Ekoran kejadian ini, pasukan keselamatan telah
melancar Op Semai pada 4 Ogos 1969. Tugas memburu dan memusnahkan petualang negara tersebut dipertanggungjawabkan kepada
3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kompeni A (Alpha) dari 4 RAMD. 3 RAMD
berpangkalan di Kepala Batas, Kedah manakala 4 RAMD di Kem Majidee, Johor.
Kompeni A, 4 RAMD yang diketuai oleh Kapten Abbas bin Yunus ditugaskan di
kawasan Changlun; beliau menjadikan Changlun sebagai Markas Taktikal Kompeni.
Ketua Kompeni mengatur gerak No 1 Platun yang diketuai oleh Lt M Mohd Tap bin
Haider ke kawasan Sintok; No 3 Platun yang diketuai oleh Lt M Mohd bin Hassan,
lebih dikenali sebagai Mat Kuching, di jalan Sintok-Bukit Kayu Hitam; sementara
No 2 Platun yang diketuai oleh Sarjan Platun sebagai simpanan bersama Markas
Taktikal di Changlon.
Pada
lebih kurang jam 10:00 pagi, 27 Julai 1969 Seksyen 3 No 1 Platun yang diketuai
oleh 14502 Kpl
Ahmad Hussain bersama enam anggotanya diarah membuat rondaan dan tinjauan
ke kawasan Sintok. Setelah membuat rondaan di sekitar kawasan lombong Syarikat
Badak Mines di kawasan Sungai Badak Dalam, mereka mula bergerak untuk pulang ke
penempatan mereka berhampiran dengan Balai Polis Sintok pada petang itu. Aturan
pergerakan didahului oleh 17738 Pbt Yahaya bin Jaafar selaku peninjau pertama (scout)
diikuti oleh Pbt Mohamad (Mat Chain Lever) selaku
peninjau kedua, 14502 Kpl Ahmad Hussain, 18794 Pbt Abdul Rani Ramli, 18625 Pbt Khalid bin Abu Bakar,
18626 Pbt Ghani bin
Salleh dan 18262 Pbt Mohd Isnan bin Jumingan. Mereka menggunakan jalan
lori balak di mana terdapat jambatan kayu merentasi Sungai Badak Dalam yang
dihimpit bukit. Sebaik sahaja Pbt Yahaya Jaafar dan
Pbt Mohamad menyeberang jambatan kayu, tiba-tiba ‘bang...bang...bang’.
Segerombolan lebih kurang 30-40 orang musuh telah menyerang hendap Kpl Ahmad
Hussain, Pbt Abdul
Rani dan Pbt Khalid yang ketika itu berada di atas jambatan sementara Pbt Ghani
Salleh dan Pbt Mohd Isnan belum tiba di jambatan. Wira-wira negara membalas
tembakan tetapi kedudukan musuh tidak memberi kesan kepada musuh negara.
Tembakan bertubi-tubi musuh telah mengorbankan Kpl Ahmad Hussain, Pbt Abdul
Rani Ramli, Pbt Khalid dan Pbt Ghani Salleh manakala Pbt Mohd Isnan cedera
parah. Walaupun cedera, Pbt Mohd Isnan mengalami cedera parah di perut sebelah
kiri dan bahagian tepi kepala beliau berjaya menyelamatkan diri dan
berselindung di tebing sungai. Di waktu yang sama, menyedari mereka diserang
hendap, Pbt Yahaya Jaafar dan Pbt Mohamad lantas
berlindung di celah batu-batu di tebing sungai. Tidak lama kemudian,
sekumpulan musuh turun dari lokasi mereka
dan merampas senjata dan menembak secara rambang ke arah sungai apabila
menyedari ada anggota yang terselamat. Nasib menyebelahi Pbt
Yahaya Pbt Mohamad dan Pbt Mohd Isnan. Mereka terselamat kerana musuh beredar
menjelang !
Pada
lewat malam, Pbt Yahaya Jaafar dan rakan menyusur sungai untuk balik ke
penempatan mereka di Sintok manakala Pbt Mohd Isnan tidak
berganjak dari tempat selindungnya. Kegagalan seksyen pulang malam itu tanpa
sebarang berita sudah pasti membimbangkan Ketua Kompeni dan Ketua Platun.
Kebimbangan mereka terjawab apabila Pbt Yahaya Jaafar dan rakannya tiba di
Sintok pada keesokan pagi, 28 Julai 1969 lebih kurang jam 5:00 pagi. Lt M Mohd
Tap menghubungi Ketua Kompeni untuk melaporkan insiden ini dan juga memaklumkan
Pbt Mohd Isnan masih hilang. Beliau juga memberitahu ketuanya bahawa beliau
akan membawa platunnya ke lokasi insiden. Pbt Yahaya Jaafar yang semangat setia
kawan begitu tinggi, bertegas mahu menyertai misi mencari dan menyelamat rakan
seperjuangannya. Apabila tiba di lokasi tersebut pada lebih kurang jam 12:00
tengah hari, Lt M Mohd Tap menemui empat mayat anggotanya disusun secara
bertindih di tengah jalan berhampiran dengan
jambatan. Pencarian mereka ke atas Pbt Mohd Isnan berhasil apabila
beliau ditemui berhampiran dengan tempat kejadian. Di waktu yang sama, kumpulan
Ketua Kompeni tiba di lokasi.
Kapt
Abas seterusnya mengarah Lt M Mohamad Hassan dan Ketua No 2 Platun membawa
platun masing-masing untuk memberi perlindungan di persekitaran kawasan insiden
sementara beliau dan Lt M Mohd Tap dan anggotanya mengendali empat mayat
tersebut. Ketika Pbt Yahaya Jaafar cuba mengangkat mayat, tiba-tiba ‘boom’;
satu letupan yang kuat. Musuh telah meletak sebutir grenad tangan di antara
tubuh mayat. Letupan ini telah mencederakan Pbt Yahaya Jaafar dan tiga lagi
anggota. Lantas Lt M Mohd Tab mengarah anggotanya meletakkan mayat-mayat dan
cebisan daging dalam ponco. Susulan kejadian ini, Ketua Kompeni menghubungi
Markas Taktikal 3 RAMD meminta bantuan untuk mengurus mayat-mayat dan mereka
yang tercedera. Empat mayat dan empat yang tercedera seterusnya dihantar ke
Alor Setar. Walau bagaimanapun, Pbt Yahaya Jaafar meninggal
dalam perjalanan ke hospital. Di waktu yang sama, Ketua Kompeni diarahkan
supaya Kompeni A melakukan
operasi penjejakan. Beliau diingatkan supaya tidak mengguna laluan lori balak
kerana dipercayai musuh telah memasang jerangkap samar.
Sepertimana
yang diarahkan, Ketua Kompeni mengatur gerak No 1 dan No 3 platun untuk tugasan
penjejakan. Mereka diarah untuk menaiki bukit yang diduduki oleh pengganas
komunis semasa serang hendap tersebut. Pergerakan didahului dengan platun Lt M
Mohamad Hassan manakala Lt M Mohd Tap bergerak pada lewat petang setelah
pengurusan mangsa-mangsa diselesaikan. Ketika platun Lt M Mohd Tap mendaki bukit
yang didahului oleh 16585 L/Kpl Daud bin Othman, tiba-tiba “boom”, satu letupan
yang kuat dan L/Kpl Daud Othman melambung ke udara sebelum terhempap ke bumi.
Lt M Mohd Tap yang berada di belakangnya, terdengar jeritan “Tuan Tap, saya
kena.” Lantas Ketua Platun bergegas ke mangsa. Beliau membalut perut anggotanya
yang cedera parah dengan pembalut luka dan meletakkan kepala L/Kpl Daud Othman
ke atas riba. Dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan,’ L/Kpl
Daud Othman berpesan kepada ketuanya: “Tuan, tolong jaga anak saya!”
Menyedari kecederaan begitu parah, Lt M Mohd Tap mengajar anggotanya mengucap
syahadah. L/Kpl Daud Othman sempat mengucap syahadah
sebelum menghembus nafas terakhir!
Jenazah L/Kpl Daud Othman terpaksa bermalam di atas bukit dan diusung
menuruni bukit keesokan hari untuk dihantar pulang.
Mengimbau
kembali kejadian tersebut, Lt Kol Mohamad Hassan (B) yang ditauliahkan dalam 4
RAMD pada 12 April 1969, menyatakan “...di sinilah umur saya panjang. Semasa
naik bukit itu, saya jumpalah kem pengganas itu. Nasib baik tidak banyak
jerangkap samar. Saya terselamat tetapi platun yang di belakang yang ikut jalan
yang sama, terpijak jerangkap samar dan seorang terkena jerangkap samar.
Perutnya hancur hampir putus. Waktu itu hampir gelap dan kami bermalam di atas
bukit di situ dan budak yang kena jerangkap samar itu kami tidak dapat buat
apa-apa.” Di penempatan musuh, kesan yang ditinggalkan oleh musuh memberi
gambaran anggaran jumlah pengganas berkekuatan lebih kurang 30 ke 40 orang.
Selain enam anggota 4 RAMD terkorban, pengganas komunis telah merampas dua
laras Self loading Rifle (SLR), satu laras Light Machine Gun (LMG) dan satu
laras Sub-Machine Gun (SMG).
Berikutan
insiden ini, mereka diarahkan untuk tidak melakukan sebarang pergerakan dan
menunggu ketibaan bantuan Tim Pembersih Jerangkap Samar (TPJS) dari Pasukan
Kejuruteraan untuk mengesan dan memusnahkan jerangkap samar. Apabila tim
bantuan tersebut tiba di lokasinya keesokan hari, Lt M Mohamad Hassan
diberitahu oleh ketua TPJS bahawa pengganas komunis telah memasang
jerangkap samar di atas jalan dan di jambatan tersebut. Mereka menyasarkan
kenderaan ‘Ferret Scout Car’
dari Trup Pasukan Peninjau yang membuat rondaan di situ. Tidak lama kemudian, 3
RAMD mengatur gerak anggotanya untuk operasi penjejakan ini.
Susulan
insiden ini, kerajaan mengambil tindakan tegas untuk membendung kegiatan dan
keganasan komunis dengan melancar Op Semai pada 4 Ogos 1969. Bagi tujuan itu,
operasi ini menyaksikan pelaksanaan penempatan semula penduduk tetap di Sintok ala Briggs Plan semasa
era darurat dan mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan hitam. Seramai
112 orang yang terdiri daripada 45 lelaki, 31 perempuan dan 36 kanak-kanak
dipindah ke kampung baru di Padang Lembu, Gurun, Kepala Batas, Kedah dan
Changlon. Jumlah ini tidak termasuk para pekerja balak atau lombong yang
menetap di kongsi-kongsi kerana mereka hanya berada di kawasan tersebut selagi
ada pekerjaan. Pemindahan ini menyaksikan binatang ternakan dilelong dan
hasilnya diserahkan kepada pemilik. Mereka hanya dibenarkan bawa bersama
barangan rumah yang boleh diubah alih. Apabila pemindahan telah dilaksanakan,
rumah kediaman dan kongsi-kongsi dimusnahkan. Lt Kol Mohamad Hassan (B) masih
ingat beliau dan platunnya menduduki sebuah rumah kosong yang ditinggalkan oleh
pemiliknya selain “...Banyak buah-buah di pokok dan ternakan tidak terjaga.”
Tidak lama kemudian, Kompeni Alpha
kembali ke pangkalan mereka di Kem Majidee, Johor.
Draf buku dah siap. Sekarang sedang review, wallahualam.