Charlie’ sebaliknya diatur gerak ke kawasan Op Selamat Sawadee (24 April 1978-5 Julai 1980), Operasi Bersama antara Malaysia dan Thailand. Kawasan operasi Kompeni Charlie di sebelah sempadan Thailand yang berhampiran dengan kawasan Op Sedar Gubir.

 Kompeni ‘Bravo’ yang diketuai oleh Mejar Kamaruddin bin Mattan diterbangkan dari Kem Gubir ke pangkalan petanda ‘India’ sebagai Markas Taktikal Kompeni oleh helikopter Nuri dari No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Elemen Markas Taktikal terdiri daripada satu seksyen mortar, senjata bantuan dan lain-lain elemen bantuan. India juga memainkan peranan sebagai  Pangkalan Bantuan Tembakan (Forward Support Base [FSB]) yang menempatkan satu trup pasukan Meriam dengan tiga laras meriam 105 mm Packed Howitzer. Misi yang dipertanggungjawabkan kepada Kompeni Bravo ialah mencari dan memusnah petualang negara di kawasan operasi (area of operation [AO]) yang diperuntuk kepada mereka.

 Perlaksanaan tugasan itu seterusnya diagih kepada tiga Ketua Platun kompeni tersebut. Mereka ialah Lt M  Ishak bin Mohamad Isa, Ketua No 4 Platun; Lt M Lee Hock San, Ketua No 5 Platun; Sjn Zakaria, Ketua No 6 Platun.  Kawasan operasi dipertanggungjawabkan kepada Lt M  Ishak dan platunnya meliputi kawasan Sg Kawi yang jaraknya lebih kurang empat petak peta daripada India. Manakala Lt M Lee H.S. pula bertanggungjawab di sektor Sg Seraya. Sementara No 6 Platun sebagai platun simpanan di FSB India.

Selari dengan misi yang diberi, rutin harian Lt M Ishak ialah melaksana rondaan tempur (fighting patrol) di AO beliau. Semasa rondaan, beliau dan anggotanya diberi kenikmatan menyaksi kebesaran Maha Pencipta apabila buat pertama kali mereka diketemukan dengan punca sebatang sungai. Menurut Lt M Ishak: “Hanya bermula dengan titisan air yang menitik dari bumi, kami jejaki melalui rekahan bumi menyusul anak sungai dan mengalir ke  sungai kecil masuk ke Sungai Kawi.[1] Keterujaan beliau disokong oleh Kpl Hamid yang menyatakan: “Tak pernah saya jumpa macam ni  setelah  menjadi askar lebih dari 10 tahun.”

 Semasa membuat rondaan berikutnya, mereka telah ditemukan tiga jerat di atas sebuah permatang. Jerat-jerat tersebut dalam bentuk lubang, berukuran  4 kaki x 6 kaki dan kedalaman 10 kaki. Apabila diselidiki, terdapat seekor tapir terperangkap dalam jerat yang di tengah.

Lakaran penemuan tiga jerat dan lokasi serang hendap yang dilakukan oleh Lt M  Ishak bin Mohamad Isa, Ketua No 4 Platun, 14 RAW. Lakaran oleh Mej Ishak bin Mohamad Isa (B)

“Ini pasti dibuat oleh pengganas komunis.” Deduksi Lt M Ishak. Tidak mungkin pemburu awam memburu di kawasan yang dipasang dengan musuh halimunan....jerangkap samar!  Sememangnya diketahui pengkhianat negara menjerat binatang liar untuk dijadikan bahan makanan. Dengan wujudnya jerat-jerat tersebut, bererti musuh akan datang bagi memastikan jerat dipasang mengena mangsa.

Pada Lt M Ishak, ini satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja. Beliau telah membuat keputusan untuk melakukan serang hendap terhadap pengganas komunis di lokasi tersebut. Mereka telah menunggu dan terus menunggu selama enam hari dan 5 malam walaupun basah kuyup kerana berhadapan dengan hujan lebat sepanjang tempoh itu. Mereka terpaksa tidur dalam hujan dan berteduh hanya di pangkal pokok sahaja. Namun, kelibat musuh tidak kelihatan! Pada hari keenam, Lt M Ishak tiada pilihan dan terpaksa batalkan serang hendap itu kerana beliau telah mengalami demam. Mana tidaknya. Beliau percaya kata-kata “kepimpinan melalui teladan.” Sebagai ketua, beliau sentiasa berada di kawasan serang hendap sementara lain-lain anggotanya berada di posisi serang hendap secara bergilir-gilir. Ini memberi mereka masa untuk berehat.

 Sebelum beredar balik ke pangkalan platunnya, Lt M Ishak terfikir tapir dalam jerat. Beliau mendapati haiwan itu semakin lemah dan mereka pula tidak terdaya untuk menyelamatkannya. Proses menyelamat tapir di kedalaman 10 kaki mungkin mengundang kecelakaan terhadap mereka. Sebaliknya, sayang jika haiwan itu mati begitu sahaja. Itu satu pembaziran dan “membazir amalan syaitan.”[2]

 Lantas, Lt M Ishak telah mengarah Rjr Johnson  menembak tapir itu. Seterusnya Rjr  Nordin  diarah turun ke dalam lubang jerat untuk menyembelih haiwan  itu. Ketika mereka sedang memproses tapir, pengganas komunis telah melepaskan satu tembakan M79 dan terus beredar. Tembakan musuh tidak mencederakan anggota platun. Setelah yakin musuh sudah beredar, mereka seterus membuat penggeledahan di kawasan berhampiran tetapi tidak menemui kesan musuh.

 Malang tidak berbau. Nak jadikan cerita, dalam perjalanan balik, Lt M Ishak terlupa tentang jerat pertama. Tanpa disedari, beliau telah terjatuh dalam lubang jerat tersebut. Beliau mengalami “...rasa macam nak pitam. Lutut sangkut kat para yang terdapat dalam lubang tu dan macam nak menangis sakitnya. Tapi biasalah pegawai, mana boleh tunjuk sakit.

Apabila tiba di pangkalan, hampir sebulan mereka menikmati daging segar percuma;  “pagi tapir, tengah hari tapir, dinner tapir...boleh makan atau tak boleh makan dah tak jadi hal.....sedap.[3]

Pada 24 Mei 1978, pada lebih kurang jam 4:40 petang, Lt M Ishak telah diarah oleh Mejar Kamaruddin untuk melaku misi mencari dan memusnah musuh di kawasan Sg Seraya. Pada keesokan hari, 25 Mei 1978, jam 8:00 pagi Lt M Ishak bersama 13 anggotanya yang lengkap dengan ‘haversack dan peralatan bergerak meninggal pangkalan platunnya. Antara anggotanya ialah Kpl Hussein, L/Kpl Hamid dan L/Kpl Alias.  Laluan yang diambil memaksa mereka mendaki satu banjaran yang memisah kawasan operasi sektor Sg Kawi dan Sg Seraya. Pada lebih kurang jam 5:00 petang, mereka akhirnya selamat tiba di destinasi yang diarah. Lokasi tersebut adalah di atas permatang dan apabila ditinjau, ianya berada betul-betul di atas garisan sempadan Malaysia/Thailand.

 Walaupun letih, penemuan yang menunjukkan terdapat pergerakan musuh menaikkan semangat mereka. Setelah diteliti, Lt M Ishak percaya lokasi itu, Grid Reference (GR) QT 470746,[4] dijadikan lokasi serang hendap oleh petualang negara. Tanpa membuang masa, beliau membuat ‘battle appreciation’ sebelum mengatur kedudukan serang hendap. Beliau mengatur empat kumpulan yang diketuai oleh: (1) beliau sendiri – kumpulan membunuh (killer group)’; (2) Kpl Hussein – kumpulan ‘right cut-off’; (3) Kpl Hamid - ‘left cut-off’; (4) L/Kpl Alias - ‘rear protection.’ Di samping itu, Lt M Ishak memasang satu ‘Claymore mine’ yang diperuntukkan kepada platunnya di ‘zon membunuh.’ Semasa mereka sedang mengatur kedudukan, pada lebih kurang 5:30 petang, hujan panas turun dengan lebatnya. Mujurlah hujan berhenti pada kira-kira jam 6:00 petang.

            Kini tiba giliran wira-wira negara pula menunggu musuh masuk ke dalam perangkap mereka. Penungguan mereka membawa hasil! Pada lebih kurang jam 6:15 petang, dalam keadaan penglihatan terbatas dek malam sudah menjelma serta tumbuh-tumbuhan tebal, Kpl Hussein yang berada di kanan melihat kelibat 4-6 musuh menuju ke zon membunuh; musuh berpakaian hijau dengan bersenjata raifal AR15. Beliau membiar peninjau, iaitu musuh pertama, masuk ke zon membunuh di mana Lt M Ishak sedang menunggu dengan penuh harapan.

Lokasi serang hendap oleh Lt M Ishak bin Mohamad Isa di kawasan operasi Gubir
 pada 25 Mei 1978. Sumber: Lt Kol Harun bin Ayob TUDM (B)

 Sebaik sahaja musuh berada dalam zon itu pada jam 6:45 petang, Kpl Hussein mengaktifkan Claymore mine. ‘Boooom.’ Letupan Claymore mine yang membuatkan lebih kurang 700 galas bebola (ball-bearings)[5] berterbangan. Malang sungguh peninjau musuh itu. Lt M Ishak tanpa membuang masa apabila musuh tersebut yang berada di hadapannya, telah melepas tembakan bertubi-tubi ke arah musuh. Pertempuran berlaku selama 10-15 minit sebelum terhenti disebabkan ketibaan waktu malam. Keadaan kembali sunyi sepi.

Setelah yakin musuh telah beredar, Lt M Ishak mendapati 31786 Rjr Badaron bin Basir mengalami kecederaan di bahu sebelah kiri akibat diciumi peluru musuh. Seperti kebiasaannya, Rjr Badaron diberi pertolongan cemas (first aid) diikuti dengan suntikan  morfin untuk menahan kesakitan. Lt M Ishak seterusnya membuat keputusan tidak membuat operasi menjejaki musuh malam itu dan bermalam di situ sahaja. Pertempuran dan keputusan serta hasrat beliau mengekal ‘radio silence’ dimaklumkan kepada Ketua Kompeni di Markas Taktikal Kompeni.  Malam itu, para penghuni hutan belantara di kawasan itu dikejutkan dengan “boom...boom...boom.” Tiga laras meriam di FSB India telah memuntahkan peluru 105 mm HE (high explosive) berhampiran dengan lokasi No 4 Platun.    

Pada pagi keesokan hari, 26 Mei 1978,  Lt M Ishak menggeledah kawasan pertempuran. Usaha mereka tidak sia-sia.  Mereka ditemukan mayat seorang pengganas komunis pada jarak lebih kurang lima meter daripada kedudukan Lt M Ishak semasa serang hendap tersebut. Selain itu, mereka juga menemui dua kesan darah yang banyak; satu di atas denai-denai  menuju ke Thailand mana kala satu lagi ke arah lembah menuju ke  Sg Seraya. Hasil penemuan kesan darah tersebut, Lt M Ishak percaya lebih daripada dua anggota petualang negara telah tercedera. Platun juga telah ditemukan selaras senjata M16, satu kelopak ‘carbine,’ lima kelopak M16, 30 butir peluru 5.56 mm, 13 butir peluru carbine dan tiga pek yang berisi barang-barang kegunaan musuh.[6]

Dengan penemuan ini, Lt M Ishak merumus bahawa petualang negara sedang melakukan misi membolos sempadan memasuki negara. Sementelah berpandangan musuh telah menyeberang sempadan ke Thailand dan mereka tidak dibenar menceroboh negara Gajah Putih itu, Lt M Ishak tidak meneruskan operasi menjejak musuh.

 Seterusnya, Lt M Ishak menghubungi Ketua Kompeni meminta sebuah Nuri untuk membawa keluar Rjr Badaron bagi mendapat rawatan selanjutnya serta mayat pengganas komunis tersebut. Mejar Kamaruddin mengarah beliau untuk mencari lokasi yang sesuai untuk Nuri melakukan misi ‘casevac (casualty evacuation)’ dan ‘bodevac (body evacuation).’[7]  Tepat sekali arahan Ketua Kompeni itu. Lokasi pertempuran tersebut tidak sesuai untuk Nuri mengambil casevac dan bodevac disebabkan terlalu dekat dengan sempadan. Itu yang berlaku dua tahun berlalu. Pada 26 April 1976, sebuah Nuri telah ditembak jatuh ketika dalam fasa ‘approach’ untuk mendarat di tempat pendaratan berhampiran sempadan di kawasan operasi Gubir. Kesemua 11 anggota yang berada di dalam pesawat telah terkorban.

 Arahan itu bererti anggota No 4 Platun terpaksa mengusung Rjr Badaron dan mayat musuh. Lantas, Lt M Ishak mengagih tugasan kepada 12 anak buahnya secara bergilir-gilir. Tugasan mengusung melibatkan empat anggota untuk mengusung Rjr Badaron dan dua anggota untuk mengusung mayat musuh. Rjr Badaron diletak atas ‘hammock’ yang diimprovisasi sebagai strecer manakala mayat musuh pula diikat pada sebatang kayu. Baki tujuh orang anggota, termasuk Ketua Platun, melaku rondaan keselamatan kawasan dan merintis laluan.

 Para pengusung bukan sahaja mengusung strecer atau batang kayu, malah mereka terpaksa memikul haversack dan senjata mereka. Bukan mengusung di laluan yang mendatar tetapi berbukit-bukau. Ketika mendaki bukit, lutut menyentuh dagu! Mereka perlu sentiasa berwaspada terhadap jerangkap samar yang banyak terdapat di kawasan itu selain kehadiran musuh. Malah, ada ketika Lt M Ishak terpaksa merangkak semasa mendaki bukit.[8] Tidak dapat dibayangkan keperitan yang dihadapi oleh mereka!

 Apabila tiba di tebing Sg Seraya, Lt M Ishak telah mengenal pasti satu kawasan yang sesuai untuk Nuri membuat ‘winching’ mangsa-mangsa pertempuran. Walaupun “...kami semua dah pewai [letih],”[9] mereka berusaha untuk membersihkan kawasan itu bagi memudahkan Nuri melaksana tugasan nanti. Seterusnya beliau menghubungi Ketua Kompeni dan memberi GR (Grid Reference) lokasi tersebut. Sementara menunggu ketibaan si Talian Hayat, giliran mereka untuk berehat.

 *****

            Tugasan casevac dan bodevac itu dipertanggungjawab kepada No 3 Skuadron yang berpangkalan di TUDM Butterworth. Pada pagi hari tersebut, 26 Ogos 1978, saya bersama kru, Lt M (U) Mohd Som bin Othman  dan Sjn Mansur berlepas dengan pesawat FM 1718; nama panggilan ‘Capung 282 Juliet.’[10] Selain tugasan tersebut, kami juga ditugas untuk menghantar bekalan/rangsum kepada anggota 14 RAW yang beroperasi di beberapa LP. Selepas melakukan tugasan ulang bekal, kami berehat di Kem Gubir sementara menunggu ketibaan No 4 Platun di lokasi untuk mengambil mangsa dan mayat  terbabit.

            Pada lebih kurang jam 5:15 petang, kami diberitahu casevac dan bodevac sudah sedia untuk diambil. Berbekal dengan GR, nama panggilan dan frekuensi radio No 4 Platun, kami berlepas dari Gubir ke lokasi terbabit. Apabila mengikut pengiraan pesawat berada di lokasi tersebut, saya telah menghubungi mereka: “Hello  two one alpha...this is alfa charlie..." Suara yang ditunggu-tunggu oleh Lt M Ishak. Saya telah mengarah beliau untuk menembak pistol ‘Very.’ Sebaik sahaja melihat suar daripada pistol tersebut, saya membawa pesawat dalam keadaan terapung (hovering) pada lebih kurang jam 5:30 petang.

Lt M Ishak sememangnya telah mengambil kira keperluan Nuri. Ketinggian pokok tidak melebihi 200 kaki (61 meter). Faktor ini penting kerana panjang kabel ‘hoist’  yang boleh diguna ialah 245 kaki (75 meter). Cuaca juga menyebelahi kami. Sebaik sahaja berada dalam keadaan terapung,  Sjn Mansur menurunkan ‘Strecer Saleh.’ Lt M (U) Mohd Som pula mengimbas panel instrumen bagi mengawasi tekanan dan suhu enjin dan kotak gear utama manakala tangan kanannya berada di ‘speed selector levers’ di atas bahagian tengah kokpit.

Mangsa pertama dinaikkan ialah Rjr Badaron disusuli mayat musuh. Sebaik sahaja mayat tersebut berada dalam pesawat, kami berlepas dan mendarat di Gubur untuk  menurunkan mayat itu. Seterusnya berlepas ke Hospital Pulau  Pinang dan mendarat di Padang Polo berhampiran  Hospital Pulau  Pinang pada lebih kurang jam 6:10 petang. Sebuah ambulans dan beberapa pegawai daripada 2 Divisyen dan 14 RAW sedia menunggu ketibaan wira negara itu. Kami pula berlepas untuk balik ke Butterworth dan mendarat pada lebih kurang jam 6:30 petang. Tugasan dilaksana dengan berjayanya, syukur alhamdulillah.

Lt M Ishak pula membuat keputusan untuk bermalam di lokasi tersebut. Pada keesokan hari, 27 Mei 1978, mereka bergerak semula ke pangkalan platunnya dan  selamat tiba pada lebih kurang jam 3:30 petang. Pada 30 Mei 1978, beliau menerima arahan untuk bergerak ke FSB India. Dari situ, Kompeni Bravo menamatkan operasi dan diterbangkan ke Kem Gubir untuk balik ke Kem Batu Uban, Pulau Pinang.

         Pengalaman ini sesuatu yang terpahat dalam minda Mej Ishak bin Mohamad Isa (B) buat selama-lamanya. Mengimbau kembali kisah setelah 44 tahun berlalu, beliau menyatakan: “Kita boleh menyaksikan sendiri keberanian seseorang, taat setia dan kerjasama memerlukan pengorbanan ketuanya. Kepimpinan melalui teladan. Saya berbangga mengatakan bahawa saya telah mempraktikkannya.

 *****

Sejarah menyaksikan pasukan 14 RAW yang ditubuh di Tawau, Sabah pada 1 April 1971, telah bertukar status sebagai pasukan infantri, Batalion 9 Renjer pada 1 Mac 1979. Selari dengan tempat lahirnya di Sabah, moto unit dalam bahasa Bajau - Sian Bani Manang -  membawa maksud ‘Siapa Berani Menang.

 

Lt M Ishak bin Mohamad Isa (1) dan Kpl Hussein (2) dan lain-lain anggota No 4 Platun, Kompeni Bravo, 14 RAW di FSB ‘India.’ Sumber:  Mej Ishak bin Mohamad Isa (B)

 

Lt M Ishak bin Mohamad Isa di Kem Gubir. SumberMej Ishak bin Mohamad Isa (B)

 [1]           Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot. Jitra: Nor Ibrahim bin Sulaiman, hlm. 208.

[2]            Surah Al-Israa: 27.

[3]            Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot, hlm. 209.

[5]           Claymore mine. Lihat http://www.fact-index.com /c/cl /claymore_mine.html.

[6]            Laporan 6 BIM, 251845 GH Mei 1978. Laporan Kejadian, hlm. 63.

[7]           Manuskrip daripada Mej Ishak bin Mohamad Isa (B) pada 9 Ogos 2022.

[9]           Penjelasan Mej Ishak bin Mohamad Isa (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Ogos 2022.

[10]         Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B). Buku Log Penerbangan.

 

Selasa, 16 Ogos 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 15

 Sambungan daripada SINI...

Pengganas komunis bagaikan haiwan buruan! Seperti yang dijelaskan sebelum ini, di sempadan yang dianggap sebagai kawasan selamat juga tidak selamat lagi. Mereka tidak kering peluh dek diburu di sempadan oleh dua buah negara. Manakala hutan dara  di kawasan dalaman yang menjadi penempatan kaum Orang Asli dikawal rapi oleh Pasukan Polis Hutan (PPH). Juga tidak selamat. Di seluruh  kawasan Semenanjung pula pasukan keselamatan senantiasa dalam keadaan siap siaga untuk memburu mereka sebaik sahaja menghidu kehadiran mereka.

 Tetapi mereka sedia maklum mana mungkin pasukan keselamatan dapat mengawal setiap inci sempadan. Perjuangan mereka tidak membawa ke mana-mana selagi mereka terus berada di sempadan. Perjuangan perlu diperluaskan. Justeru, seawal tahun 1971 mereka merancang untuk  menapak di beberapa negeri dalam usaha mempergiatkan perjuangan ketenteraan demi mencapai objektif utama menjadikan negara sebuah negara komunis.[1] Objektif yang tidak pernah pudar!

 Pada 16 Mac 1971, seramai 37 anggota gerila komunis yang diketuai oleh Cheong Chor@Ai Chai Kang@Lingqing berjaya melolos sempadan dan bergerak dari pangkalan mereka di Betong, Thailand menuju ke Perak Misi yang diberi gelaran ‘Ekspedisi ke Selatan’ (Southern Expedition) itu ialah untuk menyediakan ‘food-dumps,’ merekrut kader baharu dan  kemudahan bagi gerila komunis melakukan aktiviti tanpa gangguan.[2] Mereka tiba di Air Kala, Perak pada April 1971. Seterusnya Chong Chor  memecahkan rombongan kepada dua kumpulan. Dia bersama 29 anggota meneruskan perjalanan ke Sungai Siput, Perak manakala baki 8 gerila yang diketuai oleh Shaozhang tinggal di Air Kala.

Cheong Chor@Ai Chai Kang@Lingqing (kiri. Sumber: DSP (B) ‘Kenny’ Kamaruddin Hashim

 

Pengganas komunis membolos sempadan pada awal 1970-an dalam usaha mempergiat aktiviti keganasan di Semenanjung. Sumber: ‘Xiulan’

Sungai Siput...semuanya huru-hara bermula di pekan kecil itu. Bermulanya darurat yang diisytihar oleh British pada Jun 1948. Tepat sekali jangkaan Cawangan Khas (SB), PDRM. SB begitu yakin pengganas komunis akan kembali ke kubu mereka di suatu ketika dulu. Jika Chong Chor beranggapan kemunculan semula mereka di Sungai Siput tidak disedari oleh pasukan keselamatan, jangkaannya jauh tersasar. Pergerakan mereka dapat dihidu oleh SB. Masalahnya kekuatan musuh tidak diketahui. SB sedia maklum gerila komunis di kawasan Sungai Siput diketuai oleh Chong Kwai Hong, iaitu Ketua Unit Penggempur ke-5 (5th Assault Unit) yang juga ahli Jawatankuasa Negeri PKM (State Committee Member). Apa pun, pasukan keselamatan bersedia menunggu ketibaan pengkhianat negara. 

Itu yang dilakukan oleh 4 Renjer yang berpangkalan di ‘Kem Suvla Line’ (Kem Tambun). Satu platun daripada Kompeni Alpha yang diketuai oleh Lt M Jayandran telah diarah untuk membuat tinjauan di Sungai Siput pada bulan April 1971. Untuk tugasan ini, mereka telah menyarung pakaian seragam berwarna hijau walaupun ketika itu pakaian seragam celoreng telah digunakan. Semasa rondaan mereka telah terserempak dengan Orang Asli yang menyangka platun itu terdiri daripada pengganas komunis kerana berpakaian hijau. Beliau memberitahu mereka bahawa beliau bertemu komrad mereka.[3] Sah...petualang negara sudah bertapak di Sungai Siput bak kata pepatah ‘sirih pulang ke gagang.’  


Bersambung...In Syaa Allah


[1]          ‘Xiulan’. (1983). I Want to Live. Petaling Jaya: Star Publications, hlm. 100.

[2]           Ibid.

[3]         Penjelasan Mej Jayandran (B) melalui telefon pada 7 Ogos 2022.