Pengikut

Jumaat, 6 Oktober 2023

PERISTIWA KALABAKAN 29 Disember 1963

Saya tak boleh terima tulisan dalam buku "Fighting General" oleh Tom Pocock mengenai 'Perisitwa Kalabakan' pada malam 29 Disember 1963. Siapakah Mr Rees, Pengurus North Borneo Timber yang menyaran kepada Lt M Raja Shahardin, Ketua Platun No 1, Kompeni A, 3 RAMD? 

Ekoran itu, saya cuba menyanggah kenyataan penulis buku itu sepertimana dalam draf buku saya bertajuk "Warkah Berdarah Kalabakan 29 Disember 1963." Ini hanya pandangan seorang veteran setelah berborak dengan seorang Mej Jen bersara.😆 

Tom Pocock. (1973). Fighting General. London: Collins, hlm. 178.

Lebih kurang jam 11:00 malam. Pos tentera... 

Lt M Raja Shahardin dan anggotanya yang berada di hadapan kediaman tiba-tiba melihat kelibat dua lembaga menghampiri mereka. Ini peluang yang tidak dilepas begitu sahaja. Mereka menenang senjata ke arah lembaga tersebut manakala jari mereka sedia menarik picu senjata masing-masing. Namun, mereka perlu pastikan siapakah gerangan dua lembaga itu; kawan atau lawan? 

Lieutenant...don’t shoot. It’s me, Rees.” Pengurus syarikat balak. Mr Rees yang berada di kem balak NBT semasa serangan, bergegas ke pos tentera bersama seorang pekerjanya apabila tiada lagi kedengaran tembak-menembak di pos tentera.

“Apa pula Mat Saleh ini hendak waktu ini”? Fikir Lt M Raja Shahardin.

 Mr Rees memberitahu Lt M Raja Shahardin yang beliau percaya musuh telah beredar dari Kalabakan. Oleh yang demikian, beliau berpandangan Lt M Raja Shahardin harus mengambil kesempatan ini untuk melancar  operasi serang balas (counter attack) terhadap musuh dengan segera. Beliau sendiri akan menyertai operasi itu.[1] Itu pandangan seorang awam tanpa mengambil lain-lain faktor.

 Serang balas? Serang balas memerlukan kekuatan pasukan lebih besar untuk memusnah musuh. Malahan, melancar operasi menjejaki musuh pun Lt M Raja Shahardin tidak sedia melaksanakannya. Operasi ini bagi menentukan laluan yang akan diambil oleh musuh dan objektif mereka. Maklumat ini penting supaya Markas Taktikal Batalion dapat merancang tindakan sewajarnya.

 Kejayaan operasi menjejaki bergantung kepada keberkesanan sistem komunikasi antara pasukan dengan Markas. Dan sistem komunikasi tidak menyebelahi beliau. Prestasi set radio HF memang tidak boleh diharap di waktu malam. Memang boleh guna kod Morse untuk menghantar mesej tetapi kaedah ini menyulit kelancaran operasi. [2]

 Bukan itu sahaja. Lt M Raja Shahardin pun masih belum buat penilaian keseluruhan situasi yang mereka hadapi ketika itu. Pertama sekali, beliau masih tidak ketahui situasi anggotanya. Berapa anggota yang KIA dan WIA? Beliau percaya Mej Zainol Abidin KIA manakala orang terkanannya, PW II Awaludin dan Sjn Aziz WIA. Stok peluru pula menurun.

Selain itu, adakah musuh betul-betul sudah beredar dari Kalabakan? Kerana masih terdengar tembakan rambang berhampiran balai polis. Apakah kekuatan musuh? Tidak mungkin hanya lebih kurang 50-60 orang sahaja. Pada pengiraannya, mungkin lebih daripada 100 orang kerana musuh turut  menyerang balai polis hampir serentak. Lagi pula, bukan mudah memburu musuh dalam malam gelap gelita. Silap percaturan, mereka mungkin menjadi mangsa serangan musuh!

Mengambil faktor-faktor itu, Lt M Raja Shahardin memberitahu Mr Rees beliau tidak setuju dengan saranan Mr Rees. Keengganan Lt M Raja Shahardin mengejutkan  Mr Rees.[3] Lalu beliau beredar balik ke rumahnya.


Nota:

Kekuatan 3 RAMD: 41. KIA - 8; WIA - 19. 14 terselamat.

Kekuatan Balai Polis Kalabakan: 15 (8 polis + 7 Home Guards).

Kekuatan musuh: 128. KIA - 1; 4 WIA.

 



[1]              Tom Pocock. (1973). Fighting General sebelum ini, hlm. 178.

[2]              Ibid.

[3]              Penjelasan Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober 2023.