25 Januari 2012 = 1 Rabiulawal 1433H, lebih kurang jam 1600, saya terima panggilan telefon daripada squad-mate, Brig Jen Dato' Muslim Yusof (B), memaklumkan bahawa
Lt Kol Jamaluddin Bin Tajuddin TUDM (B), telah kembali ke rahmatullah pada jam 1400.
....إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ! Saya difahamkan arwah telah lama mengidap barah pankreas. Ketika panggilan dibuat, jenazah masih di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Taman Melewar, Batu Caves.
Dari kiri: Kapt (U) Raja Mohd, mendiang Mej (U) Stephen Ngiau, arwah Mejar (U) Jamaluddin, Lt Kol (U) Richard Jalleh, Mej (U) Ooi Ah Bah
Saya mengenali arwah ketika mengikuti kursus peralihan pesawat Nuri sebagai ko-pilot pada Jun 1974 selepas tamat kursus penerbangan di SEA Helicopter Sdn Bhd. Malah, semasa fasa penerbangan selepas tamat 'ground school', arwah adalah jurulatih pertama yang terbang dengan saya.
19 Jun 1974 - Penerbangan pertama saya dengan pesawat Nuri
Saya kerap terbang sebagai ko-pilot arwah, terutama penerbangan VVIP. Salah satu penerbangan yang masih segar dalam ingatan ialah membawa
Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah. Mengikut 'tasking sheet', kami dikehendaki mengambil Tuanku di Grik dan
'offload' di Taiping. Seterusnya, terbang ke Butterworth untuk
Ops Bamboo Xpress keesokan hari. Pagi-pagi 4 Feb 1975 lagi, kami telah terbang dari Kuantan. Mendarat sahaja di Grik, sebuah kereta telah dihantar menjemput kami ke Rumah Rehat untuk sarapan pagi dengan Tuanku. Pergilah kami bertiga bersarapan semeja dengan Tuanku, Y.M Datuk Sri Sharifah Salma,
isteri Baginda dan seorang lagi. Sungguh teruja dibuatnya. Manakan tidak...Siapalah saya diberi peluang makan pagi semeja dengan seorang Sultan!
Sebelum berlepas dari Grik, Tuanku memaklumkan arwah Kapt (U) Jamaluddin yang beliau berhasrat untuk melawat arwah YM Raja Shariman, OBJ Dinding (Orang Besar Jajahan, Manjong) yang ketika itu berada di Hospital Besar Ipoh. Menjadi tugas saya untuk memaklum Bilik Operasi Pangkalan tentang 'diversion' yang dipinta oleh VVIP pax. Dari Ipoh, kami mendarat di Padang Esplanade, Taiping. Lagi sekali, Tuanku menjemput kami makan tengah hari di Rumah Rehat. Saya masih ingat, orang yang membawa kami ke Rumah Rehat ialah Dato' Razak, seorang 'dignitary' di Taiping. Para hadirin hanyalah Tuanku dan isteri, Dato' Razak dan kami bertiga. Kami makan di bilik VVIP. Salah satu hidangan yang sehingga sekarang saya masih ingat ialah sambal tumis ikan bilis. Selepas makan, kami pun berlepas ke Butterworth.
Kali terakhir saya terbang dengan arwah ialah pada 11 Disembar 1975. Beliau telah bertukar ke KEMENTAH pada Januari 1976. Semenjak itu, seingat saya, kami tidak pernah bersua sehingga berita yang saya terima ini.
11 Disember 1975 - Penerbangan terakhir dengan arwah Kapt (U) Jamaluddin
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh allahyarham. Al-Fatihah.