Sambungan dari SINI
Terkorbannya seorang srikandi
Pagi Isnin, 19 Julai 1948//13 Ramadan 1367...
Kuala Lumpur...
Pagi-pagi lagi AVM A.C. Sanderson menghubungi Ketua Pusat Operasi Udara di Pangkalan RAF, Kuala Lumpur. Sebuah pesawat Spitfire ditugaskan untuk membuat tinjauan udara dan serangan udara jika perlu di Gua Musang pagi itu.
Kuala Lipis...
Ketika itu, Lt Kol Bill Blair-Oliphant
berada di Markas Taktikal Batalion di Kuala Lipis. Tugasan yang
dipertanggungjawab kepada 2 RAM membuat anggota pasukan tidak sempat kering
peluh. Misi pasukannya ialah melaksana rondaan jarak jauh dalam usaha memburu
dan memusnah pengganas komunis.[1] Lt Kol Bill Blair-Oliphant memberi
tumpuan kepada Negeri Pahang kerana ancaman komunis negeri tersebut sangat
serius berbanding dengan Negeri Kelantan. Itu sebabnya hanya satu platun diatur
gerak ke Pengkalan Chepa, Kelantan.
*****
Malahan, pada 26 Jun 1948, iaitu
selepas 10 hari darurat diiisytihar, segerombolan komunis seramai lebih kurang seramai
40 orang Cina bersenjata dan beruniform[2] telah menyerang Rumah Pasung Kuala Krau,
Pahang pada waktu malam. Kekuatan rumah pasung tersebut ialah empat orang. Ketika
itu, anggota polis sedang makan malam dengan keluarga mereka.
Walaupun keadaan tidak memihak kepada anggota polis, bagaimana pun semangat mereka berkobar-kobar. Lawan tetap lawan. Sebelum mencapai senjatanya, Bren gun, Mata-Mata Mohamad Yusof berpesan kepada isterinya, Mahani Konel, supaya menggulung kedua-dua anak mereka dalam tilam supaya percikan tembakan senjata musuh tidak terkena pada mereka. [3]
Lalu berlaku pertempuran sengit. Keadaan begitu getir. Mahani Konel yang ketika itu sedang sarat mengandung tujuh bulan tidak sanggup menyaksi suami tercintanya dan tiga rakan seperjuangan mempertahan rumah pasung. Beliau nekad untuk membantu mereka. Tanpa memikir keselamatan dirinya, beliau keluar dari rumah kelamin dan berlari ke rumah pasung. Tetapi apakan daya. Belum sempat tiba di rumah pasung, peluru panas musuh telah menembusi dada Mahani Konel. Sebelum rebah, beliau sempat melaung “Allah”![4]
“Maaak!”. Teriak Osman bin Mohamad Yusof (3 tahun) sebaik melihat ibunya rebah. Tanpa memperduli peluru bersimpang-siur, kanak-kanak itu meluru mendapatkan ibu kesayangannya. Beliau terus “...memeluk ibu dalam keadaan dadanya dipenuhi darah.”[5]
Seorang Mata-mata pula mengalami kecederaan apabila sebutir peluru menggesel kepalanya.
Pertempuran berlaku lebih kurang setengah jam sebelum komunis beredar. Ya, mereka telah berjaya membunuh seorang suri rumah yang tidak berdosa. Namun, objektif mereka untuk menambah inventori senjata dan peluru tidak tercapai. Komunis sama sekali tidak menduga mereka telah gagal menawan Rumah Pasung Kuala Krau yang dipertahankan hanya oleh empat wira.
Pengganas sedia maklum tidak lama lagi pasukan bantuan akan tiba. Tidak seperti Rumah Pasung Gua Musang, Rumah Pasung Kuala Krau mempunyai kemudahan telefon dan jalan raya. Bagaimanapun, talian telefon telah dipotong oleh musuh sebelum menyerang rumah pasung.
Berita serangan ini hanya diketahui pada pukul 2:00 pagi (27 Jun 1948) apabila talian telefon dibaiki. Anggota Rumah Pasung Kuala Krau menelefon Rumah Pasung Mentakab. Pagi itu L. Valpy (CPO) bersama pasukan bantuan bergerak ke Kuala Krau. Pemeriksaan di kawasan pertempuran menemukan kesan darah.[6] Ini bermakna kemungkinan terdapat musuh yang tercedera atau terbunuh semasa pertempuran tersebut.
Sementara itu, satu kumpulan komunis lagi mengambil tempat untuk menyerang Rumah Pasung Jerantut. Kekuatan rumah pasung tersebut ialah tujuh orang yang terdiri daripada seorang Koperal selaku OCS dan enam orang Mata-mata. Namun demikian, pada ketika itu, hanya terdapat lima anggota di rumah pasung tersebut sementelah OCS dan seorang Mata-mata membuat tugasan di pekan Jerantut.
Tanpa sebarang amaran, komunis
menyerang rumah pasung. Menyedari mereka diserang, seorang Mata-mata sempat
menghubungi Rumah Pasung Kuala Lipis memberitahu mereka diserang oleh pengganas
komunis melalui telefon sebelum kabel telefon dipotong oleh musuh.[9] Walaupun anggota polis hanya lima
orang sahaja, namun semangat mereka mengatasi kepincangan yang dialami. Semasa
pertempuran, kumpulan yang menyerang pekan Jerantut tiba di rumah pasung dengan
membawa OCS. Walaupun kekuatan musuh bertambah, namun demikian wira-wira rumah
pasung terus membalas tembakan musuh sehingga kehabisan peluru.
Semangat anggota polis sama sekali tidak diduga oleh komunis. Lalu, ketua komunis mengacu pistolnya kepada OCS dan mengarah OCS supaya beliau mengarah anak buahnya menghentikan tembakan dan menyerah diri tanpa menyedari anak buahnya sudah kehabisan peluru. Jawapan mereka mengejutkan komunis. Mereka tidak sama sekali menyerah diri. Dalam pada itu, empat Mata-mata dan isteri serta anak-anak kepada tiga daripada mereka (Mata-mata) berjaya meloloskan diri masuk ke hutan berhampiran. Sementara dua orang lagi Mata-mata tidak berganjak daripada kedudukan mereka dalam rumah pasung demi mempertahan rumah pasung tersebut. Hanya dengan senjata tanpa peluru![10]
‘Kedegilan’ Mata-mata dalam rumah pasung tersebut membuat ketua komunis mengarah orangnya membakar rumah pasung itu. Dua orang Mata-mata yang berada dalam rumah pasung tiada pilihan dan mereka keluar dari bangunan yang sedang marak membakar. Salah seorang daripada Mata-mata sempat membuang senjatanya ke dalam perigi. Beliau tidak boleh terima senjatanya jatuh ke tangan komunis.
Pada malam itu, komunis hanya berjaya
merampas empat raifal dan sepucuk revolver. Sebelum berundur ke hutan dengan
OCS sebagai orang tawanan, pengganas komunis membebas dua orang Mata-mata
berkenaan.[11]
Pasukan bantuan yang terdiri daripada Kompeni D, 2 RAM yang diketuai oleh Mej Hall dan Jungle Squad dari Kuala Lipis dikejar ke Jerantut. Walaupun pengganas komunis sudah beredar ke hutan, operasi memburu dan memusnah diteruskan. Pasukan keselamatan telah ditemukan sebuah kem penempatan komunis yang baru didiami tetapi tanpa penghuni empat batu (6.5 km) dari Jerantut. Komunis telah beredar dari kem tersebut apabila menyedari pasukan keselamatan menghampiri kem mereka. Dalam tergesa-gesa menyelamatkan diri, mereka tertinggal selaras raifal dan sepucuk revolver yang dirampas daripada anggota polis Jerantut. Penggeledahan seterusnya pasukan keselamatan menemui dua mayat, iaitu tauke dan anaknya diculik.
Pemburuan diteruskan. Lebih kurang tiga batu (4.8 km) lagi, pasukan keselamatan telah nampak sebuah pondok yang merupakan pos sentri. Sebaik melihat pasukan keselamatan, seorang pengganas cuba melontar grenad tangan tetapi berjaya ditembak mati. Dalam pertempuran tersebut, pasukan keselamatan berjaya membunuh dua pengganas dan mencedera masing-masing, mencedera seorang, menangkap seorang dan merampas tiga grenad tangan.[12]
Serangan komunis ke atas Rumah Pasung Kuala Krau dan
Jerantut, Pahang. Sumber: Google
*****
Bersambung...in syaa Allah...
[1] Malayan Emergency, Memoirs of
Douglas Morris. Lihat https://www.far-eastern-heroes.org.uk/memoirs_of_douglas_morris/
html/malayan_emergency.htm (diakses pada 16 Jun 2024).
[2] Arkib Negara Malaysia, Gerakan Komunis Di Tanah Melayu. Lihat https://pustakailmu.arkib.gov.my/index.php/ms/
pustaka-ilmu/jendela-sejarah/gerakan-komunis-di-tanah-melayu (diakses
pada 20 Jun 2024).
[3] mStar, “Ibu
ditembak di dada ketika sarat hamil” - Anak imbau keberanian Mahani Kenel
angkat rifle serang komunis di Balai Polis Kuala Krau, 31 Ogos 2021. Lihat https://www.mstar.
com.my/xpose/figura/2021/08/31/ibu-ditembak-di-dada-ketika-sarat
-hamil---anak-imbau-keberanian-mahani-kenel-angkat-rifle-serang-komunis-di-balai-polis-kuala-krau
(diakses pada 1 Jun 2024). Osman bin Mohamad Yusof, anak
pasangan Mata-mata Mohamad Yusof dan Mahani Konel mencerita peristiwa tersebut.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] The Straits Times, Police Rout
Bandits In Village Gun Battle, 29 June 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/
newspapers/digitised/article/straitstimes19480629-1.2.13 (diakses pada 21 Mei 2024).
[7] Arkib Negara
Malaysia. Gerakan Komunis sebelum ini.
[8] The Straits Times, Gent Relieved
of His Office, 30 June 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
digitised/article/straitstimes19480630-1.2.2 (diakses pada 15 Jun 2024).
[9] The Singapore Free Press, Gun
gang captures town, 29 June 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
digitised/issue/freepress19480629-1 (diakses pada 15 Jun 2024).
[10] Ibid.
[11] Ibid.
[12] Morning Tribune, Loot from
Jerantut and Bodies Found, 2 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
digitised/article/morningtribune19480702-1.2.4 (diakses pada 15 Jun 2024).